Thursday, April 5, 2012

Travelog Pulau Mutiara: Bertemu Hj Mohd Rodzi





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kunjung Sahabat di Utara 1


Setelah pulang ke KL dari JB pada hari Rabu 21 Mac 2012 . . . aku berkesempatan pula pergi ke utara tanah air. Kali ini aku dan ahli-ahli keluarga ke Pulau Pinang.

Anakku Mazlyna Hanum dan suaminya Royha'izam berhasrat mengunjungi seorang adik saudaraku di sana yang keuzuran sedikit ketika itu.

Maka pada pagi Sabtu 24 Mac 2012 aku dan isteriku Alimah ikut pergi dengan anak dan menantu kami itu yang juga membawa bersama anak mereka, Azim Muqry Basrie (Ajim).

Setibanya kami di George Town, Pulau Pinang kami terus sahaja ke rumah adik saudaraku Amir Yusof untuk melihat sendiri dan memastikan keadaan kesihatan beliau.

Alhamdulillah beliau beransur sihat dan sesungguhnya sudah boleh bergerak dengan kecergasan yang kian meningkat.

Pada keesokan harinya . . . pagi Ahad 25 Mac 2012 kira-kira jam 10:30pagi . . . aku bersama Alimah, Roy, Anum dan Ajim singgah sebentar di Taman Pauh Jaya. Kami dalam perjalanan pulang ke KL.

Aku sekeluarga ke taman perumahan tersebut di Permatang Pauh, Seberang Prai untuk mengunjungi Tuan Hj Mohd Rodzi bin Abu Bakar dan keluarganya.


Tuan Hj Mohd Rodzi bin Abu Bakar



Hj Mohd Rodzi adalah sahabat sekhemah aku ketika di Arafah dan di Mina. Kami sejemaah haj KT 70.

Di Taman Pauh Jaya . . . kami sempat juga bertemu isteri dan anak-anak Hj Rodzi di rumahnya.


Tuan Hj Mohd Rodzi dan Puan Masrani Mansor
bersama anak bongsu mereka Mohd Fakhrul Razzi



Isteri Hj Mohd Rodzi bernama Masrani Mansor manakala tujuh orang anak beliau yang terdiri daripada 4 lelaki dan 3 perempuan, masing-masingnya bernama Nor Amirah, Nor Aisyah, Mohamad Fakhrul Daniel, Mohd Fakhrul Farid, Nor Ain, Mohamad Fakhrul Firdaus dan Mohamad Fakhrul Razzi.




Keluarga penulis bersama keluarga Hj Mohd Rodzi




Mesra sekeluarga: Hj Abu Bakar dan Hjh Safiah bersama-cucu-cucu mereka



Aku dapat merasakan ada semacam disiplin yang tegas tetapi mesra dalam cara Hj Mohd Rodzi mengendalikan aktiviti dan pergerakan ahli keluarganya. Ahli-ahli keluarganya berhemah tinggi lagi berbudi bahasa. Berkat pimpinan ketua keluarga yang masih muda tetapi bertanggung jawab . . . keluarga muda ini aman dan berbahagia. Amin.



Anak dan Bapa
Hj Mohd Rodzi (kanan) dan Hj Abu Bakar



Selain itu kami amat berbesar hati dapat berkenalan dengan ibu bapa Hj Mohd Rodzi iaitu Tuan Hj Abu Bakar bin Ibrahim dan Puan Hjh Safiah binti Abdul Rahman. Mereka sememangnya ramah dan mudah mesra.



Tuan Hj Abu Bakar Ibrahim dan
Puan Hjh Safiah Abdul Rahman




Seperti biasa dengan diriku . . . aku lantas sahaja bersembang dengan keluarga Hj Mohd Rodzi sambil aku dan ahli-ahli keluargaku dijamu makanan dan kuih muih dan dilayan mesra. Ada ketikanya timbul juga rasa segan di hatiku . . . kerana banyak sangat bercakap!



Di meja jamuan . . . penulis dan isteri dilayan mesra oleh tuan rumah Hj Mohd Rodzi





Bergambar di ruang tamu
dari kiri:
Hj Abu Bakar, Hj Mohd Rodzi, Penulis dan Royha'izam (pangku Ajim)



Kiri ke kanan:
Hjh Safiah, Hj Abu Bakar (pangku Nor Ain),
Hj Mohd Rodzi (pangku Mohd Fakhrul Razzi),
Penulis, Royhai'zam (pangku Azim Muqry Basrie), Hjh Alimah

Namun secara jujur aku perkatakan di sini bahawa aku amat senang dapat bertemu lagi dengan sahabatku Hj Mohd Rodzi serta keluarganya ini. Maka banyaklah bicara dan cerita yang timbul setelah agak lama tidak bertemu. Terubat juga rasa rindu terhadap waktu-waktu kami sama-sama di Tanah Suci dahulu.



Penulis dan Hj Mohd Radzi



Bergambar ramai sebelum memohon diri untuk pulang

Pertemuan yang tetap menjadi khazanah kenangan



Lagi pun . . . perkara yang kami bicarakan berkisar sekitar kisah keluarga dan kekeluargaan dan cerita hidup dan kehidupan. Kami saling belajar daripada pengalaman hidup masing-masing.

Sembang punya sembang . . . kami tidak sedar jam telah menunjukkan pukul 12:00 tengah hari. Kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan pulang ke KL.



Bergambar kenangan di pekarangan rumah Hj Mohd Rodzi


Dari kiri: Penulis, Hj Rodzi, Hj Abu Bakar,
Hjh Safiah, Pn Masrani dan Hjh Alimah

Kenalan baru bersalam-salaman

Aku ingin pula singgah di Ipoh dalam perjalanan pulang ini nanti . . . untuk menemui sepasang lagi sahabat sejemaah haj kami di sana. Insya-Allah.

Terima kasih aku ucapkan kepada Hj Mohd Rodzi sekeluarga atas kesudian mereka menerima kunjungan kami. Diizinkan-NYA . . . kita pasti dapat bertemu lagi. Salam.


Keluar bicara tutur dan kata,
Biar bahasa jujur dan nyata;
Berhemah tinggi berbudi halus,
Berfalsafah murni berhati mulus.




Bamuda

dsuarang.blogspot.com

Thursday, March 29, 2012

Travelog JB: Bertemu Hj Mohd Noh dan Isteri





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hectic yet Fantastic 2


Aku dan isteriku Alimah masih di Johor Baharu pada pagi Rabu 21 Mac 2012. Kami di hotel Grand Blue Wave. Akan berangkat pulang ke KL tengah hari nanti . . . setelah Alyn . . . selesai melaksanakan tugas rasminya.

Malam tadi ada sahabat-sahabat sekamar kami masing-masing ketika di Madinah datang berkunjung. Kami berasa amat gembira dengan kunjungan mereka.

Semalam aku juga ada menghubungi Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin. Beliau dan isteri Pn Hjh Khalijah Ali menjadi sahabat kami ketika kami sama-sama sejemaah Haj di Tanah Suci.

Pasangan suami isteri ini tidak pernah sekamar atau sekhemah dengan kami di mana-mana jua di Tanah Suci. Sesungguhnya pesawat penerbangan kami juga berbeza. Aku menaiki KT 70 mereka KT 88.



Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin


Puan Hjh Khalijah Ali


Kami hanya sering bertemu di meja makan dewan makan hotel Royal Eiman di Makkah. Setiap kali bertemu kami saling bertanyakan khabar kesihatan masing-masing. Perbualan kami menjurus kepada soal-soal ibadat dan kebahagiaan berkeluarga.

Alhamdulillah dengan kekerapan pertemuan yang sedemikian kami dapat merasakan kemesraan terjalin antara diri. Kami seperti sahabat baik yang sudah cukup lama mengenali antara satu sama lain.

Sementelah . . . isteriku Alimah dahulunya pernah tinggal lama di Singapura dan mendapat pendidikan rendah serta menengah di sana sebelum berhijrah ke KL. Perkara ini aku percaya menjadi faktor yang menambah eratkan silaturahim antara kami . . . apabila ternyata . . . Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah pun memang 'orang lama' dari kota singa itu. Macam jumpa geng sekampunglah jadinya!

Wah . . . 2 Hajah ni bukan main asyik berbual-bual. Bincang pasal apa agaknya?




Tentu ada perkara menarik yang dibicarakan. Pasal Tanah Suci . . . dan ehm . . . pasal Singapura ke? Suka hatilah 2 Hajah.

Perkara tersebut di atas mungkin sesuatu yang bersifat kebetulan. Namun tidak boleh dinafikan bahawa silaturahim yang terbina ini adalah semata-mata atas kehendak-NYA . . . atas anugerah dan keizinan ALLAH swt jua. Alhamdulillah.


Seperkara utama yang tidak dapat dinafikan juga ialah . . . pasangan suami isteri ini peramah dan mudah mesra. Mereka mudah didekati walaupun ketika baru dikenali. Pendek kata mereka berhemah tinggi.

 


Semangat Bersahabat
Dari kiri - Penulis, Hj Mohd Noh, Hjh Khalijah dan Hjh Alimah


Daripada persahabatan yang terjalin dalam tempoh yang agak singkat di sana dahulu . . . aku berani membuat andaian awal . . . bahawa Hj Mohd Noh seorang yang tegas tetapi berfikiran terbuka dan bijaksana dalam tindak bicaranya. Hjh Khalijah pula ternyata seorang yang periang, bertanggung jawab dan lurus dalam perhubungan antara insan.



Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah
Pasangan suami isteri yang berbahagia



Aku dapat memerhatikan bahawa Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah adalah pasangan yang cukup berbahagia. Semoga pemerhatianku ini tepat dan diberkati ALLAH swt. Amin.

Berbalik kepada hasrat kami ingin menemui mereka di JB . . . Hj Mohd Noh membalas panggilan telefon aku dan menyatakan akan datang ke hotel GBW tempat kami menginap.


Benarlah . . . pada jam lebih kurang 10:40 pagi . . . sahabat-sahabat kami itu tiba. Aku terus mempelawa mereka masuk dan duduk di ruang tamu.
 

Si cucu ni pun turut memeriahkan perbualan antara sahabat yang baru bertemu . . .


. . . sibuk dengan cara diam-diamnya aje . . . Ahmad Iman Iskandar . . . tak menyampuk pun.



Kami saling bertanyakan khabar. Kemudian kami berbual-bual. Antara banyak kisah yang dibualkan . . . aku tertarik kepada kisah benar yang dialami Hj Mohd Noh sendiri di sebuah kedai gunting di Makkah. Ceritanya kira-kira begini:

Pada suatu hari . . . selepas bertahalul muktamad . . . Hj Mohd Noh ingin membotakkan kepalanya. Beliau pun pergi ke sebuah salun gunting rambut di tingkat bawah hotel Royal Eiman. [Kalau tak silap aku nama salun si Arab tu ' Obedience Barber Shop'].


TKP . . .

Seterusnya biarlah aku paparkan sahaja dialog percakapan antara si Arab tukang gunting itu dengan Hj Mohd Noh . . . menurut apa yang diceritakan oleh beliau.

Barber: Ya Sheikh . . . cut hair . . . shave head?

Hj MN: Yes. (Dalam hati: OK lah . . . member semua kata bayarannya SR 50 sahaja.)

[Si barber pun mempersilakan Hj MN duduk di kerusi empuk tempat para pelanggan bergunting rambut di salun itu. Siap di balut kain ala apron leher Hj MN. Lengkap diberikan rawatan mask dan kain penutup muka berwap. Ada pula segala macam 'lotion' atau 'lumpur solekan' untuk mencuci atau melembutkan kulit muka. Lampu UV Ray pun dipasang . . . dan etc, etc.

Hj MN berasa pelik juga. Mengapa begitu hebat sekali treatment membotakkan kepala di salun si barber Arab ini . . . massage muka dan kepala pun diberikan.]

Hj MN: (Dalam hati: Wah hebat betul ni. Aku cuma nak botakkan kepala aje. Tak apalah . . . mungkin ini pakejnya!)

[Kira-kira sejam kemudian . . . selesailah kerja membotakkan kepala Hj MN. Sahabat aku itu pun dengan jujurnya hendak membayar SR 50 kepada si barber. Si barber pula dengan pantas menolak bayaran itu . . . lalu berkata, "SR 200 Sheikh!"

Hj MN terkejut dan menerangkan kepada si Arab tukang gunting itu,"I don't carry that much cash with me now. Let me go back to my hotel room . . . (di tingkat atas saja) . . . and I'll settle the payment . . . (demikian lebih kurang dialog penutup Hj MN dengan si Arab tukang gunting.)

Sama ada Arab tu faham apa yang diperkatakan Hj MN atau tidak . . . tak jadi hal. Apa yang menjadi kenangan ialah . . . barber itu terus saja mengangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata sesuatu seolah-olah mengerti . . . tetapi dengan menunjukkan isyarat mengerat leher pada Hj MN!

Of course . . . kemudian Haji Mohd Noh kembali ke salun itu untuk membayar wang yang dituntut si Arab barber tadi.

 
Tiba-tiba aku pula yang sibuk nak decode mesej yang hendak disampaikan si Arab barber itu apabila dia membuat isyarat tadi.

Mungkin saja . . . dia hendak mempersendakan pelanggannya itu. "Ha, terkena juga engkau . . . lehermu dah kena kerat " . . . atau . . . "Aku kerat saja lehermu jika kau tak datang bayar."

Bayangan pertama mesej itu . . . kelakar . . . he, he. Tetapi bayangan kedua mesej yang sama . . . (lebih berupa ugutan?) . . . agak menggerunkan . . . aggh! ]

Rupa-rupanya si Arab tukang gunting secara berdiplomasi berjaya 'memaksakan' pakej solekan muka di salunnya itu ke atas diri Hj Mohd Noh secara bersekali. Sahabatku itu pula . . . apo nak dikato . . . terpaksalah rela menerimanya . Tak apalah Tuan Haji . . . adalah hikmahnya itu!

Banyaklah lagi tajuk-tajuk bermanfaat yang kami bualkan. Perbualan berlangsung rancak hinggakan kami tidak terasa masa pantas berlalu.



Memang tidak terasa waktu berlalu . . . sekejap sangat ketikanya dapat bertemu

 

Si Ahmad . . . tetap ada juga di situ . . . 


Perbincangan berjalan rancak antara dua sahabat yang baru sempat bertemu . . . di Johor Baharu

Pada jam 12:30 petang Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah meminta diri untuk pulang. Kami juga mesti check-out pada jam 1:00 petang.


Maka kemudian berpisahlah kami . . . masing-masing menuju ke destinasi yang berlainan . . . dengan membawa kenangan yang menceriakan.



Pose istimewa penulis dan Hj Mohd Noh



Dan . . . insya-Allah . . . aku tidak akan mensia-siakan segala sesuatu yang diperolehi daripada perbincangan santai serta sesi 'nasihat menasihati' antara kami tadi . . . khasnya tentang Ayat 15 Surah Al-Ahqaf (Surah ke 46 dalam Al-Quran yang disentuh Hj Mohd Noh) yang berbunyi:



Keratan Ayat 15 Surah Al-Ahqaf


Maksudnya:

Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Tempoh mengandung sampai tempoh menceraikan susunya ialah selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa: "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redai; dan berilah aku kebajikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang muslim."

[Ref: Terjemahan Al-Quran Al-Karim - Rasm Uthmani - Dalam Bahasa Melayu terbitan Al Hidayah House of Qur'an Sdn Bhd]

Doaku . . . semoga kita dapat berjumpa lagi pada lain ketika.
Terima kasih sahabat.




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, March 27, 2012

Travelog JB: Bertemu Hj Kamarudin dan Isteri





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Hectic yet Fantastic 1


Seminggu dua ini aku agak sibuk berpergian. Ke sana ke mari walau cuma dalam negeri. Si Omputih jiranku sempat memerhatikan segala aktivitiku sepanjang beberapa minggu kebelakangan . . . hinggakan dia bertanya kepada aku:

[Bro . . . I did noticed . . . you've been through a few hectic weeks lately. Been travelling again eh? Guess all those travel streak must have brought along things fantastic!

Aku terus sahaja menjawab . . . dalam hati. "Yeah, right on target man. You're absolutely correct Mat Saleh ooi."

Aku tak mahu menjawab dengan suara yang kedengaran kepada si jiranku itu. Kalaulah dia tahu serkap jarangnya itu mengena . . . hui . . . berlagak bukan main le dia! Memang perangainya begitu . . . egonya akan memuncak setiap kali tekaannya betul. Biarkanlah . . . after all . . . dia kan omputih! ]

Maka demikian mukadimah yang aku rasakan paling sesuai bagi aku memulakan episod penulisan kali ini. Aku bersyukur amat ke hadrat Ilahi . . . kerana masih memberikan kepada aku dan isteriku peluang bertemu lagi dengan sahabat-sahabat sejemaah haji kami.


Alhamdulillah. Setelah agak lama 'terpaksa' menyepi . . . aku kini kembali ke laptop! Macam biasa dengar tagline ini? Begitulah sebenarnya. Aku baru sahaja ada sedikit waktu senggang untuk mencatatkan sesuatu dalam ruangan blog aku ini.

Pada hari Selasa 20 Mac 2012 aku dan isteriku Alimah menemankan anak kami Alyn ke Johor Baharu. Alyn ada tugas rasmi di sana. Dia tidak mahu memandu berseorangan ke sana. Dia mempelawa kami bersamanya.


Aku dan Alimah terus saja berkata OK. Kami ada kelapangan dari segi waktu dan kesihatan. Apa salahnya. Lagipun . . . aku terfikir . . . aku ada sahabat-sahabat se jemaah haji di JB. Why not! Nanti boleh juga aku menemui mereka. Dapat insya-Allah kami mempereratkan silaturahim antara diri.

Kami tiba di hotel Grand Blue Wave, JB pada kira-kira jam 8:00 malam. Sebelum itu kami ada menelefon beberapa orang sahabat di sana.


Aku berhajat menemui Tuan Hj Kamarudin Abdullah dan isteri beliau Pn Hjh Hapsah Omar. Hj Kamarudin rakan sebilik aku ketika di Madinah dulu. Hjh Hapsah pula rakan sebilik isteriku . . . juga di Hotel Movenpick Madinah.



Tuan Haji Kamarudin Abdullah


Pn Hjh Hapsah Omar


Pada kira-kira pukul 9:20 malam . . . loceng kamar kami berbunyi. Ada suara orang memberi salam. Suara yang sudah biasa aku dengar. Sebaik sahaja pintu terbuka aku lihat Hj Kamarudin berdiri di situ bersama Hjh Hapsah.


Hj Kamaruddin .............................................Hjh Hapsah


Aku mempelawa mereka masuk. Setelah berlaku segala formaliti yang lazim bagi sahabat-sahabat yang baru berjumpa semula selepas sesuatu tempoh yang lama . . . (kami tidak berkesempatan bersua sejak 5 Disember 2011) . . . kami pun duduk di tempat rehat dan mula saling bertanyakan khabar serta berbual-bual santai.



Hj Kamarudin mendengar sahaja perbualan dua wanita ini . . . Relaks aje Hj Kamarudin nampaknya . . . baguslah cool begitu Hj . . . atau dah keletihan main golf tadi?




Apalah agaknya yang disembangkan dua sahabat yang baru dapat bertemu di JB ini . . .


Dua Sahabat
Pn Hjh Alimah (kiri) dan Pn Hjh Hapsah


Berbual sambil makan memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila perbualan itu berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Macam-macam cerita dan berita yang didengari dan diperdengarkan!



Dari kiri: Mazlyn Hanim (memegang Ahmad Iman Iskandar), Hj Kamarudin, Hjh Hapsah dan Hjh Alimah berbual-bual sebelum makan . . . (penulis terkenang akan peristiwa seperti ini di Madinah)


Bersembang di ruang tamu bilik hotel GBW. . .




Dari kiri: Penulis, Hj Kamarudin, Hjh Hapsah, Hjh Alimah


Aku teringat akan beberapa peristiwa menarik ketika menginap di Hotel Movenpick. Antaranya . . . dari bilik hotel kami dapat melihat payung-payung di sekitar dataran Masjid Nabawi . . . sama ada kembang atau kuncup . . . pada waktu-waktu tertentu. Ini kerana kami tinggal hampir bersebelahan Masjid Nabawi. Ertinya kami juga mudah ke masjid tersebut untuk beramal ibadat. Alhamdulillah.

Kemudian . . . ada pula peristiwa kami menyidai atau mengampai pakaian basah di hadapan jendela bilik hotel kami. Mudah keringnya kain-kain basah yang tersidai di situ . . . kerana pancaran sinar mata hari terkena terus kepada kain-kain yang tersidai itu. Lagipun, cuaca boleh dikatakan sentiasa kering dan panas pada siang hari di Madinah. Alhamdulillah.

Satu lagi peristiwa yang tidak mudah aku lupakan . . . makan malam di dalam bilik 3030 Hotel Movenpick bersama sahabat-sahabat sekamar ketika di Madinah dulu. Terkenang sangat aku akan kehadiran dan penglibatan Hj Abdul Halim Ahmad dan isteri Hjh Noral Saniah Mohd Som, Hj Mohamad Hishamudin Muda dan isteri Hjh Nor Ziera Ngah, Hj Kamarudin Abdullah dan isteri Hjh Hapsah Omar serta aku sendiri dan isteri Hjh Alimah Yasin dalam peristiwa tersebut. Alhamdulillah.


Peristiwa menimbang berat beg pakaian masing-masing dengan begitu cermat (dan kecoh) sekali di dalam bilik hotel juga tidak dapat aku lupakan begitu saja. Maklumlah . . . masing-masing takut kalau-kalau berlebihan pula berat luggage daripada apa yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan kelak! Rupa-rupanya meleset segala dugaan . . . Tidak diperiksa pun beg-beg semua.  Very nostalgic moments indeed . . .

Sembang punya sembang . . . kami tidak sedar waktu berlalu dengan pantas sekali. Sudah melampaui pukul 12:00 tengah malam rupanya! Aku belum mengantuk lagi. Aku biasa begini. Berleka-leka . . . tak tidur cepat. Orang dah pencenlah katakan.


Sudah larut malam . . . kami masih rancak berbual-bual . . . si Ahmad tu tak mengantuk ke?


Hai kawan-kawan . . . esok dah nak pergi kerja awal pagi . . . boleh tahan ke? . . . tak apalah ya tak . . . demi semangat kesetiakawanan . . . he, he


Aku berasa kasihan juga kepada Hj Kamarudin dan Hjh Hapsah yang akan bertugas pada keesokan harinya. Mereka belum bersara daripada pekerjaan masing-masing. Masih ada banyak tahun  perkhidmatan lagi yang perlu mereka sempurnakan.


Hj Kamarudin tentunya sudah penat bertugas siang tadi, kemudian bermain golf . . . dan setelah itu datang pula ke mari. Esok beliau akan terus bertugas dan mesti pergi ke pejabatnya di Kulai pagi-pagi lagi.

Hjh Hapsah walaupun berpejabat di JB akan ada mesyuarat dan rehearsal bersangkutan dengan aktiviti Puspanita Negeri Johor yang perlu dilaksanakan pada hari Rabu (esoknya). Hjh Hapsah Setiausaha persatuan tersebut. Takut-takut penat Pn Hjh nanti.


Maka . . . apabila mereka memohon diri untuk pulang . . . aku dan isteriku tidaklah sampai hati menghalang . . . walaupun kami rasa belum puas bertemu dan berbual dengan mereka.




Dua warga pasca mas (kiri) dan
dua warga pra mas . . .

Penulis dan Hj Kamarudin


Hjh Alimah dan Hjh Hapsah


Tidak mengapalah. Insya-Allah kita dapat bersua lagi pada masa hadapan dengan peruntukan waktu yang tidak terbatas sebegini rupa.



Before we say goodbye . . . pose lagi untuk kenang-kenangan . . . sakan


Aku dan Alimah berterima kasih dan amat menghargai kesudian sahabat-sahabat kami Tuan Hj Kamarudin Abdullah dan Puan Hjh Hapsah Omar berkunjung ke tempat penginapan kami ini . . . walaupun cuma buat seketika.

Hingga berjumpa lagi . . . salam mesra daripada kami.



Bamuda
dsuarang.blogspot.com
My Photo