Tuesday, January 1, 2013

Perokok dan Tabiat Merokok



Assalamualaikum  



Sekadar peringatan pada awal Tahun Baru 2013 . . . aku turunkan semula tulisan yang pernah dipaparkan dalam siaran blog ini pada Ahad, Januari 2010 menyentuh perokok dan tabiat merokok . . . dan ikhtiar bagaimana aku keluar daripada tabiat buruk dan tidak menguntungkan ini. 

Cara aku berhenti merokok ini tidak semestinya yang terbaik. Setiap perokok individu tentu ada caranya yang  tersendiri. Amalkanlah cara yang paling selesa dan sesuai dengan diri anda.

Sekarang terpulanglah kepada para pembaca yang budiman (khasnya ahli-ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat-sahabatku yang tersayang) sama ada sudi terus membaca tulisan dalam siaran di bawah ini . . . dan setelah itu . . . mempertimbangkan dan berusaha untuk menjadikan azam berhenti merokok ini suatu kenyataan. 

Jika sebaliknya . . . biarkanlah sahaja segala-galanya berlalu bagai berlalunya sesuatu yang tidak membawa sebarang kesan . . . ibarat mencurahkan air di daun keladi!

Demikian catatan serba ringkasku. Aku harap dapat jua membawa manfaat kepada usaha berhenti merokok di kalangan ramai perokok tegar! 

Maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kata-kataku ini . . . tetapi sayangilah diri anda . . . dan mereka yang menyayangi anda.

Mulakannya sekarang dengan penuh azam!




[Ulang terbit]


Hendak Seribu Daya

SUNDAY, JANUARY 3, 2010


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Akhirnya 'Tak Nak' Jua 



Seperti yang aku janjikan kelmarin ... ini lanjutan cerita bagaimana aku berhenti merokok. Tidak ada sebarang petua yang aku ikut. Tiada apa-apa pantang yang aku turut. Aku cuma berpegang kepada ketabahan hati dan keazaman diri. Aku percaya dengan ungkapan "Hendak Seribu Daya". . .

Dulu pada suatu ketika dalam tahun-tahun 80-an aku pernah berhenti merokok. Aku cuba mengunyah bunga cengkeh dan memakan gula-gula dsb. kononnya sebagai ganti. Tak menjadi. Lepas empat bulan berhenti, aku merokok kembali. Malah makin menjadi-jadi. Tak mujarab. Aku merokok semakin kerap!

Aku terfikir akan suatu resmi biasa manusia. Barang yang mudah dapat mereka tak suka. Barang yang sudah terlalu banyak jadi tidak berharga. Sesuatu yang berlebihan boleh memualkan. Aku terfikir lagi apa salahnya aku cuba 'membosankan' diriku dengan melihat terlalu banyak rokok di merata-rata kelilingku. Baik aku praktikkan teori mudah sendiri-sendiri ini.

Aku pun membeli berkatun-katun rokok. Aku biarkan tersimpan di sana sini. Lantaklah terletak di mana pun. Aku biarkan saja kotak-kotak rokok yang belum dibuka, yang penuh, yang separuh penuh,yang hampir kosong dan yang sudah kosong tersepah di merata-rata. Di rumahku, di pejabatku, di dalam keretaku. Pendeknya di mana-mana tempat kebiasaanku. . . Aku akan terlihat rokok, rokok dan rokok!

Rokok yang telah aku hisap seluruh atau separuh akan aku biarkan bertaburan di tempat-tempat kebiasaanku yang tersebut tadi. Aku tak benarkan sesiapa mengemas tempat-tempat itu. Aku tak mahu puntung-puntung rokok itu dibuang.

Paling drastik . . . apabila aku teringin sangat hendak merokok aku letakkan saja sebatang rokok di bibirku. Aku biarkan rokok itu berada di bibir selama waktu yang aku mahu. Aku tidak menyalakannya! 

Biasanya tembakau rokok itu akan basah dan rokok menjadi lembut atau patah kerana disalut air liur secara berterusan. Bau tembakau yang bersalut air liur . . . tahu-tahu sajalah . . . memang tidak menyenangkan!

Aku ingat aku selalu berbuat demikian ketika memandu kereta dari rumah ke pejabat pada setiap hari bekerja. Jarak perjalanannya tidak jauh. Hanya kira-kira 50 kilometer. Tetapi, laluan merentas jalan yang sentiasa sesak dengan 'jam' dan seribu satu macam kerenah pengguna jalan raya memang mencabar kesabaran. 

Dan, ketika itulah pula aku sentiasa ketagihkan rokok! Aku akan melakukan perkara yang serupa berturut-turut hari, minggu dan bulan. Sepit rokok yang tidak dinyalakan api pada celah jari atau bibir.

Aku juga masih ingat akan ada mempunyai sebatang rokok yang tidak dinyalakan tersepit sama ada di celah jariku ataupun di celah bibir hampir setiap waktu aku berihat atau bekerja. 

Pada waktu-waktu begitu ramai ahli keluarga dan kawan-kawanku agak kehairanan melihat telatah aku. Mereka selalu menegur kenapa aku tidak menyalakan api pada rokok yang macam hendak aku hisap itu!

Mereka mungkin ingat aku terlupa berbuat demikian . . . Pada hal mereka inilah juga yang kuat mendesak aku supaya berhenti merokok. Agaknya mereka sudah bosan menasihati aku. Lantas pegang saja pada ungkapan Inggeris,"You can't beat them join them". Mujur mereka itu tidak ekstrem sampai terikut jadi perokok pula!

Sesungguhnya (pasti dengan izin-NYA jua), lama-lama usaha aku itu berkesan. Aku jemu melihat rokok. Aku hilang rasa ketagih terhadap rokok. Kepada asap rokok pun aku sudah tidak sudi. Aku jadi benci. Aku tidak teragak-agak. Aku dah 'Tak Nak' (curi ilham iklan nasihat KK le sikit).



Sekian ceritanya. Pengalaman aku tentang usaha berhenti merokok. Ini cara aku sendiri. Aku lakukan semampu aku. Kalau nak cuba ... ... ... cubalah. Atau, kalau ada cara lain yang lebih sesuai ... ... ... lakukanlah.

PEROKOK BOLEH Insya Allah!










Blog @: Bamuda d' SUARANG

Monday, December 31, 2012

Lurus dan Telus





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Soal Sumbangan 
(suatu retrospeksi)



Hari ini hari terakhir dalam tahun 2012. Besok kita sudah memasuki tahun baru 2013. Alhamdulillah . . . kita masih diberikan Allah swt kesempatan untuk hidup di dunia ini.

Menoleh ke detik-detik sepanjang tahun 2012 yang akan berlalu sebentar nanti . . . pernahkah kita terfikir atau mengambil berat sedikit untuk memikirkan apa yang telah kita sumbangkan kepada keluarga, komuniti dan negara kita. 

Rungutan atau sungutan sering kedengaran daripada kelompok tertentu warga atau rakyat di negara kita. Mereka itu gemar mempersoalkan apa yang negara boleh atau telah berikan kepada mereka. Perbuatan  mereka itu jelas menampakkan sikap tidak bersyukur dan tidak menghargai rezeki dan nikmat hidup yang telah Allah limpahkan kepada mereka.  Ramai yang masih tidak sedar bahawa sepatutnya sikap negatif mereka itu yang harus diperbetulkan terlebih dahulu . . . sebelum mereka menimbulkan persoalan tadi. Itulah hakikatnya!

Ramai yang tidak tahu . . . atau lebih tepat lagi . . . tidak mahu berterima kasih terhadap wujudnya suasana tenteram dan mewah di negara kita hingga membolehkan mereka dan keluarga mereka hidup selesa seperti pada waktu ini.

Entahlah . . . pada ketika begini . . . aku cuma terkenangkan kisah seorang kawanku . . . yang sungguh 'simple' dalam pendekatannya terhadap etika kehidupan dalam negara seperti Malaysia ini. 'Simple'  tetapi cukup mengesankan!

Izinkan aku menurunkan kembali kisah berkenaan yang . . . sebenarnya . . . telah aku tuliskan (maaf ya dalam bahasa Inggeris) pada Sabtu, 12 Disember 2009.




[ulang terbit]



What's Your Contribution?

SATURDAY, DECEMBER 12, 2009


What's The Difference?

Assalamualaikum and peace be upon all in 1 Malaysia

" What have you contributed to your family, (and/or) your kin, your neighbours, your community, your friends (and/or) the society at large today? Nothing much? Nothing of great importance? Nothing worthy of mention? Nothing at all? Don't panic ... you're doing OK. You're a normal citizen in a normal society of a normal country!"

I was taken aback when an old friend of mine said those words to me quite recently. I thought he was trying to pull my leg. He always like to pull a fast one on people especially those close to him. This instance I just could not restraint myself from asking him a question. 

I asked why was that so.

He smiled and said,"Yeah, in truth you have contributed something you might not be aware of".

"How come?" was my next question.

"By not giving headaches and problems to people around you. At least you're not troubling society. That's what you have contributed!"

I knew he was sincere when he said those words. He was that simple in thought and action!

Surely you too have such friends...




Blog @: Bamuda d' SUARANG


Sekian . . . para pembaca yang budiman. Hingga bersua lagi tahun hadapan . . . selamat berbahagia.

Berazamlah terus menjadi warga Malaysia yang berbudi pekerti dan berhemah tinggi!



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Saturday, December 29, 2012

Bahasa Ibundaku




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


One atau Wan 


Duduk-duduk bersendirian menonton TV pagi tadi  . . . dan mendengarkan beberapa pengacara TV daripada berbagai saluran TV tempatan menyebut beberapa perkataan Inggeris . . . teman tiba-tiba terkenangkan 'kekecohan' yang timbul tidak berapa lama dahulu tentang isu hangat rakyat Malaysia  mesti fasih berbahasa Inggeris . . . mesti mempelajari bahasa Inggeris bersungguh-sungguh . . . jika pun tidak 'bermati-matian'! 

Semua ini kerana hendak menjamin generasi  yang akan datang tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan . . . terutama sekali dalam 'dunia' yang semakin galak berbahasa Inggeris sekarang.

Teman setuju saja dengan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia . . . khasnya bagi orang kita Melayu . . . tapi janganlah pula sampai wujud keadaan yang  'pelik-pelik' seperti contoh di bawah ini dalam kegigihan mencapai tujuan 'murni' itu. 

Sambil berusaha mengetengahkan kebiasaan 'bercakap omputih' . . . janganlah pula sampai kita lupakan budaya bahasa tok nenek yang sudah sebati dalam jiwa bangsa kita . . . terutamanya para pemastautin di desa-desa atau di daerah-daerah luar bandar (kampung le tu) . 

Janganlah juga kita masing-masingnya 'malu' atau tidak mahu langsung cuba meningkatkan keupayaan berbahasa ibunda kita sendiri (bahasa  Melayu le tu) . . . dengan mengamalkannya di tempat-tempat yang sepatutnya. 

Janganlah biarkan matlamat menghalalkan cara!

Tentang usaha mengetengahkan 'cakap omputih' ini  . . . teman rasa biarlah kena pada tempatnya juga. 'Tak berapa kena pada tempatnya' jika seperti dalam kisah berikut: 

Teman teringat akan suatu kisah lama . . .  kisah seorang kawan baik teman (orang Melayu le)  yang balik ke kampungnya di N9 bersama isteri dan anak-anaknya pada suatu ketika. 

Kawan baik teman itu dahulunya tinggal lebih daripada sepuluh tahun di Amerika Syarikat bersama isteri (juga orang Melayu) dan dua orang anaknya. Ketika itu anak-anaknya baru berusia 6 dan 8 tahun.


Kepulangan mereka sekeluarga sudah tentulah disambut meriah oleh sanak saudara di kampung . . . termasuk ibu kawan baik teman (nenek budak-budak tu le). Kenduri besar-besaran dan bacaan doa selamat diadakan sebagai menyambut ketibaan mereka itu.

Apa yang menyedihkan ialah . . . anak-anak kawan baik teman itu langsung tidak boleh berbahasa ibunda mereka. Tak fasih cakap Melayu le. Agaknya asyik berbahasa Inggeris saja di sana (salah siapa?).

Tak kisahlah tu. Apa yang ingin teman ceritakan  ialah kelucuan dalam salah faham yang terjadi apabila salah seorang daripada anak kawan baik teman tu meminta pisang daripada neneknya (yang dipanggil Wan di N9). Begini dialognya:


Budak: "Granny, do let me have one banana."

Wan: "Apa kato kau?. . . Wan (one) mana (banana)? Ini Wan ekau ha! Dah tak kona lai . . . Ha tulah poi lai lamo-lamo kek noghori omputih tu . . . dah tak suman jadi eh . . . "

Budak: (Sambil menunjuk kepada pisang dalam bakul di atas meja . . .) "One banana, one banana . . . I want one banana."


Untuk menyelamatkan keadaan . . . isteri kawan baik teman tu cepat-cepat menyatakan kepada ibu mertuanya:


Menantu: "Dia nak pisang tu mak!"

Wan: "Hantu kau jang . . . wan mana, wan mana (one banana) . . . tengkorak kau! Sobut pisang sumo orang faham , lahai."


Budak-budak itu terpegun. Entah apa yang mereka fikirkan. Tuhan saja yang tahu.

Aku pula berpegang kepada keupayaan berfikirku sendiri. Bagiku ini soal jati diri. Soal sama ada seseorang itu menitikberatkan bahasa ibundanya sambil lancar bertutur dalam bahasa asing!

'Alah bisa tegal biasa!' Aku bukan anti BI. Tapi penggunaannya biarlah kena pada tempat dan masanya.

Aku bolehlah bercakap omputih . . . sikit-sikit. Bagus tidaknya terpulanglah kepada penilaian orang yang mendengar aku berkomunikasi dalam bahasa itu.

Dahulu masa aku bersekolah Inggeris aku kena ambil peperiksaan dalam mata pelajaran English Literature. Aku belajar sastera Shakespeare le kata orang zaman tu! 

Alahai bukan nak tunjuk-tunjuk . . . tapi aku score jugak le dalam subjek tersebut . . . dan ini aku lakukan tanpa mengenepikan bahasa ibunda ku hingga jadi terpinggir!

Fikir-fikirkanlah . . . jika para pembaca yang budiman masih mencintai bahasa Melayu . . . bahasa ibunda bangsaku. 
















Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Wednesday, December 26, 2012

Menghargai Isteri





 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Harapanku , Luangkan Sedikit Waktu 



Menjelang tahun baru yang bakal tiba tidak beberapa hari lagi . . . 

Sabtu 12 Januari 2013 bersamaan 29 Safar 1434H yang mendatang akan genaplah 39 tahun usia perkahwinanku dengan Alimah Yasin.

Alhamdulillah . . . aku bersyukur.

Namun . . . aku tidak terlepas daripada memikirkan ada semacam sikap yang tidak berapa 'segar' atau 'sihat' menular di kalangan komuniti kita berhubung dengan melahirkan perasaan kasih sayang terhadap pasangan hidup masing-masing.

Kini . . . ramai pasangan yang setelah agak lama berkahwin . . . secara automatik menjadi seolah-olah 'segan' atau 'malu' menunjukkan kasih sayang antara mereka . . . pada hal mereka mungkin sahaja tidak bersikap sedemikian ketika baru-baru berkahwin dulu. 




Foto tahun 1974 di Tugu Negara KL

Telah lama aku perhati dan amati sikap yang negatif ini. Sejak zaman aku masih kanak-kanak. Sesungguhnya, mungkin jauh lebih lama daripada itu. Mungkin sejak zaman tok nenek kita lagi! Lama tu!

Apa yang aku perhati? Apa yang aku amati? Apa pula kesimpulan sendiri yang aku perolehi ?

Ketara sangat orang kita ni susah hendak mengucapkan kata-kata menyayangi seseorang khususnya orang yang amat dekat dengan diri mereka.

Ada kalanya . . . macam berat sangat mulut mereka itu untuk mengeluarkan kata-kata itu . . . apatah lagi memperlihatkan kasih sayang! 

Aku sendiri (sepanjang ingatanku) tidak pernah mendengar ucapan atau kata-kata 'sayang' daripada bapa, dan adik beradik atau ahli-ahli keluarga terdekat yang lain.

Ibuku jauh sekali! (Emak telah pergi dahulu buat selama-lamanya ketika aku berusia kira-kira 5 tahun. Bukan salah Emak. Aku pun tak pernah ingat kalau Almarhumah itu pernah berkata sedemikian). 

Kata sesetengah bijak pandai tentang hal-ehwal kekeluargaan (lebih tepat hubungan antara ahli-ahli keluarga terdekat) keadaan begini wujud kerana ramai yang 'malu' menyatakan atau menonjolkan perasaan masing-masing secara jelas dan ikhlas! 

Ada juga yang berkata keadaan ini disebabkan ramai yang menganggap pernyataan kasih sayang (khususnya antara orang yang terdekat hubungannya dengan seseorang) sebagai sesuatu yang 'remeh' dan sudah menjadi 'lumrah' diterima secara "faham-fahamlah sendiri". (Apa kata Omputih tu . . . something always taken for granted . . .) 

Ada pula yang bimbang dicap "mengada-ngada" (tambahan pula apabila mereka sudah dikategorikan sebagai golongan berusia 'senja' . . . ) andainya menunjukkan kasih sayang secara terbuka atau bersahaja  kepada ahli-ahli keluarga mereka sendiri. 

Entahlah, sepatutnya semakin tua . . . semakin yakin kita mempamerkan sikap yang positif ini agar dapat dicontohi generasi muda sekarang dan yang akan datang. Wallahuaklam.







Aku tetap berpendapat bahawa zaman 'segan' atau 'malu' yang tak menentu itu sudah berlalu . . . sudah sepatutnya lama menghilang . . . dan tidak harus menjadi penghalang lagi terhadap sikap positif memperlihatkan kasih sayang . . . asalkan kena cara dan tempatnya! 







Aku dengan rendah hati menasihati diriku sendiri  . . . dan menyarankan kepada para pembaca yang budiman . . . agar berusaha mengubah kebiasaan yang janggal dalam hubungan kekeluargaan kita . . . setakat yang terdaya dari segi perasaan (kerohanian) dan termampu dari segi kebendaan (material) . . . supaya tercapai sesuatu ikatan perhubungan yang lebih bersifat erat, mesra, ikhlas dan bermakna.

Pendek kata apalah luar biasanya kita menunjukkan atau menyatakan perasaan kasih sayang kita terhadap mereka yang paling rapat hubungannya dengan kita secara lebih jelas dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau malu!





Apa pun . . . itu pendekatan aku. Orang lain tentu ada cara mereka yang tersendiri. Terpulang. Terserah. "Rambut sama hitam, hati lain-lain," kata pepatah. 


Melalui penulisan ini aku ingin menyatakan untuk kesekian kalinya kepada ahli-ahli keluargaku bahawa aku, "Sentiasa Sayang Akan Kalian." 

Aku seterusnya berharap kalian dapat pula mencurahkan kasih sayang kalian kepada keturunan kalian nanti dengan cara yang jelas dan ikhlas lagi bijaksana, tanpa ragu-ragu atau malu!

Insya-Allah . . . terlaksana.







"Ya Allah . . . peliharakanlah seterusnya ikatan perkahwinan kami ini. Kurniakanlah kebahagiaan yang berpanjangan kepada kami sekeluarga. Berikanlah kami kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi segala ujian dan dugaan pada masa depan . . . dan kekalkanlah kami sebagai keluarga yang baik dan bersyukur." 



















"And . . . on this momentous occasion . . . my most sincere thoughts and warmest feelings of gratitude is dedicated to my beloved wife Pn Alimah Yasin for all that she had strived to make happiness possible and for practising d art of ensuring an undisturbed comfortable life for me and that of my whole family. Thank you many times over, dear."


Terbukti Sejati


Isteriku Alimah yang tercinta
sejak mula kita pernah bicara
tentang masa depan yang kita harapkan
empayar yang ingin kita tegakkan
risiko yang harus kita ambil
impian kita yang boleh jadi nyata
kalau mendapat restu keizinan-NYA
untuk nikmat kita bersama!

Alimah yang tercinta
lama sudah kita lalui susah senang kehidupan
ini salah satu cara dapat kusampaikan kesyukuran
mimpi kita nampaknya membungakan kenyataan
anak-anak jagaan kita besar sudah . . . Alhamdulillah
hidup dengan cara yang kita bina . . . agak sempurna

Yang tercinta
aku sering ingin memberitahu mu
naluri keinginanku bersama mu kekal . . .
gagal atau menyesal tidak pernah kukenal!

Tercinta
engkau terlalu banyak berbakti kepadaku dan keluarga 
rasanya tak terbalas olehku sebagai seorang suami biasa
cuma harapanku hidupmu terus selesa sehingga kini  
insya-Allah balasan daripada-NYA lebih berganda lagi
namun untuk hari ini aku tandakan bahawa peribadimu
terbukti sejati . . .
alhamdulillah kau benar-benar seorang isteri!


Abdul Majid Baharom
Ogos 12 2005
(dikemaskini pada Disember 25 2012)


Puisi di atas yang tertulis pada tahun 2005 merupakan antara penghargaan kecilku buat isteriku Alimah . . . yang tentunya tidak terbalas segala budinya terhadap kami sekeluarga. 

Semoga Allah swt sahaja yang memberkati  jasa baktimu. Amin.



















Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, December 25, 2012

Terkenang Resolusi Tahun Baru




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 


Ubah Pendirian Biar Bertempat


Biar aku ucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua terlebih awal. Semoga apa saja resolusi anda "tahun demi tahun" telah pun tercapai atau sekurang-kurangnya sedang menuju ke arah pencapaian.


Bercakap tentang azam tahun baru, aku sebenarnya sudah jemu dan sesungguhnya hampir-hampir berada di tahap meluat dengan soalan klise:

"Dah tercapaikah azam tahun lepas? Apakah pula azam untuk tahun ini?" 

Penat sungguh memenatkan!

Aku bukan nak cakap sangat fasal azam tahun baru. Aku nak cerita saja. Nak cerita bagaimana dulu aku pernah berazam tahun demi tahun untuk berhenti merokok. Setiap awal tahun aku bina azam. Hujung tahun azam tak pernah tercapai. Macam berniaga buluh kasap ... hujung lepas pangkal lesap! Tak tercapai apa pun.








[Aksi-aksi seorang perokok tegar ketika berada di mana-mana ]


Aku memang perokok tegar. Sudah lebih daripada 30 tahun aku merokok. Setiap hari aku memerlukan paling kurang 4 kotak rokok . . . 20 batang rokok setiap kotak! 

Aku termasuk di dalam golongan 'chain smoker'. Aku menghisap rokok bertali arus terutamanya apabila aku sedang melaksanakan tugas-tugas penerbitan . . . sebagai seorang editor.







[Lagi aksi penulis merokok di mana-mana pada zaman dahulu. Zaman sebelum "Tak Nak"]


Berakhir tahun 1999 . . . menjelang pula tahun 2000. Aku berasa amat gembira. 

Aku gembira kerana sudah mula mendapat kekuatan diri untuk berhenti merokok. Alhamdulillah . . . Tuhan telah membukakan pintu hatiku untuk berbuat demikian pada ketika zaman sedang beralih ke alaf (milenium) baru.  

Dan . . . akhirnya aku behenti merokok. STOP!

Aku bangga dan gembira kerana tahun 2000 itulah juga merupakan tahun aku bebas daripada kongkongan pekerjaan rasmiku.

Dalam pengertian mudah , aku sudah pencen! Mungkin aku gembira sebab nanti aku tak perlu bayar lagi harga yang tinggi untuk rokok ... dan paling penting tak perlu nanti kena bayar harga tertinggi untuk nyawaku!

Aku berhenti di sini dahulu. Nanti aku ceritakan pula cara aku berjaya berhenti merokok. Tu..ng..gu..uuuuuu.

Buat sementara waktu aku tidak malu menunjukkan perubahan pendirian secara mendadak. Aku juga tidak menyesal berbuat demikian. 


Mengapa aku harus malu atau menyesal berubah pendirian?Aku bukan ahli politik . . . atau wakil rakyat . . . yang berubah  kem atau yang melompat parti. Aku bukan pemimpin yang menjual hak. AKU HANYA SEORANG PEROKOK yang sudah insaf . . . seorang perokok tegar yang kini berubah pendirian.

Pesanku kepada yang masih merokok . . .  ubahlah pendirian . . .  kerana perubahan ini kena pada tempatnya!


Renung renungkan . . .












Bamuda 
dsuarang.blogspot.com