Sunday, December 20, 2009

Untung Masih Ada Kaki


Sunday, December 20, 2009




Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Nasib Baik Masih Ada ...


Suatu hari saya berjalan-jalan di Suria KLCC. Niat di hati ingin melihat-lihat model baru bingkai kaca mata yang terdapat di kedai-kedai optik di situ. Kalau kena gaya dan sesuai caranya saya berhasrat mengganti baru bingkai kaca mata saya yang sudah agak lusuh kerana terpakai.Teringin pula hendak mendapatkan bingkai kaca mata yang mahal kosnya. Berjenama hebat. Biar canggih sedikit!

Saya pun berjalan ke tingkat atas menuju kedai optik. Ketika dalam perjalanan itu saya terdengar suara orang menangis. Saya menoleh ke arah datangnya tangisan itu. Saya berhenti sebentar untuk meneliti keadaan. Saya terlihat seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang 10 tahun di dalam sebuah kedai kasut. Sah dia sedang menangis. Di sisinya ada seorang wanita pertengahan umur. Mungkin ibunya. Wanita itu memegang kasut sambil diperhatikan seorang jurujual. Wanita itu beria-ia benar menyuruh kanak-kanak itu menyarung kasut itu. Kanak-kanak itu enggan. Dia terus menangis. Saya terus memerhati...

Dalam memerhatikan peristiwa yang berlaku saya tiba-tiba teringat akan suatu kisah yang berlatarbelakangkan senario yang hampir-hampir serupa ... Kisahnya tentang seorang anak yang tidak mahu memakai kasut yang baru dibelikan ibunya. Anak itu tidak mahu berbuat demikian semata-mata kerana kasut itu murah harganya. Anak itu mahukan kasut yang lebih mahal. Berjenama hebat. Konon bolehlah dia menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawannya nanti. Puas ibunya memujuk. Dia tetap berdegil.

Hendak jadi cerita, belum pun beberapa lama anak itu berdegil, lalu seorang budak berjalan terdengkot-dengkot di hadapan rumah mereka. Budak itu kudung kedua-dua belah kaki. Dia berjalan memakai tongkat. Namun dia tetap gigih berjalan!

Anak yang berdegil tadi serta ibunya memandang sahaja kepada budak yang lalu di hadapan rumah mereka itu. Mereka dua beranak tidak berkata apa-apa. Si ibu hanya mengangkat keningnya bila anaknya itu memandang kepadanya. Ibu terus mengunjukkan kasut tadi kepada anaknya. Kali ini anaknya menyambut kasut itu dan terus memakainya!

Si ibu yang agak kehairanan bertanya kepada anaknya, " Mengapa tiba-tiba kamu mahu memakai kasut ini?"

Dengan wajah yang pucat anaknya menjawab," Saya takut melihat budak yang kudung tadi. Nasib baik saya masih ada kaki untuk memakai kasut ini!"

Ibunya tersenyum.

Saya tersentak daripada lamunan ... lantas memandang semula ke arah kanak-kanak perempuan yang menangis di dalam kedai kasut tadi. Dia sudah tidak menangis lagi. Dia sudah menyarung kasut yang diunjukkan oleh wanita itu. Agaknya kanak-kanak perempuan itu pernah mendengar cerita yang serupa. Mungkin dia teringat akan cerita itu dengan tiba-tiba juga. Entahlah ...

Saya pula terus menuju ke kedai optik yang menjadi destinasi saya dari mula tadi. Sesampai di kedai optik saya disambut mesra oleh jurujual dan pakar optik. "Encik, ini semua bingkai kaca mata model baru. Jenama terkenal. Canggih dan paling moden. Harganya menunjukkan kelasnya Encik."

Saya membelek-belek bingkai-bingkai kaca mata yang diunjukkan kepada saya. Akhirnya saya meminta bingkai kaca mata yang biasa sahaja. Bukan yang mahal dan canggih seperti yang saya hajatkan pada awalnya tadi. Saya tidak tercari-cari lagi bingkai kaca mata yang berharga melambung mahal atau berjenama paling glamour. Saya cuma tersenyum apabila jurujual itu memandang sinis kepada saya...

Saya terfikir ... Syukur, cukuplah. Bernasib baik aku masih punya mata untuk melihat!




dsuarang.blogspot.com

Saturday, December 19, 2009

Keluarga Said, Shariff, Konah (Rawang)




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Foto Kenangan



Foto sekeluarga besar Tok Mohd Said Ismail, Tok Mohd Shariff Ismail dan Onyang Konah di bawah ini adalah salinan foto asal yang terdapat dalam simpanan Tuan Hj Baharudin Osman (Tok Sulung Din), Shah Alam, Selangor. Beliau telah memberikan salinan foto ini kepada saya pada tahun 2007. Foto ini telah dirakamkan di rumah keluarga Onyang Konah di Rawang, Selangor sekitar tahun 1949/1950.

Saya rasa elok foto ini dipaparkan dalam blog ini untuk tatapan ahli-ahli keluarga sekarang dalam mengimbau kenangan lampau. Untuk itu, saya telah cuba mencatatkan nama ahli-ahli keluarga yang terdapat dalam gambar ini. Saya mendapat bantuan daripada Tuan Hj Lokman Mohd Shariff (Pak Anjang), Segambut, Selangor. Beliau merupakan salah seorang ahli keluarga 'senior' yang lebih berpengetahuan dalam hal ini dan dapat mencamkan wajah ahli-ahli keluarga yang ada dalam foto ini.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Hj Baharudin dan Tuan Hj Lokman atas sumbangan yang berharga ini.



[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]

[Berdiri Belakang (kiri ke kanan): Noraini, Aminah Hj Osman (pkt 'opah'), Rahmah Md Amin (pkt kakak), Idris Mohd Said (Pak Uteh dukung Azmi), Zainal Abidin Mohd Shariff (Pak Lang dukung ?), Osman Said (Sungkai - anak Che Wa), Hj Osman (Onyang), Baharom Mohd Shariff (Bapa Penulis), Baharudin Hj Osman (Tok Sulung Din), Shaari Abdullah (pkt 'abang' - badminton), Lokman Mohd Shariff (Pak Anjang), Mat Rawi, Mat Zain, Mohd Nor Abdul Rahman (pangkat 'tok')]

[Barisan Hadapan (kiri ke kanan): Che Nyah, Che Wa (anak Osman Sungkai - pangku Mustaffa), Zabedah (Mak Lang pangku ?), Asiah (isteri Osman Sungkai), Abdul Majid Baharom (Penulis), Zainab Mohd Taib (Ibu Penulis), Rogayah Hj Osman (pkt 'opah'), Puteh (Trengganu - kakak Konah), (?), Konah (Onyang), Asmah Baharom (Kakak Penulis), Che Nin (Onyang - isteri Hj Osman), Norsidah (pkt 'opah'), Che Mah (Ibu Mohd Nor Abdul Rahman), Sharani, Khairani Abdul Rahman, Noraini Abdul Rahman]




STOP PRESS

*[Klik pada foto utk imej lebih besar]

* Berdiri dari kiri: Mohd Doni (pkt abg sdr), Osman Mohd Said (pkt Pak Usu), Azimah Idris (pkt adik saudara), Azizah Ariffin (pkt kakak saudara), Mardziah Abd Malik (pkt kakak sdr), Noorlin Osman (pkt adik sdr), Badrin Osman (pkt adik sdr), Mohd Lotfi (pkt abg sdr), Penulis, Mohd Idris (pkt Pak Uteh) ?, Mohd Amin (pkt bapa sdr)

* Baris depan dari kiri: Zainal Abidin (pkt Pak Lang), (?), (?), (?), (?), (?), (?), (?), Shaari Abdullah (pkt abg sdr), (?), (?), Mohd Azman Baharom (abang sulung Penulis)




*[Foto ini juga telah dirakamkan di Rawang. Jika Penulis tidak silap foto diambil sekitar lewat tahun-tahun 1960-an. Peristiwanya ialah perkahwinan Shahrani dengan Fatimah Razak. Apapun sebarang informasi lebih tepat daripada mereka yang lebih mengetahui adalah dialu-alukan.]











dsuarang.blogspot.com

Friday, December 18, 2009

Imbauan Nostalgia (di Asrama Putera)



Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Puisi Penghargaan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam menyambut Ma'al Hijrah 1431 kepada semua pada hari yang mulia ini. Mudah-mudahan Allah memberkati segala kebaikan yang kita lakukan.

Dan, hari ini juga saya ingin mengembalikan kenangan (sedikit cerita nostalgia) di Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur. Ketika menjadi penghuni asrama selama lima tahun pada tahun-tahun 60-an, banyak ilmu dan pengalaman tentang asas kehidupan telah saya dapati daripada pergaulan yang sihat dengan kawan-kawan di situ. Suatu perolehan yang paling ketara ialah tentang 'kesetiakawanan'. Perkara ini terbentuk secara 'natural' hari demi hari ... dan nyatalah semangat ini telah terpahat dan kekal dalam diri kami masing-masing tanpa paksaan sepanjang tahun demi tahun yang berlalu.

Baiklah ... di sini saya paparkan secara ringkas semangat yang sedemikian. Paparan ini dalam bentuk sebuah puisi. Saya mendapat ilham menulis puisi ini setelah bertemu semula dengan kawan rapat seasrama yang kami semua panggil Jamil (ramai yang tak tahu nama sebenar beliau Mat Sanin ... glamour tu...). Pertemuan semula kami di rumah saya tercetus daripada suatu panggilan telefon oleh Harun Saeran kepada saya. Harun (abang Jamil yang juga kawan rapat saya di asrama dulu) menelefon saya ketika saya berada di Kuala Kubu Baru, Selangor. Beliau mendapat nombor telefon saya daripada seorang lagi penghuni Asrama Putera dahulu (semestinya geng rapat juga) Ghazali Kamaruddin.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Tiga jejaka perasan hebat 60-an posing kat depan asrama. Kiri ke kanan: Zali, Majid dan Jamil]


Sebenarnya Ghazali dan saya memang tidak putus hubungan sejak meninggalkan asrama. Kami selalu berjumpa. Kami juga sering bertelefon. Keluarga kami pun saling mengenali rapat antara satu sama lain. Kebetulan baru-baru ini Ghazali uzur sedikit (sekarang dah beransur pulih di rumahnya di Gombak).

Dan ... pada suatu hari dalam bulan Oktober 2009 ... Jamil meminta saya menunjukkan arah ke rumah Ghazali. Jamil ingin bertemu Ghazali setelah sekian lama tidak berjumpa. Maka selepas pertemuan itulah saya menuliskan puisi ini ... yang telah saya serahkan juga kepada mereka berdua sebagai tanda ingatan persahabatan kami.

Maka berikut dipaparkan puisi yang tak sepertinya sebagai tanda sedikit pengertian tentang 'kesetiakawanan'. Harapan saya kawan-kawan seasrama dahulu (yang belum dapat ditemui) akan tampil ke hadapan menjalinkan semula perhubungan yang telah begitu lama terputus (lebih daripada 40 tahun?) Mungkin boleh kita adakan suatu "get together" dalam masa yang terdekat ... Insya Allah.


Imbauan Nostalgia
(Asrama Putera)

Sekitar 1960-an
tiga pelajar menengah
sekolah kerajaan
menjadi pemastautin
sepenuh masa
sebuah asrama
khas untuk bumiputra
di tengah kota
Kuala Lumpur bandar keramat
Jalan Suleiman lokasinya tepat ...

di situ
tempat tiga sahabat bertemu
tinggal sebumbung menimba ilmu
timba punya timba
banyak jugalah yang dapat ...
pengetahuan bermanfaat,
hingga kini terhasil berkat!

Zali, Jamil dan Majid
ibarat adik beradik
yang walaupun ketika itu
belum begitu cerdik
tetap membuat persediaan
bakal menghadapi masa depan ...
... dan, Alhamdulillah
'pabila dipertemukan sekarang
ternyata masing-masing
dah jadi ORANG!

Namun yang paling utama
pahit manis pengalaman
di Asrama Putera
telah banyak mengajar
tiga sahabat
mengharungi cabaran kehidupan
menghargai keakraban persaudaraan
menyanjungi erti persefahaman
dengan semangat kesetiakawanan
yang kental berkekalan ...


Sekian








Blog @: Bamuda d'SUARANG

Thursday, December 17, 2009

Geng MBH di Pangkor 1964



Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Jejak Bertapak

Apa yang terbayang di minda anda tentang Pulau Pangkor lebih daripada 135 tahun dahulu? Mungkin anda dapat mengingati sesuatu. Dulu ada kita pelajari di sekolah dalam mata pelajaran Tawarikh (sekarang Sejarah). Apa lagi kalau bukan Perjanjian Pangkor 1874 (Pangkor Treaty 1874).

Bayangkan pula Pulau Pangkor 45 tahun dahulu .Tiada apa yang menyerlah yang boleh dibanggakan oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. Sesungguhnya sebilangan majoriti rakyat di negara ini mungkin tidak pernah pun ke pulau tersebut pada masa itu. Maklum saja prasarana pulau itu tidak pun sampai ke tahap yang boleh dikatakan 'asas' atau 'sederhana' jauh sekali bertaraf 'lengkap' atau 'sempurna'! Pendek kata segalanya serba tiada! Tiada sistem pengangkutan asas yang boleh diharapkan. Keadaan balai polis, balai bomba atau pusat kesihatan tiada yang boleh meyakinkan pelawat atau pengunjung. Tiada pekan atau sekurang-kurangnya deretan kedai yang boleh memudahkan seseorang mendapatkan keperluan bahan makanan atau keperluan hidup sehari-harian. Sana sini yang kelihatan ketika itu hanyalah kampung nelayan, bot nelayan serta kehidupan yang daif. Demikian senario pada tahun 1964 .


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Berlagak di pantai Pasir Bogak 1964. Kiri ke kanan: Dollah, Aziz dan Majid]

Sekarang Pulau Pangkor telah membangun. Pulau Pangkor telah berubah wajah. Ada pula pulau kecil di sisinya yang turut membangun dengan hebatnya bersekali. Itulah Pangkor Laut yang kini terkenal ke seluruh dunia. Pulau Pangkor kini menjadi tempat tumpuan warga tempatan dan masyarakat antara bangsa yang datang untuk mengalami percutian yang santai. Mudah bicara, tempat ini yang dahulunya kosong keindahan dan keistimewaan, telah keluar daripada kepompong kemunduran dan menghala ke arah kegemilangan yang sangat membanggakan.

Jika seseorang yang pernah mengunjungi Pulau Pangkor pada tahun-tahun 60-an kembali lagi ke pulau ini sekarang, dia tentunya akan tertanya-tanya di manakah gerangan dia berada. Tempat-tempat yang lama sudah tidak dapat dicamkan lagi. Pantai yang indah sudah banyak berubah. Bak kata pepatah Melayu,"Sekali air bah sekali pantai berubah".

Pasti begitulah perasaan kami lima bersahabat daripada Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur jika sekali lagi pergi ke sana seperti yang telah kami lakukan pada tahun 1964. Pada tahun itu aku (Abdul Majid Baharom), Kamarudin Hj Ali, Nordin Abdul Manaf, Abdul Aziz Abdul Hamid dan Abdullah (Bruas) telah pergi berkhemah di pantai Pasir Bogak. Kami sebenarnya telah merancang dan berpakat melakukan aktiviti perkhemahan itu sejak awal tahun akhir di Asrama Putera sebelum peperiksaan OSC. Ketika itu aku masih belajar di Victoria Institution, Kamarudin di St Gabriel School, Nordin di High Street School, Aziz di Methodist Boys School (MBS) dan Abdullah di St Johns Institution. Semuanya di Kuala Lumpur. Maka setelah tamat tahun persekolahan dan ketika dalam percutian menunggu keputusan peperiksaan OSC kami pun terus melaksanakan misi 'suka-suka' itu.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Di Lumut sementara menunggu bot ikan hendak ke Pangkor. Kiri ke kanan: Dollah, Majid, Aziz dan Kamarudin. Kalau lambat sangat berenang sajalah ke seberang!]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Tunggu lagi di Lumut. Tak berani berenang ke seberang? Kata jaguh renang kampung masing-masing. Kiri ke kanan: Majid, Aziz, Kamarudin dan Nordin]

Sebenarnya sebelum itu Ghazali Kamaruddin (St Gabriel School) pun ingin turut serta. Tetapi agaknya kerana Ghazali tu 'Budak Kaciek Nan Manjo' maka emaknya Cikgu Zaharah tidaklah mengizinkan dia turut sama ketika itu. Mungkin takut nanti si Ghazali tu asyik turun ke laut saja ... tak tentu waktu siang dan malam ... Al-maklum, kat Gombak ada sungai aje! Aku masih ingat betapa kecewanya Ghazali. Lebih kecewa daripada 'watak Ghazali' dalam cerita filem "Antara Dua Darjat". Walaupun dia meronta-ronta nak ikut ... tetap tidak dibenarkan. Nasib le Li ... Tengok gambar aje cukup le!

Apapun, aku telah balik ke Tapah sebaik saja bercuti sekolah. Dollah pula balik ke Bruas. Kedua-dua tempat ini adalah kampung kami masing-masing di Perak ketika itu. Aku tak berapa ingat sama ada Aziz balik ke Slim Village atau terus tinggal di Selangor seperti Kamarudin dan Nordin pada masa itu. Tak kisahlah ... Apa yang aku ingat ialah mereka bertiga datang ke Tapah (naik kereta api ke Tapah Road rasanya) dan bermalam di rumahku. Keesokan harinya kami berempat terus ke Bruas menaiki bas 'lompat' (kurang wujud bas ekspres zaman tu). Sampai sana Dollah ambil kami dengan kereta ayahnya bawa ke rumah. Kami bermalam pula di rumah Dollah merangkap sebuah 'forest checking station'. Ayah Dollah seorang pegawai Jabatan Perhutanan. Esoknya kami terus ke Lumut dengan membawa segala macam bahan makanan dan minuman. Aktiviti perkhemahan kami di jadualkan selama 5 hari. Alat masak-memasak dan keperluan perkhemahan lain seperti kuali dan periuk, bahan api, sudip, sudu, garfu, pisau, tali dsb semuanya dibawa.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Aksi ngeri 4 anggota MBH di hadapan rumah Dollah di Bruas. Kiri ke kanan : Nordin, Kamarudin, Majid dan Aziz]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Empat penjaga simpang di pekan Bruas. Kiri ke kanan: Aziz, Majid, Nordin dan Kamarudin]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Staf baru Majlis Mesyuarat Tempatan Bruas 1964. Aziz (kiri) dan Majid 'reporting for duty on Day One']

Kami sampai di kampung nelayan Sungai Pinang di Pangkor setelah lama menaiki bot nelayan dari jeti kecil di Lumut. Masa itu belum ada feri yang boleh membawa kami dengan segera ke sana. Dollah yang menjadi 'guide' kami menuju ke tempat-tempat di Pulau Pangkor. Dia 'Penghulu' kat sana kononnya! Aku dan kawan-kawan lain dah agak kepenatan ... Tapi rupanya kami mesti berjalan agak jauh juga lagi ke Pasir Bogak di bahagian barat Pulau Pangkor. Bante le Yeop ... Ase sampe dah le. Akhirnya sampailah juga.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Kelaparan. Tunggu makan tengah hari. Nasi belum masaklah! Kiri ke kanan: Nordin, Dollah, Majid dan Aziz]

Kami pun terus mendirikan khemah. Kemudian memasak makanan. 'Chief Cook' memang si Dollah ... yang lain-lain jadi ... pembantu setia (belum tentu membantu beb). Melawak aje. Sebenarnya semua bergotong royong dengan sepenuh tenaga. Aku yang jadi tukang makan le. Makan di tepi laut memang amat menyelerakan. Sering cepat kelaparan. Para nelayan di situ selalu memberi kami ikan,udang atau sotong hasil tangkapan mereka. 'Chief Cook' kami yang jadi tukang bega apa menu yang hendak di cuba masak pada setiap hari . Apapun dia masak ... sedap aje. 'No complaint'. Takut dia mogok nanti ... susah cerita.



*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Wah 'Chief Cook' nampak beria-ia beri arahan pada para pembantu. Baik-baik sikit nanti ada yang mogok masak. Kiri ke kanan: Dollah, Majid, Nordin dan Kamarudin]

Sepanjang perkhemahan kami di pantai Pasir Bogak, dapatlah aku menikmati keindahan alam siang dan malam. Dapat aku lihat dan mengerti secara langsung setiap kebesaran Allah melalui ciptaan-Nya. Sangat mengagumkan melihat matahari terbit dan terbenam setiap hari. Sangat mengharukan mendengar deruan angin laut yang menyisir dedaun pepohon sekitar pantai. Deburan ombak pula sungguh mengasyikkan. Pada waktu-waktu tertentu kami semua berkisah panjang tentang kawan-kawan di Asrama Putera. Banyak peristiwa yang telah dikongsikan. Banyak pengajaran yang kami perolehi. Tebal persefahaman yang dapat kami tanamkan dalam diri kami.

Selama beberapa hari berkhemah di pantai Pasir Bogak kami puas bermandi manda di laut. Dah sampai tak lalu lagi ... jadi duduk relaks saja. Pantai Pasir Bogak tidak begitu dikunjungi orang ramai pada hari bekerja biasa. Susah hendak lihat orang luar bermandi-manda atau berkelah di situ. Tetapi pada hari Sabtu dan hari Ahad ramai juga orang yang datang berkelah. Aku difahamkan mereka datang dari daerah Sitiawan, Batu Gajah, Lumut dan ada juga dari Ipoh dan Parit dll. Walau bagaimanapun kebanyakannya dari Perak le.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Dah main bot laju pulak ... Kiri ke kanan: Majid, Kamarudin, Aziz dan Nordin]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Agak-agak le sikit. Itu reta orang ... Rosak sanggup bayar ke? Keroja pun belum! Kiri ke kanan: Majid, Aziz, Kamarudin dan Dollah]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]

[Dah betul le tu. Dah mandi sampai 'fed up'. Relaks atas batu. Tapi jaga-jaga sikit ... air naik keliling batu tanpa amaran ... dalam tu ooi! Majid (kiri) dan Aziz]

Selepas lima hari berkhemah kami pun berpisah ke kampung halaman masing-masing. Aku tak dapat berkata bagi pihak kawan-kawan yang lain ... tetapi bagi diri aku sendiri ... pengalaman berkhemah di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor pada tahun 1964 itu membawa seribu satu ragam kenangan yang amat membina pemantapan kemandirian. Aku mengerti betapa banyak yang boleh dicapai dengan semangat bekerjasama yang erat lagi ikhlas. Soal beraktiviti dalam keadaan yang serba kekurangan tidak semestinya menjadi halangan.

Terima kasih Kamarudin, Nordin, Aziz dan Dollah kerana pernah menjadi rakan seperkhemahan aku dalam suasana yang mesra dan keadaan yang serba sederhana!

Insya Allah kita berjumpa lagi.








Blog @: Bamuda d'SUARANG

Wednesday, December 16, 2009

Jom 'Menebeng'




Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Relaks Beb

... ... aku nak tulis lagi tentang resmi kawan-kawan yang sama-sama makan 'nasi kawah' di Asrama Putera, Jalan Suleiman , Kuala Lumpur sekitar tahun-tahun 1960-an dulu. Selain daripada rajin belajar (eh, biar betul ni ...) kami juga rajin relaks (ha, itu memang betul). Relaks bagi kebanyakan penghuni asrama bererti pergi 'menebeng' kat mana-mana ... Tempat-tempat yang tidak memerlukan banyak perbelanjaan. Kadang-kadang tanpa sebarang tujuan pun tak apa ...


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Penulis (kiri) bersama Azmi Hassan di kawasan Taman Tunku Abdul Rahman berhampiran Stadium Merdeka dan Stadium Negara di Kuala Lumpur. Hai Mi, jauh sangat renungan tu ... Tinjau masa depan kot.]


'Menebeng' boleh berlaku secara bersahaja di banyak tempat kesukaan ramai. Stesen kereta api KL yang terletak di seberang jalan hadapan asrama (salah satu tempat 'favourite') selalu dikunjungi oleh kawan-kawan asrama aku. Di kedai gunting rambut si Morgan dalam bangunan stesen itulah lokasinya yang lebih tepat! Stadium Merdeka, Stadium Negara dan kawasan sekitarnya juga tempat menebeng yang digemari. Brickfields dan Petaling Street memang tempat biasa juga. Foch Avenue di tengah bandar tidak terlepas daripada menjadi 'pusat tebeng' para penghuni Asrama Putera ketika itu (Sekarang banyak pendatang asing yang melepak di situ!) Kalu ada lebih wang, bak kata pak menakan, barulah pi eksyen makan kat gerai atau restoran kecik mana-mana ... Itu pun dah kelas!

Cerita yang aku nak sampaikan ... Pada suatu hari cuti, kami sekumpulan yang memang tarak duit ... terpaksa juga keluar daripada asrama ... sebab dah tak ada member lain kat dalam bangunan dan suasana terasa amat sunyi ... maka aku dan Kamarudin Hj Ali, Nordin Abdul Manaf, Azmi Hassan, Geng (hanya terlupa nama sementara ya) dan Abdullah (Bruas) pergilah menebeng juga kat tempat-tempat tu ... Tengoklah foto-foto yang sempat dirakamkan pada kala itu. Biar foto tak canggih, asalkan orang dalam foto itu tetap canggih!

*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Di dalam Stadium Merdeka 1962/63. Pasukan pemakan nasi kawah MBH tunjuk lagak. Kiri ke kanan: Kamarudin, Nordin, Azmi, Geng (maafkan aku terlupa nama buat masa ini) Majid, Abdullah]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Di luar Stadium Negara. Macam dah penat jalan-jalan aje ...Kiri ke kanan: (B) Abdullah, Azmi, Nordin, Kamarudin. (D) Majid, Geng


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Pentas tiang bendera di luar Stadium Negara. Kiri ke kanan: Geng, Azmi, Nordin, Kamarudin, Majid, Abdullah. Kena jaga bendera ke?]

Dan, yang cantiknya ... walaupun para penghuni asrama ketika itu suka menebeng ... tetapi seingat aku, tidak sekali pun pernah berlaku pergaduhan di luar sana ... atau terjadi penglibatan dalam kes jenayah atau kes perlanggaran undang-undang awam atau negara. Kes-kes vandalisme juga tidak kedapatan dilakukan oleh penghuni asrama kami. Bayangkan waktu itu semuanya boleh berlaku dengan ramainya samseng dan banyaknya kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di sekitar KL.

Perbuatan merokok pun tidak berleluasa walhal ada banyak peluang tersaji untuk kami lakukan demikian jika mahu. Salahguna dadah jauh sekali! Pendek kata kami boleh digolongkan dalam kategori warganegara yang patuh kepada undang-undang (Law abiding citizens). Apa yang lebih penting ialah kami tidak terkena kejutan budaya KL. Kami sentiasa ingat akan asal usul kami masing-masing sehingga kami berpisah meninggalkan asrama.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Dah cukup-cukup le tu ... Kepala masing-masing pun dah tak terangkat. Kiri ke kanan: Abdullah, Majid, Nordin, Azmi, Geng. Di teres Stadium Merdeka.]

Aku selalu berdoa semoga aku dan kawan-kawanku yang pernah sama-sama makan nasi kawah dulu akan terus berpendirian begini ... Semoga tiada yang berpendirian songsang atau lupa daratan. Kekalkan jatidiri yang kita telah dibiasakan dan diasuh sejak zaman di Asrama Putera! Insya Allah ...








Blog @: Bamuda d'SUARANG