Saturday, September 21, 2013

Matlob Penulis Aktif






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Terkenang Kawan Era 80-an


Pagi Sabtu 7 September 2013 aku tersentak seketika . . . sekali imbas terlihat akan tajuk berita (headline) di
halaman beberapa akhbar tempatan . . . 













Innalillahi wainna ilaihi rajiun . . . daripadaNYA kita datang kepadaNYA kita kembali. Itu sahaja doa yang mampu terbit daripada mulutku. 

Seorang kawan yang aku kenali sewaktu aku bekerja di OUP/PFB 1980-2001 . . . Mohammad @ Mokhtar Talib . . . atau lebih popular dengan panggilan Matlob atau Pak Matlob di kalangan rakan-rakan editor dan penulis telah pergi dahulu menyahut panggilan Ilahi kembali ke alam barzakh.  








Menurut berita yang tersiar di akhbar-akhbar arus perdana , Pak Matlob meninggal dunia pada petang 6 September 2013 di rumahnya di Semerah, Batu Pahat.








Allahyarham Pak Matlob sewaktu hayatnya merupakan seorang pendidik dan penulis yang kreatif dan aktif.

Aku mengenali Pak Matlob pada awal tahun-tahun 1980-an kerana beliau adalah seorang penulis buku cerita kanak-kanak.







Ketika itu aku pernah bertugas sebagai editor bahasa dan sastera yang menjaga penerbitan buku-buku genre tersebut.

Kami sering bertemu secara formal dan tidak formal apabila membincangkan skrip / naskah untuk penerbitan dsb.

Kami juga kerap bertemu dalam acara atau majlis yang berkaitan dengan peristiwa kesusasteraan dan bahasa Melayu di Kuala Lumpur mahupun di tempat-tempat lain dalam negara.




HARI SASTERA 83
di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru



Sesuatu yang menjadi kenanganku ke hari ini ialah aku pernah berkunjung ke rumah Pak Matlob di Semerah, Batu Pahat dalam bulan Syawal pada salah satu tahun era 1980-an itu. 

Aku ke sana bersama Sdr Ahmad Fadzil Yassin (AFY) . . . mantan Pengurus kemudian Pengarah Penerbitan di Jabatan Penerbitan (Melayu) OUP/PFB Malaysia.

Dalam kunjungan yang lebih bersifat mengeratkan silaturahim itu . . . kami bermaaf-maafan antara satu sama lain . . . seperti mana lazimnya bersempena hari raya . . . dan sambil itu , sempat pula membuat rancangan dan melakarkan program penerbitan buku cerita kanak-kanak dengan meminta bantuan Pak Matlob.





Allahyarham Pak Matlob


Rancangan dan program yang diatur itu seingat aku berjaya kami laksanakan sebagai jadual penerbitan untuk satu hingga tiga tahun ke hadapan. 

Aku juga cukup ingat . . . pada waktu kami di rumah Pak Matlob . . . perhatianku pantas tertumpu kepada banyaknya bandela surat khabar yang terikat kemas dan tersusun rapi di lantai bahagian aras bawah. 

Setiap bandela itu mengandungi himpunan akhbar mengikut tarikh keluarannya setiap hari!

Bukan mudah melakukan perkara tersebut. Tiada fasilitet sistem digital atau teknologi mikrocip pada ketika itu untuk menyimpan keseluruhan data / material surat khabar. 

Bayangkan seluruh 'jisim' surat khabar itu terpaksa disimpan bersekali dengan banyaknya . . . hingga memakan ruang yang terlalu luas di rumah Pak Matlob itu dan memungkinkan risiko berlaku kebakaran dan serangan anai-anai! 

Dalam fikiranku tergambar Pak Matlob sebagai seorang yang amat rajin dan cermat apabila melakukan sesuatu. Disiplin diri yang menjadi kekuatan pegangannya hari demi hari cukup tinggi.

Pak Matlob tidak jemu-jemu melakukan dengan sepenuh hati dan dengan cara yang terbaik setiap kerja yang dijadikannya sebagai tanggungjawab peribadi. 









Realitinya . . . memang begitulah sikap dan cara bekerja insan penulis ini dalam usaha menghasilkan bahan-bahan penulisannya.

Kini, Mohammad @ Mokhtar Talib  . . . @ Matlob . . . @ Pak Matlob sudah tiada. Pasti ramai yang mengenali beliau ataupun yang pernah bekerjasama dengan beliau dalam bidang penerbitan buku ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.









Aku peribadi ingin menujukan kenyataan 'belasungkawa' ini khas kepada Ani Mariam, anak perempuan Pak Matlob, yang aku kenali ketika kami sama-sama bekerjaya di OUP/PFB suatu ketika dahulu . . . dan seterusnya sudah tentu juga kepada seluruh anggota famili Allahyarham.

Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham Mohammad @ Mokhtar Talib terpelihara di semulia-mulia kedudukan di sisi Allah SWT. 





bamuda
dsuarang.blogspot.com