Saturday, June 4, 2011

Cerita Pencen




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Alhamdulillah . . . Syukur Nikmat


Teman bersara wajib pada bulan September, 2001. Dah puas rasanya bekerja . . . mencari nafkah hidup untuk diri sendiri dan keluarga.

Maka apabila tiba ketikanya untuk bersara . . . teman rela dan amat bersukacita . . . dan paling utama teman bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan teman berpencen dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Paling tidak selepas berpencen . . . teman tiada lagi 'tertekan' oleh bebanan kerja atau tekanan rasmi-rasmian.  Dan, kerana itu . . . insya-Allah dapatlah teman 'menampal' atau 'menokok tambah' apa sahaja amalan untuk kemudian hari yang telah lama 'rongak' atau 'terabai dan terkurang'!

Tanpa berselindung atau memberi seribu macam alasan . . . teman akui . . . ketika bekerja dahulu . . . ada waktu-waktunya amal ibadat untuk akhirat yang patut diutamakan daripada perkara keduniaan tidak selalu mendapat tempatnya yang wajar!

Pendekkan cerita . . . ramai orang takut atau ragu-ragu juga apabila hendak pencen atau bersara daripada pekerjaan masing-masing. Bimbang kalau-kalau tidak berkemampuan menyara hidup di hari tua. Khususnya, bagi mereka yang tidak berpencen!

Teman termasuklah dalam golongan mereka yang telah bersara daripada jawatan tetapi tidak menikmati kemudahan berpencen bulanan. Alahai, dalam istilah orang sekarang . . . 'Tak ada masyuk-uk-uk . . . Kesannya kurang fulus le beb!'

Namun, teman tetap bersyukur. Selagi ada hayat . . . tentu ada pula rezeki diperuntukkan Allah kepada sekalian hambanya . . . Itu kepercayaan teman!

Berikut ringkasan cerita pencen teman. Tak le sehebat mana . . . sekadar untuk 'baca-baca' . . . bak kata dema!



Mantera Seorang Pesara


I


Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas.

Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.

II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 

Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.



AMB


dsuarang.blogspot.com

Friday, June 3, 2011

Cerita Syukur




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


1 Rejab 1432H


Relevan sangat rasanya teman hadirkan sedikit catatan dalam bentuk apa sekalipun . . . untuk merakamkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi kepada teman sekeluarga selama ini. 
 .
Ya Allah . . . berkatilah keluarga kami terus menerus. Sesungguhnya tanpa pertolongan-MU Ya Allah . . . entah di manalah tempat kami.

Sebenarnya teman bersyukur masih diizinkan-NYA menulis dan berfikir seperti dahulu ketika teman berkhidmat sebagai seorang Editor. Sudah hampir 10 tahun teman bersara wajib sekarang . . . dan selama itu juga Allah SWT telah memberikan kepada kami sekeluarga segala kenikmatan yang diidamkan oleh hambanya.

Namun . . . kadangkala adalah juga ujian dan dugaan terhadap kesabaran dan ketabahan hati ini dalam menjalani hidup sehari-hari. Teman bersyukur juga dapat menjalani atau mengalami keadaan yang sedemikian kerana teman percaya setiap ujian Allah itu membawa bersamanya sesuatu kebaikan yang tidak terduga oleh akal manusia. Ada hikmahnya.

Maka sebagai hamba yang kerdil . . . teman bersyukur, bersyukur dan bersyukur. Dan, sempena tibanya awal bulan Rejab (bulan mulia di sisi Allah) sebentar saja lagi untuk tahun ini . . . teman perturunkan suara hati teman . . . dengan penuh keinsafan. Ampunilah hamba-MU ini Ya Allah.





Fikir fikirkan


jika matahari cukup sasa
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pencetus segala kuasa
jauh lebih perkasa!
 jika bulan cukup indah
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pemberi segala anugerah
jauh lebih menyerlah!

Maha Suci Allah!

bagaimana langit tiada bertiang
mengapa wujud malam dan siang
apakah tidak berasa hairan
angin bertiup berarak awan
ada ribut ada hujan
ada laut ada daratan!
planet bergantungan di angkasa lepas
terapung bebas
semuanya menawan
betapa pula penciptanya
fikir fikirkan . . .

Maha Suci Tuhan!

guruh dan kilat
siapa yang empunya kudrat
lembah bukit gunung dan tasik
gerun dan cantik
tumbuh-tumbuhan
haiwan nan pelik
fikir fikirkan . . . 
siapa yang mentakhlik
ada ringan ada berat
mentari mesti terbenam di barat
fikir fikirkan . . .
mengapa jadi lumrah sejagat
ada mula ada akhir
sungai mesti mengalir ke hilir
fikir fikirkan . . .
siapa yang empunya takdir!


AMB

dsuarang.blogspot.com

Wednesday, June 1, 2011

Cerita Bangga


 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Aku Harapkan Begitu


Aku bangga mempunyai kalian sebagai ahli keluargaku. Aku tak tahulah kalau kalian pun bangga mempunyai aku sebagai ahli keluarga kalian. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian berusaha mendaki tangga kejayaan. Aku tak kisah sekalipun langkah kalian perlahan. Aku rasa kalian tak keberatan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Aku tak tahulah kalau kalian ada berbuat demikian. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian sejahtera sebagai suatu entiti keluarga. Aku tentulah suka menjadi ketuanya. Aku tak tahulah kalau kalian boleh menerima. Aku harapkan begitu! Aku berdoa agar kalian mampu bertoleransi tinggi. Aku tak mahu ahli keluargaku menyimpan dendam dan iri. Aku tak mahu sesiapa pun berhasad dengki sesama sendiri. Aku malu jika ini berlaku. Aku tak rasakan budi pekerti kalian serendah itu. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian bermuafakat membina hidup berkat lagi menyerlah. Aku tak tahulah apa cara yang nak kalian gunakan, semuanya terserah. Aku cuma nak sarankan sesuatu yang mudah. Aku harap kalian banyak beramal ibadat dan sentiasa ingat akan Allah. Aku tahu, baik anak baik menantu, cukup dewasa sudah. Aku harap kalian  dapat memahami apa yang tersirat di dalam kalbu. Aku yakin sekarang ini kalian dah tahu. Aku mengharapkan begitu!


moga minda sanggup mencerna






dsuarang.blogspot.com 


Sunday, May 29, 2011

Cerita Bodoh




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Bodoh


Kita selalu mendengar perkataan 'bodoh' disebut orang. Perkataan yang secara amnya membawa erti 'tidak pandai' atau 'tidak bijak' atau 'tidak cerdik' ini biasa kedengaran di mana-mana ruang di sekeliling kita.

Perkataan 'bodoh' sering dikategorikan sebagai kata seerti (sinonim) untuk perkataan 'bebal', 'dungu' dan 'tolol'. 

Para penyebut perkataan ini mungkin terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan kita sendiri. Ada juga keluar daripada mulut orang yang tidak kita kenali . . . dan paling teruk sebutan tajam dan menghiris oleh orang yang bersengketa atau bermusuhan dengan kita!

Rata-rata ramai orang akan marah-marah apabila dikatakan atau dipanggil 'bodoh'.

Baru-baru ini teman 'tertengok' (bukan benar-benar menonton) suatu siaran TV tempatan yang menamakan rancangannya TV Sengal (berkait dengan perkataan 'sengal'?) . Rancangan itu macam nak menonjolkan beberapa babak atau situasi komedi.

Malangnya teman rasa kelakar yang diharapkan mencetus kelucuan itu tak berapa nak menjadi! Ramai pelaku macam 'bodoh' atau 'diperbodoh-bodohkan'.

Paling teruk ada 'mangsa-mangsa' rancangan bersifat 'kesengalan' itu sanggup menyatakan dirinya "Aku Sengal" pada akhir rancangan yang sengal itu.

Teman tak berapa pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan penyedia skrip/perancang rancangan tersebut apabila menggunakan perkataan 'sengal' di dalam rancangan tersebut. 

Teman pun bertanya le kepada beberapa orang (golongan generasi terkini) apa ertinya perkataan 'sengal' kepada mereka yang muda-muda sekarang. Mereka lantas menjawab, "Slanga untuk bodoh atau lembab." 

OMG (slanga sekarang?) itukah maksudnya! Kesian, kesian 'mangsa-mangsa' tadi yang sanggup menyatakan diri mereka itu 'sengal' tanpa bersebab! 

Apapun bagi teman . . . tetap berpegang kepada erti asal 'sengal' iaitu . . . 'kaku', 'kebas' atau 'pegal' (kalau 'pagal' dalam bahasa Hindi maknanya 'gila'!).

Dan . . . kalau 'sengal-sengal nafas' ertinya 'susah bernafas' atau 'sesak nafas'. Mudah-mudahan janganlah sampai begitu akibatnya kepada penyedia rancangan kesengalan tertsebut!

Wahai pihak penghidang hiburan di kaca TV tanah air . . .  {hidangkanlah real entertainment . . .  kata jiran omputih teman} Janganlah kira boleh saja. Pakai tangkap muat . . . sesemberononya!

Pikio le dalam sikit demi kebajikan kelompok 'muda' masyarakat yang katakan sedang koma cuba bimbing dan didik melalui saluran hiburan!

Bodoh memang banyak perkara bodoh. Teman cuba senaraikan antara 'bodoh' yang nyata dan lumrah  seperti berikut (tak lengkap koma tambahlah sendiri, sendiri):





BODOH



Buat bodoh
Bodoh mencari imbuh!

Buat-buat bodoh
Bodoh tak senonoh!

Bodoh-bodoh alang
Bodoh tak matang!

Bodoh bukan kepalang
Bodoh tiarap bodoh terlentang!

Bodoh terang-terang
Bodoh pagi sampai petang!

Bodoh-bodoh sombong
Bodoh tinggi hidung!

Bodoh tak sedar untung
Bodoh sampai tergadai kampung!

Bodoh suka-suka
Bodoh sambil lewa!

Bodoh gila-gila
Bodoh tak ada makna!

Bodoh warisan keturunan
Bodoh suratan badan!

Bodoh seni budaya
Bodoh merosak nilai bangsa!

Bodoh kontrak sementara . . . 
Bodoh yang perlu dikawal selia,


jika tidak


Bodohlah ---> Sampai bila-bila !



AMB





dsuarang.blogspot.com

Sunday, May 22, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Tiba-tiba Aku Terkenang


Zaman terus saja berlalu. Semakin lama semakin jauh waktu menjarakkan antara tinggalan kesan kenangan dengan realiti dalam diri. Berbagai liku hidup telah dilalui. Berbagai cabaran kehidupan telah ditempuhi . . .  tidak kira dalam bayangan takut atau berani. Sungguh berwarna warni hidup ini. 

Aku ingin menyatakan . . . aku tetap mengingati setiap peristiwa hidup yang aku alami. Dan, paling penting aku tidak akan pernah melupai mereka yang aku sayangi . . . sepanjang hidup yang aku alami itu.

Allah SWT sahaja yang maha mengetahui . . . 

 
{Sekadar menghargai kesyahduan perasaan yang tiba-tiba datang berkunjung . . . aku kira sesuai diterakan nukilan di bawah ini . . . nukilan yang aku 'labelkan' sebagai 'puisi hiasan' . . .} 



Kunjungan



harmoni cengkerik
gilir-bergilir
begitu lunak mengiringi halimun malam

tiupan bayu
silir-semilir
begitu galak melewati rongak jendela

sebentuk maya
merewang-rewang
begitu mesra mengunjungi kamar usang
bertimpuh lantas mengusik
tubuh yang lalai di alam asyik
bentuk maya berwajah manis
paling romantis
rasa pernah bersua
samar-samar
bila dan entah di mana 

sayang seribu kali 
pisat lagi di pembaringan
empunya wajah telah tiada
maya entah ke mana . . . 

igaukah mimipi aku gerangan?
atau imaginasi keterlaluan!

yang nyata
kunjungan tadi
kunjungan bintang sejuta cahaya
sinar segala . . .


Puisi hiasan oleh AMB