Thursday, December 31, 2015

Undangan Mengimbau Kenangan





Assalamualaikum
 n 
Selamat Sejahtera



Resepsi Perkahwinan
 Safuan n 'Afifah





Ikan di laut, asam di darat ,
 dalam periuk ,mungkin muafakat . . .  





Demikian antara kata-kata yang terdapat dalam seloka popular orang lama-lama kita.


Kata-kata ini sudah sering menjadi kenyataan dalam kehidupan moden masyarakat kita sekarang . . . lebih tepat dalam hal pertemuan jodoh atau perolehan pasangan hidup. 

Pada hari Sabtu 26 Disember 2015 bersamaan 14 Rabiul Awal 1437H penulis ditemani beberapa orang ahli keluarga telah ke Johor Bahru untuk memenuhi undangan ke suatu majlis perkahwinan.























Undangan penulis terima daripada Tuan Hj Kamarudin bin Haji Abdullah* & Puan Hajjah Hapsah binti Haji Omar.

Majlis berkenaan diadakan kerana meraikan perkahwinan Sdr. Safuan bin Haji Kamarudin & Sdri. Nor 'Afifah binti Rohaizad









Hos Yang Budiman 

Tuan Haji Kamarudin bin Haji Abdullah & Puan Hajjah Hapsah binti Haji Omar




Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.


Hidup kita dikandung adat,
Mati nanti berkalang tanah;
Redup mata merenung gelagat,
Hati budi orang berhemah.





Catatan Kenangan:



*{Tuan Hj Kamarudin Abdullah, kini Pegawai Daerah (DO) Pontian, adalah teman sebilik penulis ketika di Madinah pada musim Haji 2011. Isteri beliau Pn Hjh Hapsah Omar pula teman sebilik isteri penulis pada waktu yang sama.} 








Hj Kamarudin dan Hjh Hapsah 
ketika di Madinah al-Munawwarah)












Cenderawasih tinggi di awan,
Akhirnya menyepi ke belantara;
Terima kasih kami ucapkan,
Hadirnya kami tanda gembira.










Pasangan Pengantin Baru

Safuan bin Haji Kamarudin & 'Afifah binti Rohaizad




Yang tersirat sudah tersurat,
Yang tersurat semakin nyata;
Yang diikat biarlah erat,
Yang bermuafakat biarlah sekata.




Kami tiba di rumah tempat majlis diadakan selepas waktu Zohor dan terus disambut mesra oleh tuan rumah.















































































































































Ramai sanak saudara dan sahabat handai dari jauh dan dekat turut hadir untuk memeriahkan majlis.









































Keriangan Menyambut Tetamu








 Gembira dan Bersyukur














Ketibaan Pasangan Pengantin Baru




























Ketibaan Tetamu Kenamaan




















Sebagai seorang hamba Allah swt yang sehingga ini telah diizinkan-NYA menikmati lebih daripada 40 tahun pengalaman 'mendirikan masjid' . . . penulis sekadar cuba memberikan sedikit suntikan warna semangat di sini melalui kata-kata peringatan kepada pasangan pengantin baru:














"Kelangsungan perkahwinan boleh diibaratkan sebagai pembinaan dan penyenggaraan sebuah masjid. Usaha membina dan mengimarahkan masjid bukan sesuatu yang mudah!















Tapak dan tanah jangan sembarangan. Biar kukuh biar teguh. Arkitek mesti ada kemahiran. Jurutera mesti ada kepakaran. Juru ukur bahan (QS) mesti ada ilmu, tahu apa bahan yang perlu.













Kubah masjid mesti tegap. Menara biar tinggi. Pembesar suara biar lantang. 











Mimbar biar terang. Baris saf biar lurus. Khatib biar cukup hafal.













Bilal mesti pandai jaga waktu. Alunan azan biar merdu.








Imam biar sabar dan berpengalaman. Makmum biar tertib dan siuman.













Paling penting . . . perlaksanaan ibadah biar teratur . . . jangan simpang siur!"

























Sebelum Berpisah


















Penulis dengan rendah hati ingin juga berkongsi isi puisi peribadi di bawah ini yang tertulis pada tahun 2009. 

Puisi berjudul 'HAK'. Mudah-mudahan ada jua manfaatnya sebagai peringatan kepada pasangan pengantin baru yang masih muda ini.


H-A-
( hak, amanah, kewajipan) 



Sebelum bergelar suami isteri
hak peribadi milik sendiri
hak bersama dikongsi keluarga
hak seramai tiada terhingga













Setelah melalui gerbang perkahwinan
banyak hak bertukar tangan
banyak beza budaya perkongsian 
hak berubah menjadi tanggungan!









Keluarga terdekat kenalah diingat
ayah bonda disanjung sentiasa
masih terpelihara hubungan istimewa 
erat ... dari dunia sampai akhirat!








Namun jangan alpa hak pasangan
jangan biarkan hatinya terkilan
dia yang sekarang jadi tanggungan 
dia yang kini diamanahkan
Yang Maha Esa Tuhan
untuk dihargai untuk disenangi!








fikir fikirkan, timbang-timbangkan
jauhkan penting diri, elakkan percanggahan















biar benar-benar pasti . . . 










yang mana BOLEH . . . yang mana MESTI!





















Ada Apa Lagi?






















Oh ini . . . berkat


























ALHAMDULILLAH
segalanya selesai sudah . . . 



Tahniah diucapkan kepada pasangan pengantin baru Safuan & 'Afifah dan selamat menerima menantu pula khas untuk Tuan Hj Kamarudin dan Puan Hjh Hapsah. 








Terima kasih daun keladi . . . panjang umur berjumpa lagi.





bamuda
dsuarang.blogspot.com