Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Zaman Indah Nasi Kawah
Kali ini aku menulis khas untuk tatapan dan ulang kenang teman-teman yang pernah tinggal sebumbung dengan aku di Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur. Tempoh yang barkaitan ialah di antara tahun 1958 hingga 1964. Seingat aku ketika itu ada lebih kurang 60 hingga 70 penghuni asrama setiap sesi persekolahan. Para penghuni terdiri rata-ratanya daripada pelajar Melayu. Para pelajar kebanyakannya datang dari daerah sekitar negeri Selangor (Wilayah Persekutuan belum wujud pada ketika itu). Ada juga yang berasal dari negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Kami daripada sekolah-sekolah yang berlainan seperti Victoria Institution, St. John's Institution, St. Gabriel School, High Street School, MBS KL, MBS Sentul, Cochrane Road School, Maxwell School dan Kelas Menengah Melayu Cochrane.
*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Penulis (Kiri) 'posing' bersama Abdullah (Bruas) di hadapan Asrama Putera 1962/63]
[Penulis (Kiri) 'posing' bersama Abdullah (Bruas) di hadapan Asrama Putera 1962/63]
Antara kawan-kawan 'sekawah nasi' yang masih segar dalam ingatan aku ialah Ghazali Kamaruddin, Jamil Saeran, Mohd Amin (D) Aziz, Harun Saeran, Nordin Abdul Manaf, Kamarudin Hj Ali, Abdul Aziz Abdul Hamid, Kamarul, Ramli Ibrahim (Allahyarham), Kamarudin Maidin (Allahyarham), Ali, Jaafar, Jamaluddin Abdullah , Adnan Abdullah (Allahyarham), Adnan Adam (Allahyarham), Ismail Naning, Deris, Dismal, Azmi Hasan, Nazli Hasan, Ramli Rabi, Hasnan Busu, Zainuddin, Zainal (3 orang P,S,T), Shariff, Salehan, Salihin, Tukiran, Mariman Taib, Jalil, Ayub, Usop, Mokhtar, Kalyubi Ghazali, Zahari, Kassim, Shahrani, Omar, Rahman, Abbas, Redzuan, Ghazali Mahyuddin, Khalid, Mazlan, Zubeir Hj Nordin, Zakariah Ahmad, Zakariah Tawi, Abdullah (Bruas), Bazain (Allahyarham?) dll. (Maaf kiranya aku tidak dapat menyatakan nama-nama lain. Kurang ingatan mungkin. Maklum dah lama! ) Aku juga teringat akan seorang pelajar Orang Asli yang tinggal bersama kami pada ketika itu. Kalau tak silap aku namanya Itam Wali bin Kuda Nayan. (Di mana agaknya dia sekarang!) Dan, kalau tak silap aku juga dia kemudiannya pernah menjadi Senator menjaga kebajikan/hal pendidikan orang asli sekitar tahun-tahun 1980-an/1990-an (Entahlah aku agak saja).
*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Terasa hebat sangat ... 'Posing' lagi di Asrama Putera. Kiri ke kanan: Kamarudin, Azmi, Majid, Nordin, Abdullah]
[Terasa hebat sangat ... 'Posing' lagi di Asrama Putera. Kiri ke kanan: Kamarudin, Azmi, Majid, Nordin, Abdullah]
Asrama yang kami huni bertempat di sebuah bangunan sekolah lama yang terbina pada tahun 1916. Sekolah tersebut ialah MGS Kuala Lumpur yang dibina semula pada zaman kolonial British selepas bangunan asalnya di persimpangan Kampong Attap dan High Street, Kuala Lumpur terbakar. Dormitori asrama yang terpakai ada 10 iaitu A1 hingga A4 dan B1 hingga B6. Dormitori A1 hingga A4 terletak di tingkat dua manakala B1 hingga B6 di tingkat satu kesemuanya atas Pejabat Pelajaran Selangor ketika itu di Jalan Suleiman, Kuala Lumpur. Bangunan tersebut berhadapan dengan stesen kereta api Kuala Lumpur (sekarang digunakan oleh tren komuter sahaja) dan bersebelahan Bangunan Suleiman (sekarang menempatkan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.) Selepas asrama dibubarkan kerana sekolah-sekolah mula mempunyai asrama masing-masing, aku lihat bangunan itu diambil alih dan dihuni oleh para pekerja Badan Pencegah Rasuah (BPR ketika itu). Sekarang aku pun dah tak tahu siapa yang gunakan bangunan itu.
[Bangunan Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur]
Aku sering teringat zaman membeli roti dan tose (pada waktu 'prep' malam) di Scott Road. Aku tentunya masih ingat cara turun dari tingkat atas asrama ke bawah (dan juga naik semula) pada waktu malam bila teringin hendak "break the rules" sekali sekala. Palong besar dan salur air yang tegap jadi alat bantu. Seronok juga ... Ha, tentang roti dan tose itu selalu dibeli dengan harga tidak melebihi 20 sen. Kami berkongsi atau syer-syer le. Seperkara lagi yang aku tak mudah lupa ialah ketika itu kami suka membeli nanas moris atau sarawak (5 sen sebiji atau 10 sen tiga biji) dari lori peniaga di Jalan Lornie (sekarang Jalan Syed Putra) berhampiran padang Selangor Indian Association. Kami memakan nanas itu di situ juga setelah peniaga mengupasnya. Hampir berselang petang kami lakukan demikian. Masa tu ... syoknya Tuhan saja yang tahu!
Seterusnya, para penghuni asrama gemar menonton wayang gambar di panggung Lido, Brickfields (tiket 65 sen), menonton 'cheap matinee' pada pagi Ahad di panggung Madras, (Madras Lane dekat Chinatown Petaling Street, tiket 40 sen). Filem Inggeris dan Hindustan jadi pilihan. Cerita-cerita seperti "The Crimson Pirate", "Parents Trap", " Junglee" dsb amat diminati. Kami juga suka pergi menonton (konsert?) pop yeh yeh di Stadium Negara (tiket 50 sen), konsert Cliff Richard, Linda Scott, Helen Shapiro dll yang sungguh mengagumkan anak muda pada waktu itu. Entah mana datang duit ketika berbuat semua itu ... aku pun dah tak ingat! Pergi tonton konsert ... siapa pakai "pull over Opaline" kira paling top pada masa itu beb!
*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Panggung wayang gambar Lido di Brickfields, KL sekitar tahun-tahun 1960-an]
[Panggung wayang gambar Lido di Brickfields, KL sekitar tahun-tahun 1960-an]
Kalau tak keluar ke mana-mana ... masa pokai ... (selalu kami alami pada hujung minggu) ... para penghuni asrama akan berkumpul di keliling satu-satunya radio transistor di asrama ketika itu (brand National, milik Harun Saeran) untuk mengikuti rancangan Top Tunes of The Week. Contoh lagu-lagu hit pada masa itu adalah seperti "The Young Ones" oleh Cliff Richard, "Town Without Pity" oleh Gene Pitney, "It's Now Or Never" oleh Elvis Presley , "Send Me The Pillow That You Dream On" oleh Johnny Tillotson , "The Green Green Grass of Home" oleh Tom Jones dll. Senarai lagu-lagu hit ini termasuk juga lagu-lagu nyanyian Connie Francis, Linda Scott, Helen Shapiro, Ricky Nelson dan ramai lagi penyanyi yang tak dapat aku senaraikan semuanya di sini. Apa yang tak sedap sikit ialah bila radio Harun 'hilang' kerana dibawa entah oleh member mana ke bilik sendiri ... semua kecewa tak dapat ikuti rancangan radio 'favourite' mingguan itu ... ... ...fook fook kite, nyumpit kite ... (Tag line popular asrama waktu tu bila berkeadaan 'frust').
Bercakap tentang makan lagi, aku tidak lupa juga cerita sarapan nasi lemak tidak bersotong pada pagi hari minggu. Sotong dah kena kebas awal-awal lagi! Entah hamba Allah mana yang punya kerja. Kita halalkanlah saja. Tidak akan dilupai juga senario padang becak tempat main bola di sebelah asrama apabila hari hujan. Biasanya permainan bola terus bertukar menjadi permainan ragbi di atas padang yang berlumpur dahsyat. Padang inilah juga yang selalu menjadi saksi apabila ada budak-budak baru kena 'ragging'. Mereka itu biasanya disuruh bangun mandi tengah malam. Kemudian mereka disuruh berlari ala pembawa "olympic torch" (tetapi memegang belahan kayu api yang tidak berapi) mengelilingi padang tanpa seurat benang pun pada tubuh masing-masing. (Ya Allah ampunilah kami semua. Kami sudah bertaubat.)
Seterusnya aku selalu ingat pada makcik-makcik yang setiap hari memasak makanan untuk kita semua. Alangkah besarnya jasa mereka. Tentu Allah saja yang membalas kebaikan mereka itu. Bang Dolah dan Bang Arish (Tukang Angkat Makanan) juga amat berbudi. Jasa anda berdua kami kenang ... khususnya, pada waktu nak bersahur dalam bulan Ramadan ... Bang Dolah (TAM) nanti pukul itu tiang besi dewan makan asrama ... kuatnya bagai nak rak! Semua penghuni asrama mesti bangun punya. Seorang lagi manusia 'special' ...Mr Knows All, (Wak tahu ... tahu , Tapi Wak tak tahu!) Ingat tak pada Wak 'jaga' merangkap 'guru silat hebat' budak-budak asrama?
*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Di dewan makan Asrama Putera. Geng semua sedang syok jamu selera nasi kawah. Tapi, nampak tak ... makan berhidang tau, tak payah Q]
[Di dewan makan Asrama Putera. Geng semua sedang syok jamu selera nasi kawah. Tapi, nampak tak ... makan berhidang tau, tak payah Q]
Aku cukup ingat peristiwa kami semua didenda beratur depan asrama menghadap Jalan Sulaiman pada suatu petang menjelang senja. Sebabnya, mengusik anak Cikgu asrama pada pagi itu. Malunya ... hari itu pula ramai orang lalu lalang di depan asrama untuk pergi ke Taman Tasik (Lake Gardens) KL bagi meraikan perayaan perkahwinan YM Sharifah Salwa Syed Hassan Jamalullail puteri Yang di-Pertuan Agong Ketiga. Mereka yang lalu di situ memang kehairanan!
Dan, ada satu lagi peristiwa yang paling aku tidak lupa. Kami sebilik makan penampar Cikgu asrama kerana tidak mahu memberi tahu siapa 'mastermind' atau siapa yang menyusun kerak roti bersapu jem di bendul bilik Dorm A1 ... (sebagai tanda protes asyik kena breakfast 'roti jem'.) Berdamar terasa bahangnya di pipi. Tetapi demi semangat kesetiakawanan yang kental ... tahan sajalah ... rahsia tetap tidak pecah di mulut ... konon cukup macho le ketika itu!
Ketika itu guru asrama (sekarang mereka bergelar warden) kami ialah Cikgu Abbas. Beliau yang pada waktu itu kami semua anggap amat garang sebenarnya (apabila difikirkan sekarang dengan fikiran yang lebih matang) adalah seorang yang tegas dan mahukan kami semua berdisiplin tinggi. Aku difahamkan beliau telah mengambil alih tugas sebagai guru asrama daripada Cikgu Hussein. Aku juga difahamkan bahawa kedua-dua mereka itu telah kembali ke rahmatullah . Semoga Allah mencucuri rahmat atas roh mereka berdua. Terima kasih Cikgu kerana telah membimbing kami menjadi 'orang'.
*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
['Adios Amigoes' ... dan harap bertemu lagi ... Kawan-kawan asrama menghantar penulis di stesen kereta api KL untuk pulang ke rumah keluarga di Perak pada tahun akhir persekolahan 1963/64. Kelihatan dalam gambar Abdullah, Jamil, Rosli, Ghazali, Amin, Majid, Latif, dan adik Rosli ]
['Adios Amigoes' ... dan harap bertemu lagi ... Kawan-kawan asrama menghantar penulis di stesen kereta api KL untuk pulang ke rumah keluarga di Perak pada tahun akhir persekolahan 1963/64. Kelihatan dalam gambar Abdullah, Jamil, Rosli, Ghazali, Amin, Majid, Latif, dan adik Rosli ]
OK, cukup dulu aku rasa. Nanti dapat 'feedback' yang lebih detail kita tambah baikkan penulisan ini. Maaf kalu aku sudah menyentuh hati sapa-sapalah... aku cuma berniat tulis ini untuk ingatan kita bersama sebagai tanda ikatan ikhlas kesetiakawanan ... sepanjang jalan kenangan!
Blog @: Bamuda d'SUARANG
No comments:
Post a Comment