Hidup bersama bangsa berbagai,
Adat resam perlulah diturut;
Teruntuk kita jangan pertikai,
Hak orang lain kita tak rebut.
Hebat sekali fakta sejarah,
Tidak siapa akan sangkalkan;
Hasad dengki tak bawa faedah,
Tamak haloba jangan amalkan.
Pusaka adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh leluhur untuk keturunan mereka. Warisan pula adalah sesuatu yang diwarisi oleh keturunan daripada leluhur mereka dalam penerusan kehidupan. Gabungan dua perkataan ini iaitu 'pusaka' dan 'warisan' menjadi "Pusaka Warisan". Ini secara ringkas mengingatkan supaya kita menjaga dengan baik apa yang telah diamanahkan kepada kita dalam bentuk sesuatu peninggalan oleh nenek moyang kita.
Warisan ini boleh jadi berupa wang ringgit, harta benda, hartanah ... malah tanah air juga. Kita diingatkan tidak lalai menjalankan tanggung-jawab menguruskan hak milik itu dengan sesempurna mungkin. Kelalaian boleh mengakibatkan kita kehilangan hak milik yang sedia ada. Lebih dahsyat lagi jika kita kehilangan maruah diri akibat kealpaan sendiri. Maruah diri penting dipelihara dengan penuh kemuliaan untuk selama-lamanya.
Kealpaan juga boleh menyebabkan kita terjajah semula dalam kehidupan moden dari segi penguasaan mental dan ekonomi. Janganlah biarkan ini berlaku. Janganlah benarkan orang lain menentukan nasib kita di negara kita sendiri. Kita seharusnya telah belajar daripada pengalaman pahit yang sudah-sudah. Kita harus sedar betapa mustahaknya mengetahui di mana kelemahan dan apa pula kekuatan diri kita. Kita perlu bertindak bijak untuk menjadi bangsa yang berjaya dalam menempuh arus kehidupan yang serba canggih sekarang.
Dalam kehidupan ini kita tidak akan terlepas daripada ikatan peraturan dan perundangan. Jelas dilaung-laungkan bahawa kita sebagai warga negara yang sah harus taat dan setia kepada para pemimpin negara dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang terdapat di negara ini. Tiada tempat di sini bagi mereka yang menganjurkan atau menyokong perpecahan perpaduan di kalangan rakyat. Sesungguhnya tiada keampunan bagi orang yang berniat jahat dan berperasaan dengki khianat ini!
Peringatan:
Jagalah apa yang sudah kita miliki dengan sebaik-baik jagaan. Pastikan hak kita tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak pun. Jangan dengki atau iri hati terhadap sesuatu yang telah menjadi hak orang lain. Belajarlah mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah menganugerahkan kepada kita segala kesenangan dan keselesaan hidup. Lebih-lebih lagi, bersyukurlah kepada Tuhan atas segala limpah kurnia-NYA.
Perhubungan sesama manusia tidak akan berjalan lancar sekiranya tidak wujud semangat toleransi yang tinggi dan persefahaman yang erat antara satu dengan lain. Apatah lagi jika ahli masyarakat yang terlibat itu berlainan pegangan hidup dan kepercayaannya. Kita perlu bijak bertindak dan sanggup bertolak ansur dalam banyak perkara untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul antara kaum atau etnik.
Elakkan syak wasangka terhadap pihak lain. Terima dengan berlapang dada dan hati yang terbuka sesuatu keputusan yang telah sama-sama dipersetujui. Keputusan yang diambil pula mestilah saksama dan tidak merugikan mana-mana pihak. Jauhkan kata-kata yang boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat.
Amalkan ciri-ciri hidup mulia yang sebati dengan sifat dan unsur manusiawi. Akhir kata, hormatilah hak dan perasaan orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menghormati hak dan perasaan kita!
Bamuda
d'SUARANG
Nov 25 2020
No comments:
Post a Comment