Monday, November 2, 2015

Mestikah Semua 'A'?





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Sebenarnya 'A' Untuk Siapa?

(ulangan cerita lama setiap kali musim peperiksaan tiba. . . )



Musim peperiksaan sekolah tiba lagi. Murid-murid 'bertungkus-lumus' dan 'bergelut' menggunakan akal sedaya upaya menghadapi peperiksaan.

Lebih tepat kalau dikatakan 'bertarung' memeras minda untuk mencapai keputusan terbaik (jika tidak pun yang terunggul) dalam peperiksaan mereka masing-masing. 

Pihak media cetak dan elektronik tempatan juga tidak putus-putus menyiarkan berita tentang perkara ini. 

Ternyata sudah menjadi 'terlalu utama' hal peperiksaan begini . . . lebih-lebih lagi hal nak skor sebanyak-banyak 'A' . . . kalau boleh semua sekali!

Saya teruja mencatatkan sedikit kenangan / pemerhatian tentang hal peperiksaan sekolah. Sedikit pandangan . . . situasi dahulu dan sekarang. 

Saya percaya para pembaca juga ada kenangan (dan pandangan) masing-masing dalam hal peperiksaan seperti ini . . . 

Catatan yang saya buat di sini bukan bertujuan menidakkan kepentingan peperiksaan sekolah. Cuma saya berharap dapat mencetuskan sedikit 'keterbukaan' minda tentang fenomena peperiksaan ini. Kesannya terhadap nilai hidup warga Malaysia sendiri.

Kesan yang boleh dijadikan iktibar (kalau mahu) kepada kita semua dalam usaha mengejar kejayaan yang sebenar dalam hidup ini !





Keratan Akhbar 
(Harian Metro Isnin 2 November 2015)



Dulu ibu bapa tidak peduli sangat atau tidak mengambil berat sama ada anak mereka mendapat pelajaran yang secukupnya di sekolah.

Ibu bapa hanya menghantar anak ke sekolah untuk belajar supaya bila dewasa nanti boleh dapat kerja dan boleh sara hidup sendiri.

Ibu bapa juga berharap anak mereka dapat membantu mereka meringankan 'beban' keluarga yang ditanggung (setelah mereka bekerja nanti.)

Apa yang mereka tahu atau ambil berat ialah anak itu mesti lulus periksa. Asal lulus cukup. Tak lulus kena hukum. Dapat hadiah 'roti panjang' (istilah orang dulu-dulu untuk sebatan dengan rotanlah tu!)

Tak pernah kecoh di mana-mana fasal dapat berapa banyak 'A' dalam apa-apa peperiksaan pun! Tahu-tahu anak itu dah habis sekolah. Jadi orang juga!

Ramai yang setelah dewasa dan berkeluarga tahu tanggung jawab menanggung dan membimbing ahli keluarga mereka.

Ramai orang besar-besar atau orang kenamaan sekarang adalah merupakan hasil didikan keluarga zaman dahulu.

Memang kita akui pendidikan dan pelajaran asas penting untuk memajukan para anggota sesebuah masyarakat.

Tetapi . . . tak semua mereka yang berjaya sekarang mendapat semua 'A' dalam setiap peperiksaan yang mereka duduki!

Tak semua pula mereka yang mendapat berpuluh-puluh 'A' dalam setiap peperiksaan yang mereka ambil . . . berjaya dalam hidup mereka!

Jadi bersederhanalah hendaknya dalam 'meraikan' kejayaan dalam setiap peperiksaan sebegini pada setiap kali tahun berlakunya.

Kadang-kadang terasa macam kita terlalu menghebohkan sesuatu 'pencapaian' awal yang belum pasti menjanjikan 'pencapaian' sebenar pada akhirnya!

Sekarang anak sekolah mesti pergi kelas tambahan. Mesti pergi tuisyen. Mesti menghafal dengan tepat apa yang dipelajari. Mesti mengulangkaji setiap pelajaran dengan tidak jemu-jemu. Mesti jadi murid terbaik (walaupun di luar kemampuan mereka!)

Mesti skor semua 'A'. Mesti bercita-cita tinggi. Mesti jadi doktor, peguam, jurutera atau akauntan ... dan banyak 'mesti-mesti' lain lagi.

Kalau anak malas belajar, ibu bapa yang menggantikan tempat mereka itu !

Ibu bapa merancangkan segala aktiviti pembelajaran anak supaya mereka tiada alasan untuk menolak 'penyiksaan' atau 'penderaan' mengasah minda hingga tajam.

Ibu bapa yang tetapkan sasaran yang anak mesti capai (skor paling hebat atau dahsyat ditetapkan oleh ibu bapa moden sekarang ke atas 'ayam sabung' masing-masing.)

Apa tak 'ayam sabungnya'? Berlawan-lawan nak lebih baik daripada anak-anak sekolah yang lain.

Kadang-kadang kerja untuk aktiviti ko-kurikulum pun ibu bapa yang buatkan ... kadang-kadang tok nenek pun jadi mangsa untuk buat kerja cucu!

Kalau dapat 10 hingga 20 'A', maka kembang kempislah hidung ibu bapa menahan bangga! Kalau kurang berjaya cuba lagi bermati-matian lain kali. 

Jangan terkejut, ada ibu bapa yang sanggup 'bertunggu bertangga' kalau pun tidak 'berumah' di sekolah demi kemajuan anak mereka. 

Tak buat gitu nanti tak berjaya pula. Pada mereka ini, kalau nak berjaya dalam hidup seseorang murid mesti skor 10 atau 20 'A' atau lebih . . . straight 'As'!

Kesimpulannya murid sekarang mesti berhempas pulas 'skor' untuk ibu bapa. Untuk kepuasan ibu bapa mereka, tidak syak lagi. 

Nanti senanglah si ibu bapa itu nak beri tahu orang ... anak mereka bijak ... bolehlah pula buat perbandingan dengan orang lain yang anaknya tak berapa 'skor'.

Nanti bolehlah tanya,


"Anak U macam mana ... dapat berapa A?"

" Anak I ... ... ... tak sangkalah ... dapat semua A ... I ingat habis kuat, dua tiga A saja".


Atau, nanti boleh keluarkan kata-kata simpati atau beri semangat konon kepada orang yang anaknya kurang mendapat berpuluh A ... 


"Kesian anak si polan itu ... tak tahu macam mana dia tak dapat A ... Dia taklah tak pandai sangat , tau...".


"Tak apalah U, cuba lagi pada masa depan... nasib baik anak U dapat B (atau C ...)"


" Anak si polan tu lagi teruk ... entah apalah nak jadi nanti..."


Ironinya, mereka yang heboh hendakkan anak mereka maju dalam pelajaran di sekolah (akademik) tidak pula berusaha memastikan anak-anak mereka itu terdidik dalam hal ehwal kerohanian atau kegamaan ... tidak dilatih anak-anak itu berbudi bahasa atau berhemah tinggi.

Tidak dilarang anak-anak itu terpengaruh dengan budaya samseng atau budaya kuning. Tidak dibimbing mereka menolak ajaran songsang.

Tidak dielakkan mereka daripada pemahaman mendapatkan sesuatu dengan jalan kekerasan ...

Pendeknya, ada banyak kes dalam mana anak-anak yang mendapat berpuluh-puluh 'A' itu tidak diasuh supaya boleh dan pandai menggunakan kecerdikan atau kebijaksanaan mereka dengan cara yang betul untuk menjadi pemimpin masa depan yang benar-benar boleh dipanggil bakal pewaris negara Malaysia.

Janganlah semakin bijak semakin tidak menghormati orang lain pula. Janganlah kerana sudah terlalu bijak tidak pula sayang kepada agama, bangsa dan negara sendiri. 

Belajarlah menjadi tukang skor berpuluh-puluh 'A' juga dalam banyak lagi bidang untuk kesempurnaan hidup di dunia ini ... yang akhirnya ... membawa ke akhirat jua!

Fikiran, pandangan, pertimbangan, sikap dan tindakan mesti turut bertaraf 'A'!

Sekadar sama-sama beringat. Terima kasih.







bamuda
dsuarang.blogspot.com