Thursday, October 4, 2012

Di Sini Masih Ada Kehidupan


FRIDAY, 28 SEPTEMBER 2012





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Pasangan Tabah dan Berserah


Setelah menjemput kami pulang dari Sabang di jeti Ulee Lheue . . . Pak Zamhur (Hj Zamhur yang menjadi sahabat baik Pak Sani ketika di Mekah pada tahun 2009) langsung membawa kami menuju ke rumahnya.




Bapak Hj Zamhur


Beliau berhasrat memperkenalkan kami semua kepada ahli-ahli keluarganya di rumah. Kami akur.




Nyonya Hjh Sri Aria Satiani
(Isteri Pak Zamhur)




Sdr. Deza Kasyfi
(Anak ke-2 Pak Zamhur n Nyonya Sri Aria Satiani)  


Ketika di dalam perjalanan . . . kami sempat jua berhenti sebentar di Masjid Baiturrahim untuk bersolat sunat . . .  dan menyaksikan sendiri . . . satu-satunya masjid yang kekal berdiri teguh . . . yakni tidak musnah dalam bencana Tsunami yang dahsyat sekali pada tahun 2004 . . .  yang telah memupuskan ratusan ribu kehidupan dan menghapuskan segala harta benda di sekitar lokasi masjid tersebut. Allahuakbar!



































Setelah meneruskan lagi perjalanan berkereta . . . lebih kurang setengah jam kemudian . . . kami tiba di perkarangan rumah Pak Zamhur.



































Kami lalu masuk ke rumah beliau . . . dan dengan penuh hormat dan sopan . . . dipersilakan duduk oleh isterinya . . . Nyonya Hjh Sri Aria Satiani.





Silakan masuk . . . 














Baru berkenalan . . .





Nak bicara apa?














Bila dari KL?





Baru kelmarin . . .














Oh gitu . . . rasalah halwa buah pala ni . . .







Cepat mesra . . . saling bercerita . . .

  















Seperti teman akrab lakunya . . .


  



Dari kiri:
Nyonya Sri Aria Satiani, Pak Zamhur,
 Pak Sani, Ibu Azizah, Ibu Alimah


Sebentar kemudian kedua-dua Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani memanggil anak lelaki mereka . . .  Deza Kasyfi . . . keluar ke ruang tamu untuk menyambut kehadiran  kami semua dan seterusnya berkenalan dengan kami.

Anak yang sedang meningkat remaja itu . . . tidak banyak kerenah ('tidak macam-macam' . . . kalau dalam vocab Indonesia) lantas dengan senang keluar bersalaman dengan kami . . . kemudian bercakap-cakap sambil mesra bertanya khabar. 


Penulis tersentuh dengan sikap berhemah sedemikian . . . terutamanya kerana yang terlibat itu seseorang yang masih muda.


"Wah . . . tentunya bringing up anak ini baik sekali . . . kerana sekarang tidak mudah kita dapati golongan remaja yang sedia akur kepada kata-kata atau 'arahan' ibu bapa mereka . . . apatah lagi untuk berkenalan dengan orang tua-tua," fikir penulis . 


Ramai yang sudah tidak lagi mengambil berat . . . malah banyak yang telah lupa akan pentingnya nilai berbudi bahasa itu diserapkan dalam diri mereka supaya akhirnya    nanti 'bisa' (memetik istilah Indonesia lagi) menjadi suatu kebiasaan. 

















Atas: Deza Kasyfi dengan Pak Sani

Bawah: Deza Kasyfi, Nyonya Sri Aria Satiani, Pak Sani








Sebaik duduk . . . penulis memerhatikan hiasan, reka letak dan susun atur dalaman sekeliling ruang tamu rumah Pak Zamhur.






Dari kiri:
Deza Kasyfi, Nyonya Sri Aria Satiani,
Ibu Azizah, Ibu Alimah, Penulis



Bagaikan ada sesuatu yang menggamit perhatian ini . . .  mata penulis segera terpaku kepada tiga objek di situ: 

Pertama . . .  sekeping potret keluarga yang berbingkai rapi  . . . tergantung  pada dinding ruang tamu tersebut.










Kedua . . . tiga keping gambar anak remaja . . . juga berbingkai rapi . . . yang tergantung pada dinding di bahagian anak tangga menuju ke lantai atas.








Ketiga . . . sebuah chandelier yang tergantung dengan megahnya dari siling tertinggi di tengah-tengah dewan  ruang tamu. 






Perbualan yang pada awalnya berlegar sekitar pertemuan dan perkenalan dua sahabat ini  . . . Pak Zamhur dan Pak Sani . . . di Mekah pada tahun 2009 itu . . . kemudiannya bertukar menjadi perbualan tentang musibah Tsunami yang melanda Banda Aceh pada 2004 lalu.

Ini terjadi apabila penulis bertanya akan kesan buruk (the aftermath) ke atas Banda Aceh selepas berlalu bencana Tsunami itu.

Pak Zamhur lantas sahaja mengeluarkan beberapa keping gambar daripada dalam simpanannya dan menunjukkannya kepada Pak Sani.







Penulis terkejut apabila kemudiannya menatap foto sebuah rumah berdiri 'tunggal' dikelilingi runtuhan dan timbunan kemusnahan batu, kayu, besi, fibre, plastik serta sampah sarap tumbuh-tumbuhan dan bermacam-macam sisa benda lain lagi.






Foto atas dan bawah:

Sisa rumah Pak Zamhur setelah dilanda Tsunami 2004




Suatu Keajaiban?

Masih berdiri di tengah-tengah runtuhan sekelilingnya.
Semacam ada sesuatu keajaiban yang terjadi . . . 
"Persis yang berlaku kepada Masjid Baiturrahim," 
kata hati kecil penulis. 
Allahuakbar!   



Pak Zamhur terus menyatakan dengan agak tenang, "Beginilah keadaan rumah saya . . . setelah dilanda Tsunami itu."


Beliau menambah, "Namun saya tetap tidak mahu berpindah dari sini . . . Saya baiki segala kerosakan yang terjadi pada rumah saya ini . . ."

"Saya berusaha sehingga dapat memasang dan menyalakan lampu di sepanjang jalan arah keluar ke jalan besar . . . bukan untuk menunjuk-nunjuk . . . cuma dengan niat yang ikhlas . . . ingin menyatakan kepada masyarakat sekitar dan mereka yang berkunjung ke mari bahawa . . . 


 . . .  DI SINI MASIH ADA KEHIDUPAN."




Rumah Pak Zamhur kini



"Begitu bersemangat sekali Pak Zamhur ini," fikirku. Aku langsung dimaklumkan bahawa Pak Zamhur adalah nadi utama dalam membolehkan terbinanya semula sebuah masjid di kariah tempat tinggal beliau.














Kemudian aku semakin teruja bertanya . . . untuk mengetahui jawapan terhadap persoalan . . .  'apa', 'mengapa', 'bagaimana', 'bila' . . . dan bermacam-macam lagi berhubung tragedi Tsunami yang memilukan itu.


Semakin aku bertanya . . . semakin banyak aku dapat menyelami kesedihan, kesengsaraan dan kekecewaan yang dialami mangsa-mangsa Tsunami yang 'terselamat' . . . sama ada disebabkan mereka tidak berada di Tempat Kejadian Peristiwa (TKP) pada ketikanya atau mereka memang sudah ditakdirkan untuk panjang umur oleh Allah swt . . . tidak seperti ahli-ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, kawan dan taulan lain yang pergi buat selama-lamanya . . . di bawa bersama arus peristiwa . . . "air laut naik" . . . itu!

Pak Zamhur . . . walaupun baru sahaja mengenali kami bertiga [selain daripada Pak Sani] . . . tetap bersikap amat ramah dan mesra terhadap kami. Tinggi budi bahasanya.


Sesungguhnya isteri beliau . . . Nyonya Sri Aria Satiani . . . juga demikian. Beliau seperti telah mengenali kami semua berpuluh tahun lamanya. 


Nyonya Sri Aria Satiani berhemah tinggi . . . mudah berbicara dan berterus terang.


Memerhatikan kemesraan pasangan ini ditambah dengan sikap mereka yang terbuka . . . penulis baru berani mengemukakan soalan tentang kehilangan yang mereka alami akibat bencana Tsunami yang melanda.


Mereka secara jujur menyatakan bahawa mereka memang berasa amat kehilangan insan-insan yang mereka cintai . . . namun mereka tetap ikhlas dan reda.  Semuanya kehendak dan kuasa Allah swt . . . tegas mereka.


Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani sebenarnya kehilangan hampir seluruh ahli keluarga yang mereka sayangi dalam kejadian Tsunami pada pagi 26 Disember 2004 di Banda Aceh.



Apa yang lebih menyedihkan ialah Pak Zamhur, isterinya Nyonya Sri Aria Satiani dan anak mereka Deza Kasyfi baru sehari berada di Mekah ketika kejadian itu berlaku. 



Mereka baru sahaja dihantar ke airport untuk ke Mekah oleh ahli-ahli keluarga dan sanak saudara mereka sehari sebelum tragedi itu. 


Bayangkan bagaimana perasaan seseorang jika seluruh ahli keluarga dan sanak saudaranya (lebih 40 orang jumlahnya) yang  kembali bermalam di rumahnya setelah menghantarnya baru sekejap ke sesuatu destinasi . . . tiba-tiba hilang daripada muka dunia ini . . . lenyap daripada pandangan mata buat selama-lamanya. 


Namun . . . Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani . . . tabah dan berserah.



Bayangkan lagi betapa luluhnya perasaan dan hancurnya harapan pasangan suami isteri ini apabila mendapat khabar bahawa dua orang puteri kesayangan mereka turut terkorban di dalam peristiwa yang baru sahaja berlaku selepas sehari mereka tidak berada di tanah air!

   

Dua orang puteri yang meninggalkan buat selama-lamanya ibu dan bapa mereka . . . Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani . . . ibu dan bapa yang amat mereka kasihi . . . dan ibu dan bapa yang amat mengasihi mereka . . . pergi menghadap Ilahi dalam usia yang terlalu muda. 


Nova Satiani . . . anak sulung keluarga ini baru berusia 19 tahun ketika kejadian. Beliau sedang kuliah untuk menjadi seorang doktor perubatan. 


Zafirah Amalina . . . anak ketiga keluarga Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani pula baru berusia 9 tahun pada waktu Tsunami melanda. Seorang anak kecil yang masih di bangku persekolahan rendah. 


Semua yang terjadi memang amat memilukan. Apatah lagi tempat perkuburan sebenar mereka itu pun tidak diketahui dengan jelas . . . di mana?


Apakan daya . . .  kita cuma hamba yang lemah.  Allah swt sudah mentakdirkan begitu. Allah swt lebih menyayangi mereka . . . dan maha mengetahui apa yang sebaik-baiknya berlaku.


Namun . . . Pak Zamhur suami isteri tetap tabah dan berserah menghadapi malapetaka tersebut.


Penulis amat terharu apabila mendengar jawapan daripada mulut mereka sendiri yang masing-masingnya bernada jujur . . . "Kami ikhlas menerima segala dugaan ini." 






Pak Hj Zamhur (berasal dari Banda Aceh)
dan Nyonya Hjh Sri Aria Satiani
( berasal dari Aceh Selatan) . . . 


. . . Pasangan Tabah dan Berserah



Al-Fatihah dan bacaan doa kami utarakan . . . agar roh kesemua yang terkorban dalam bencana Tsunami itu di lindungi Allah swt.

Khusus buat Almarhumah Nova Satiani dan Almarhumah Zafirah Amalina pula . . . kami doakan semoga roh kedua-dua adik beradik itu ditempatkan bersama roh-roh mereka   yang mendapat keistimewaan tertinggi di sisi Allah swt. Amin.

  
Pasangan suami isteri yang tabah dan berserah ini masih mempunyai seorang cahaya mata . . . seorang putera bernama . . . Deza Kasyfi . . . yang pastinya menjadi pemangkin untuk mereka meneruskan kehidupan dengan penuh bersemangat dan berhalatuju.

Insya-Allah . . . penulis yakin Pak Zamhur dan Nyonya Sri Aria Satiani mampu berbuat demikian.


Apa pun, kami amat bersimpati atas tragedi yang menimpa  Bapak dan Nyonya sekeluarga. Kami tetap yakin ada hikmah-NYA di sebalik apa saja yang telah berlaku. Amin. 
  


[Catatan: 3 objek yang menggamit perhatian penulis seperti ternyata di awal rencana] 



Potret Keluarga 

Dari kiri
Depan:  
Pak Zamhur, Zafirah Amalina, Nyonya Sri Aria Satiani
Belakang:
 Nova Satiani, Deza Kasyfi





Tinggal Tunggal
Asalnya tiga beradik 
kini Deza Kasyfi berseorangan 




Chandelier yang masih menerangi

Chandelier asal yang masih mahu bernyala semula
selepas pernah hapus ditenggelami air laut Tsunami
yang melanda dan menenggelamkan rumah ini hingga
ke paras siling. Allahuakbar!

 [Penulis mohon kpd Pak Zamhur menyalakan chandelier ini untuk difoto. TQ]



Andainya ada sesuatu yang kurang tepat ataupun tidak disenangi tentang rencana ini . . . penulis mendahulukan dengan ribuan permohonan maaf . . . kepada keluarga Pak Zamhur khususnya dan sesiapa sahaja yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan tragedi ini.

Wassalam . . . semoga Allah swt mencucuri rahmat-NYA ke atas kita semua. Amin.



[Ada lagi bahan penulisan lain yang akan diterbitkan dalam siaran-siaran berikutnya . . . Terima kasih kerana mengikuti blog ini.]



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

4 comments:

basri bin omar said...

Salam Uda!

Ah.....innalillah! Amat pilu dan sayu menatapi paparan ini...mmg TEPAT -itulah KEHIDUPAN dan satu KETENTUAN Allah Yg Maha Berkuasa dan Maha Segala2nya!

Kata Prof Kamil...SABAR saat di Uji!Subhanallah,Masyaallah,Allahu Akbar.....juga teringat pada hari kejadian---AIR BESAQ(Bahasa Kedah)...bawa Almarhum Ayahnda Hj Omar ziarah Pulau Sayak tmpt lahir beliau.Pulau Sayak juga tak terkecuali dari di landa BENCANA ini tapi pada skala yg kecil...Satu Kenangan yg juga mengusik Jiwa tambahan HUT ke 7 kepulangan beliau Ke Rahmatullah pada 10 Zulhijjah ini...Alfatihah kpd semua Roh!Amin!

Nur Emyinda said...

Salam Bamuda,

MasyaAllah...Subhanallah...Allahuakbar..

Masih tersergam kukuh rumah walaupun yang lainnya runtuh musnah dek tsunami yang membadai.

Penghuninya - begitu tabah, sabar dan redha dengan ketententuan Ilahi walaupun kehilangan insan2 dicintai.


Berat ujian yang diberi, namun Allah swt itu menguji kita dengan hanya yang termampu dihadapi oleh hambaNya. Keimanan mereka diuji kerana Allah swt kasihkan mereka. Banyak hikmah di sebalik segala ujian.

Bapak Hj Zamhur, Nyonya Sri Aria Satiani dan Deza Kasyfi adalah antara hambaNya yang terpilih!

Mudah2an kita semua jua sentiasa dalam rahmat kasih Allah swt.

Bamuda said...

Salam Adinda Basri,

Memang hebat dugaan yang diturunkan Allah swt kepada hamba-NYA . . . apabila dan bagaimana dikehendaki.

Kita hanya mampu menerima dan berserah. Reda terhadap ujian yang sedemikian rupa . . .

Namun . . . yang berlaku sudahpun berlalu. Kita berdoa agar memperoleh apa sahaja hikmah yang diperuntukkan Allah swt sebagai ganti yang jauh lebih baik daripada yang diakibatkan tragedi yang amat menginsafkan itu.

Mudah-mudahan kita sentiasa dianugerahkan keimanan yang kukuh oleh-NYA. Amin.

Allahuakbar!



Bamuda said...

Salam nur_emyinda,

Terima kasih kerana turut bersimpati sambil memberikan semangat kepada mereka yang amat 'kehilangan' melalui tragedi 26 Disember 2004 itu.

Sesungguhnya tidak dinafikan apa yang dikehendaki Allah swt terjadi tetap akan terjadi. Reda kita yang pasti amat teruji.

Insya-Allah dengan iman yang teguh kita dapat menghadapi lantas mengharungi setiap macam dugaan atau ujian-NYA.

Kepada Pak Zamhur sekeluarga yang masih dikehendaki-NYA meneruskan hidup di dunia yang fana ini . . . kita akur sahaja . . . di tanah sana masih ada kehidupan yang perlu ditempuhi.

Semoga kita semua diberkati-NYA. Allahuakbar.