Tuesday, November 3, 2015

Bila Penyakit TB Menular








Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





 Dulu Dikata Gila . . .  
Sekarang Nak Kata Apa?



Mari kita sembang-sembang sikit tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang kita Malaysia . . . 'adat' dan 'pantang larang' dulu berbanding yang sekarang. 

Dulu amat menghairankan khalayak ramai jika terlihat seseorang bercakap-cakap seorang diri. 

Tambah teruk jika seseorang itu dilihat melakukan berbagai-bagai aksi aneh bersendirian. 

Pantang . . . memang menjadi suatu kepantangan  . . . melihat tindak-tanduk yang dikira luar biasa begitu. 

Orang yang ketawa atau menangis bersendirian sambil mengangkat-angkat tangan, menuding jari, menggoyang-goyangkan kepala, berjalan mundar-mandir, terkinja-kinja atau terloncat-loncat tak ketahuan hala dsb tanpa diketahui sebabnya akan dicap tidak berapa 'betul', 'senget' atau mungkin juga 'mereng'.  

Kalau orang yang sedang memandu atau menunggang 'mesin berenjin' di jalan-jalan raya pula berperangai begitu . . . mereka sudah tentu dicap 'tak siuman' atau sudah 'hilang akal' dan menjadi 'gila tak menentu'!

Sekarang dah lain. Keadaannya sudah amat berbeza. Sekarang orang kita dengan selamba berbuat demikian. 

Mereka tidak pula dicap 'tak berapa betul', 'mereng', 'tak siuman' atau 'gila' seperti kata-kata yang dahulunya dilemparkan kepada orang zaman-zaman silam. 

Mengapa begitu? Apakah yang menyebabkan mereka boleh bebas bertindak macam kurang siuman atau beraksi lepas laku?

Mengapakah keadaannya berubah sama sekali? Puh kanan, puh kiri . . . 

Jawabnya mudah. Angkara TB. Benar . . . TB yang punya onar! 

Bukan Tuberculosis atau penyakit Batuk Kering . . . tetapi TELEFON BIMBIT (TB) yang telah berbuat angkara!





foto hiasan



TB amat mempengaruhi kehidupan manusia masa kini. 




TB sudah menjadi suatu alat 'kemestian' dalam hidup manusia moden. Semacam mesti dimiliki oleh setiap individu.



Penggunaannya di dalam dan di luar bangunan, di dalam kenderaan, di lautan dan di daratan, di angkasa dan di merata bumi nyata, di tengah bandar atau di penghujung hutan dan belukar . . . 


Pendeknya di mana-mana sahaja di pelusuk alam ini . . . TB tetap berperanan sebagai teman setia!

Malangnya, tanpa disedari, TB boleh menjadi teman setia yang merugikan . . . semata-mata kerana ia kerap disalahgunakan.  



Ramai orang terbunuh atau tercedera dalam kemalangan lalulintas akibat asyik 'ber-telefon' atau 'ber-sms' menggunakan TB ketika memandu kendaraan bermotor di sepanjang perjalanan.  







foto hiasan





Paling dahsyat bila pejalan kaki atau penunggang motosikal pun ramai yang terlibat dalam kemalangan lalu lintas begini.



Mereka asyik dengan TB masing-masing ketika menunggang motosikal atau berjalan kaki hingga terlalu leka dan tidak peka lagi tentang keselamatan diri mereka di jalan raya.

Maka berlakulah kecelakaan jalan raya. Banyak jiwa yang ranap! Longlai! 


Penggunaan peralatan berteknologi tinggi, moden lagi canggih yang boleh memudahkan kita berhubungan dalam kehidupan sehari-hari memang dialu-alukan. 

Apa pun . . . janganlah sampai langsung tidak diambil peduli bahaya-bahaya yang sentiasa mengancam . . . semata-mata kerana 'asyik maksyuk' dengan kecanggihan TB.

Nyawa lagi 'mahal' . . . lagi 'canggih' ooi! Renung-renungkan ...



bamuda
dsuarang.blogspot.com