Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Untung Masih Ada . . .
Berikut penulis terbitkan semula suatu entri fb yang Amy Dali kongsikan bersama rakan-rakan fb.
Entri oleh Amy Dali ini dibuat dengan cara amat bersahaja namun tetap membawakan sesuatu 'keinsafan' yang begitu mendalam.
Mudah-mudahan kita sentiasa tidak lupa bersyukur kepada-Nya . . . Allah SWT . . . maha pencipta seluruh alam.
Terima kasih diucapkan kepada Amy kerana sudi berkongsi entri fb ini.
-
Terbitan semula drpd blog dsuarang . . .
SUNDAY, DECEMBER 20, 2009
Untung Masih Ada Kaki
SUNDAY, DECEMBER 20, 2009
Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Nasib Baik Masih Ada ...
Suatu hari saya berjalan-jalan di Suria KLCC. Niat di hati ingin melihat-lihat model baru bingkai kaca mata yang terdapat di kedai-kedai optik di situ. Kalau kena gaya dan sesuai caranya saya berhasrat mengganti baru bingkai kaca mata saya yang sudah agak lusuh kerana terpakai.Teringin pula hendak mendapatkan bingkai kaca mata yang mahal kosnya. Berjenama hebat. Biar canggih sedikit!
Saya pun berjalan ke tingkat atas menuju kedai optik. Ketika dalam perjalanan itu saya terdengar suara orang menangis. Saya menoleh ke arah datangnya tangisan itu. Saya berhenti sebentar untuk meneliti keadaan. Saya terlihat seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang 10 tahun di dalam sebuah kedai kasut. Sah dia sedang menangis. Di sisinya ada seorang wanita pertengahan umur. Mungkin ibunya. Wanita itu memegang kasut sambil diperhatikan seorang jurujual. Wanita itu beria-ia benar menyuruh kanak-kanak itu menyarung kasut itu. Kanak-kanak itu enggan. Dia terus menangis. Saya terus memerhati...
Dalam memerhatikan peristiwa yang berlaku saya tiba-tiba teringat akan suatu kisah yang berlatarbelakangkan senario yang hampir-hampir serupa ... Kisahnya tentang seorang anak yang tidak mahu memakai kasut yang baru dibelikan ibunya. Anak itu tidak mahu berbuat demikian semata-mata kerana kasut itu murah harganya. Anak itu mahukan kasut yang lebih mahal. Berjenama hebat. Konon bolehlah dia menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawannya nanti. Puas ibunya memujuk. Dia tetap berdegil.
Hendak jadi cerita, belum pun beberapa lama anak itu berdegil, lalu seorang budak berjalan terdengkot-dengkot di hadapan rumah mereka. Budak itu kudung kedua-dua belah kaki. Dia berjalan memakai tongkat. Namun dia tetap gigih berjalan!
Anak yang berdegil tadi serta ibunya memandang sahaja kepada budak yang lalu di hadapan rumah mereka itu. Mereka dua beranak tidak berkata apa-apa. Si ibu hanya mengangkat keningnya bila anaknya itu memandang kepadanya. Ibu terus mengunjukkan kasut tadi kepada anaknya. Kali ini anaknya menyambut kasut itu dan terus memakainya!
Si ibu yang agak kehairanan bertanya kepada anaknya, " Mengapa tiba-tiba kamu mahu memakai kasut ini?"
Dengan wajah yang pucat anaknya menjawab," Saya takut melihat budak yang kudung tadi. Nasib baik saya masih ada kaki untuk memakai kasut ini!"
Ibunya tersenyum.
Saya tersentak daripada lamunan ... lantas memandang semula ke arah kanak-kanak perempuan yang menangis di dalam kedai kasut tadi. Dia sudah tidak menangis lagi. Dia sudah menyarung kasut yang diunjukkan oleh wanita itu. Agaknya kanak-kanak perempuan itu pernah mendengar cerita yang serupa. Mungkin dia teringat akan cerita itu dengan tiba-tiba juga. Entahlah ...
Saya pula terus menuju ke kedai optik yang menjadi destinasi saya dari mula tadi. Sesampai di kedai optik saya disambut mesra oleh jurujual dan pakar optik. "Encik, ini semua bingkai kaca mata model baru. Jenama terkenal. Canggih dan paling moden. Harganya menunjukkan kelasnya Encik."
Saya membelek-belek bingkai-bingkai kaca mata yang diunjukkan kepada saya. Akhirnya saya meminta bingkai kaca mata yang biasa sahaja. Bukan yang mahal dan canggih seperti yang saya hajatkan pada awalnya tadi. Saya tidak tercari-cari lagi bingkai kaca mata yang berharga melambung mahal atau berjenama paling glamour. Saya cuma tersenyum apabila jurujual itu memandang sinis kepada saya...
Saya terfikir ... Syukur, cukuplah. Bernasib baik aku masih punya mata untuk melihat!
dsuarang.blogspot.combamuda
dsuarang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment