Saturday, November 21, 2015

Hari Istimewa Yasirah & Mohamad







Assalamualaikum
Selamat Sejahtera





Terima Kasih Daun Keladi














 





Sabtu 21 November 2015 bersamaan 9 Safar 1437H . . . suatu resepsi perkahwinan telah berlangsung di rumah Tuan Hj Mohd Yunus bin Ismail & Pn Hjh Norehan binti Buyong. 


Majlis diadakan untuk meraikan pasangan pengantin baru Nurul Yasirah bt Mohd Yunus & Mohamad bin Mohamad Rashid. 


Pengantin perempuan anak kepada Hj Mohd Yunus & Hjh Norehan. Pengantin lelaki pula anak kepada Tuan Hj Mohamad Rashid bin Nawang & Pn Hjh Normahdiah binti Sheikh Said. 






Adat berkunjung . . .  

 Penulis menemui Tuan Hj Mohd Yunus Ismail
bapa pengantin perempuan (tuan rumah berbaju kuning) 






Ke meja makan . . . 

Tuan Suhaili Baharuddin dan anak beliau Aimi 
baru selesai mengambil makanan yang terhidang








 . . . mari kami temankan 

dari kiri:
Alimah, Penulis, Ramli , Asmah








Sembang keluarga . . . 

Sesi bual bicara begini sering terjadi apabila sanak saudara berkumpul







. . . sembang penuh mesra 

dari kiri:
Alyn, Alimah, Penulis, Ramli, Asmah







Sembang tak henti . . .




. . . sembang penuh erti 







Sembang sepanjang hari . . .  hihihi

dari kiri: 
Alimah (membelakang kamera),Penulis, Ramli,
 Asmah, Aimi, Siti Sarah, Suhaili, Rashidi  







Sebelum berangkat pulang . . .
 pose bersama pasangan tuan rumah (berbusana kuning)

 




Hingga  kita bertemu lagi . . .


Terima kasih daun keladi, 
Yunus dan Norehan suami isteri; 
kalau tak serik di dalam diri,
undang-undanglah kami lagi!








. . . sanak saudara yang dikasihi. 


dari kiri:
Hafiz, Penulis, Yunus, Suhaili







Terasa gembira walau pun penat . . .  






Tertunailah sudah niat dan hajat . . .   


ALHAMDULILLAH 
semoga berkat



bamuda
dsuarang.blogspot.com



Wednesday, November 18, 2015

Kongsi Post Azmira Amran



Assalamualaikum 
n
 Selamat Sejahtera






Menuntut ilmu atau mengumpul A?
9 hrsEdited
Edisi UPSR: Ilmu tidak boleh disamakan dengan bilangan A.
Memang Finns tak peduli pasal exam pun, diorang belajar sebab seronok, sebab hari-hari bermakna. Hari-hari belajar benda baru macam hidupkan api kayu, belajar pasal Malaysia, cara buat robot etc. Why do you think I came to Finland? 9000km away from emak and abah, just to learn the secret of Finnish education system! Bila dah tau, saya rasa kecewa sebab silapnya bukan sebab guru kita tak pandai, bukan sebab org kementerian semua jahat, bukan sebab anak kita bodoh, tapi sebenarnya kita terperangkap dengan sistem sosial kita sendiri.
Kalau nak dengar benda benar, meh saya bagitau benda yang saya belajar setahun lebih belajar pasal education system kat Finland ni. Tapi sila telan sebab pahit:
1) Sekolah adalah tempat belajar bukan medan ranking. Di Finland, sistem exam tiada, sebab semua sekolah di Finland, mempunya satu ranking sahaja, iaitu equal / sama rata. Tiada sekolah terbaik Finland atau sekolah tercorot Finland. Hantar je anak kat mana-mana sekolah dalam Finland, standard dia sama. Takde kelas pandai, takde kelas 'belakang'. Kat Malaysia, kita sibuk dengan ranking sekolah terbaik di Malaysia. Sekolah yang terbaik dapat tajaan, dapat partnership etc dan guru-guru stress sebab nak kekalkan ranking, sebab nanti ibu bapa bising kalau pencapaian merudum. Bila ibu bapa bising-bising, guru besar stress, bila guru besar stress, guru-guru pula stress, diorang paksa murid2 telan ilmu (bukan belajar ilmu) melalui hafalan dan cara jawab exam dan pastu murid-murid pula stress. So bilanya nak belajar? Yang ibubapa sesetengahnya, cakap tak kisah anak dapat berapa A. Tapi lepas tu masih lamenting the fact anak dia 'kurang sikit' dari anak orang lain, sebab tu tak dapat masuk asrama. Come onnnn.
2) Jenis ilmu yang dipelajari. Di Finland, mereka menekankan kepentingan belajar benda yang boleh diaplikasikan dalam dunia sebenar. Sebab tu banyak project-based. Dari zaman tadika lagi, guru dah bawa masuk hutan untuk belajar pasal jenis-jenis kulit pokok. Seminggu belajar pasal tu je. Dalam kata lain, diorang menggunakan KBAT dalam seharian, tp takde pun diorang labelkan KBAT tu. Kat Malaysia? Heboh dengan KBAT, tp tak paham konsep KBAT. Siap buat exam on KBAT! Really? Tu tak masuk ibu bapa call guru besar sebab kelas anak dia, cikgu tak habis lagi Chapter 9 dalam textbook sebab kelas sebelah dah start Chapter 10. Heboh pula sebab dalam test takde pun keluar sebijik macam textbook?
3) Kat sini takde exam sebab grade bukan penentu kecemerlangan. Di Finland, umur habis tadika pun ramai lagi yang tak reti membaca. Kerja diorang dalam kelas, bermain. Sebab dari main tu lah diorang belajar mengenai interaksi sosial, belajar mengenai akhlak dan etika, belajar mengenai alam, belajar mengenai sains dan matematik dan bahasa. Kat Malaysia, anak kurang dapat A dalam UPSR dah menggelabah sebab tak dapat masuk asrama. Siapa yang buat sistem ranking sekolah berasrama ni in the first place? Siapa yang buat sistem kasta ni? Dan tanya diri sendiri sebagai parents, siapa yang paksa2 anak-anak untuk masuk sistem kasta ni? Tanya betul-betul kat diri sendiri, berapa banyak soalan dalam exam UPSR tu membantu budak-budak mengenali dunia sekeliling? Bila kementerian nak abolish UPSR, masing2 mengamuk. Tapi nak jadi Finland. Truth is, we cannot. Sebab dah jauh terperangkap dalam traps yang kita sendiri bina.
4) Sistem ekonomi di sini membantu rakyat dia untuk fokus mengenali diri sendiri. Duit bukan kepentingan, sebab kat sini kalau lepas graduate tak dapat cari pekerjaan, government akan bayar elaun sementara diorang dapat kerja. Ibu2 melahirkan anak pula cuti setahun, dengan gaji dibayar government. Orang-orang miskin dapat bantuan. Orang-orang yang sakit belakang sebab kerja lama sangat dapat bantuan urut dari health centre. Orang-orang yang stress diberi cuti sehingga hilang stress.
Pelajar-pelajar pula dapat peluang belajar dari tadika sampai phd - FREE dan dapat elaun bulanan untuk tolong pelajar bayar sewa rumah dan makan. Kat Malaysia?
Look, jangan tersilap yang saya ni cakap orang Finland rasa akademik tak penting. Orang sini majoriti mempunyai minimum masters degree. ILMU tu penting. Grade A yang tak penting.






Catatan:

Terima kasih Azmira Amran kerana mengemukakan pandangan yang berterus terang begini. Mudah-mudahan pihak berwajib di negara kita dapat memikirkan sesuatu tentang apa yang baik atau sebaliknya buat generasi kita pada masa yang mendatang.


I've had some earlier thoughts of my own on our examinations issues . . . the needs of having them and the goals we're heading towards. And, I've jotted down some of these thoughts of mine from some other perspectives . . . perhaps the real reasons most of us craved for A's being scored by our children in their respective examinations and perhaps the 'wants' to outdo each other! 

Sad to say . . . no two hoots are given to the real purpose of education itself . . . except for scoring in examinations!


Apa pun . . . diperturunkan sekali lagi sebuah entri lama drpd blog dsuarang tentang isu peperiksaan sekolah yang sebegini. Sudilah membaca dan memahaminya. Terima kasih.




Monday, November 2, 2015



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Sebenarnya 'A' Untuk Siapa?
(ulangan cerita lama setiap kali musim peperiksaan tiba. . . )



Musim peperiksaan sekolah tiba lagi. Murid-murid 'bertungkus-lumus' dan 'bergelut' menggunakan akal sedaya upaya menghadapi peperiksaan.

Lebih tepat kalau dikatakan 'bertarung' memeras minda untuk mencapai keputusan terbaik (jika tidak pun yang terunggul) dalam peperiksaan mereka masing-masing. 


Pihak media cetak dan elektronik tempatan juga tidak putus-putus menyiarkan berita tentang perkara ini. 


Ternyata sudah menjadi 'terlalu utama' hal peperiksaan begini . . . lebih-lebih lagi hal nak skor sebanyak-banyak 'A' . . . kalau boleh semua sekali!


Saya teruja mencatatkan sedikit kenangan / pemerhatian tentang hal peperiksaan sekolah. Sedikit pandangan . . . situasi dahulu dan sekarang. 


Saya percaya para pembaca juga ada kenangan (dan pandangan) masing-masing dalam hal peperiksaan seperti ini . . . 


Catatan yang saya buat di sini bukan bertujuan menidakkan kepentingan peperiksaan sekolah. Cuma saya berharap dapat mencetuskan sedikit 'keterbukaan' minda tentang fenomena peperiksaan ini. Kesannya terhadap nilai hidup warga Malaysia sendiri.

Kesan yang boleh dijadikan iktibar (kalau mahu) kepada kita semua dalam usaha mengejar kejayaan yang sebenar dalam hidup ini !





Keratan Akhbar 
(Harian Metro Isnin 2 November 2015)



Dulu ibu bapa tidak peduli sangat atau tidak mengambil berat sama ada anak mereka mendapat pelajaran yang secukupnya di sekolah.

Ibu bapa hanya menghantar anak ke sekolah untuk belajar supaya bila dewasa nanti boleh dapat kerja dan boleh sara hidup sendiri.

Ibu bapa juga berharap anak mereka dapat membantu mereka meringankan 'beban' keluarga yang ditanggung (setelah mereka bekerja nanti.)


Apa yang mereka tahu atau ambil berat ialah anak itu mesti lulus periksa. Asal lulus cukup. Tak lulus kena hukum. Dapat hadiah 'roti panjang' (istilah orang dulu-dulu untuk sebatan dengan rotanlah tu!)

Tak pernah kecoh di mana-mana fasal dapat berapa banyak 'A' dalam apa-apa peperiksaan pun! Tahu-tahu anak itu dah habis sekolah. Jadi orang juga!

Ramai yang setelah dewasa dan berkeluarga tahu tanggung jawab menanggung dan membimbing ahli keluarga mereka.

Ramai orang besar-besar atau orang kenamaan sekarang adalah merupakan hasil didikan keluarga zaman dahulu.


Memang kita akui pendidikan dan pelajaran asas penting untuk memajukan para anggota sesebuah masyarakat.

Tetapi . . . tak semua mereka yang berjaya sekarang mendapat semua 'A' dalam setiap peperiksaan yang mereka duduki!

Tak semua pula mereka yang mendapat berpuluh-puluh 'A' dalam setiap peperiksaan yang mereka ambil . . . berjaya dalam hidup mereka!


Jadi bersederhanalah hendaknya dalam 'meraikan' kejayaan dalam setiap peperiksaan sebegini pada setiap kali tahun berlakunya.

Kadang-kadang terasa macam kita terlalu menghebohkan sesuatu 'pencapaian' awal yang belum pasti menjanjikan 'pencapaian' sebenar pada akhirnya!


Sekarang anak sekolah mesti pergi kelas tambahan. Mesti pergi tuisyen. Mesti menghafal dengan tepat apa yang dipelajari. Mesti mengulangkaji setiap pelajaran dengan tidak jemu-jemu. Mesti jadi murid terbaik (walaupun di luar kemampuan mereka!)

Mesti skor semua 'A'. Mesti bercita-cita tinggi. Mesti jadi doktor, peguam, jurutera atau akauntan ... dan banyak 'mesti-mesti' lain lagi.

Kalau anak malas belajar, ibu bapa yang menggantikan tempat mereka itu !


Ibu bapa merancangkan segala aktiviti pembelajaran anak supaya mereka tiada alasan untuk menolak 'penyiksaan' atau 'penderaan' mengasah minda hingga tajam.

Ibu bapa yang tetapkan sasaran yang anak mesti capai (skor paling hebat atau dahsyat ditetapkan oleh ibu bapa moden sekarang ke atas 'ayam sabung' masing-masing.)


Apa tak 'ayam sabungnya'? Berlawan-lawan nak lebih baik daripada anak-anak sekolah yang lain.

Kadang-kadang kerja untuk aktiviti ko-kurikulum pun ibu bapa yang buatkan ... kadang-kadang tok nenek pun jadi mangsa untuk buat kerja cucu!


Kalau dapat 10 hingga 20 'A', maka kembang kempislah hidung ibu bapa menahan bangga! Kalau kurang berjaya cuba lagi bermati-matian lain kali. 


Jangan terkejut, ada ibu bapa yang sanggup 'bertunggu bertangga' kalau pun tidak 'berumah' di sekolah demi kemajuan anak mereka. 

Tak buat gitu nanti tak berjaya pula. Pada mereka ini, kalau nak berjaya dalam hidup seseorang murid mesti skor 10 atau 20 'A' atau lebih . . . straight 'As'!


Kesimpulannya murid sekarang mesti berhempas pulas 'skor' untuk ibu bapa. Untuk kepuasan ibu bapa mereka, tidak syak lagi. 


Nanti senanglah si ibu bapa itu nak beri tahu orang ... anak mereka bijak ... bolehlah pula buat perbandingan dengan orang lain yang anaknya tak berapa 'skor'.


Nanti bolehlah tanya,


"Anak U macam mana ... dapat berapa A?"


" Anak I ... ... ... tak sangkalah ... dapat semua A ... I ingat habis kuat, dua tiga A saja".


Atau, nanti boleh keluarkan kata-kata simpati atau beri semangat konon kepada orang yang anaknya kurang mendapat berpuluh A ... 


"Kesian anak si polan itu ... tak tahu macam mana dia tak dapat A ... Dia taklah tak pandai sangat , tau...".


"Tak apalah U, cuba lagi pada masa depan... nasib baik anak U dapat B (atau C ...)"


" Anak si polan tu lagi teruk ... entah apalah nak jadi nanti..."


Ironinya, mereka yang heboh hendakkan anak mereka maju dalam pelajaran di sekolah (akademik) tidak pula berusaha memastikan anak-anak mereka itu terdidik dalam hal ehwal kerohanian atau kegamaan ... tidak dilatih anak-anak itu berbudi bahasa atau berhemah tinggi.

Tidak dilarang anak-anak itu terpengaruh dengan budaya samseng atau budaya kuning. Tidak dibimbing mereka menolak ajaran songsang.

Tidak dielakkan mereka daripada pemahaman mendapatkan sesuatu dengan jalan kekerasan ...


Pendeknya, ada banyak kes dalam mana anak-anak yang mendapat berpuluh-puluh 'A' itu tidak diasuh supaya boleh dan pandai menggunakan kecerdikan atau kebijaksanaan mereka dengan cara yang betul untuk menjadi pemimpin masa depan yang benar-benar boleh dipanggil bakal pewaris negara Malaysia.


Janganlah semakin bijak semakin tidak menghormati orang lain pula. Janganlah kerana sudah terlalu bijak tidak pula sayang kepada agama, bangsa dan negara sendiri. 


Belajarlah menjadi tukang skor berpuluh-puluh 'A' juga dalam banyak lagi bidang untuk kesempurnaan hidup di dunia ini ... yang akhirnya ... membawa ke akhirat jua!


Fikiran, pandangan, pertimbangan, sikap dan tindakan mesti turut bertaraf 'A'!


Sekadar sama-sama beringat. Terima kasih.




bamuda
dsuarang.blogspot.com

Saturday, November 14, 2015

1999 - Baru Tak Nak!






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


(ulang terbit entri blog 
Hendak Seribu Daya
Sunday, January 3, 2010)



Akhirnya 'Tak Nak' Jua *


* (Penulis seorang perokok tegar sejak awal 70-an hingga akhir 90-an. Menjelang akhir tahun-tahun 90-an penulis menghisap 4 packs of 20's per day!)








Seperti yang aku janjikan . . . ini lanjutan cerita bagaimana aku berhenti merokok. Tidak ada sebarang petua yang aku ikut. Tiada apa-apa pantang yang aku turut. Aku cuma berpegang kepada ketabahan hati dan keazaman diri. Aku percaya dengan ungkapan "Hendak Seribu Daya". . .

Dulu pada suatu ketika dalam tahun-tahun 80-an aku pernah berhenti merokok. Aku cuba mengunyah bunga cengkeh dan memakan gula-gula dsb. kononnya sebagai ganti. 

Tak menjadi. Lepas empat bulan berhenti, aku merokok kembali. Malah makin menjadi-jadi. Tak mujarab. Aku merokok semakin kerap!

Aku terfikir akan suatu resmi biasa manusia. Barang yang mudah dapat mereka tak suka. Barang yang sudah terlalu banyak jadi tidak berharga. Sesuatu yang berlebihan boleh memualkan.

Aku terfikir lagi apa salahnya aku cuba 'membosankan' diriku dengan melihat terlalu banyak rokok di merata-rata kelilingku. Baik aku praktikkan teori mudah sendiri-sendiri ini.

Aku pun membeli berkatun-katun rokok. Aku biarkan tersimpan di sana sini. Lantaklah terletak di mana pun. Aku biarkan saja kotak-kotak rokok yang belum dibuka, yang penuh, yang separuh penuh,yang hampir kosong dan yang sudah kosong tersepah di merata-rata.

Di rumahku, di pejabatku, di dalam keretaku. Pendeknya di mana-mana tempat kebiasaanku. . . Aku akan terlihat rokok, rokok dan rokok!

Rokok yang telah aku hisap seluruh atau separuh akan aku biarkan bertaburan di tempat-tempat kebiasaanku yang tersebut tadi. Aku tak benarkan sesiapa mengemas tempat-tempat itu. Aku tak mahu puntung-puntung rokok itu dibuang.

Paling drastik . . . apabila aku teringin sangat hendak merokok aku letakkan saja sebatang rokok di bibirku. Aku biarkan rokok itu berada di bibir selama waktu yang aku mahu. Aku tidak menyalakannya! 

Biasanya tembakau rokok itu akan basah dan rokok menjadi lembut atau patah kerana disalut air liur secara berterusan. Bau tembakau yang bersalut air liur . . . tahu-tahu sajalah . . . memang tidak menyenangkan!

Aku ingat aku selalu berbuat demikian ketika memandu kereta dari rumah ke pejabat pada setiap hari bekerja. 

Jarak perjalanannya tidak jauh. Hanya kira-kira 50 kilometer. Tetapi, laluan merentas jalan yang sentiasa sesak dengan 'jam' dan seribu satu macam kerenah pengguna jalan raya memang mencabar kesabaran. Dan, ketika itulah pula aku sentiasa ketagihkan rokok! 

Aku akan melakukan perkara yang serupa berturut-turut hari, minggu dan bulan. Sepit rokok yang tidak dinyalakan api pada celah jari atau bibir.

Aku juga masih ingat akan ada mempunyai sebatang rokok yang tidak dinyalakan tersepit sama ada di celah jariku ataupun di celah bibir hampir setiap waktu aku berihat atau bekerja. 

Pada waktu-waktu begitu ramai ahli keluarga dan kawan-kawanku agak kehairanan melihat telatah aku. Mereka selalu menegur kenapa aku tidak menyalakan api pada rokok yang macam hendak aku hisap itu! 

Mereka mungkin ingat aku terlupa berbuat demikian . . . Pada hal mereka inilah juga yang kuat mendesak aku supaya berhenti merokok. 

Agaknya mereka sudah bosan menasihati aku. Lantas pegang saja pada ungkapan Inggeris,"You can't beat them join them". Mujur mereka itu tidak ekstrem sampai terikut jadi perokok pula!

Sesungguhnya (pasti dengan izin-NYA jua), lama-lama usaha aku itu berkesan. Aku jemu melihat rokok. Aku hilang rasa ketagih terhadap rokok. Kepada asap rokok pun aku sudah tidak sudi. Aku jadi benci. 

Aku tidak teragak-agak. Aku dah 'Tak Nak' (curi ilham iklan nasihat KK le sikit).













Sekian ceritanya. Pengalaman aku tentang usaha berhenti merokok. Ini cara aku sendiri. Aku lakukan semampu aku. Kalau nak cuba ... ... ... cubalah.

Atau, kalau ada cara lain yang lebih sesuai ... ... ... lakukanlah. 



PEROKOK BOLEH Insya Allah! 










bamuda
dsuarang.blogspot.com


Di Rumah Berbudi, Di Jalanan Pembuli






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera






Kita sembang lagi tentang ‘resmi’ atau ‘amalan’ orang Malaysia dulu berbanding sekarang.

Kali ini tentang perubahan mendadak sikap ramai pemandu di negara kita . . . sebaik sahaja mereka memandu di jalan raya!

Dulu orang kita betul-betul belajar memandu kereta, van, lori, atau treler, dsb.

Pengajar dari sekolah memandu tegas mengajar cara memandu yang betul dan selamat. 

Undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalu lintas mesti dipatuhi. Para pemandu lain perlu dihormati apabila sama-sama menggunakan jalan raya.

Banyak perkara diajar walaupun nampak remeh. Pemandu kenderaan kena tahu apa yang diperlukan daripada mereka.

Bukan setakat ambil kunci kereta dan terus memecut secara tergesa-gesa atau terburu-buru.

Bayangkan pada waktu dulu cara memberi signal atau isyarat ketika memandu pun ditunjuk ajar oleh pengajar dengan terperinci.

Dulu tiada signal automatik . Kena pakai signal tangan. Kena buka tingkap. Kena hulurkan tangan keluar dan tunjukkan isyarat hendak membelok ke kanan atau ke kiri. 

Kena tunjukkan isyarat tangan untuk memperlahankan kelajuan kenderaan atau isyarat untuk berhenti, dll.

Orang dulu-dulu tetap menuruti nasihat pengajar dari sekolah memandu itu. Paling penting mereka mengamalkan apa yang telah diajarkan. 

Sekarang orang kita dah tak ambil berat tentang pentingnya beretika apabila memandu di jalan raya.

Memandu di bulatan (round about):

Ramai pemandu tidak tahu atau tidak mahu tahu (atau tidak diajar?) siapa harus lalu dahulu dan siapa pula kemudian. 

Kebanyakan mereka tak peduli bahawa sepatutnya pemandu kenderaan yang berada di sebelah kanan mereka yang harus diberikan laluan dahulu. 

Memandu keluar dari jalan kecil ke jalan utama:

Ramai pemandu terus sahaja keluar dari jalan kecil ke jalan utama tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah jalan utama itu.

Maka selalu berlaku perlanggaran. Tercetus pertengkaran atau pergaduhan.

Sepatutnya pemandu dari jalan kecil itu tahu memberi jalan kepada pemandu kenderaan yang bergerak di sebelah kanannya di atas jalan utama itu.

Memandu sambil menggunakan telefon bimbit: 

Ramai yang melakukannya sekarang. Khayal bercakap ( bercinta?) melalui telefon bimbit ketika memandu. 

Ada yang baca dan hantar atau balas SMS sekali! Mereka seolah-olah berfikir, "Fon aku yang punya ... kereta pun aku punya. Orang lain peduli apa!" 

Bila kena hon .. ada yang buat selamba, macam yang bersalah bukan mereka. Ada pula yang naik marah, macam orang lain yang bersalah! 

Macam-macam dunia punya dalam. 'Accident' kalu baru pucat ... terdiam!

Tukar lorong tanpa beri isyarat (signal):

Memang ramai pemandu yang berperangai begitu. Entah kenapa teman tak tahu. Berat atau penat sangat nak beri 'signal'? 

Puas si pereka atau pencipta kereta menyediakan kemudahan alat memberi 'signal' supaya perjalanan selesa dan pemandu semua selamat. Apo nak dikato ... ramai yang degil ya amat!

Membuang sampah sarap di jalanan ketika memandu:

Tak faham-faham agaknya orang kita ni. Pemandu (dan penumpang sekali ) gemar betul membuang puntung rokok, sisa makanan, beg plastik, kertas tisu, botol air atau tin minuman dsb. di atas jalan raya ketika memandu.

Macam bila berada dalam kereta, van, bas, lori , treler dsb. mereka sudah mendapat lesen untuk bebas membuang sampah merata-rata.

Agaknya mereka lakukan sedemikian juga di rumah mereka? Kata orang, "Alah bisa tegal biasa."

Pemandu yang gemar memotong Q (queue):

Tiba-tiba terus nak ke depan. Bila pemandu lain dah beri jalan, isyarat terima kasih pun tidak ditunjukkan. Kasihan … mana insan yang tadinya (sebelum memandu) bersifat sopan? 

Semakin memecut bila lampu trafik warna hijau bertukar ke warna kuning sebelum terpapar warna merah.

Pemandu sepatutnya bersedia untuk berhenti bila lampu berwarna kuning menyala.

Bukan tambah daya pecutan untuk ‘meredah’ lampu trafik itu. Hairan! 

Namun ada yang lebih menghairankan. Ramai penunggang motosikal yang setelah sanggup berhenti dan menanti begitu lama ketika lampu trafik memaparkan warna merah, tiba-tiba memecut awal 3 - 4 saat sebelum lampu warna hijau menyala! 

Macam dah tak boleh tunggu sekejap saja lagi hingga lampu trafik bertukar warna hijau. Macam nak tayang ‘pickup’ motor ‘power’ gila! 

Teman tak kisah … cuma resah … takut mika ‘berdentum’ dengan lori sampah! 

Tentang perbuatan memberi ‘signal’ . . . kalau dulu orang malas berbuat demikian patut jugalah. Nak kena keluar tangan, nak putar tangan ikut arah jam atau lawan jam atau ke atas dan ke bawah dan berbagai macam lagi. Mungkin meyusahkan sedikit.

Sekarang semua dah automatik … pun susah juga nak beri signalkah? Petik sahaja suis yang berkenaan … biarlah lampu ‘signal’ itu ‘berluplapluplip’ (maaf DBP ini istilah buatan sendiri).

Apa takut habis bateri atau takut mentol ‘signal’ itu terbakar kalau berbuat demikian?

Berilah ‘signal’ menunjukkan arah yang hendak dituju. Kasihanilah pemandu lain yang datang dari hadapan atau yang mengikuti di belakang … takut-takut tak tercium mulut nanti tercium punggung !


Anehnya orang kita . . . mereka amat berbudi bahasa. Mereka berhemah tinggi. Mereka bersopan santun. 

Memang benar mereka sedemikian . . . malangnya hanya apabila mereka tidak memandu! Ketika mereka tidak di jalanan!

Dapat saja pegang stering (atau dulu-dulu dipanggil ‘kayu mati’) mereka yang sama tadi terus bertukar sikap dan watak. 

Mereka terus besit . . . macam pelesit. Konon nak sampai cepat takut tak sempat.

Kadangkala pemandu jenis ini macam tak ketahuan hala  . . .  seperti orang yang perutnya 'memulas' dan mesti serta merta mencari tandas untuk ‘melepas’.

Pi mai pi mai para pemandu yang berkejar-kejar . . . tak jauh pun meninggalkan pemandu yang bersabar. Beza masa? Pun, tak jauh mana.

Agak-agaklah kawan . . . kita sama-sama bayar cukai jalan! 

Kalau pun tak sayang nyawa sendiri, fikirkanlah tentang nyawa orang yang disayangi. 


Renung-renungkan! 



Stop n Ponder









Kadangkala

Kadangkala
kita lupa menghargai
sesuatu yang kita ada
selagi ia masih di sisi
selagi ia kita miliki;

Kadangkala
kita leka mensia-siakan
anugerah dan pemberian
kerana kurang pengertian;




Kadangkala
kita tidak berterima kasih
kepada mereka yang berbudi
sehingga mereka dah tiada lagi;

Kadangkala
kita tidak peduli sangat
tentang kebajikan dan kemanusiaan
sudah terhakis rasa keihsanan;



Kadangkala
kita tidak ikhlas dan suci hati
terhadap mereka yang …
membimbing
menasihati
mengambil berat
memahami
menyayangi;

Kadangkala
kita mudah terlajak kata
mudah terlanjur aksi
lupa tatasusila
lupa diri;
Paling dahsyat
kita selalu alpa
mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi!


Aduhai
jangan nanti
dah tiada baru terasa
dah tinggal baru menyesal
dah hilang baru walang
dah berpisah baru gundah
dah habis baru menangis!








Sometimes



Sometimes
one forgets to appreciate
things that come one’s way
things that by one’s side stay
faithful in one’s possession
continuously for a long duration

Sometimes
one simply put to waste
special things
splendour and grace
a habitual result of
failing and lacking
in compromising

Sometimes
one is never grateful
to those whose good deeds abound
until they are no more around

Sometimes
one does not heed
that much
about well-being and humanity
leaving so faint a trace of generosity


Sometimes one is neither sincere
nor filled with gratitude
towards those who
Guides
Counseled
Cares
Comprehends
Loves …

Sometimes
one speaks without tact
and in action tends to overact
forgetting manners
and all awareness
and worse
one frequently fails
to acknowledge
the endowment
so rich and heavenly
from the Almighty!

Alas
for goodness sake
don’t brood when all’s gone for good
no regrets with feelings of emptiness
alone,forlorn and filled with sadness
the pain, the sorrow
will show sooner or later
because by then
no fear
when all’s gone
then falls many a tear!




'Sometimes’ is the English equated version of my poem entitled ‘Kadangkala’ (posted on my blog of November 15, 2009).

It is not an exact translation of the original piece. It tries to provide a very close similarity to the meanings contained in the original poem.

Hopefully English users will find this version helpful to really grasp the meanings in between the lines of the ‘poetic’ renderings (self-acclaimed!) in that beautiful Malay version (self-proclaimed now!)


Simply be thankful of what you have and are presently enjoying. Help maintain this situation for eternity. Be grateful that we are still experiencing undisturbed peace and freedom in this Malaysia of ours.

The comfort and prosperity offered and provided by this our country must never be allowed to be put at stake. Love your family, your kin, your friends and definitely your motherland. Love your good luck too while you still have the time and while you still can.













bamuda
dsuarang.blogspot.com