Friday, November 20, 2009

Mestikah Semua A?





Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Sebenarnya Untuk Siapa?



Keputusan UPSR tahun ini dan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan tersebut telah diketahui. Akhbar-akhbar tempatan hari ini (20.11.2009) menyiarkan beritanya.

Saya teruja mencatatkan sedikit kenangan tentang hal peperiksaan sekolah, dahulu dan sekarang. Para pembaca tentu ada kenangan (dan pandangan) masing-masing dalam hal peperiksaan seperti ini.

Apa yang dicatat ini diharap dapat mencetuskan sedikit 'pemerasan' minda. Kesannya boleh dijadikan iktibar (kalau mahu) kepada kita semua dalam usaha mengejar kejayaan yang sebenar dalam hidup ini.

1. (a) Dulu ibu bapa tidak peduli sangat atau tidak mengambil berat sama ada anak mereka mendapat pelajaran yang secukupnya di sekolah. Ibu bapa hanya menghantar anak ke sekolah untuk belajar supaya bila dewasa nanti boleh dapat kerja dan boleh sara hidup sendiri. Ibu bapa juga berharap anak mereka dapat membantu mereka meringankan 'beban' keluarga yang ditanggung (setelah mereka bekerja nanti.)

Apa yang mereka tahu atau ambil berat ialah anak itu mesti lulus periksa. Asal lulus cukup. Tak lulus kena hukum. Dapat hadiah 'roti panjang' (istilah orang dulu-dulu untuk sebatan dengan rotanlah tu!) Tak pernah kecoh di mana-mana fasal dapat berapa banyak A dalam apa-apa peperiksaan pun!

Tahu-tahu anak itu dah habis sekolah. Jadi orang juga! Ramai yang setelah dewasa dan berkeluarga tahu tanggung jawab menanggung dan membimbing ahli keluarga mereka. Ramai orang besar-besar atau orang kenamaan sekarang adalah merupakan hasil didikan keluarga zaman dahulu.

Memang kita akui pendidikan dan pelajaran asas penting untuk memajukan para anggota sesebuah masyarakat. Tak semua mereka yang berjaya sekarang mendapat semua A dalam setiap peperiksaan yang mereka duduki! Dan, tak semua pula mereka yang mendapat berpuluh-puluh A dalam setiap peperiksaan yang mereka ambil berjaya dalam hidup mereka!

Jadi bersederhanalah hendaknya dalam 'meraikan' kejayaan dalam setiap peperiksaan sebegini pada setiap kali tahun berlakunya. Kadang-kadang terasa macam kita terlalu menghebohkan sesuatu 'pencapaian' awal yang belum pasti menjanjikan 'pencapaian' sebenar pada akhirnya!

1. (b) Sekarang anak sekolah mesti pergi kelas tambahan. Mesti pergi tuisyen. Mesti menghafal dengan tepat apa yang dipelajari. Mesti mengulangkaji setiap pelajaran dengan tidak jemu-jemu. Mesti jadi murid terbaik (walaupun di luar kemampuan mereka!) Mesti skor semua A. Mesti bercita-cita tinggi. Mesti jadi doktor, peguam, jurutera atau akauntan ... dan banyak 'mesti-mesti' lagi. Kalau anak malas belajar, ibu bapa yang menggantikan tempat mereka itu !

Rancangkan segala aktiviti pembelajaran anak supaya mereka tiada alasan untuk menolak 'penyiksaan' atau 'penderaan' mengasah minda hingga tajam. Ibu bapa yang tetapkan sasaran yang anak mesti capai (skor paling hebat atau dahsyat ... itu yang ditetapkan oleh ibu bapa moden sekarang ke atas 'ayam sabung' masing-masing.)

Apa tak 'ayam sabungnya'? Berlawan-lawan nak lebih baik daripada anak-anak sekolah yang lainnya. Kadang-kadang kerja untuk aktiviti ko-kurikulum pun ibu bapa yang buatkan ... kadang-kadang tok nenek pun jadi mangsa untuk buat kerja cucu!

Kalau dapat 10 hingga 20A, maka kembang kempislah hidung ibu bapa menahan bangga! Kalau kurang berjaya cuba lagi bermati-matian lain kali. Jangan terkejut, ada ibu bapa yang sanggup 'bertunggu bertangga' kalau pun tidak 'berumah' di sekolah demi kemajuan anak mereka. Tak buat gitu nanti tak berjaya pula. Pada mereka ini, kalau nak berjaya dalam hidup seseorang murid mesti skor 10 atau 20A atau lebih!

Kesimpulannya murid sekarang mesti berhempas pulas 'skor' untuk ibu bapa. Untuk kepuasan ibu bapa mereka, mestinya. Nanti senanglah si ibu bapa itu nak beri tahu orang ... anak mereka bijak ... bolehlah pula buat perbandingan dengan orang lain yang anaknya tak berapa 'skor'. Nanti bolehlah tanya, "Anak U macam mana ... dapat berapa A?" " Anak I ... ... ... tak sangkalah ... dapat semua A ... I ingat habis kuat, dua tiga A saja".

Atau, nanti boleh keluarkan kata-kata simpati atau beri semangat konon kepada orang yang anaknya kurang mendapat berpuluh A ... "Kesian anak si polan itu ... tak tahu macam mana dia tak dapat A ... Dia taklah tak pandai sangat , tau...". "Tak apalah U, cuba lagi pada masa depan... nasib baik anak U dapat B (atau C ...)" " Anak si polan tu lagi teruk ... entah apalah nak jadi nanti..."

Ironinya, mereka yang heboh hendakkan anak mereka maju dalam pelajaran di sekolah (akademik) tidak pula berusaha memastikan anak-anak mereka itu terdidik dalam hal ehwal kerohanian atau kegamaan ... tidak dilatih anak-anak itu berbudi bahasa atau berhemah tinggi. Tidak dilarang anak-anak itu terpengaruh dengan budaya samseng atau budaya kuning. Tidak dibimbing mereka menolak ajaran songsang. Tidak dielakkan mereka daripada pemahaman mendapatkan sesuatu dengan jalan kekerasan ...

Pendeknya, ada banyak kes dalam mana anak-anak yang mendapat berpuluh-puluh A itu tidak diasuh supaya boleh dan pandai menggunakan kecerdikan atau kebijaksanaan mereka dengan cara yang betul untuk menjadi pemimpin masa depan yang benar-benar boleh dipanggil bakal pewaris negara Malaysia (berprinsipkan 1 Malaysia).

Janganlah semakin bijak semakin tidak menghormati orang lain pula. Janganlah kerana sudah terlalu bijak tidak pula sayang kepada agama, bangsa dan negara sendiri. Belajarlah menjadi tukang skor berpuluh-puluh A juga dalam banyak lagi bidang untuk kesempurnaan hidup di dunia ini ... yang akhirnya ... membawa ke akhirat juga!

Fikiran, pandangan, pertimbangan, sikap dan tindakan mesti bertaraf A juga!

Sekian dahulu. terima kasih.


2 comments:


Plastik Maggi said...
Sekolah zaman sekarang ni tidak lagi pentingkan sukan, tiada identiti dan tiada tradisi. Umpama Jasad yang tiada Roh. Tak ada apa-apa yang boleh dicerita kelak pada anak cucu tentang pengalaman di sekolah. Anak-anak serupa robot yang diprogram dengan pelajaran sahaja. Dulu kita lebih bangga kalau jadi juara bolasepak atau ragbi dari sekolah kita dapat keputusan cemerlang dalam akedemik. Tapi masih banyak jugak jadi orang yang berguna.
Bamuda said...
Plastik Maggi
Tkasih atas komen anda.Menarik. Memang diperhatikan sekarang dah ramai sangat murid sekolah yang jadi macam 'robot'. Tugas mereka menghafal dan terus menghafal bermacam-macam mata pelajaran yang wajib atau yang akan mendatangkan markah untuk skor 'baik punya'. Aktiviti lain termasuk bersukan yang boleh membentuk peribadi yang sihat dan matang dan sahsiah yang mantap demi faedah masa depan tidak begitu diambil peduli.Bila tiba masa perlu membuat keputusan penting dalam hidup maka ramailah pelajar yang tidak tahu apa harus dilakukan.Jika buat keputusan pun secara ikut-ikutan sahaja...semua ini kerana minda mereka telah 'diprogramkan ala robot' (sejak awal lagi).Mereka seperti robot yang mesti menerima arahan daripada 'penciptanya' untuk bertindak! Entahlah!

0 comments:


Post a Comment



Thursday, November 19, 2009

Anjing Dengan Bangau




Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Orang Berbudi Kita Berbahasa




Orang suka bercerita dan mendengar cerita. Ada macam-macam cerita. Suka atau duka, sedih atau gembira, serius atau lawak jenaka ... dan paling penting cerita itu betul atau dusta!

Saya hendak memetik sebuah cerita lama. Orang dulu-dulu suka menyampaikan nasihat atau tunjuk ajar melalui cerita. Ada saja cerita yang mereka karang untuk 'menghalalkan' cara mereka menyampaikan pengajaran kepada seseorang. Mari kita ikuti cerita ini sebelum kita 'bongkar' muslihatnya.



Anjing dan bangau tinggal di sebuah kawasan kejiranan yang aman dan serba mewah. Mereka sudah lama kenal antara satu sama lain. Perkenalan ini nampak semacam mesra dari masa ke masa.


Dalam keadaan yang nampak semacam mesra itu, anjing terfikir," Baik aku ajak bangau datang ke rumahku. Aku katalah tujuan aku nak mengeratkan tali persahabatan. Aku janji beri dia makan-makan." Anjing pun menjemput bangau datang ke rumahnya.

Bangau amat suka hati. Bangau terasa mulia kerana dijemput sedemikian."Wah, baiknya anjing ini! Dapatlah aku mengenali anjing dengan lebih dekat lagi," kata bangau.

Tiba hari yang dijanjikan bangau pun pergi ke rumah anjing. Anjing menjemput bangau masuk ke rumahnya. Mereka bercakap-cakap dan bercerita panjang. Apabila sampai waktu makan anjing pun mempelawa bangau makan bersamanya. Bangau sangat suka hati. Bangau pun pergi ke ruang makan. Bau makanan sungguh menaikkan selera. Meleleh air liur si bangau!

Tetapi, alangkah terkejutnya bangau bila memerhatikan hidangan makanan yang tersedia ... Memang, semuanya kelihatan enak. Bangau pun yakin ia pasti enak!

Malangnya, semua makanan itu terhidang dalam bekas-bekas yang amat leper!


Bangau berkata di dalam hatinya," Macam mana aku nak makan ni. Semua bekas makanan ini amat leper ... paruh aku pula panjang dan tajam. Mana paruh aku nak dapat gigit bahan makanan yang berada dalam bekas semacam ini!"

Anjing pula beria-ia mengajak bangau makan.

"Makanlah, makanlah bangau. Jangan segan-segan".


Untuk menyahut pelawaan itu dan untuk menjaga hati anjing, bangau pun terpatuk-patuk pada bekas yang leper itu. Dapatlah rasa sikit-sikit makanan yang tersedia. Perut bangau tetap lapar.

Anjing terus makan sehingga habis semua makanan itu dijilatnya. Bekas yang leper itu memang sesuai dengan cara anjing makan. Sesudah itu bangau pun meminta diri untuk pulang.

Dalam perjalanan pulang bangau berkata sendirian,"Aku ni dah terkena agaknya. Sampai hati anjing berbuat demikian kepada aku!"

Selang beberapa hari selepas peristiwa itu bangau pula mempelawa anjing ke rumahnya. Bangau terfikir, " Elok rasanya aku balas budi baik anjing yang menjemput aku ke rumahnya tempoh hari."

Anjing amat gembira dengan jemputan bangau itu. "Baik si bangau ini. Tahu membalas budi," fikir anjing.

Sampai hari yang dijanjikan anjing pun pergi ke rumah bangau. Sebaik tiba di rumah bangau, anjing terhidu bau makanan yang amat menyelerakan. Tak sabar rasanya anjing hendak menunggu bangau mempelawanya makan kelak.

Setelah bangau dan anjing bercerita macam-macam cerita, tibalah waktu makan. Maka bangau pun menjemput anjing ke ruang makan di rumahnya itu.

"Marilah kita makan apa yang ada di sini anjing," kata bangau.

"Baiklah," jawab anjing.


Alangkah terperanjatnya anjing melihat makanan yang tersedia. Hebat sungguh. Ada banyak macam jenisnya pula.

"Wah, betul-betul aku ini dihormati oleh bangau," kata anjing di dalam hatinya.

"Anjing, makanlah jangan malu dan segan. Makanan ini memang disediakan untukmu," kata bangau.

"Terima kasih," jawab anjing.

Tetapi, di dalam benaknya anjing merungut, "Macam mana aku nak makan. Semua makanan ini terhidang di dalam balang dan botol yang sempit dan tirus mulutnya. Mulut aku besar ... mana dapat masuk nak gigit makanan ni. Hai, nasib aku!

Bangau makan dengan selesa. Bangau memasukkan paruhnya yang tajam dan panjang ke dalam botol yang tirus dan panjang itu.Bangau terus memakan makanan yang terhidang itu hingga habis.

Anjing pula cuma dapat menjilat sisa makanan yang terkeluar sedikit di sekeliling mulut botol yang mengandungi makanan itu.


Dalam perjalanan pulang ke rumahnya anjing terfikir, "Hai tak kan bangau nak kenakan aku. Katanya ingin bersahabat ... Entahlah".

Begitulah ceritanya. Ringkas dan mudah sahaja. Namun kalau dilihat daripada pengajaran atau mesej yang hendak disampaikan kita dapat membuat berbagai-bagai andaian dan kesimpulan daripada isi cerita ini.

Kepada saya di antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada cerita ini ialah kita harus benar-benar memahami budaya hidup atau resmi serta adat resam seseorang sebelum kita cuba merapatinya.

Jika kita terus sahaja mahu memenangi hatinya atau tergesa-gesa hendak menjadikan dia baik dengan kita ... besar kemungkinan tujuan baik kita itu boleh disalahertikan.

Niat kita yang baik mungkin boleh diterjemahkan menjadi sesuatu yang negatif dan merugikan!


Apapun, terpulanglah kepada pemahaman dan pandangan para pembaca yang budiman untuk memberikan tafsiran masing-masing!


 

Friday, November 13, 2009

Sengketa






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Sengketa




banyak punca mula sengketa …
dengki khianat, dendam kesumat
iri hati, rasa benci
tiba-tiba hilang minat, naik meluat!
semua dah tak cantik, tak menarik
tak ada hal cari fasal
kata kawan-kawan kata bersaudara …
kalau sekadar merajuk tu
mengada-ngada lah namanya!
tapi kalau sungguh-sungguh nak bergaduh
hingga bersikap berani mati
maknanya:
kepada Allah dah tak takut lagi!
hakikatnya:
memang mudah nak bersengketa
amat payah nak berdamai mesra …
Lantaklah kalau dah asyik nak bertelagah
dah tak boleh ditegah
suka hatilah kalau dah tak malu lagi
itu hak kalian, kalian fikirlah sendiri!


Bamuda
dsuarang.blogspot.com
[Tertulis di Prince Court KL pada jam 8.00 mlm 6 Julai 2009]

Thursday, November 12, 2009

Play with Words




Assalamualaikum and salam 1 Malaysia



'Rojak' or No


Permit me to use both English and Bahasa Malaysia (mix a bit & campur sana sini or now they term it 'bahasa rojak'--> Mohon maaf kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada ramai kawan-kawan saya di sana sejak dulu hingga sekarang ...) for this particular piece of blog. I hope readers proficient in any one of or both the languages will be comfortable with this kind of "not so academic" writing.

Sebenarnya saya ingin menyentuh sedikit tentang segmen permainan bahasa yang diselitkan oleh Abby Fana DJ Radio Sinar FM dalam acaranya pada pagi Rabu 11 November 2009. Ketika itu saya sedang berada (dalam kereta saya) di tempat letak kereta sambil menunggu anak saya menyelesaikan urusannya di sebuah kompleks kerajaan.

Saya mendengar Abby meminta para pendengar memberi seberapa banyak perkataan (Bahasa Malaysia) yang jika dieja terbalik akan mendatangkan makna yang lain. Perkataan itu mestilah terdiri daripada lima huruf. Maka para pendengar pun memberi respons mereka melalui sms. Apa yang menarik ialah mereka secara spontan dapat memberikan jawapan yang baik (walaupun kadangkala ada yang tidak mengikut arahan penggunaan huruf,nama tempat, nama orang dsb.)

Namun apa yang terserlah ialah rakyat 1 Malaysia tetap prihatin dalam soal bahasa kebangsaan kita dan tetap tidak lupa dengan keindahan Bahasa Malaysia walaupun mereka rata-rata dikatakan banyak menggunakan "bahasa rojak" oleh pihak-pihak tertentu. Apa yang menjadikan perkara sebegini amat menarik ialah cara bersahaja pengajaran sesuatu bahasa dapat disampaikan kepada khalayak ramai walaupun permainannya mudah dan mungkin dikatakan tidak akademik oleh golongan-golongan tertentu.

Syabas Abby dan syabas Sinar FM. Pihak lain juga harus memikirkan cara-cara mudah mempelajari dan memberi perhatian kepada sesuatu bahasa yang hendak diketengahkan. 'Alah bisa tegal biasa' dan memang 'Tak kenal maka tak cinta'!

Contoh permainan perkataan yang dapat saya ikuti hari itu:

'marah' diterbalik jadi 'haram'
'harus' diterbalik jadi 'surah'
'tikar' diterbalik jadi 'rakit'
'salam' diterbalik jadi 'malas'
'karam' diterbalik jadi 'marak'
'parah' diterbalik jadi 'harap' dsb

ada juga pendengar yang memberi nama orang
yang diterbalikkan menjadi seperti contoh berikut:

'limah' menjadi 'hamil'
'halim' menjadi 'milah'

'minah' menjadi 'hanim'
'munah' menjadi 'hanum' dsb

ada pula para pendengar yang tetap memberi lima huruf untuk diterbalikkan tetapi tidak mengikut syarat yang Abby tetapkan. Contohnya:

'malam' tetap jadi 'malam'
'tamat' tetap jadi 'tamat'
'makam' tetap jadi 'makam' dsb

dan ada juga para pendengar yang memberikan perkataan tiga huruf seperti contoh berikut:

'ini' 'isi' 'ada'

tapi paling hebat ada pendengar yang memberikan perkataan lima huruf dalam bahasa Melayu yang bila diterbalikkan menjadi perkataan Inggeris. Contohnya:

'niaga' (bahasa Melayu) diterbalik menjadi 'again' (bahasa Inggeris)

Tahniah kepada Abby kerana telah berjaya mencungkil bermacam gelagat dan ragam manusia melalui permainan bahasa yang mudah seperti itu. Learning without pain... but then they say ... No pain no gain. Apa-apa sajalah!

Tentu ada banyak lagi perkataan sedemikian yang boleh para pembaca fikirkan dan berkongsi pula dengan saya pada masa-masa yang akan datang.

Apa pun saya ingin mengutarakan pertanyaan-pertanyaan berikut kepada para pembaca (termasuk Abby)jika sudi memasuki blog ini dan melayan permainan perkataan yang saya turunkan sedikit di bawah ini:

1. Tentang perkataan yang diterbalikkan:

'ulat' kalau diterbalikkan jadi apa?
'nanak' kalau diterbalikkan jadi apa?
'igig' kalau diterbalikkan jadi apa?
'susu' kalau diterbalikkan jadi apa?

senang saja jawapannya ya tak!

2. Tentang panggilan bagi pelaku-pelaku berikut:

(a) orang yang menyanyi kita panggil ...?
(b) orang yang mengail kita panggil ...?
(c) orang yang menari kita panggil ...?
(d) orang yang menyapu kita panggil ...? (jawapan ini mungkin salah)
(e) orang yang mencuci kita panggil ...? (jawapan ini pun boleh mengelirukan)
(f)(orang yang mencuri pula kita panggil ...? (mudah saja jawapannya ... cubalah)

Blog ini mengalu-alukan idea permainan bahasa yang bernas sambil menghiburkan.

Bersantailah sambil berfikir... Cheerio till we meet again.



comment:


rb said...
Assalamualaikum abah, Tahniah sebab abah dah buat satu blog yang pada dasarnya simple tetapi kandungan yang menarik. Secara peribadi saya berpendapat penggunaan'bahasa rojak' oleh orang ramai dalam kehidupan harian bukanlah satu 'kesalahan yang tidak boleh dikecualikan' tetapi lebih bersifat keperluan. Tetapi bukanlah bermakna bahasa 'boleh dijadikan rojak (kenapa bukan bubur)' setiap masa tetapi bergantung pada keadaan, masa dan majlis.
Sebagai conthoh, cuba bayangkan sekiranya kita menggunakan bahasa 'formal' dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan, apakah reaksi dan komen yang akan diberikan? Memang diakui adakalanya penggunaan 'bahasa rojak' pun juga mengelirukan dan 'menyakitkan'hati.
Saya masih teringat kisah Along tentang Mr Po dan Abg Hairi. Mr Po :Ini Olang hati busuk! penggunaan ayat sebegini silap gaya boleh membawa 'maut' pada si penutur.
Kesimpulanya, bahasa bagi saya adalah 'universal' dan sentiasa berkembang..Selalunya untuk keperluan...kadang-kadang untuk 'show off' dan jarang-jarang dieksploitasikan demi kebaikan... p/s Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengulang dan atau menyiarkan di mana-mana tanpa membincangkan isu royalti terlebih dahulu...hahaha Sekian...rb 13/11/2009 4.39 pm

0 comments:


Post a Comment






Wednesday, November 11, 2009

Nostalgia Bola

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Bola Oh Bola








I

Malam 20 Julai 2009
Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan
pasukan bola sepak kebangsaan
ketewasan!
kali ini kepada kelab gergasi,
MANCHESTER UNITED,
walaupun sebelumnya pasukan kita
nampak begitu komited!


AMB turut menjadi saksi
peristiwa kelesuan buat kesekian kali!
sesungguhnya AMB amat terkilan
kekalahan 0-2 di tangan lawan
sepatutnya tidak terjadi
kalaulah ada nama-nama sebegini mewakili …





II

nama-nama seperti penyerang hebat
Raja Bola Ghani Minhat,
Dutton, Wai Hong, Chin Aun, Namat, Chandran
yang pernah tersohor sebagai kapten;
Govindarajoo, Gunasegaran, Gabrielle, Syed Ahmad,
Hassan Sani, James Wong, Dali Omar, Bakri Ibni,
Kuppan, Siang Hock, Abdullah Ali dan ramai lagi
yang kencang berlari di sayap kanan mahupun kiri;
Tak kurang handalnya Rahim Omar, Kim Leng, Robert Choe,
Choon Wah, Arthur Koh yang sentiasa bersungguh-sungguh
menyerang dan merempuh gawang lawan sampai rapuh;

apatah lagi dengan larian dan rembatan kudrat Super Mokh
striker berkaliber tinggi alias Mokhtar Dahari;
juga Syed Ahmad, Isa Bakar, Thanabalan, Ibrahim Mydin,
Karathu, Zulkifli Norbit, Shaharuddin Abdullah
yang sentiasa menyerlah di posisi depan atau tengah;
tonggak pertahanan Ahmad Nazri, Tuck Choy, Jalil Che Din,
Seng Choy, Siang Teik, Abdullah Nordin dan lain-lain
tak mudah goyah tak kenal lelah;

belum cukup kalau tak disebut kekebalan
Inder, Soosay, Chin Aun The Towkay, Santokh,
Serbegeth, Roslan Buang di barisan belakang;
Lourdes, Yusof Bakar, Chee Keong, Cheng Lee, Arumugam
Ong Yew Tiang semua cemerlang mengawal gawang;




III

kenangan ku lantas kembali
kepada zaman gemilang yang pernah dilalui
ketika pasukan bola sepak kebangsaan sahih hebat
dan para pemain disanjung tinggi!
AMB masih ingat
bermula sekitar lewat tahun-tahun 50an
Malaya amat disegani sebagai sebuah pasukan
dan kemudian bertukar nama kepada Malaysia
masih tetap digeruni oleh banyak pasukan lawan
khasnya China, Jepun dan Korea Selatan
manakala pasukan jiran Asean
sering jadi bahan belasahan!


Malaysia dihormati di rantau Asia
kerana pasukan kita berwibawa;
Sekarang ketiga-tiga negara pesaing utama itu
dan negara-negara Asean tertentu
semuanya sudah meningkat jauh lebih maju
di kancah bola sepak antara bangsa
mereka terbilang di persada dunia!
























IV

Kita bagaimana dan di mana?
Semua nampaknya serba tak kena …
kini semua dah macam letih
macam dah laih,
tidak cergas dan tangkas seperti zaman itu
banyak yang longlai banyak yang layu,
siapa yang lalai siapa yang keliru …


sudah tiadakah Raja Bola seperti dulu
tak mampukah dilahirkan lagi Super Mokh
sudah hapuskah pemain setangkas Spiderman
sudah pupuskah pelapis sekebal Towkay yang diidamkan;





Entahlah, mari kita sama-sama cari
kita nanti …
Kalau gagal, kita lipatgandakan usaha
agar harapan menjadi kenyataan

tidak asyik
berkhayal dengan
nostalgia bola
sampai bila-bila!





*Amb
Selasa Julai 22 2009

(*Teruja menulis seperti di atas setelah melihat pasukan kebangsaan tewas kedua-dua permainan menentang Man U. Kali pertama kalah 2-3 pada Sabtu 18 Julai 2009. Meminati pasukan bola sepak kebangsaan Malaya/Malaysia dan Selangor sejak tahun-tahun 50an hingga 80an. Selepas itu ‘gitu-gitu aje’. Ingin menjadi peminat semula kalau kena gayanya.)




Blog @: Bamuda d'SUARANG