Tuesday, February 12, 2013

Dulu dan Sekarang (4)






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera



Sembang . . . sembanglah tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia yang berbeza-beza dulu dan sekarang.    




Dulu: 


Orang kita betul-betul belajar memandu . . . motosikal, kereta, van, lori, atau treler dsb.

Pengajar individu dari sekolah memandu tegas mengajar cara memandu yang betul dan selamat. Undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalulintas yang mesti dipatuhi. Pemandu-pemandu lain yang perlu dihormati apabila sama-sama menggunakan jalan raya.

Pendeknya banyak perkara diajar walaupun nampak remeh supaya pemandu kenderaan nanti tahu apa yang diperlukan daripada mereka.

Bukan setakat ambil kunci kereta dan terus memecut secara tergesa-gesa atau terburu-buru!

Bayangkan pada waktu dulu cara memberi signal atau isyarat ketika memandu pun ditunjuk ajar oleh pengajar dengan terperinci.

Contohnya dulu tiada signal automatik. Kena pakai signal tangan. 

Kena buka tingkap. Kena hulurkan tangan keluar dan tunjukkan isyarat hendak membelok ke kanan atau ke kiri atau isyarat untuk memperlahankan kelajuan kenderaan atau isyarat untu berhenti, dll. 

Orang dulu-dulu tetap menuruti nasihat pemandu dari sekolah memandu itu . . . dan yang paling penting . . . mempraktikkan apa yang telah diajarkan. 



Sekarang: 


Orang kita dah tak pandang sebelah mata pun tentang pentingnya beretika apabila memandu di jalan raya. 

Contohnya apabila memandu pusing keliling di bulatan  (round about) ramai yang sudah tak ambil kisah siapa lalu dahulu siapa lalu kemudian. Redah sahaja!

Ramai pemandu seolah-olah tidak pernah belajar bahawa sepatutnya orang yang memandu kenderaan di sebelah kanan mereka yang harus diberikan laluan dahulu.

Selalu juga terdapat kejadian perlanggaran kenderaan berlaku di susur keluar (jalan kecil ke jalan utama).

Ini kerana pemandu yang memandu kenderaan dari jalan kecil ke jalan utama itu tidak mahu berhenti (atau malu nak beralah . . . takut tak nampak ‘macho’ pula).

Mereka itu tidak mahu (malas sangat?) memastikan terlebih dahulu bahawa jalan utama itu sudah benar-benar selamat untuk dimasuki.

Maka nanti akan berlakulah pergaduhan dll yang biasanya merugikan kedua-kedua pihak akhirnya!

Berbalik kepada perbuatan memberi signal tadi. Kalau dulu orang malas berbuat demikian patut jugalah . . . nak kena keluar tangan dan berbagai macam lagi. Mungkin meyusahkan sedikit.

Sekarang semua dah automatik . . . pun susah juga nak beri signalkah?

Petik sahaja suis yang berkenaan . . . biarlah lampu signal itu ‘berluplapluplip’ (maaf DBP ini istilah buatan sendiri).

Apa takut habis bateri atau takut mentol signal itu terbakar kalau berbuat demikian? 

Kalau para pemandu kenderaan masih berdegil dalam hal ini atau enggan memberi signal mengikut keperluan ketika memandu . . . rasanya pembuat kenderaan pun tidak perlu bersusah payah lagi menyediakan kemudahan peralatan signal

Kalau tanpa peralatan signal ini . . . harga kenderaan dapatkah dikurangkan sedikit?  Ha, ha, ha . . . he, he, he.

Kesimpulannya . . . berilah signal menunjukkan arah yang hendak dituju. Kasihanlah pada pemandu lain yang dari hadapan atau yang mengikuti di belakang . . . takut-takut tak tercium mulut nanti tercium punggung ! 



Sebenarnya ada banyak lagi ‘adat’ dan 'pantang larang' ganjil yang diamalkan orang sekarang. Nanti kita bincangkan lagi apabila berkesempatan pada waktu yang lain. 

Sementara itu sudi-sudilah berkongsi perkara-perkara begini dengan saya.

Perkara-perkara begini walaupun nampak remeh tetap mendatangkan pengaruh yang mendalam terhadap budaya dan gaya hidup masyarakat kita sehari-hari.

Budaya dan gaya hidup yang kita terima sebagai moden dan sedang berkembang maju dengan pesatnya sekarang!

Soalnya . . . benarkah kita sudah benar-benar maju sekarang? Kalau kita menganggap diri kita begitu . . . apakah amalan nilai-nilai kehidupan yang tidak menyenangkan seperti dikisahkan di atas merupakan sebahagian daripada harga yang perlu kita bayar dalam mengejar kemajuan? 

Jawapannya . . . terserah kepada apa sebenarnya yang anda mahukan! 




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: