Monday, February 11, 2013

Dulu dan Sekarang (3)



    

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera



Kita sambung lagi sembang-sembang tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang.


Dulu: 

Orang kita mengamalkan cara hidup mudah. Biasa sahaja. Mereka bersekolah, belajar atau bekerja pada siang hari dan beriadah atau bersukan pada sebelah petang (jarang-jarang sangat mencecah malam) .

Mereka patuh dengan kehendak hidup yang lumrah di alam ini!

Mereka bijak menggunakan waktu. Mereka tetap punya masa untuk beramal ibadat dan menjalani hidup bermasyarakat. 

Kalau lain daripada cara hidup yang begitu, orang dulu-dulu akan dicap sebagai manusia berperangai ganjil atau pelik. Lebih teruk mereka dikatakan menjalani hidup ‘songsang. 



Sekarang: 

Orang kita dah tak peduli waktu. Siang asyik buat macam-macam sampai dah tak ada masa. Waktu yang tinggal hanya pada sebelah malam . . . atau biasanya melewati dinihari (kadang-kadang menjelang subuh atau selepasnya!)

Jadi aktiviti bersukan kenalah dilakukan pada waktu yang dulunya orang di muka dunia ini sedang nyenyak tidur.

Tetapi tidak pula timbul sebutan atau teguran terhadap gaya hidup yang dahulunya dikatakan ‘songsang’.

Malah bermain futsal kini sudah merupakan suatu trend bagi orang sekarang. 

Tak apalah asal jangan ‘songsang’ lain . . . asalkan jangan sampai tidak mampu bangun untuk bersolat subuh . . . atau siangnya asyik berterusan tidur hingga susah nak bangun untuk lain-lain ibadat.

Bangun-bangunlah sementara boleh!



Orang dulu-dulu main congkak bawah rumah dan main dam haji dalam rumah . . .  itu pun hanya pada waktu lapang .

Waktu berjaga tetap berjaga dan waktu tidur pula mesti tidur . . . bukan vice versa.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Sunday, February 10, 2013

Dulu dan Sekarang (2)



  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Kita sembang lagi tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang.    


Dulu: 


Orang kita tidak berani naik satu basikal dua orang (sama ada menumpang di palang hadapan atau duduk di atas carrier belakang).

Mereka tidak boleh berbuat demikian kerana ada semacam ‘kebiasaan' peraturan lalulintas yang tidak membenarkan perbuatan itu. 

Polis akan mengejar lantas menahan mereka yang melakukan ‘kesalahan’ itu. Apabila ‘tertangkap’ . . . nasib tidak baik . . . orang dulu-dulu yang melanggar ‘peraturan’ itu boleh dibawa ke balai polis dan dikenakan tahanan atau denda. 


Sekarang: 


Polis nampaknya memang tidak berapa kisah jika ada orang kita yang naik basikal dua orang (apatah lagi sekarang sudah amat kurang basikal digunakan oleh orang kita!) 

Tetapi . . . malangnya orang kita kini beralih pula kepada perbuatan bebas menaiki motosikal dengan muatan lebih daripada dua orang (tiga atau empat orang pun ada!) 

Mereka tidak pula dikejar atau ditahan oleh polis seperti yang dilakukan kepada orang yang ‘bercarry’ naik basikal dulu-dulu. 

Mengapa ya? 

Mungkin motosikal sekarang dah terlalu banyak macam basikal pada masa dulu. Siapa pun boleh tunggang . . . tanpa lesen dan tanpa menghiraukan soal had umur layak   atau pemahaman undang-undang atau peraturan jalan raya dan lalulintas. 

Atau, agaknya polis nak kejar pun dah tak larat. Motosikal kan lebih bergerak cepat! 

Mungkin juga polis dah terlalu banyak kerja lain yang hendak diuruskan! 

Orang kita pula agak-agaklah sedikit . . . janganlah menunggang motosikal nak disamakan pula dengan menaiki basikal . . . termasuklah tak payah pakai topi keledar. 

Kepala dah keras? Atau . . . dah keras kepala? 



Apo kato ekau Jang? Suko atilah?

Teman nulih ni pun suke-suke aje . . . 

Cakap pun tak guna . . . tentu dah berbuih mulut mak bapak masing-masing menasihat . . . atau mak bapak tu yang memerlukan nasihat . . . apabila ada pula di antara mereka yang dengan selamba membawa lebih dua atau tiga orang penumpang di atas motosikal masing-masing.

Atau . . . lebih hebat lagi . . . ada ibu bapa yang meletakkan anak kecil mereka di atas riba sambil mereka memandu kereta. 

Kadangkala tangan anak itu berpaut kepada stering kereta itu seolah-olah beraksi memandu juga.

Mungkin saja anak itu hendak dilatih menjadi co-driver rally racing dari bayi lagi . . . ya lah kata orang nak melentur buluh biar dari rebungnya atau nak pupuk skill biar dari zaman bayi . . . hmm. 



Bamuda
dsuarang.blogspot.com



Saturday, February 9, 2013

Dulu dan Sekarang



   

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera 



Mari kita sembang sedikit-sedikit tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang. 


Dulu:   
     
Orang kita tidak boleh dilihat bercakap-cakap seorang diri sambil ketawa atau beraksi angkat tangan, tuding jari, goyang kepala dsb sepanjang berjalan di mana-mana tempat pun apatah lagi ketika memandu atau mengendalikan sebarang jenis kenderaan.

Mereka yang sedemikian akan dicap tak berapa siuman atau gila! 


Sekarang: 

Orang kita dengan selamba berbuat demikian tetapi tidak pula dicap tak berapa siuman atau gila seperti dilakukan terhadap orang dulu-dulu. 

Mengapa begitu? Apa yang menyebabkan mereka boleh berbuat demikian?

Kuasa telefon bimbitlah jawapan! Telefon bimbit dah jadi teman setia sepanjang perjalanan ramai orang sekarang. Usah peduli bahaya yang mengancam! 



Apa pandangan anda? Lain kali kita sembang lagi.



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Thursday, February 7, 2013

Apa Nak Jadi





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Budaya Manusia Bertamadun?


Pagi tadi . . . ketika membelek-belek akhbar Utusan Malaysia . . . perhatianku tertarik kepada suatu paparan berita di muka 16 akhbar tersebut. Paparan berita itu bertajuk "Ahli Parlimen sokong perkahwinan sejenis". 








Ada pula foto yang menunjukkan ahli-ahli Dewan Rendah Parlimen Britain sedang mengundi untuk menyokong undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis.








Astaghfirullah . . . aku didatangi kejijikan yang serta merta!

Aku tertanya-tanya kepada diri sendiri. Apakah ini budaya unggul yang diidamkan lantas diamalkan oleh manusia moden yang menganggap diri mereka cukup bertamadun? 

Dalam benakku . . . terlintas juga alasan yang sering kedengaran dilaung-laungkan mereka yang kononnya mendukung prinsip Hak Asasi Manusia!

Aku terfikir selama mana lagi mereka yang bertamadun ini hendak berselindung di balik  tabir hak kemanusiaan yang diheboh-hebohkan itu.

[Mudah-mudahan sahaja pengaruh daripada amalan luar tabii ini tidak dibiarkan berleluasa menular ke negara kita yang tercinta.] 

Aku seterusnya terfikir lagi . . . lebih baik pula sang haiwan yang tidak begitu didukung hak asasinya. Sekurang-kurangnya haiwan tidak berkahwin sejenis!

Nauzubillahi . . . 










Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Wednesday, February 6, 2013

Sahabat Haj Bertemu Lagi




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Tetamu dari Negeri di Bawah Bayu


Selagi Allah swt mengizinkan . . . pertemuan antara insan pasti terjadi.

Benarlah kata orang . . .  jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Ini memang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun.

Sebaliknya tanpa ditakdirkan 'jadi' oleh Allah swt dengan fiman-NYA  kun fayakun (jadi, maka jadilah) . . . sesuatu majlis atau pertemuan pasti menemui jalan kebuntuan atau gagal terus . . . sekalipun setelah diatur segala perancangan dan persiapan paling rapi dan teliti!

Maka aku bersyukur apabila doaku untuk bertemu lagi dengan sahabat-sahabat Haj aku mendapat keizinan-NYA.

Alhamdulillah pada hari Ahad 3 Februari 2013 bersamaan 22 Rabiul Awal 1434H Tuan Hj Salleh Ibrahim dan isteri beliau Pn Hjh Juliah Partono dari Kota Kinabalu, Sabah telah sempat berkunjung ke rumahku.







Tuan Hj Salleh Ibrahim









Pn Hjh Juliah Partono (kiri) dan Tuan Hj Salleh Ibrahim





Mereka sudi berada di rumahku dari kira-kira jam 1:30 ptg hingga 4:30 ptg. Aku sekeluarga pula senang menerima kehadiran mereka.

Pertemuan kami ini merupakan pertemuan semula kali kedua setelah kami berpisah daripada mengerjakan ibadat haji pada tahun 2011.

















Saling bertanyakan khabar dan bersembang-sembang . . . 


















Banyak benar kisah kenangan di Tanah Suci 2011 . . . 






yang tidak mudah dapat dilupakan dua sahabat ini . . . 







Hjh Alimah dan Hjh Juliah





Kali pertama dulu . . . pada tahun 2012 . . . kami bertemu di Melaka ketika mereka berdua datang ke Melaka kerana menguruskan majlis perkahwinan anak lelaki mereka (Mohd Fairuz aka Johan) di Kuala Sungai Baru (KSB).

Kali kedua ini . . .  kami bertemu di d'SUARANG pula. Tuan Hj Salleh dan Pn Hjh Juliah langsung sahaja ke Kuala Lumpur setelah bertandang ke negeri Hang Tuah yang penuh bersejarah . . . untuk mengesahkan status mereka sebagai "datuk" dan "nenek" kepada seorang cucu perempuan di sana . . . hasil perkongsian hidup Johan dan isterinya yang berkahwin di KSB pada tahun 2012 itu.















Berbual lagi sambil menjamu selera . . . 
















Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sepanjang kunjungan mereka ke Semenanjung. Kalau pun ada kekurangan yang dirasakan . . . maka kekurangan itu terletak pada kesuntukan waktu kami bertemu itu.

Masa terasa berlalu begitu pantas hingga tanpa disedari kami terpaksa berpisah lagi . . . mudah-mudahan untuk bertemu semula pada lain ketika. 









Sebelum berpisah . . . 






Dalam kehidupan ini . . . bertemu dan berpisah . . . adat yang lumrah. Silaturahim antara sahabat . . . biarlah terpelihara . . . erat dan berkat. Amin. 



Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.




Bamuda
dsuarang.blogspot.com