Monday, November 28, 2016

Malas







Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera







Penyakit Hidup 



Penyakit banyak macam penyakit. Ada sejenis penyakit yang amat berbahaya. Lebih berbahaya daripada HIV, H1N1, denggi, kanser, angin ahmar dll.

Penyakit ini telah begitu lama dikesan menular dalam masyarakat manusia. Berkurun-kurun lamanya. Berlanjutan zaman berzaman.

Tidak pernah reda. Tidak pernah henti. Tidak pernah hakis.Tidak pernah habis. Tidak sembuh-sembuh. Amat sukar hendak dihapuskan!


Malas nak sebut. Malas nak cerita. Malas nak beri tahu lagi tentang penyakit ini.

Para doktor, para pengamal perubatan tradisional, para pengamal ilmu kebatinan atau kerohanian (termasuklah bomoh, tabib, pawang dan tok batin) pun dah malas nak cari 'jalan' untuk membanteras wabak penyakit ini. Dah malas nak ikhtiarkan sesuatu 'cara' penyembuhan. 

Semuanya kini diserahkan kepada pesakit itu sendiri. Pandai-pandailah rawat dan ubat diri masing-masing. 

Semua pihak berwajib, baik pemerintah mahupun badan berkanun, swasta atau organisasi bukan kerajaan pun dah lepas tangan.

Malas, malas, malas nak cakap lagi. Memang begitulah keadaannya sekarang. Ini hakikat. 

Penyakit MALAS tidak boleh diubati oleh sesiapa pun melainkan si pesakit itu sendiri. 

Kalau pesakit MALAS malas ambil peduli untuk mengubati diri sendiri maka penyakit MALAS akan terus berakar umbi di dalam dirinya . . . mungkin menular berleluasa sampai bila-bila!

Eh, malaslah nak layan panjang-panjang lagi. Tepuk dada tanya selera. Nyahkan sikap malas, malas dan malas . . . 




Inilah Penyakit Hidup













bamuda
dsuarang.blogspot.com

Sunday, November 27, 2016

Sounds Like ...






Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera




How's Your Malay 




Sudah menjadi amalan keluargaku berkumpul ramai di d'SUARANG pada setiap hujung minggu.

Kami berkumpul bukan semestinya kerana hendak meraikan sesuatu peristiwa ataupun untuk mengadakan majlis khas dan sebagainya.

Kami sengaja gemar duduk-duduk dan bersembang . . . makan-makan dan berihat. 

Pendeknya kami bersantai beramai-ramai. Eratkan silaturahim antara diri.


Pada suatu petang di hujung minggu yang sedemikian . . . ibu mertuaku mengunjungi kami sekeluarga. 

Ibu mertuaku yang popular dengan panggilan 'Mak Nana' di kalangan keluarga kami datang untuk melepaskan rindu terhadap cicit-cicitnya si Ahmad dan si Azim.

Maklum tempoh dua minggu tak bertemu dengan cicit-cicit itu dah agak lama baginya!


'Mak Nana' dibawa datang oleh Halmy dan Liza.

Alah . . . ayah dan ibu si Umar (Uim) tu le. Alahai si Mamak CT tu. 

Masih ingat akan si budak kecik itu . . . kan?
Ha, Umar pun ada samalah.


Setelah bersalam-salaman kami berbual-bual. Cerita itu cerita ini. Biasalah apabila bercerita beramai-ramai begitu adalah ahli-ahli keluarga yang berjenaka membuat orang lain yang mendengarnya tak kering gusi . . . ketawa, ketawa dan ketawa.


Sedang keadaan riuh rendah berlarutan . . . tiba-tiba terdengar suara kuat hampir nyaring Mak Nana berkata," Ha, dak Amat ni dongki lah."


Dak Amat tu ialah Ahmad (Aii) anak Alyn & Shidi. Dak Ahmad sedang berusaha sedaya upaya untuk 'menguis' keluar dak Azim (Amb) . . . ha ah, anak Anum & Roy daripada berpangku di atas paha Mak Nana.


"Dongki dak Amat ni dongki!" kata Mak Nana lagi apabila Ahmad pula menggantikan tempat Azim di pangkuan Mak Nana! 


Kami semua memerhatikan peristiwa itu. Suasana senyap seketika. Kemudian secara tiba-tiba juga terdengar suara garau berkata," Ha . . . nenek. Nanti Halim beri tahu Kak Ngah & Bang Ngah nenek cakap anak diaorang macam tu . . . "


" Apo lak . . . memang ha si Amat ni dongki. Tengok ha . . . dah ditolaknya si Ajim ni."

" Alah nenek . . . dah takutlah tu. Tadi sedap kata Ahmad dongki. Katalah lagi! "


Begitulah cara bergurau anakku Halim terhadap Mak Nana. Dia amat gemar 'menyakat' neneknya itu. 

Sebenarnya Mak Nana tu bukan jadi bahan 'sakat' si Halim saja . . . Semua anakku yang lain juga (Halmy, Lyn, Anum, E dan Lyana) suka bergurau dengan nenek mereka itu . . . dan, mengusiknya pasti. 

Apapun yang jelas ialah Mak Nana amat disayangi mereka semua. Nenek mereka itu pula amat lurus cara berfikirnya.

Dalam peristiwa ini . . . dia masih tidak sedar bahawa si Halim, cucunya itu, sedang bergurau mengusiknya.


" Apo lak Nah nak takut an. . . memang dak Amat ni dongki." 


Semua yang ada di situ geli-geli hati ketawa. Ada juga yang tak berapa cepat dapat tangkap 'joke sounds like' tu. Mak Nana pulak buat macam takde hal saja.


Mak Nana terus berlagu menepuk-nepuk Ahmad, " Dak dongki ni. Cicit Nah dongki. Hai Mat apo lak kau ni jadi dongki . . . ha."


Kami semua tambah pecah perut menahan ketawa. Takut pulak nanti Mak Nana memikirkan kami mentertawakannya!


Begitu tebal pengaruh sebutan perkataan 'dengki' dalam loghat NS hingga amat menyerupai bunyi sebutan perkataan 'donkey' dalam bahasa ibunda si omputih jiran aku tu.


{Si omputih jiranku itu langsung bertanya kepada aku: 

"How do you say that brand name for paint 'Glidden' in NS dialect?"

"Simply Goli den" kataku.


Si omputih jiranku itu semakin bersemangat dan bertanya lagi:

"In that case how will you say in NS dialect that famous camera brand name 'Pentax'. I simply ignored him this time."

Dah masuk tahap bahaya pulak si omputih ni {. . . very spooky man! } 











bamuda

dsuarang.blogspot.com

Pedas-pedas Cili Api ...






Assalamualaikum
dan
Selamat Sejahtera






Perlukah Lenyapkan Budaya?



Tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Aku teringat akan nilai yang berkaitan dengan hidup ini. Nilai hidup seharian masyarakat bangsaku. 

Nilai-nilai yang mungkin kepada sesetengah orang begitu remeh untuk diambil pusing. 

Mungkin tidak perlu diambil berat. Tak perlu dipersoal. Tak perlu dipedulikan. Tak perlu dijadikan sesuatu yang 'mengecohkan'.


Nilai-nilai hidup yang semakin berubah menjadi 'norma' dalam kehidupan bangsaku masa kini. 

Bangsaku semakin  progresif. Ya ... bangsaku yang semakin maju mengikut sukatan atau ukuran diri masing-masing sudah begitu sibuk mengejar kemajuan itu hingga alpa banyak perkara.

Aku tak ambil yang besar-besar atau yang serius amat. Aku hanya mampu tunjukkan yang kecil-kecil yang tak diambil serius oleh ramai mereka yang sudah maju atau baru separuh maju!

Maka demi cara dan pendirian aku sendiri ... dan setelah ku renung dan ku pandang berkali-kali ... aku sah sudah menjadi seorang yang kehilangan sabar dalam hal ini. 

Aku mesti mencurahkannya di mana-mana. Maka penulisan inilah hasilnya. Ruang inilah wadahnya.

Mudahkan cerita ... nilai-nilai yang aku maksudkan itu terdiri daripada beberapa kebiasaan yang semacam sudah menjadi amalan golongan bangsaku yang maju sekarang.

Entah secara sedar atau tidak, entah separuh sedar atau bawah sedar atau dalam situasi yang lain lagi, kebiasaan ini berlaku di sekeliling kita tanpa banyak perhatian. 

Kebiasaan yang terdapat di kalangan keluarga kita dan dalam komuniti kita ini seolah-olah rela diterima. 

Situasi-situasi contoh seperti berikut:


Situasi 1




"Ini uncle Majid . . . kawan abah."


Begitu aku diperkenalkan kepada anak-anak mereka oleh ramai kawan-kawanku. Kawan-kawanku dan keluarga mereka sebangsa dengan aku. Bahasa ibunda aku dan mereka sama. Begitu mudah perkataan yang digunakan. Tapi aku rasa tak selesa apabila diperkenalkan demikian. Entah mengapa aku lebih senang andainya aku diperkenalkan begini:

"Ini pakcik Majid . . . kawan abah."




Situasi 2




Seorang gadis kawan anakku datang ke rumah. Dia sebangsa dan seagama denganku. Setiba di pintu rumahku gadis itu terus saja masuk dan menegurku . . .


"Hello uncle, how are you?"

Aku ketika itu baru habis menunaikan solat maghrib. Aku berkain pelekat dan masih bersongkok. Aku seolah-olah tidak mempercayai apa yang baru aku dengar diucapkan si gadis manis sebentar tadi.

Lagi sekali aku tidak selesa. Aku mungkin mengharapkan sapaan yang begini:

"Assalamualaikum pakcik, apa khabar?" . . . atau setidak-tidaknya . . . " Apa khabar pakcik?" (tanpa salam jika orang itu tidak biasa memberi salam).




Situasi 3



Pada suatu pagi di halaman rumahku . . . Isteriku menegur seorang kawannya (jiran kami) . . . seorang nenek yang membawa cucunya bersiar-siar di kawasan perumahan kami.

"Hai, nak ke mana tu pagi-pagi ni?"

"Alah kak, bawak budak ni jalan-jalan ha . . . mak dan ayahnya baru pergi kerja."

Isteri aku yang peramah pagi itu bertanya pula kepada anak kecil tu . . . (baru berusia kira-kira setahun dua) . . .

"Ha, adik comel . . . emak mana . . . ayah mana?"

Anak kecil itu terkebil-kebil tanpa jawapan . . . Tiba-tiba si nenek tadi yang bersuara:

" Emak wok (bunyi untuk perkataan work rupanya setelah aku dengarkan dengan teliti) . . . ayah pun wok."

Aku yang mendengar kata bicara itu tersenyum sendirian. Aku bukan hendak memperlekehkan si nenek itu.

Cuma . . . kan lebih baik jika anak kecil itu dibiasakan dengan bahasa ibundanya (yang belum pun dapat dikuasainya) terlebih dahulu sebelum disogokkan bahasa yang begitu asing kepadanya.



Situasi 4




Kisah selanjutnya . . . Ada beberapa insiden pasangan-pasangan tua muda yang datang berkunjung (membawa anak-anak atau cucu-cucu mereka) ke rumahku.

Aku agak terkejut dengan cara 'bersosial' dari segi pertuturan dan tindakan mereka masing-masing. 

Agaknya aku masih berfahaman macam budak kampung walaupun sudah membesar sejak dari zaman kanak-kanak, bersekolah hingga bekerja di KL.

Antara arahan-arahan BI yang sering aku dengar dilontarkan kepada budak-budak kecil yang berkenaan (berusia dalam lingkungan 1 hingga 4 tahun) adalah begini:

"Come here boy/girl." "Don't be naughty." " Atuk ?/ Uncle scold". 

Paling hebat . . . "What did I tell you . . . Don't misbehave . . . understand, understand!"

Aku lihat budak-budak yang berkenaan itu tak faham sepatah haram pun. 

Mereka tercengang-cengang. Sampailah aku masuk campur dengan mengatakan:

"Jangan usik buku atuk tu . . . " atau "Ha, jangan panjat almari/kerusi tu . . . nanti jatuh!"

Dan, mereka lebih faham! Terus berhenti melakukan apa yang mereka buat. 

Tak taulah . . . kot-kot mereka tu lebih takut kepada aku . . . berbanding kepada ibu bapa atau atuk dan nenek mereka sendiri . . . he,he.


Situasi 5



Ada lagi kisah orang 'tua-tua' cakap omputih dengan 'kanak-kanak' yang masih mentah sangat (dari segi usianya).

Kisah tersebut amat mempengaruhi minda aku setelah mendengarnya daripada mulut seorang junior.

Rasa geli hati pun ada kecewa sendiri pun ada.

Ceritanya si junior tu amat kagum dengan seorang anak kecil yang baru berusia dua tiga bulan yang kononnya hanya memahami BI sebagai bahasa 'arahan' atau 'perbualan'. 

Aku fikir kata-kata arahan yang bagaimana!  Rupanya kata-kata arahan seperti :


"Go to sleep now boy/girl." "Be a good boy/girl." "Don't cry." "Come, it's dinner time" . . . atau "That is a cat, meow meow." "That s a rabbit, rabbit." "That is a cow,cow". . . atau "No boy/girl no, no."


Apabila diunjukkan gambar harimau pula ... kononnya budak kecil itu tak faham kalau tak disebut 'tiger'.

Alahai mak bapaknya sebangsa denganku ... dan bahasa ibunda kami pun sama!


Cakap Melayu sudah ... 

Si junior tu kagum memikirkan anak kecil itu bijak BI kot!

Apa yang si junior tu tak mengerti ialah anak kecil tu sebenarnya langsung tak faham apa-apa. 

Dia kelihatan macam faham apabila diagah dan dituturkan kata-kata . . . yang bunyinya mungkin melucukan atau menakutkan . . . hingga dia sama ada ketawa atau menangis menurut situasi yang bersesuaian dengan moodnya pada sesuatu ketika!


Ada banyak lagi situasi seumpamanya yang boleh dikisahkan. Cuma rasanya memadailah dahulu dengan situasi yang diterbitkan sebagai contoh di atas. 








bamuda
dsuarang.blogspot.com

Saturday, November 26, 2016

Pencen 2001




Assalamualaikum
 dan 
Selamat Sejahtera



Alhamdulillah, Syukur Nikmat 




Aku bersara wajib pada bulan September, 2001.

Dah puas rasanya bekerja. Mencari nafkah hidup untuk diri sendiri dan keluarga.

Maka apabila tiba ketikanya untuk bersara, aku rela dan amat bersukacita.

Paling utama aku bersyukur ke hadrat Allah swt yang telah mengizinkan aku berpencen dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Paling tidak, selepas berpencen aku tiada lagi 'tertekan' oleh bebanan kerja atau tekanan rasmi-rasmian.

Dan ... kerana itu, in shaa Allah dapatlah aku 'menampal' atau 'menokok tambah' apa sahaja amalan untuk kemudian hari.

Amalan yang telah sekian lama terabai dan terkurang'!

Tanpa berselindung atau memberi seribu macam alasan aku mengakui . . . ketika bekerja dahulu . . . ada waktu-waktunya amal ibadat untuk akhirat yang patut diutamakan daripada perkara keduniaan tidak selalu mendapat tempatnya yang wajar!

Pendekkan cerita, ramai orang takut atau ragu-ragu juga apabila hendak pencen atau bersara daripada pekerjaan masing-masing.

Bimbang kalau-kalau tidak berkemampuan menyara hidup di hari tua. Khususnya, bagi mereka yang tidak berpencen!

Aku termasuklah dalam golongan mereka yang telah bersara daripada jawatan ... dan tidak menikmati kemudahan berpencen bulanan.

Alahai, dalam istilah orang sekarang ... 'Tak ada masyuk-uk-uk. Kesannya kurang fulus le beb!'

Namun, aku tetap bersyukur. Selagi ada hayat tentu ada pula rezeki diperuntukkan Allah swt kepada sekalian hambanya.

Itu aku percaya!

Berikut ringkasan cerita pencenku. Tak le sehebat mana. Sekadar untuk 'baca-baca' ... buat suka-suka ... bak kata dema!


Mantera Seorang Pesara


I


Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas. 


Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.

II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 


Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.



AMB


bamuda
dsuarang.blogspot.com

1951 - Ketika Aku Belum Faham









Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera






1951

Kasih ibu membawa ke syurga ... 
Kasih saudara masa berada . . . 









Bonda Zainab bt Mohd Taib
& Ayahanda Baharom bin Mohd Shariff











Kasih Ibu Membawa Ke Syurga

Dari kiri:
Penulis, Asmah (kakak), Zainab Mohd Taib [(ibu),
memangku Zaleha(adik)], Baharom Mohd Shariff (bapa)
Foto diambil sekitar awal tahun 50-an


Berkorban raga rela binasa. Berkorban nyawa tanda kasihnya. Namun bagiku kasih ibu amat sekejap. Berlakunya pada suatu ketika. Ketika Aku Belum Faham!








bamuda
dsuarang.blogspot.com