Tuesday, December 8, 2009

Berhemah Memandu Kenderaan!


Tuesday, December 8, 2009



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Jalan Jangan Silap Sakan


Kita sembang lagi tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang.

Dulu orang kita betul-betul belajar memandu kereta, van, lori, atau treler dsb. Pengajar dari sekolah memandu tegas mengajar cara memandu yang betul dan selamat. Undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalulintas mesti dipatuhi. Pemandu-pemandu lain perlu dihormati apabila sama-sama menggunakan jalan raya.

Pendeknya banyak perkara diajar walaupun nampak remeh supaya pemandu kenderaan nanti tahu apa yang diperlukan daripada mereka. Bukan setakat ambil kunci kereta dan terus memecut secara tergesa-gesa atau terburu-buru.

Bayangkan pada waktu dulu cara memberi signal atau isyarat ketika memandu pun ditunjuk ajar oleh pengajar dengan terperinci.

Contohnya dulu tiada signal automatik . Kena pakai signal tangan. Kena buka tingkap. Kena hulurkan tangan keluar dan tunjukkan isyarat hendak membelok ke kanan atau ke kiri atau isyarat untuk memperlahankan kelajuan kenderaan atau isyarat untu berhenti,dll.

Orang dulu-dulu tetap menuruti nasihat pengajar dari sekolah memandu itu …
dan yang paling penting mengamalkan apa yang telah diajarkan. Sekarang orang kita dah tak ambil berat tentang pentingnya beretika apabila memandu di jalan raya.

Contoh 1: Memandu di bulatan (round about). Ramai pemandu tidak tahu atau tidak mahu tahu (atau tidak diajar?) siapa harus lalu dahulu dan siapa pula kemudian. Mungkin kerana itu mereka tak peduli bahawa sepatutnya pemandu kenderaan yang berada di sebelah kanan mereka yang harus diberikan laluan dahulu.


Contoh 2 : Memandu keluar dari jalan kecil ke jalan utama. Ramai pemandu yang terus sahaja keluar dari jalan kecil ke jalan utama tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah jalan utama itu. Maka selalu berlaku perlanggaran. Tercetus pertengkaran atau pergaduhan. Sepatutnya pemandu dari jalan kecil itu tahu memberi jalan kepada pemandu kenderaan yang bergerak di sebelah kanannya di atas jalan utama itu.

Contoh 3: Memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Ramai yang melakukannya sekarang. Khayal bercakap ( bercinta?) melalui telefon bimbit ketika memandu. Ada yang baca dan hantar atau balas SMS sekali! Mereka seolah-olah berfikir, "Fon aku yang punya ... kereta pun aku punya. Orang lain peduli apa!" Bila kena hon .. ada yang buat selamba, macam yang bersalah bukan mereka. Ada pula yang naik marah, macam orang lain yang bersalah! Macam-macam dunia punya dalam. 'Accident' kalu baru pucat ... terdiam!

Contoh 4: Tukar lorong tanpa beri isyarat (signal). Memang ramai pemandu yang berperangai begitu. Entah kenapa teman tak tahu. Berat atau penat sangat nak beri 'signal'? Puas si pereka atau pencipta kereta menyediakan kemudahan alat memberi 'signal' supaya perjalanan selesa dan pemandu semua selamat. Apo nak dikato ...degil ya amat!

Contoh 5: Membuang sampah sarap di jalanan ketika memandu. Tak faham-faham agaknya orang kita ni. Pemandu (dan penumpang sekali ) gemar betul membuang puntung rokok, sisa makanan, beg plastik, kertas tisu, botol air atau tin minuman dsb. di atas jalan raya ketika memandu. Macam bila berada dalam kereta, van, bas, lori , treler dsb. mereka sudah mendapat lesen untuk bebas membuang sampah merata-rata. Agaknya mereka lakukan sedemikian juga di rumah mereka? Kata orang, "Alah bisa tegal biasa."
Contoh 6: Ada pula pemandu yang gemar memotong Q (queue). Tiba-tiba terus nak ke depan. Bila pemandu lain dah beri jalan, isyarat terima kasih pun tidak ditunjukkan. Kasihan … mana insan yang tadinya (sebelum memandu) bersifat sopan?
Contoh 7: Ramai pemandu semakin memecut bila lampu hijau trafik (lalulintas) bertukar ke warna kuning sebelum memaparkan warna merah. Mereka sepatutnya bersedia untuk berhenti bila lampu berwarna kuning menyala. Bukan tambah daya pecutan untuk ‘merembat’ lampu trafik itu. Hairan! Namun ada yang lebih menghairankan. Ramai penunggang motosikal yang setelah sanggup berhenti dan menanti begitu lama ketika lampu trafik memaparkan warna merah, tiba-tiba memecut awal 3 - 4 saat sebelum lampu warna hijau menyala! Macam dah tak boleh tunggu sekejap saja lagi hingga lampu trafik bertukar warna hijau. Macam nak tayang ‘pickup’ motor ‘power’ gila! Teman tak kisah … cuma resah … takut mika ‘berdentum’ dengan lori sampah!
Maka tentang perbuatan memberi ‘signal’ itu … kalau dulu orang malas berbuat demikian patut jugalah. Nak kena keluar tangan, nak putar tangan ikut arah jam atau lawan jam atau ke atas dan ke bawah dan berbagai macam lagi. Mungkin meyusahkan sedikit.

Sekarang semua dah automatik … pun susah juga nak beri signalkah? Petik sahaja suis yang berkenaan … biarlah lampu ‘signal’ itu ‘berluplapluplip’ (maaf DBP ini istilah buatan sendiri). Apa takut habis bateri atau takut mentol ‘signal’ itu terbakar kalau berbuat demikian?

Berilah ‘signal’ menunjukkan arah yang hendak dituju. Kasihanilah pemandu lain yang datang dari hadapan atau yang mengikuti di belakang … takut-takut tak tercium mulut nanti tercium punggung !


Anehnya orang kita... Mereka amat berbudi bahasa. Mereka berhemah tinggi. Mereka bersopan santun. Memang benar mereka sedemikian … malangnya hanya ketika tidak memandu!

Dapat saja pegang stering (atau dulu-dulu dipanggil ‘kayu mati’) mereka yang sama tadi terus bertukar sikap dan watak. Mereka terus besit … macam pelesit. Konon nak sampai cepat takut tak sempat.

Kadangkala pemandu jenis ini macam tak ketahuan hala ... seperti orang memulas perut yang mesti ‘melepas’ dengan segera! Pi mai pi mai pemandu yang berkejar-kejar . . . tak jauh pun meninggalkan pemandu yang bersabar. Beza masa pun tak jauh mana.

Agak-agaklah kawan … kita sama-sama bayar cukai jalan! Kalau pun tak sayang nyawa sendiri, fikirkanlah tentang nyawa orang yang disayangi.


Renung-renungkan …

0 comments:

Post a Comment


Monday, December 7, 2009

Tidur Siang Jaga Malam Tu Musang!


Monday, December 7, 2009


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Futsal Punya Pasal


Kita sambung sembang tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang . . .

Dulu orang kita mengamalkan cara hidup biasa dan mudah sahaja. Orang kita bersekolah, belajar atau bekerja pada siang hari. Orang kita beriadah atau bersukan pada sebelah petang. Jarang-jarang sangat mencecah waktu malam.

Mereka patuh kepada kehendak lumrah hidup di alam ini. Kalau lain cara hidup yang diamalkan daripada yang begitu, orang kita dulu-dulu akan dicapkan ‘songsang’. Bukan 'songsang' dalam erti kata mempelajari sesuatu ilmu atau menganuti sesuatu kepercayaan. 'Songsang' dalam asas kehidupan sehari-hari.
Sekarang orang kita dah tak peduli masa atau waktu. Siang asyik buat macam-macam sampai dah tak ada masa. Waktu yang tinggal hanya pada sebelah malam … atau biasanya melewati dinihari. Kadang-kadang menjelang subuh atau selepasnya. Jadi aktiviti bersukan kenalah dilakukan pada waktu yang dulunya orang di muka dunia ini sedang nyenyak tidur.

Tetapi tidak pula timbul sebutan atau teguran terhadap gaya hidup yang dulunya dikatakan ‘songsang’. Malah bermain futsal kini sudah merupakan suatu trend bagi orang sekarang.

Tak apalah asal jangan ‘songsang’ lain. Asalkan jangan tidak mampu bangun untuk bersolat subuh selepas berfutsal! Atau, siangnya nanti asyik berterusan tidur hingga susah nak bangun untuk lain-lain ibadat dan amalan.

Bangun-bangunlah sementara boleh!

Renung-renungkan.
Nuffnang Ads

0 comments:

Post a Comment


Sunday, December 6, 2009

Lagi Bodoh Sensasi






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Lagi Bodoh Sensasi



Alkisah ceritera bodoh 
rupanya tak habis lagi, 
wah bodoh jenis ini 
lebih sensasi! 

Bodoh sepat … … … 
bodoh buat-buat 
dalam rencong luar pepat, 
mengecewakan 
luar dugaan … 
memperbodohkan kaum kerabat 
namanya bodoh tak kena tempat 
memang tidak sihat! 
Apa tidaknya 
kata lain kota lain 
kalau kita tak berapa pandai 
jangan fikir orang lain pun keldai 
andai diri kurang cerdik 
jangan tunjukkan berakal cetek … 
berkata benar, berterus terang 
itu kan lebih molek! 
Mana tak bodoh 
nak kaya senang-senang 
paparan aktiviti sehari-hari 
memerangkap diri; 
konon pandai selindung 
perkara serong perkara bohong 
tapi muslihat dah ketara 
dah tersebar ke seluruh kampung! 
tak dapek den nak nolong! 

Cukuplah bodoh setakat ini 
semoga kebebalan tak berulang 
fikir dahulu jangan sembarang; 

INGAT!* 

ambil iktibar dengar nasihat, 
jangan berperangai bodoh sepat 
mudah dipermain 
mudah diperalat 

GOLONGAN KEPARAT! 





amb
Disember 3 2009








Bamuda
dsuarang.blogspot.com







*Ingatan untuk semua anggota kerabat. Semarakkan semangat hormat menghormati dan bantu membantu di kalangan keluarga kita.

Saturday, December 5, 2009

Kepala Keras atau Keras Kepala?


Saturday, December 5, 2009



Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia



Sikal dan Moto


Kita sembang lagi tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang. Dulu orang kita tidak boleh menumpang naik basikal (di palang hadapan atau di 'carrier' belakang). Ringkasnya dua orang tidak boleh naik sebuah basikal.

Polis akan menahan atau mengejar mereka yang berbuat demikian. Nasib tidak baik orang dulu-dulu yang melakukan begitu boleh dibawa ke balai polis dan dikenakan denda.

Sekarang polis nampaknya memang tidak berapa kisah akan perkara ini. Jika ada orang kita sekarang yang naik basikal dua orang, tak jadi hal dengan polis. Mentelah pula, sekarang sudah amat kurang basikal digunakan di negara ini. Kalau ada pun kebanyakannya digunakan oleh pendatang.

Apapun, orang kita kini beralih pula kepada perbuatan bebas menaiki motosikal dengan melanggar segala undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalulintas. Ada yang menunggang motosikal dengan membawa muatan berlebihan. Bakul di hadapan motosikal sudah tidak sanggup menampung barang-barang lagi. Ada yang menaiki motosikal lebih daripada dua orang (tiga atau empat orang pun ada!)

Selalu juga dapat dilihat kanak-kanak (bawah umur dah 'layak' memiliki lesen memandu?) membawa motor ke sana sini! Mereka memang tidak memakai topi keledar pun! Mereka tidak pula dikejar atau ditahan oleh polis seperti yang dilakukan kepada orang berbasikal dulu-dulu!

Mengapa ya? Mungkin motosikal sekarang dah terlalu banyak macam basikal pada masa dulu. Siapa pun boleh tunggang tanpa menghiraukan soal had umur 'layak' atau pemahaman undang-undang atau peraturan jalan raya dan lalulintas.

Mungkin polis pun dah banyak kerja lain yang hendak diuruskan. Atau, mungkinkah kerana motosikal jauh lebih 'licik' dan laju daripada basikal!

Orang kita pun agak-agaklah sedikit … janganlah menunggang motosikal nak disamakan pula dengan menaiki basikal … termasuklah tak payah pakai topi keledar … Kepala dah keras? atau . . . dah keras kepala?

Renung-renungkan.


0 comments:


Post a Comment