Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera
Kadangkala
Sebagai insan biasa kita tidak terlepas daripada belenggu kelalaian atau bersikap sambil lewa terhadap sesuatu yang kelihatan amat biasa dalam kehidupan sehari-hari [ taking things for granted over things familiar . . . bak kata si omputih jiran teman tu le. ]
Mari kita dengan jujur melihat ke dalam diri sendiri . . . menginsafi akan kelemahan kita masing-masing . . . dan cuba merungkaikan belenggu kelalaian yang mengikat diri kita selama ini.
Kita ubah sikap acuh tak acuh, bena tak bena, atau endah tak endah terhadap situasi yang pasti pernah kita alami tetapi sering kurang kita ambil peduli.
Ayuh . . . perkukuhkan pegangan kita ke arah yang lebih positif.
Puisi berikut merumuskan mesej yang ingin disampaikan penulis kepada para pembaca yang budiman.
Setiap hasrat hamba-NYA yang ikhlas dan baik . . . akan disampaikan Allah swt. Demikian keyakinanku!
Kadangkala
Kadangkala
kita lupa menghargai
sesuatu yang kita ada
selagi ia masih di sisi
selagi ia kita miliki;
Kadangkala
kita leka mensia-siakan
anugerah dan pemberian
kerana kurang pengertian;
Kadangkala
kita tidak berterima kasih
kepada mereka yang berbudi
sehingga mereka dah tiada lagi;
Kadangkala
kita tidak peduli sangat
tentang kebajikan dan kemanusiaan
sudah terhakis rasa keihsanan;
Kadangkala
kita tidak ikhlas dan suci hati
terhadap mereka yang …
membimbing
menasihati
mengambil berat
memahami
menyayangi;
Kadangkala
kita mudah terlajak kata
mudah terlanjur aksi
lupa tatasusila
lupa diri;
paling dahsyat
kita selalu alpa
mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi!
Aduhai
jangan nanti
dah tiada baru terasa
dah tinggal baru menyesal
dah hilang baru walang
dah berpisah baru gundah
dah habis baru menangis!
Abdul Majid Baharom
(kk Rabu, 9 Januari 2013)
(kk Rabu, 9 Januari 2013)
Bamuda
dsuarang.blogspot.com