Sunday, July 18, 2010

Ramadan di Kg Melayu Subang, Shah Alam, Tmn Tenaga Puchong



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Ramadan,
Penuh Keberkatan


Andainya usia kita dilanjutkan Allah dan jika kita masih diberikan-NYA kesempatan untuk menikmati keistimewaan bulan Ramadan tahun ini, maka pada hari Rabu 11 Ogos 2010 bersamaan 1 Ramadan 1431H(yang akan menjelang beberapa minggu saja lagi), kita akan mula menunaikan ibadat puasa.



Berdasarkan pengalaman lampau, kita sedia maklum bahawa akan timbul bermacam-macam kerenah manusia (umat Islam) seiring dengan tibanya bulan yang mulia ini. Akan wujudlah berbagai-bagai perilaku dan ragam yang luar biasa. Senario yang mungkin tidak ketara pada bulan-bulan lain. Yang warak akan menampakkan kewarakannya. Yang kurang warak pun nak tunjukkan dirinya warak. Tak mengapalah . . . asalkan amalan yang baik ini tidak terhenti sebaik sahaja berakhir bulan Ramadan.



Sesungguhnya mereka yang ingin belajar menjadi warak ini harus dipuji. Keinginan begini memang jauh lebih baik daripada langsung tidak mempedulikan hak orang lain di sekeliling ketika bulan Ramadan. Ada yang langsung tidak menghormati mereka yang berpuasa. Ada pula yang langsung tidak cuba berpuasa. Setidak-tidaknya mereka yang turut melakukan amalan baik di sepanjang bulan Ramadan mengharapkan dapat keberkatan daripada Yang Maha Esa. Insya-Allah harapan mereka itu pasti tercapai jua pada akhirnya.



Pada bulan puasa ini memang ramai yang tiba-tiba berperangai pelik. Ada yang akan bertindak positif dan ada pula yang terus bertindak negatif. Paling dahsyat apabila ada yang bertindak agresif!



Apa yang hendak penulis katakan di sini ialah sikap yang sama (positif atau negatif) akan berulang setiap kali datang dan perginya bulan Ramadan. Sikap dan tindak-tanduk yang sama akan dipertontonkan oleh ramai orang sepanjang tempoh berpuasa pada bulan Ramadan. Kita memang sudah arif dengan bermacam-macam dalih yang dijadikan alasan untuk "menghalalkan" ketidakmampuan berpuasa seseorang. Kita juga arif dengan hakikat ada ramai orang berpuasa yang berleluasa melakukan "keserongan" yang membatalkan puasa. Orang yang tidak berpuasa pula sudah tentulah dengan "cara" tidak berpuasanya. Orang yang berpuasa kenalah berusaha menjaga puasanya supaya tidak "sia-sia" sahaja dia menahan lapar dan dahaga sepanjang tempoh berpuasa itu.



Penulis bukan guru agama atau ustaz. Tetapi paling tidak penulis ingin menasihati diri sendiri sambil mengingatkan sanak saudara tentang hikmah berpuasa. Seperkara yang ingin penulis utarakan kepada sanak saudara di sini ialah tentang aktiviti solat sunat Tarawih berjemaah (di rumah-rumah ahli) yang menjadi amalan PTS selama beberapa tahun yang lampau (kecuali pada tahun 2009) setiap kali bulan Ramadan menjelma.

Untuk sanak saudara yang belum berkesempatan mengetahui perkara ini, PTS melakukan aktiviti ini di rumah-rumah ahli yang bersetuju menyediakan tempat dan mengadakan sedikit juadah di rumah mereka. (Cara "potluck" biasanya dilaksanakan oleh para ahli dalam situasi ini). Acara ini diadakan pada setiap hari Sabtu sepanjang Ramadan. Bermula dengan berbuka puasa, acara berterusan dengan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan kemudian solat sunat Tarawih. Majlis berakhir dengan acara tahlil dan bacaan doa selamat.

Tujuan aktiviti ini diadakan semata-mata untuk beramal ibadat bersama-sama dan seperti biasa untuk mengeratkan silaturahim sesama sanak saudara dalam keluarga besar PTS. Adalah menjadi harapan PTS aktiviti ini dapat diteruskan sampai bila-bila, insya-Allah.






Aktiviti Ramadan PTS di rumah Mardiana di Kg Melayu Subang
Berpuasa pada bulan Ramadan memang sesuatu yang amat dekat dan istimewa di hati umat Islam. Banyak peristiwa berbagai rupa dialami dalam menjalankan ibadah ini.

Banyak contoh dan tauladan dapat dilihat. Dan, paling istimewa banyak keinsafan mula bertapak dan wujud dalam jiwa yang tenteram. Begitulah kehendak Tuhan.





Aktiviti Ramadan PTS di rumah Hussain/Zakiah di Shah Alam


Ketenangan yang dialami orang yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan tidak dapat dinyatakan dengan perkataan.Hanya mereka yang melakukan ibadat itu sahaja yang merasainya. Mereka yang tahu akan kelebihan bulan Ramadan pasti tidak akan melepaskan peluang yang terbuka di hadapan mata mereka untuk beribadat sebanyak mungkin dengan penuh keikhlasan di hati sepanjang siang dan malam Ramadan.






Aktiviti Ramadan PTS di rumah Rogayah Osman di Taman Tenaga, Puchong

Maka kerana itu juga penulis teruja memaparkan sebuah puisi tentang kedatangan bulan yang mulia ini dan tentang apa yang harus dilakukan untuk mengisi ruang dan waktu sepanjang bulan tersebut. Mudah-mudahan penulisan entri ini tidak sia-sia. Amin.



Puisi ini tertulis pada tahun 2008. Isinya jelas membawa maksud yang tersendiri (self-explanatory).
Wallahualam.












dsuarang.blogspot.com


0 comments:

Nuffnang Ads

No comments: