Tuesday, December 4, 2012

Suatu Ketentuan Ilahi


SUNDAY, 2 DECEMBER 201




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



"Tuan! Saya kena . . . Tuan!"


Kata-kata di atas merupakan kata-kata terakhir yang didengari seorang pegawai tentera muda . . . Basri Omar . . . terucap daripada mulut seorang lagi anggota tentera yang juga muda . . . Abdullah Majid . . . pada hari tragedi menimpa mereka kira-kira 36 tahun  lalu di perbatasan negara kita Malaysia dengan Thailand.  

Kedua-dua mereka berkhidmat dengan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) pada waktu kejadian.  Walaupun berlainan trup, mereka telah ditentukan Allah untuk bersama-sama menggalas suatu tugas yang amat penting pada   25 April 1976 dalam Ops GUBIR II.

Mereka diarahkan memantau kerja-kerja pembersihan jerangkap samar yang dilakukan pasukan pembersih jerangkap samar di bawah pimpinan Lt Muda Meor Safian (Meor) pada awal pagi dalam terowong kedua perkhemahan musuh (pengganas komunis) yang ditawan 1 Rejimen Gerak Khas (1 RGKM).

Mereka terlatih khas dalam bidang kerja ini. Mereka tahu terowong itu penuh terpasang jerangkap samar pihak musuh. Jerangkap samar yang pasti masih aktif dan berupaya meledak pada bila-bila masa dengan sentuhan atau gangguan paling minimum terhadap sensitivitinya! 

Pendeknya . . . mereka memang amat berhati-hati dalam menjalankan tugas yang dipertanggungkan ke atas bahu mereka masing-masing. 

Lt Muda Basri Omar (Basri) selaku ketua . . . turun bersama LKpl Abdullah Majid (Abdullah), Spr Misnan (Misnan) dan komando pengiring Trp Khairi (Khairi) . . . ke bahagian bawah terowong berkenaan hingga menjejakkan kaki di anak tangga ke-31.

Setelah bergerak beberapa langkah maju ke hadapan . . .  Basri terpandang kepada timbunan reja karung guni beras terletak di sebelah kiri terowong.

Mengesyaki timbunan reja karung guni beras itu mungkin menyorokkan suis yang boleh mengaktifkan jerangkap samar di situ . . . Basri lantas mengarahkan para anggota yang mengikuti di belakang beliau supaya bergerak mengikut langkahnya di sebelah kanan terowong. 

Sudah cukup cermat dan berhati-hati sekali Basri  memimpin gerakan memantau pembersihan jerangkap samar di terowong kedua itu. Sudah diambil kira segala kemungkinan dan risiko operasi!

Semua anggota yang terlibat juga cukup arif dengan peranan mereka masing-masing. Apa yang harus dibuat dan apa yang tidak . . .  demi menjamin keselamatan semua  dalam Ops itu.

Malang tidak berbau! 

Tiba-tiba kedengaran suatu dentuman yang amat kuat disusuli asap yang amat tebal naik ke udara di dalam terowong yang berkenaan!

Senjata di tangan Basri terlepas. Pegawai muda ini jatuh terduduk. Beliau tercedera di tangan kiri serta di bahagian belakang badan dan di punggung. Parah keadaannya.

Ketika itulah juga Basri terdengar jeritan Abdullah kepada beliau: 

"Tuan! Saya kena . . . Tuan!"

Basri sempat menoleh kepada Abdullah dan mengarahkan beliau supaya jangan bergerak. Basri ternampak kecederaan amat mengerikan yang menimpa anggota pasukannya itu.  

Basri terus sahaja berteriak kepada Meor yang ketika itu berada di hadapan mereka untuk melakukan Tindakan Serta Merta bagi membersih kawasan dan membantu Abdullah.

Mereka yang cedera . . . Basri dan Abdullah kemudiannya di angkat naik ke permukaan . . .

Keadaan dipenuhi walang . . . suasana sangat memilukan.

Abdullah tidak dapat diselamatkan lagi. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat tercedera parah di bahagian dada dan perutnya.

Sesungguhnya kita milik Allah swt dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-NYA. 

Allah swt lebih menyayangi LKpl Abdullah Majid dan telah segera mengambil beliau untuk dimuliakan di sisi-NYA . . . sebagai hamba dan pahlawan tanah air dalam usia yang begitu muda. 






Wajah Allahyarham Abdullah Majid  dalam usia muda. Foto dirakam pada tahun 1971


Ketika peristiwa memilukan itu terjadi . . . Allahyarham Abdullah baru sahaja beberapa bulan berumah tangga dengan isterinya Puan Salmah Ali . . .






Majlis persandingan pasangan pengantin Abdullah (Allahyarham) dengan Salmah di Melaka 



. . . dan Pn Salmah kemudiannya hamil kira-kira 3 bulan . . . mengandungkan satu-satunya anak mereka berdua . . . (diberi nama Shaiful Izwan setelah lahir) . . . yang belum pernah / sempat dilihat wajahnya oleh Allahyarham Abdullah . . . 




Allahyarham Abdullah bersama Salmah


Apakan daya . . . manusia cuma mampu merancang. Allah swt jua yang menentukan!









Tinggal kenangan . . . LKpl Abdullah Majid ketika ada hayatnya . . . mencurahkan bakti kepada negara Malaysia tercinta. Foto kiri: Berdri no 3 dari kiri. Foto kanan: Berdiri di kanan




Basri yang juga mengalami kecederaan parah disuntik morfin untuk menahan kesakitannya itu. Kedua-dua mereka yang terlibat dalam tragedi ini diterbangkan keluar melalui Kem Gubir. 

Basri dibawa ke Hospital Alor Setar untuk dirawat manakala Allahyarham Abdullah dibawa ke Kem Sangro, Taiping untuk pengurusan jenazah.

Jenazah Allahyarham Abdullah kemudiannya dibawa pulang ke kampungnya di Melaka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selandar. 

[Doa kami: Bersemadilah engkau dengan aman dan tenteram di sisi-NYA di sana.]

Menurut Basri sesuatu yang agak mententeramkan perasaannya ialah apabila mendapat tahu bahawa salah seorang anggotanya sempat membisikkan kalimah syahadat kepada pendengaran Abdullah sebelum segala episod tragedi itu tersimpul dengan kepiluan . . . dan deria pemandangan Basri sendiri beransur kabur dan menjadi gelap!  
  
Sejak mengalami tragedi pada 25 April 1976 . . .  Lt Muda Basri Omar ( kini Lt Kolonel Hj Basri Omar PGB Bersara ) sering teringat akan kata-kata akhir Allahyarham LKpl Abdullah Majid . . . kata-kata yang meruntun perasaan beliau dan terngiang-ngiang di telinganya . . . "Tuan! Saya kena . . . Tuan!" 

Kata-kata bernada keluhan Allahyarham itu bagaikan mengamanahkan kepadanya supaya melakukan sesuatu . . . setidak-tidaknya menemui dan mengenali keluarga beliau itu . . . yang ditinggalkannya sejak tahun 1976 dahulu. 

Dapatkah Basri melakukannya? Berjayakah Basri menunaikan permintaan Allahyarham Abdullah? Ketahuilah kisah selanjutnya dalam episod berikut . . . Insya-Allah.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com

8 comments:

SENAPANG PATAH said...

Salam Tuan, alhamdulillah syukur ke hadrat nya malam ini saya berpeluang utk menatap wajah Allahyarham LKpl Abdullah Majid biarpun telah 36 tahun peristiwa ini berlaku .Terima kasih LT KOL(B) Haji Basri B Omar atas info tentang entry terbaru ini.

Nur Emyinda said...

Salam Bamuda,

AlFatihah buat arwah L/Kpl Abdullah Majid; syuhada' yang terkorban demi bangsa, agama dan negara. Memang meruntun jiwa membaca kisah para pahlawan ni. Sebak saya membaca kisah entri ni. Semoga Allah swt menganugerahkan ganjaran pahala bagi mereka semua.

p/s InsyaAllah, niat baik Tuan Basri pasti akan tercapai. Setiap niat ikhlas itu Allah akan permudah dan tunjukkan jalannya...InsyaAllah.

none said...

Salam Uda!
Tk atas paparan yang AMAT terkesan buat saya yang menunggu 36 thn slps insiden MENYAYAT Hati ini...moga2 ALLAH tempatkan Allahyarham Abdullah Majid bersama para Syuhada...Alfatihah!

Nur Emyinda said...

Salam Bamuda,

Entri kisah yang sangat meruntun jiwa. Sebak dada saya membaca kisah2 perajurit ini. Pengorbanan keringat darah dan airmata pahlawan2 negara/perajurit yang tiada galang gantinya oleh kita; waimahpun dengan harta emas yang menggunung dan jutaan ringgit yang yang menimbun. AlFATIHAH disedekahkan kepada L/Kpl Abdullah bin Majid dan semoga roh arwah ditempatkan bersama para solihin dan menerima ganjaran pahala syuhada' di sana.

Bagi Tuan Basri, insyaAllah, segala niat yang baik itu akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sementelah pula Tuan sendiri telah berkorban demi agama, anak bangsa dan negara.

Unknown said...

Syabas saya ucapkan satu penulisan yang baik dan jarang2 sekai kita dengar dewasa ini...juga tidak lupa mengucapkan setinggi tahniah di atas sifat kepewiraan Lt Kol Basri yang telah mencurah bakti untuk Negara, Bangsa Dan Ugama tercinta..

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Cerita terperinci kisah pembersihan terowong daripada jerangkap samar boleh dibaca di xnuripilot.blogspot.com.

Bamuda said...

Salam Semua

Terima kasih atas segala komen yang rata-ratanya menghargai jasa mereka yang boleh kita kelaskan wira negara sebenar.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah terkorban kerana kebaktian mereka itu . . . dan membahagiakan terus kehidupan wira-wira kita yang masih dipanjangkan usia oleh Allah swt.

Amin.

Unknown said...

Salam...saya, Dr Amirah.. Anak buah kepada arwah.. Terima kasih kepada admin kerana memaparkan kisah detik terakhir arwah pak cik saya.. Baru saya tahu detik2 yg menyayat hati arwah pak cik saya..walaupun berase sedih,Saye berase bangga dengan jasa dan pengorbanan arwah pak cik saye yg selama,ini diceritakan oleh ayah dan arwah nenek saya. Semoga Arwah ditempatkan di tempat org yg beriman dan beramal soleh.. Aamin...