Wednesday, December 28, 2011

Dua Kali Botak



 
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Hikmah dan Rahsia Bercukur atau Bergunting


Setelah berwukuf di Arafah jemaah haji bermabit di Muzdalifah. Pada hari ke-10 Zulhijjah jemaah haji akan melontar di Jamrah al-Aqabah. Seterusnya pada hari-hari tasyriq jemaah haji akan melontar pula di ketiga-tiga jamrah. Jemaah haji dituntut bercukur atau bergunting selepas selesai melontar di Jamrah al-Aqabah pada hari ke-10 Zulhijjah.









Pengertian bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkan walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang soheh dalam Mazhab Syafie. Ini berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dan yang lainnya.

Rujukan: Kitab al-Fiqh al-Manhaji
[Dipetik dan disesuaikan daripada Senarai Semak Ibadat Haji terbitan Lembaga Tabung Haji].









Hikmah mewajibkan bercukur atau bergunting kerana sebelum ihram jemaah haji telah membersih dan merapikan diri masing-masing daripada semua rambut dan bulu yang ada pada badan masing-masing. Oleh kerana jemaah haji terdedah kepada debu dan kotoran semasa berada dalam ihram yang lama maka sewajarnya jemaah haji membersihkan segala kotoran tersebut dan tiada lagi sesuatu yang membebankan diri masing-masing. Yang baki selepas itu hanyalah rambut yang menjadi kemegahan dan kebanggaan seseorang di mana seseorang itu melumurinya dengan minyak dan menghiasinya dengan menyisir atau mengikatnya. Sekarang dikatakan kepada jemaah haji cukurlah kerana rambut tersebut boleh jadi pernah menjadi saksi kemaksiatan apa yang dilakukan oleh manusia. Justeru, Allah mahu rambut yang tumbuh dalam keadaan bersih serta taharah yang menjadi tanda berhubung iltizam seseorang.


Rujukan: Syeikh Sya'rawi dalam al-Haj al-Akbar
[ Dipetik dan disesuaikan daripada Senarai Semak Ibadat Haji terbitan Lembaga Tabung Haji]




Bercukur kepala sunat dimulakan sebelah kanan atau jika bergunting afdhalnya seluruh kepala. Tetapi bercukur ini kerana Rasulullah SAW mendoakan kepada yang bercukur dengan rahmat dan keampunan sebanyak tiga kali sedangkan untuk yang bergunting sekali sahaja. Bagi wanita pula ia hanya boleh bergunting dengan mengambil sekadar sedikit sahaja daripada rambut.

Rujukan: Buku al-Hajjah al-Maburah
[Dipetik dan disesuaikan daripada Senarai Semak Ibadat Haji terbitan Lembaga Tabung Haji]









Setelah selesai segala kerja haji yang rukun dan wajib ke atas diri teman . . . dan melihat di cermin wajah teman berkepala botak . . . teman tiba-tiba terbayang kembali suatu kisah teman di bangku sekolah dahulu. Ketika itu teman dalam darjah lima sekolah rendah sesi petang di Pasar Road English School (One).




Teman tinggal di Kg Pandan Govt Quarters bersama keluarga teman. Ada seorang bapa saudara teman (sekarang Tuan Hj Lokman) juga tinggal bersama kami. Beliau ketika itu bekerja di Jabatan Telekom dan setiap pagi sebelum pergi bekerja bapa saudara teman itu bercukur. Beliau menggunakan razor blade cap buaya dengan tangkai pemegangnya model lama zaman itu.

Sering juga teman sempat memerhatikan bapa saudara teman itu bercukur. Pada suatu hari teman teruja hendak mencuba bercukur juga! Teman masuk ke bilik bapa saudara teman itu setelah beliau pergi kerja. Lantas . . . mengambil blade pencukur yang terletak di atas almari bujang bapa saudara teman itu.

Teman pun mula cuba menggunakan blade itu. Nah . . . oleh kerana teman tidak punya janggut atau misai ketika itu, maka teman halakan blade pencukur itu kepada rambut teman le! Memang teman tidak pro menggunakan blade pencukur itu . . . apa lagi tobek sana tobek sinilah jadinya . . . macam gaya tikus membaiki labu!

Pada sebelah petang hari itu bapa teman pulang dari pejabatnya. Beliau terus sahaja terlihat akan keadaan rambut yang bertobek-tobek di sekeliling kepala teman. Beliau amat marah lantas menyuruh teman duduk di atas sebuah kerusi dan berkata, " Duduk sini . . . biar bapak botakkan saja kepala kamu ni!"

Teman sangka bapa teman itu hanya hendak menakut-nakutkan teman. Rupa-rupanya, beliau betul-betul membotak licinkan kepala teman!

"Ya Allah . . . macam mana aku nak ke sekolah esok hari," fikir teman. Mesti kena ejek punya .

Pada zaman persekolahan teman dulu . . . sesiapa yang berkepala botak memang tidak lepas daripada usikan dan ejekan orang di sekeliling . . . rakan sebaya khasnya!

" Botak head, botak head," dan siap dengan berbagai pantun seloka yang kurang sedap diterbitkan di sini! Teman tentulah amat malu dan marah apabila di ejek-ejek begitu. Lama juga teman berkeadaan sedemikian . . . hinggalah rambut teman tumbuh semula.

Apa yang teman tidak faham ketika itu ialah bahawa bapa teman amat marah kerana risaukan teman melukakan diri teman sendiri dengan memandai-mandai menggunakan blade pencukur yang amat tajam itu! Jadi, tindakannya membotakkan kepala teman itu adalah untuk mencegah teman daripada melakukan kerja-kerja 'bodoh' seperti itu lagi. Memang teman pun cukup jeran selepas peristiwa itu!





Seperkara lagi yang teman pelajari ialah anak-anak gemar meniru perlakuan orang dewasa walaupun dia tidak memahami hujung pangkal sesuatu perlakuan itu. Dan, untuk mengelakkan kemalangan, orang dewasa pula harus berhati-hati meletakkan atau menyimpan peralatan yang berbahaya supaya jauh daripada jangkauan kanak-kanak.

Sekadar bercerita untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan teman-teman dan para pembaca yang budiman.



Geng Botak Maktab 100 di Mina


Botak dulu-dulu di pandang jelek,
Ke mana-mana diejek-ejek;
Botak sekarang dianggap trendy,
Konon mucho terserlah peribadi.


Botak masa kanak-kanak,
Kena usik selalu;
Botak masa dewasa,
Bawa maksud syahdu!



Semoga dengan memahami sebahagian daripada hikmahnya bercukur (botak licin le tu . . . ) akan menambahkan lagi semangat kita dalam melakukan ibadat haji . . . seterusnya mencapai haji mabrur. Amin.









dsuarang.blogspot.com

Monday, December 26, 2011

Pertemuan Keluarga



 
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kita Merancang Tuhan Menentukan


Amat benar kata-kata yang sering diungkapkan orang. " Manusia hanya berdaya merancang . . . Allah yang menentukan segala-galanya ".



Kiri: Hjh Alimah di luar bilik Hotel Royal Eiman, Makkah. Kanan: Hjh Alimah di luar bilik Hotel Movenpick, Madinah


Dua aksi penulis di bilik Hotel Royal Eiman, Makkah


Alahai Hjh . . . telefon mana tu? . . . Tak kan le sekejap pun tak boleh berasingan . . .


Penulis dan Hjh Alimah di Hotel Movenpick, Madinah


Teman dan isteri teman Alimah, tidak pernah terfikir suatu hari nanti akan berada di Tanah Suci Makkah bersama sepupu teman Zuraida Khusaimi (Ada) dan suaminya Ahmad Fairuz Ahmad Seth serta bersama anak saudara teman Khairol Anuar Ismail . . . atas suatu tujuan yang serupa lagi amat bermakna . . . yakni menunaikan fardu haji pada musim ini (tahun 1432H/1433H)!



Penulis dan isteri mengabadikan foto kenangan di hadapan Masjidilharam, Makkah


Hj Khairol Anuar Ismail



Hjh Zuraida Khusaimi bersama
Hj Ahmad Fairuz Ahmad Seth






Sejurus selepas bertemu di Makkah. Kami bergambar di dataran Masjidilharam.


Bergambar kenangan di dataran Masjidilharam, Makkah. Kiri: Penulis Kanan: Hj Khairol


Teman nyatakan demikian kerana teman dan Alimah memang tidak menduga bahawa Ada dan Fairuz serta Khairol akan menunaikan rukun Islam ke-5 ini pada musim yang sama dengan kami. Maklumlah, usia kami sudah hampir sekali ganda berbanding mereka! Teman pula . . . masih teringat-ingatkan mereka . . . ketika zaman mereka kecil-kecil dahulu! Masya-Allah!



Dua beranak di dalam dan di luar bilik Hotel Royal Eiman, Makkah. Hj Khairol dan Pak Uda



Hj Khairol bersama Pak Uda


Di bilik 0345 Hotel Royal Eiman, Makkah. Hj Khairol bersama teman-teman sebilik Pak Uda


Dari kiri: Hj Khairol; Hj Salleh;
YM Hj Raja Aman Shah; Dato' Hj Muhammad Hatta


Hj Khairol Anuar Ismail dan Mak Uda Hjh Alimah di Makkah


Kisah pertemuan ini menjadi menarik kerana kami hanya mengetahui bahawa kami akan ke Tanah Suci bersama-sama setelah bersua di Kelana Jaya dan Shah Alam. Teman bertemu Ada dan Fairuz di Kelana Jaya ketika menghadiri taklimat pakej THTS dan pada waktu kursus perdana di Masjid Negeri, Shah Alam. Khairol pula kami temui ketika sama-sama berkursus perdana di Masjid Negeri, Shah Alam.



Ini di Maktab 100 Mina . . . dua Hajah bersaudara bertemu . . . berbincang sesuatu . . . entah apa le tu . . .


Kita makan aje . . . bestnya, tak payah buat apa-apa kerja . . . semuanya dah tersedia


Takut pulak nanti balik Malaysia dah jadi malas . . . nak masaklah, nak basuh pingganlah . . .alahai


Sebelum itu kami langsung tidak tahu akan pemergian masing-masing ke Tanah Suci. Sesungguhnya kami masing-masing bukan hendak merahsiakan akan pemergian kami itu . . . cuma kami bercadang memberitahu tentangnya kepada ahli-ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai setelah benar-benar pasti kami masing-masing terpilih untuk menyertai jemaah haji ke sana untuk musim 1432H/1433H ini.



Menjamu selera dengan selesa . . . makan semeja macam baru kenal ketika zaman remaja . . .


Dari kiri: Penulis; Hjh Zuraida Khusaimi;
Hj Ahmad Fairuz Ahmad Seth; Hjh Alimah Md Yasin
di Hotel Royal Eiman, Makkah


Alhamdulillah segala urusan kebajikan kami ke sana dan di sana berjalan dengan baik. Kami dapat melaksanakan tuntutan kerja haji masing-masing dengan lancar sehinggalah kami dapat kembali ke tanah air dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Andainya sepupu teman . . . Irdawaty Lokman (Ida) dan suaminya Kamarul . . . dapat turut bersama ke Tanah Suci pada waktu yang sama seperti dicadangkan mereka pada mulanya . . . suasana pertemuan keluarga ini tentu bertambah meriah.




Hjh Zuraida dan Hjh Alimah di dataran Masjid Nabawi, Madinah


Alhamdulillah, jumpa di sini kita . . . ye


Namun, seperti yang diakui pada permulaan penulisan ini, "Kita hanya dapat merancang, Allah yang menentukan." Kita akur.

Kamarul mengalami sedikit keuzuran pada saat-saat hendak berangkat ke Tanah Suci dan Ida harus menguruskan penjagaan kesihatan suaminya itu di sini. Maka pemergian mereka terpaksa ditangguhkan.

Doa kami . . . semoga mereka dan ramai lagi ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai . . . akan menjadi tetamu Allah jua pada suatu ketika nanti. Amin.












dsuarang.blogspot.com