Assalamualaikum dan Salam SejahteraSehari di Dusun Pak Ngah UjangTiba-tiba sahaja aku terkenangkan Pak Ngah Ujang yang tinggal di Serting Ulu, Negeri 9. Pak Ngah atau Hj Ujang bin Ahmad adalah adik kepada bapa mertuaku Hj Yasin bin Ahmad. Ertinya, Pak Ngah Ujang itu bapa saudara isteriku Alimah Yasin. Pak Ngah Ujang kini tinggal bersama isterinya Mak Ngah Hjh Siti Fatimah (Ambam) di Batu 42, Kg Serting Ulu, Negeri Sembilan. Anak-anak Pak Ngah Ujang seramai empat orang (dua lelaki dua perempuan) semuanya sudah dewasa dan berumah tangga. Zaharah, Abdullah, Mohd Azzali dan Norazila masing-masingnya tinggal di KL, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Alimah(kanan) bersama Mak Ngah Ambam
Foto 2002
Aku mula mengenali Pak Ngah Ujang setelah berkahwin dengan Alimah pada tahun 1974. Aku mendapat tahu bahawa keluarga isteriku pun baru sangat bertemu semula dengan Pak Ngah Ujang dan keluarganya. Pertemuan itu berlaku sekitar awal tahun-tahun 1970-an. Ini bermakna betul-betul sebelum aku masuk ke dalam lingkungan keluarga isteriku ini. Mesti ada hikmahnya. Bapa mertuaku Yasin bin Ahmad bertemu semula dengan adiknya Ujang bin Ahmad setelah kira-kira 40 tahun terpisah. Maka berjejak kasihlah mereka ala sebuah rancangan TV tempatan!
Tahun 1980 - Hitam Putih? ... Acah je ...
Kunjungan Hari Raya Aidilfitri,
Hari Raya kedua, Khamis 14 Ogos 1980
ke rumah Pak Ngah Ujang, Kg Serting Ulu, N9
(Pengenalan mengikut pertalian dengan penulis)
Belakang dari kiri: Rajemah Ahmad (biras - isteri Sulaiman Yasin),Yasin Ahmad (bapa mertua), Mak Ngah Ambam , Maimunah Mahat (ibu mertua - dukung Halim), Pak Ngah Ujang, Alimah Yasin (isteri), Zolkeplay Madiasin (adik ipar), Aziz Yassin (adik ipar)
Depan dari kiri: Sulaiman Yasin ({Johari} - abang ipar), Foziah Yasin (adik ipar), Norazila Ujang (adik saudara), Kamariah Yasin ({Ani} - adik ipar - pangku Mazlyn), Fadelah Yasin (adik ipar), Sapiah Yassin (adik ipar), Penulis, Halmy
Pada mulanya aku amat berhati-hati apabila hendak berinteraksi dengan Pak Ngah Ujang.Ini kerana aku perhatikan Pak Ngah Ujang seorang yang agak "keras" dalam percakapan dan pendiriannya. Beliau berbahasa "lantang" tanpa diselindungi sebarang bentuk diplomasi ("Aku tak sekolah tinggi! Tak pandai bercakap halus," . . . dia sering berkata) apabila bertutur kata dengan orang sekelilingnya. Kadang-kadang ucapan daripada mulutnya seperti bernada "marah" saja. Ada masanya suara Pak Ngah kedengaran agak "meninggi" apabila dia memberi sesuatu arahan kepada sesiapa saja!
Namun, setelah lama mengenalinya . . . (dan mengenalinya dengan benar-benar dekat ). . . aku sedari segala ukuran awal (negatif sesaja le!) yang aku "letakkan" terhadap diri Pak Ngah Ujang amat meleset dari segi kebenarannya. Pak Ngah Ujang bukan seorang yang "keras" seperti yang kelihatan daripada tindak tanduknya setiap hari. Pak Ngah Ujang tidak begitu! Dia sebenarnya seorang yang pemurah, berhati mulia dan jujur. Aku terfikir 'orang tua' ni ada cara dan hala tuju tersendiri. Sekurang-kurangnya beliau bukan seorang "hipokrit" yang mengamalkan "hipokrasi".(Kesemua foto dalam siri kunjungan ke dusun diambil pada tahun 2001)


Kiri: Penulis bersama Pak Ngah Ujang melihat sekitar tanah dusun milik Peladang Jaya ini. Kanan: Pak Ngah Ujang berbual dengan anak saudaranya Alimah.


Kiri: Lyana, Hazry, Halim & Anum menikmati kesejukan air anak sungai yang mengalir di tanah dusun Pak Ngah Ujang. Kanan: Anum berdiri dekat salah satu pohon rambutan yang sedang banyak berbuah.
Pak Ngah Ujang cekal dalam segala usaha yang dilakukannya untuk hidup. Aku perhatikan Pak Ngah Ujang amat rajin bercucuk tanam. Beliau rajin menanam berbagai jenis pokok buah-buahan di dusun mahupun di sekeliling rumahnya. Sebut saja tanaman apa . . . kelapa, durian, rambutan, langsat, manggis, pulasan, limau abung, limau nipis, jagung, sayur-sayuran dll. Semua ada! Beliau juga memelihara banyak haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, ayam dan itik. Beliau sanggup berusaha bermati-matian untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarganya.

Sekeluarga di Rumah Pak Ngah Ujang
Berdiri dari kiri: Halmy, Hazry, Penulis, Mazlyn, Anum & Halim
Duduk dari kiri: Alimah, Mak Ngah Ambam & Pak Ngah Ujang
Foto 2002
Tiga Generasi
Depan dari kiri: Halmy & Halim
Tengah: Penulis, Mak Ngah Ambam, Pak Ngah Ujang
Belakang: Lyana, Mazlyn, Alimah, Anum
Pak Ngah Ujang memang mempunyai berekar-ekar tanah hasil usahanya sejak dari awal dulu. Aku difahamkan Pak Ngah Ujang membeli dan memajukan sendiri tanah yang didudukinya sekarang. Ketika itu masih hutan belantara . . .
GELAP & TERANG
Lain dulu, lain sekarang,Dulu gelap, sekarang dah terang;
Basikal tua, seronok ditunggangKeliling dusun Pak Ngah Ujang!
Berbasikal mengelilingi dusun bersama Fadelah Yasin (adik ipar)
Khamis 14 Ogos 1980
"Ada gajah dan harimau di kawasan ini pada waktu itu," cerita Pak Ngah Ujang.