Thursday, December 17, 2009

Geng MBH di Pangkor 1964



Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Jejak Bertapak

Apa yang terbayang di minda anda tentang Pulau Pangkor lebih daripada 135 tahun dahulu? Mungkin anda dapat mengingati sesuatu. Dulu ada kita pelajari di sekolah dalam mata pelajaran Tawarikh (sekarang Sejarah). Apa lagi kalau bukan Perjanjian Pangkor 1874 (Pangkor Treaty 1874).

Bayangkan pula Pulau Pangkor 45 tahun dahulu .Tiada apa yang menyerlah yang boleh dibanggakan oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. Sesungguhnya sebilangan majoriti rakyat di negara ini mungkin tidak pernah pun ke pulau tersebut pada masa itu. Maklum saja prasarana pulau itu tidak pun sampai ke tahap yang boleh dikatakan 'asas' atau 'sederhana' jauh sekali bertaraf 'lengkap' atau 'sempurna'! Pendek kata segalanya serba tiada! Tiada sistem pengangkutan asas yang boleh diharapkan. Keadaan balai polis, balai bomba atau pusat kesihatan tiada yang boleh meyakinkan pelawat atau pengunjung. Tiada pekan atau sekurang-kurangnya deretan kedai yang boleh memudahkan seseorang mendapatkan keperluan bahan makanan atau keperluan hidup sehari-harian. Sana sini yang kelihatan ketika itu hanyalah kampung nelayan, bot nelayan serta kehidupan yang daif. Demikian senario pada tahun 1964 .


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Berlagak di pantai Pasir Bogak 1964. Kiri ke kanan: Dollah, Aziz dan Majid]

Sekarang Pulau Pangkor telah membangun. Pulau Pangkor telah berubah wajah. Ada pula pulau kecil di sisinya yang turut membangun dengan hebatnya bersekali. Itulah Pangkor Laut yang kini terkenal ke seluruh dunia. Pulau Pangkor kini menjadi tempat tumpuan warga tempatan dan masyarakat antara bangsa yang datang untuk mengalami percutian yang santai. Mudah bicara, tempat ini yang dahulunya kosong keindahan dan keistimewaan, telah keluar daripada kepompong kemunduran dan menghala ke arah kegemilangan yang sangat membanggakan.

Jika seseorang yang pernah mengunjungi Pulau Pangkor pada tahun-tahun 60-an kembali lagi ke pulau ini sekarang, dia tentunya akan tertanya-tanya di manakah gerangan dia berada. Tempat-tempat yang lama sudah tidak dapat dicamkan lagi. Pantai yang indah sudah banyak berubah. Bak kata pepatah Melayu,"Sekali air bah sekali pantai berubah".

Pasti begitulah perasaan kami lima bersahabat daripada Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur jika sekali lagi pergi ke sana seperti yang telah kami lakukan pada tahun 1964. Pada tahun itu aku (Abdul Majid Baharom), Kamarudin Hj Ali, Nordin Abdul Manaf, Abdul Aziz Abdul Hamid dan Abdullah (Bruas) telah pergi berkhemah di pantai Pasir Bogak. Kami sebenarnya telah merancang dan berpakat melakukan aktiviti perkhemahan itu sejak awal tahun akhir di Asrama Putera sebelum peperiksaan OSC. Ketika itu aku masih belajar di Victoria Institution, Kamarudin di St Gabriel School, Nordin di High Street School, Aziz di Methodist Boys School (MBS) dan Abdullah di St Johns Institution. Semuanya di Kuala Lumpur. Maka setelah tamat tahun persekolahan dan ketika dalam percutian menunggu keputusan peperiksaan OSC kami pun terus melaksanakan misi 'suka-suka' itu.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Di Lumut sementara menunggu bot ikan hendak ke Pangkor. Kiri ke kanan: Dollah, Majid, Aziz dan Kamarudin. Kalau lambat sangat berenang sajalah ke seberang!]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Tunggu lagi di Lumut. Tak berani berenang ke seberang? Kata jaguh renang kampung masing-masing. Kiri ke kanan: Majid, Aziz, Kamarudin dan Nordin]

Sebenarnya sebelum itu Ghazali Kamaruddin (St Gabriel School) pun ingin turut serta. Tetapi agaknya kerana Ghazali tu 'Budak Kaciek Nan Manjo' maka emaknya Cikgu Zaharah tidaklah mengizinkan dia turut sama ketika itu. Mungkin takut nanti si Ghazali tu asyik turun ke laut saja ... tak tentu waktu siang dan malam ... Al-maklum, kat Gombak ada sungai aje! Aku masih ingat betapa kecewanya Ghazali. Lebih kecewa daripada 'watak Ghazali' dalam cerita filem "Antara Dua Darjat". Walaupun dia meronta-ronta nak ikut ... tetap tidak dibenarkan. Nasib le Li ... Tengok gambar aje cukup le!

Apapun, aku telah balik ke Tapah sebaik saja bercuti sekolah. Dollah pula balik ke Bruas. Kedua-dua tempat ini adalah kampung kami masing-masing di Perak ketika itu. Aku tak berapa ingat sama ada Aziz balik ke Slim Village atau terus tinggal di Selangor seperti Kamarudin dan Nordin pada masa itu. Tak kisahlah ... Apa yang aku ingat ialah mereka bertiga datang ke Tapah (naik kereta api ke Tapah Road rasanya) dan bermalam di rumahku. Keesokan harinya kami berempat terus ke Bruas menaiki bas 'lompat' (kurang wujud bas ekspres zaman tu). Sampai sana Dollah ambil kami dengan kereta ayahnya bawa ke rumah. Kami bermalam pula di rumah Dollah merangkap sebuah 'forest checking station'. Ayah Dollah seorang pegawai Jabatan Perhutanan. Esoknya kami terus ke Lumut dengan membawa segala macam bahan makanan dan minuman. Aktiviti perkhemahan kami di jadualkan selama 5 hari. Alat masak-memasak dan keperluan perkhemahan lain seperti kuali dan periuk, bahan api, sudip, sudu, garfu, pisau, tali dsb semuanya dibawa.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Aksi ngeri 4 anggota MBH di hadapan rumah Dollah di Bruas. Kiri ke kanan : Nordin, Kamarudin, Majid dan Aziz]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Empat penjaga simpang di pekan Bruas. Kiri ke kanan: Aziz, Majid, Nordin dan Kamarudin]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Staf baru Majlis Mesyuarat Tempatan Bruas 1964. Aziz (kiri) dan Majid 'reporting for duty on Day One']

Kami sampai di kampung nelayan Sungai Pinang di Pangkor setelah lama menaiki bot nelayan dari jeti kecil di Lumut. Masa itu belum ada feri yang boleh membawa kami dengan segera ke sana. Dollah yang menjadi 'guide' kami menuju ke tempat-tempat di Pulau Pangkor. Dia 'Penghulu' kat sana kononnya! Aku dan kawan-kawan lain dah agak kepenatan ... Tapi rupanya kami mesti berjalan agak jauh juga lagi ke Pasir Bogak di bahagian barat Pulau Pangkor. Bante le Yeop ... Ase sampe dah le. Akhirnya sampailah juga.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Kelaparan. Tunggu makan tengah hari. Nasi belum masaklah! Kiri ke kanan: Nordin, Dollah, Majid dan Aziz]

Kami pun terus mendirikan khemah. Kemudian memasak makanan. 'Chief Cook' memang si Dollah ... yang lain-lain jadi ... pembantu setia (belum tentu membantu beb). Melawak aje. Sebenarnya semua bergotong royong dengan sepenuh tenaga. Aku yang jadi tukang makan le. Makan di tepi laut memang amat menyelerakan. Sering cepat kelaparan. Para nelayan di situ selalu memberi kami ikan,udang atau sotong hasil tangkapan mereka. 'Chief Cook' kami yang jadi tukang bega apa menu yang hendak di cuba masak pada setiap hari . Apapun dia masak ... sedap aje. 'No complaint'. Takut dia mogok nanti ... susah cerita.



*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Wah 'Chief Cook' nampak beria-ia beri arahan pada para pembantu. Baik-baik sikit nanti ada yang mogok masak. Kiri ke kanan: Dollah, Majid, Nordin dan Kamarudin]

Sepanjang perkhemahan kami di pantai Pasir Bogak, dapatlah aku menikmati keindahan alam siang dan malam. Dapat aku lihat dan mengerti secara langsung setiap kebesaran Allah melalui ciptaan-Nya. Sangat mengagumkan melihat matahari terbit dan terbenam setiap hari. Sangat mengharukan mendengar deruan angin laut yang menyisir dedaun pepohon sekitar pantai. Deburan ombak pula sungguh mengasyikkan. Pada waktu-waktu tertentu kami semua berkisah panjang tentang kawan-kawan di Asrama Putera. Banyak peristiwa yang telah dikongsikan. Banyak pengajaran yang kami perolehi. Tebal persefahaman yang dapat kami tanamkan dalam diri kami.

Selama beberapa hari berkhemah di pantai Pasir Bogak kami puas bermandi manda di laut. Dah sampai tak lalu lagi ... jadi duduk relaks saja. Pantai Pasir Bogak tidak begitu dikunjungi orang ramai pada hari bekerja biasa. Susah hendak lihat orang luar bermandi-manda atau berkelah di situ. Tetapi pada hari Sabtu dan hari Ahad ramai juga orang yang datang berkelah. Aku difahamkan mereka datang dari daerah Sitiawan, Batu Gajah, Lumut dan ada juga dari Ipoh dan Parit dll. Walau bagaimanapun kebanyakannya dari Perak le.


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Dah main bot laju pulak ... Kiri ke kanan: Majid, Kamarudin, Aziz dan Nordin]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]
[Agak-agak le sikit. Itu reta orang ... Rosak sanggup bayar ke? Keroja pun belum! Kiri ke kanan: Majid, Aziz, Kamarudin dan Dollah]


*[Klik pada gambar untuk imej lebih besar]

[Dah betul le tu. Dah mandi sampai 'fed up'. Relaks atas batu. Tapi jaga-jaga sikit ... air naik keliling batu tanpa amaran ... dalam tu ooi! Majid (kiri) dan Aziz]

Selepas lima hari berkhemah kami pun berpisah ke kampung halaman masing-masing. Aku tak dapat berkata bagi pihak kawan-kawan yang lain ... tetapi bagi diri aku sendiri ... pengalaman berkhemah di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor pada tahun 1964 itu membawa seribu satu ragam kenangan yang amat membina pemantapan kemandirian. Aku mengerti betapa banyak yang boleh dicapai dengan semangat bekerjasama yang erat lagi ikhlas. Soal beraktiviti dalam keadaan yang serba kekurangan tidak semestinya menjadi halangan.

Terima kasih Kamarudin, Nordin, Aziz dan Dollah kerana pernah menjadi rakan seperkhemahan aku dalam suasana yang mesra dan keadaan yang serba sederhana!

Insya Allah kita berjumpa lagi.








Blog @: Bamuda d'SUARANG