Tuesday, December 8, 2009

Berhemah Memandu Kenderaan!


Tuesday, December 8, 2009



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Jalan Jangan Silap Sakan


Kita sembang lagi tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang Malaysia dulu dan sekarang.

Dulu orang kita betul-betul belajar memandu kereta, van, lori, atau treler dsb. Pengajar dari sekolah memandu tegas mengajar cara memandu yang betul dan selamat. Undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalulintas mesti dipatuhi. Pemandu-pemandu lain perlu dihormati apabila sama-sama menggunakan jalan raya.

Pendeknya banyak perkara diajar walaupun nampak remeh supaya pemandu kenderaan nanti tahu apa yang diperlukan daripada mereka. Bukan setakat ambil kunci kereta dan terus memecut secara tergesa-gesa atau terburu-buru.

Bayangkan pada waktu dulu cara memberi signal atau isyarat ketika memandu pun ditunjuk ajar oleh pengajar dengan terperinci.

Contohnya dulu tiada signal automatik . Kena pakai signal tangan. Kena buka tingkap. Kena hulurkan tangan keluar dan tunjukkan isyarat hendak membelok ke kanan atau ke kiri atau isyarat untuk memperlahankan kelajuan kenderaan atau isyarat untu berhenti,dll.

Orang dulu-dulu tetap menuruti nasihat pengajar dari sekolah memandu itu …
dan yang paling penting mengamalkan apa yang telah diajarkan. Sekarang orang kita dah tak ambil berat tentang pentingnya beretika apabila memandu di jalan raya.

Contoh 1: Memandu di bulatan (round about). Ramai pemandu tidak tahu atau tidak mahu tahu (atau tidak diajar?) siapa harus lalu dahulu dan siapa pula kemudian. Mungkin kerana itu mereka tak peduli bahawa sepatutnya pemandu kenderaan yang berada di sebelah kanan mereka yang harus diberikan laluan dahulu.


Contoh 2 : Memandu keluar dari jalan kecil ke jalan utama. Ramai pemandu yang terus sahaja keluar dari jalan kecil ke jalan utama tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah jalan utama itu. Maka selalu berlaku perlanggaran. Tercetus pertengkaran atau pergaduhan. Sepatutnya pemandu dari jalan kecil itu tahu memberi jalan kepada pemandu kenderaan yang bergerak di sebelah kanannya di atas jalan utama itu.

Contoh 3: Memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Ramai yang melakukannya sekarang. Khayal bercakap ( bercinta?) melalui telefon bimbit ketika memandu. Ada yang baca dan hantar atau balas SMS sekali! Mereka seolah-olah berfikir, "Fon aku yang punya ... kereta pun aku punya. Orang lain peduli apa!" Bila kena hon .. ada yang buat selamba, macam yang bersalah bukan mereka. Ada pula yang naik marah, macam orang lain yang bersalah! Macam-macam dunia punya dalam. 'Accident' kalu baru pucat ... terdiam!

Contoh 4: Tukar lorong tanpa beri isyarat (signal). Memang ramai pemandu yang berperangai begitu. Entah kenapa teman tak tahu. Berat atau penat sangat nak beri 'signal'? Puas si pereka atau pencipta kereta menyediakan kemudahan alat memberi 'signal' supaya perjalanan selesa dan pemandu semua selamat. Apo nak dikato ...degil ya amat!

Contoh 5: Membuang sampah sarap di jalanan ketika memandu. Tak faham-faham agaknya orang kita ni. Pemandu (dan penumpang sekali ) gemar betul membuang puntung rokok, sisa makanan, beg plastik, kertas tisu, botol air atau tin minuman dsb. di atas jalan raya ketika memandu. Macam bila berada dalam kereta, van, bas, lori , treler dsb. mereka sudah mendapat lesen untuk bebas membuang sampah merata-rata. Agaknya mereka lakukan sedemikian juga di rumah mereka? Kata orang, "Alah bisa tegal biasa."
Contoh 6: Ada pula pemandu yang gemar memotong Q (queue). Tiba-tiba terus nak ke depan. Bila pemandu lain dah beri jalan, isyarat terima kasih pun tidak ditunjukkan. Kasihan … mana insan yang tadinya (sebelum memandu) bersifat sopan?
Contoh 7: Ramai pemandu semakin memecut bila lampu hijau trafik (lalulintas) bertukar ke warna kuning sebelum memaparkan warna merah. Mereka sepatutnya bersedia untuk berhenti bila lampu berwarna kuning menyala. Bukan tambah daya pecutan untuk ‘merembat’ lampu trafik itu. Hairan! Namun ada yang lebih menghairankan. Ramai penunggang motosikal yang setelah sanggup berhenti dan menanti begitu lama ketika lampu trafik memaparkan warna merah, tiba-tiba memecut awal 3 - 4 saat sebelum lampu warna hijau menyala! Macam dah tak boleh tunggu sekejap saja lagi hingga lampu trafik bertukar warna hijau. Macam nak tayang ‘pickup’ motor ‘power’ gila! Teman tak kisah … cuma resah … takut mika ‘berdentum’ dengan lori sampah!
Maka tentang perbuatan memberi ‘signal’ itu … kalau dulu orang malas berbuat demikian patut jugalah. Nak kena keluar tangan, nak putar tangan ikut arah jam atau lawan jam atau ke atas dan ke bawah dan berbagai macam lagi. Mungkin meyusahkan sedikit.

Sekarang semua dah automatik … pun susah juga nak beri signalkah? Petik sahaja suis yang berkenaan … biarlah lampu ‘signal’ itu ‘berluplapluplip’ (maaf DBP ini istilah buatan sendiri). Apa takut habis bateri atau takut mentol ‘signal’ itu terbakar kalau berbuat demikian?

Berilah ‘signal’ menunjukkan arah yang hendak dituju. Kasihanilah pemandu lain yang datang dari hadapan atau yang mengikuti di belakang … takut-takut tak tercium mulut nanti tercium punggung !


Anehnya orang kita... Mereka amat berbudi bahasa. Mereka berhemah tinggi. Mereka bersopan santun. Memang benar mereka sedemikian … malangnya hanya ketika tidak memandu!

Dapat saja pegang stering (atau dulu-dulu dipanggil ‘kayu mati’) mereka yang sama tadi terus bertukar sikap dan watak. Mereka terus besit … macam pelesit. Konon nak sampai cepat takut tak sempat.

Kadangkala pemandu jenis ini macam tak ketahuan hala ... seperti orang memulas perut yang mesti ‘melepas’ dengan segera! Pi mai pi mai pemandu yang berkejar-kejar . . . tak jauh pun meninggalkan pemandu yang bersabar. Beza masa pun tak jauh mana.

Agak-agaklah kawan … kita sama-sama bayar cukai jalan! Kalau pun tak sayang nyawa sendiri, fikirkanlah tentang nyawa orang yang disayangi.


Renung-renungkan …

0 comments:

Post a Comment