Friday, July 23, 2010

Berhenti Merokok





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Rambut Sudah Putih!


Anda merokok? Sikit-sikit?
Social smoker? Bukan perokok tegar? Tak sedut asap masuk dalam? Sekali sekala? Bila pergi ke tandas aje? Bila mencari ilham? Bila menulis? Bila mencipta lagu? Bila bekerja? Bila resah atau gelisah? Bila kecewa? Bila kesunyian? Atau anda dah berhenti . . . membeli? (Hisap masih "on"). Begitulah antara berbagai-bagai alasan yang diberi perokok untuk "menghalalkan" kegiatan merokok mereka.

Hai kome . . . usah nak temberang le. Teman pun dulu ngisap juge!
Terror juge kata deme . . . Mana taknya . . . empat kotak (pack) 20 batang sehari. Maknanya 8o batang tu weh! Bila teman nulih (konon) . . . lagi teruk. Dah sampai peringkat "chain-smoking". Sebatang lepeh sebatang. Siling bilik tempat teman nulih kat pejabat teman dulu tu udah naik kunin jadinya. Akibat asap rokok! Opis teman tu sudah lama diisytiharkan sebagai "Zon Larangan Merokok". Tapi sebab teman ketagih rokok teman buat tak peduli aje. Dege . . . bantoh tue kata orang Perak. Bos teman dah naik maleh nak negor perilaku teman. Agaknya dalam hati bos tu . . . ada suara marah dan menyampah kot. Agaknya dia berkata sendiri-sendiri,"Lantak kome le kalau kome dah mintak nak mati sesangat. Nak mati awe le tu."

Sesungguhnya penulis tergerak hati menulis tentang soal ketagihan rokok ini kerana terfikir di benak penulis betapa bahaya kegiatan merokok ini! Sekarang penulis perhatikan kegiatan merokok telah berleluasa sehingga ke tahap yang tidak terkawal langsung. Sudah terlalu ramai perokok tegar termasuk mereka yang masih muda di bangku sekolah. Ada yang baru berada dalam alam bersekolah rendah pun! Perokok muda ini sudah tidak malu merokok di mana-mana sahaja dan di hadapan sesiapa pun. Sambil berjalan memakai pakaian seragam sekolah, di hadapan khalayak, di depan pintu "gate" sekolah, di depan cikgu dsb.

Papan tanda dsb di "Zon Larangan Merokok" tidak langsung diambil peduli. Tidak langsung diendahkan mereka. Perokok tegar atau degil tetap merokok di kawasan hospital, di kawasan pejabat kerajaan atau swasta, di kawasan sekolah atau pusat pengajian tinggi, di kompleks membeli-belah, di hotel, di dewan orang ramai, di panggung wayang, di dalam restoran, kedai makan (walaupun yang berhawa dingin) dan lain-lain lagi. Ada banyak lagi yang hendak penulis sebutkan. Tetapi jika dicatatkan kesemuanya maka senarainya akan berjela-jela panjang. Cukuplah sekadar yang tercatat secara umum ini. Penulis hanya hendak mengutarakan tentang bahaya merokok. Penulis dah insaf setelah pernah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sakit dada! Cukup bahaya. Seksanya terasa. Perit.

Alhamdulillah, mujur penulis sempat berhenti dengan serta merta. Mujur Tuhan masih mengizinkan penulis membuat keputusan yang tepat. Kalu tidak entahlah . . . Sekarang penulis sudah tidak merokok lagi (sudah lebih sepuluh tahun kini). Syukur kesihatan penulis jauh lebih baik berbanding daripada masa kuat menghisap rokok dahulu. Cubalah berhenti merokok . . . banyak manfaatnya. Berhentilah demi sayangkan diri sendiri dan orang lain (tentunya ada) yang anda sayangi.


Anak-anakku, ahli-ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, rakan dan taulan, seterusnya semua yang membaca tulisan ini. Sudilah timbang-timbangkan untuk terima peringatan yang teman berikan dengan ikhlas ini. Dah putih dah rambut teman sekarang . . . Masa rambut hitam dulu macam kome juge le . . . kurang nak nerima nasihat orang. Apapun selamat mencube berhenti merokok. Insya-Allah berjaya.


Rambut Sudah Putih


Jangan melulu
fikirkan dahulu ...
ini nasihat untuk kau orang
rokok elok dilarang
mesti dicegah
sekarang!

Tiap sebatang yang dinyala
dah sah bawa bencana
nanti akhirnya kau orang merana!
tiap kali rokok disedut
jantung kurang berdenyut
paru-paru menjadi reput!
salur darah turut mengecut
pernafasan jadi semput
silap hari bulan nyawa diragut!
insaf segera
mengapa mahu sia-sia
mengundang maut?

Habis duit tak kiralah sangat
serangan penyakit yang patut diingat
bila dihinggapi barah
parah!
barah mulut
kanser perut
barah tekak
kanser otak
kerap juga barah kerongkong
si perokok tanggung!

Tak usah malu pada member lain
lantaklah
kalau kau orang
tidak dikatakan geng tulen...
daripada berpenyakit
daripada terbaring di katil pesakit
daripada merintih penuh kesal...
bila kau orang terlantar di hospital!

Tembakau
dibaluti kertas
digulung kemas
disumbat gabus
hujung puntung
lantaklah kalau kau bawa rona pada:
para seniman yang cari ilham
si berhutang yang cari tenang
si runsing yang cari hening
si kecewa yang cari bahagia...
yang nyata
penghisap jadi kaki tagih
tak dapat rokok air liur meleleh
akibat nikotin memenuhi saraf
akibat konon nak jaga taraf
akibat pendirian tidak teguh
akibat mudah terpengaruh...
kau orang leka
tidak peka
bahawa rokok
sungguh-sungguh
MEMBUNUH!

sebatang rokok
diketuk
tersepit di celah dua bibir
dicucuh api
dihisap
lahap
apalah erti?
cuma mempercepat mati!

Maka kalau perokok eloklah BERHENTI
Kalau belum merokok eloklah HINDARI!


(puisi asal terilham pada Ogos 4, 2005)









dsuarang.blogspot.com

4 comments:

armouris said...
info tentang merokok di SIHAT SELALU - Gambar Kanser Mulut Akibat Merokok
Bamuda d' SUARANG said...
Terima kasih armouris.Will do. Moga banyak yang cepat sedar. Insaf.
Raziff Lokman said...
...teringat pasal cerita "social smoking ni...(selama mungkin 10 tahun dh jadi social smoker..susah nk berhenti sbb kawan2 semua smoker)

...tahun lepas (Feb2009), selepas stress test.. "blackoutSha" & kena tahan di wad..Dr Shatar (pakar IJN) suspek sikit problem kt jantung...sbb ECG mcm tk okay je..mcm test dibuat...last sekali engiogram..result 100% jantung cantik...fuhh lega

Pagi hari nk keluar wad tu:
Dr Shatar: Awak merokok ke?
Saya: Social smoker je doktor..
Dr Shatar: Hope you will not become my Social Heart Patient je lepas ni...

...terus berhenti sejak hari tu!
Bamuda d' SUARANG said...
Salam Zif,

Interesting episode! Tahniah kerana telah masuk kelab "Tak Nak!"

Mudah-mudahan terus begitu. Jangan jadi macam Uda dulu . . . Dah berhenti merokok sebaik saja lepas berkahwin dgn Kak Uda (1972).Atas kemahuan sendiri. Bukan kena paksa.

Tapi,member plak asyik dok sound:

"Hai dah berhenti merokok nampak . . . Takkan takut bini kot!"

Alamak terjejas male ego ku! Dan akibat 'kebingungan' sendiri, Uda balik merokok.

Lepas tu sampai tahun 1999 baru benar-benar stop (mudah2an kali ni kekal le ...)

Apapun "Better late than never" . . . cakap omputih sikit he,he.
Nuffnang Ads

Tuesday, July 20, 2010

Sotong Oh Sotong Lagi




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Ketaasuban Melampau


Cerita hal sotong lagi. Semenjak si Paul d'Kurita itu berjaya meramalkan (meneka ala si nujum dalam filem Tan Sri P. Ramlee Nujum Pak Belalang) dengan tepat keputusan-keputusan pertandingan bolasepak Piala Dunia 2010 yang berakhir baru-baru ini, ramai pula orang dan pihak tertentu yang terpengaruh dengan kebolehan sang sotong membuat ramalan. Bukan setakat meramalkan keputusan permainan sahaja. Sekarang dah melarat kepada meramalkan keputusan pilihan raya negara pula!

Di negara mana? Mana lagi kalau tidak di Australia . . . negara yang sering gemar mensensasikan situasi kontroversial dan mencetuskan hal-hal "luar dugaan". Perkara-perkara kontroversi yang kadang kala tidak "masuk akal" langsung! Nampaknya Australia amat kagum dengan kebolehan si Paul d'Kurita yang kini tersohor sebagai tukang tilik "terus mata". Australia hendak menggunakan sotongnya sendiri si Cassendra (betina le agaknya kalau ikut bunyi namanya!) Hai tak tahu le . . . Manusia yang merupakan semulia-mulia makhluk ciptaan Tuhan pun boleh taasub . . . amat taasub dengan perkara sebegini.


Keratan Akhbar
Dipetik drpd Mingguan Malaysia
Ahad 18 julai 2010

Kalau di Malaysia ramai yang taasub dengan para pemimpin atau artis atau personaliti terkenal, maka dari segi perbandingan, keadaannya tidaklah teruk sangat. Ketaasuban masih di tahap "manusia terhadap manusia". Tidaklah sampai ke tahap ketaasuban melampau. Taasub kepada haiwan atau binatang!

Dan, si Paul tu dikhabarkan telah ditawarkan pendapatan yang lumayan oleh sebuah syarikat pertaruhan di Russia. Khabarnya Paul d'Kurita ditawarkan AS5,000 (RM 16,000) sebulan. Paul akan menjadi salah satu daripada 120 pekerja di syarikat itu. Hebat si Paul. Lebih hebat daripada pekerja manusia di syarikat itu tentunya. Entah-entah tiada pekerja manusia di situ yang mendapat bayaran bulanan separuh daripada gaji yang ditawarkan kepada si Paul itu pun!


Keratan Akhbar
Dipetik drpd Utusan Malaysia
Selasa 20 Julai 2010


Entahlah . . . apo nak di kato! Apa nak jadi dengan manusia sekarang ini. Manusia yang kononnya ultramoden dan bertamadun tinggi! Ah tak kisah le . . . Mujur mereka yang taasub "bukan-bukan" itu (setahu penulis) bukan orang Islam!

Penulis cuma nak cadangkan supaya dikahwinkan saja si Paul tu dengan si Cassendra. Akan bertambah banyaklah zuriat sotong di alam ini. Sotong-sotong yang pandai menilik atau meramal! Cuma kasihan le pulak pada manusia tukang tilik atau tukang ramal seperti dalam filem Nujum Pak Belalang tadi. Akan hilanglah mata pencarian mereka!

Renung renungkan . . .












dsuarang.blogspot.com

0 comments:

Nuffnang Ads

Monday, July 19, 2010

Setiap Kali Ramadan & Puasa Lagi Kerenah Lagi





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Kerenah Bermusim



Bercakap tetang Ramadan yang mulia, kita pasti tidak terlepas daripada membincangkan "cara dan gaya" individu, kelompok dan khalayak meyambut kedatangannya. Seterusnya perilaku pihak yang terlibat dalam mengisi kehadirannya. Dan, akhirnya kesan perolehan daripada amal ibadat yang dilaksanakan itu sendiri.

Puisi 1

Setiap Kali Ramadan


Keratan 1 SKR


Keratan 2 SKR


Ragam ternyata berbagai macam. Kerenah pula banyak terserlah. Penulis cuba mempamerkan situasi ini dengan seringkas-ringkasnya dalam bentuk puisi-puisi yang dipaparkan dalam entri ini. Puisi-puisi ini terilham pada tahun 2008. Ia sekadar untuk renungan tanpa sebarang tujuan memperlekehkan mana-mana pihak. Terpulang kepada anda yang membaca membuat penilaian masing-masing.


Puisi 2

Puasa Lagi Kerenah Lagi


Keratan 1 PLKL


Keratan 2 PLKL



Keratan 3 PLKL


Selamat Berpuasa Ramadan 1431H
















dsuarang.blogspot.com

0 comments:

Sunday, July 18, 2010

Ramadan di Kg Melayu Subang, Shah Alam, Tmn Tenaga Puchong



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Ramadan,
Penuh Keberkatan


Andainya usia kita dilanjutkan Allah dan jika kita masih diberikan-NYA kesempatan untuk menikmati keistimewaan bulan Ramadan tahun ini, maka pada hari Rabu 11 Ogos 2010 bersamaan 1 Ramadan 1431H(yang akan menjelang beberapa minggu saja lagi), kita akan mula menunaikan ibadat puasa.



Berdasarkan pengalaman lampau, kita sedia maklum bahawa akan timbul bermacam-macam kerenah manusia (umat Islam) seiring dengan tibanya bulan yang mulia ini. Akan wujudlah berbagai-bagai perilaku dan ragam yang luar biasa. Senario yang mungkin tidak ketara pada bulan-bulan lain. Yang warak akan menampakkan kewarakannya. Yang kurang warak pun nak tunjukkan dirinya warak. Tak mengapalah . . . asalkan amalan yang baik ini tidak terhenti sebaik sahaja berakhir bulan Ramadan.



Sesungguhnya mereka yang ingin belajar menjadi warak ini harus dipuji. Keinginan begini memang jauh lebih baik daripada langsung tidak mempedulikan hak orang lain di sekeliling ketika bulan Ramadan. Ada yang langsung tidak menghormati mereka yang berpuasa. Ada pula yang langsung tidak cuba berpuasa. Setidak-tidaknya mereka yang turut melakukan amalan baik di sepanjang bulan Ramadan mengharapkan dapat keberkatan daripada Yang Maha Esa. Insya-Allah harapan mereka itu pasti tercapai jua pada akhirnya.



Pada bulan puasa ini memang ramai yang tiba-tiba berperangai pelik. Ada yang akan bertindak positif dan ada pula yang terus bertindak negatif. Paling dahsyat apabila ada yang bertindak agresif!



Apa yang hendak penulis katakan di sini ialah sikap yang sama (positif atau negatif) akan berulang setiap kali datang dan perginya bulan Ramadan. Sikap dan tindak-tanduk yang sama akan dipertontonkan oleh ramai orang sepanjang tempoh berpuasa pada bulan Ramadan. Kita memang sudah arif dengan bermacam-macam dalih yang dijadikan alasan untuk "menghalalkan" ketidakmampuan berpuasa seseorang. Kita juga arif dengan hakikat ada ramai orang berpuasa yang berleluasa melakukan "keserongan" yang membatalkan puasa. Orang yang tidak berpuasa pula sudah tentulah dengan "cara" tidak berpuasanya. Orang yang berpuasa kenalah berusaha menjaga puasanya supaya tidak "sia-sia" sahaja dia menahan lapar dan dahaga sepanjang tempoh berpuasa itu.



Penulis bukan guru agama atau ustaz. Tetapi paling tidak penulis ingin menasihati diri sendiri sambil mengingatkan sanak saudara tentang hikmah berpuasa. Seperkara yang ingin penulis utarakan kepada sanak saudara di sini ialah tentang aktiviti solat sunat Tarawih berjemaah (di rumah-rumah ahli) yang menjadi amalan PTS selama beberapa tahun yang lampau (kecuali pada tahun 2009) setiap kali bulan Ramadan menjelma.

Untuk sanak saudara yang belum berkesempatan mengetahui perkara ini, PTS melakukan aktiviti ini di rumah-rumah ahli yang bersetuju menyediakan tempat dan mengadakan sedikit juadah di rumah mereka. (Cara "potluck" biasanya dilaksanakan oleh para ahli dalam situasi ini). Acara ini diadakan pada setiap hari Sabtu sepanjang Ramadan. Bermula dengan berbuka puasa, acara berterusan dengan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan kemudian solat sunat Tarawih. Majlis berakhir dengan acara tahlil dan bacaan doa selamat.

Tujuan aktiviti ini diadakan semata-mata untuk beramal ibadat bersama-sama dan seperti biasa untuk mengeratkan silaturahim sesama sanak saudara dalam keluarga besar PTS. Adalah menjadi harapan PTS aktiviti ini dapat diteruskan sampai bila-bila, insya-Allah.






Aktiviti Ramadan PTS di rumah Mardiana di Kg Melayu Subang
Berpuasa pada bulan Ramadan memang sesuatu yang amat dekat dan istimewa di hati umat Islam. Banyak peristiwa berbagai rupa dialami dalam menjalankan ibadah ini.

Banyak contoh dan tauladan dapat dilihat. Dan, paling istimewa banyak keinsafan mula bertapak dan wujud dalam jiwa yang tenteram. Begitulah kehendak Tuhan.





Aktiviti Ramadan PTS di rumah Hussain/Zakiah di Shah Alam


Ketenangan yang dialami orang yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan tidak dapat dinyatakan dengan perkataan.Hanya mereka yang melakukan ibadat itu sahaja yang merasainya. Mereka yang tahu akan kelebihan bulan Ramadan pasti tidak akan melepaskan peluang yang terbuka di hadapan mata mereka untuk beribadat sebanyak mungkin dengan penuh keikhlasan di hati sepanjang siang dan malam Ramadan.






Aktiviti Ramadan PTS di rumah Rogayah Osman di Taman Tenaga, Puchong

Maka kerana itu juga penulis teruja memaparkan sebuah puisi tentang kedatangan bulan yang mulia ini dan tentang apa yang harus dilakukan untuk mengisi ruang dan waktu sepanjang bulan tersebut. Mudah-mudahan penulisan entri ini tidak sia-sia. Amin.



Puisi ini tertulis pada tahun 2008. Isinya jelas membawa maksud yang tersendiri (self-explanatory).
Wallahualam.












dsuarang.blogspot.com


0 comments:

Nuffnang Ads