Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Resmi Kanak-kanak

dsuarang.blogspot.com
Resmi Kanak-kanak
Hari   ini Khamis 16 September 2010. Hari ulang tahun terbentuknya negara   Malaysia (1963). Hari yang amat bermakna kepada mereka yang benar-benar   mencintai bumi bertuah ini.
Hari   ini juga hari ketujuh dalam bulan Syawal. Penganut agama Islam masih   dalam suasana merayakan Aidilfitri yang mulia. Aku berehat sahaja di   rumah. Aku terfikir . . . jika ada tetamu datang . . . berikan sambutan   dan layanan dengan sepatutnya.
Tadi,   setelah selesai membaca berbagai-bagai berita suka duka, pilu ngilu,   geli ngeri, sedih pedih, parah dan marah di dalam akhbar tempatan . . .   aku terlena seketika di atas kerusi kayu di ruang hadapan rumahku.   Agaknya kerana sudah banyak sangat memakan juadah musim raya atau . . .   badan dah cepat terasa penat sekarang . . . (maklum si badan ni dah   'lama' juga berkhidmat).
Tiba-tiba   aku dikejutkan daripada berkhayal pada waktu siang hari. Aku terdengar   suara orang memberi salam di hadapan pintu pagar rumahku.
"Assalamualaikum. Kami datang nak raya . . ."
"Assalamualaikum. Kami datang nak raya . . ."
Aku   masih pisat di perbaringan. Aku terdengar lagi ucapan salam  diulangkan.  Sudah masuk tiga kali salam diberi. Dan, sudah tiga kali  juga kata  penyambung salam iaitu . . . "Kami datang nak raya" . . .   aku dengari.
Sah   itu suara sekumpulan kanak-kanak (sekitar usia 6 hingga 10 tahun) yang   pergi dari pintu ke pintu di kawasan taman perumahan untuk beraya.  Entah  dari mana mereka itu. Mereka bukan anak-anak dari kawasan ini.
Sebaik   sahaja aku bangun untuk ke pintu hadapan rumah, kumpulan kanak-kanak   itu sudah beredar pergi ke arah rumah sebelah. Aku perhatikan mereka   kemudiannya ke rumah-rumah yang lain pula.
Aku   terfikir, "Ah . . . mungkin mereka itu tahu. Mungkin ada ustaz atau   guru atau ahli keluarga atau sesiapa yang telah memberitahu mereka.   Kalau dah beri salam 3 kali di hadapan rumah orang . . . tak ada jawapan   . . . bergeraklah. Tandanya mungkin penghuni rumah tidak mendengar   ucapan salam itu . . . atau, si penghuni tidak sudi melayan kedatangan   atau kehadiran tamu . . . apatah lagi tamu yang tidak diundang!"
Apa   pun, bukan soal salam kanak-kanak itu terjawab atau tidak yang menjadi   pokok perkara dalam situasi ini. Ada perkara lain yang harus diambil   berat khasnya oleh para penjaga atau ibu bapa kanak-kanak itu. Soal   keselamatan diri mereka!
Kanak-kanak   sekarang memang berhati 'berani'. Tidak macam kanak-kanak zaman aku   dulu. Hendak bercakap dengan orang tidak dikenali pun takut.   Sementelahan . . . hendak pergi berkunjung ke rumah-rumah orang yang   tidak dikenali secara bersendirian! Entahlah, tidak terangkat kaki ini   rasanya!
Dalam   situasi ini penulis tahu bahawa kanak-kanak tadi berharap untuk   mendapat 'duit raya' daripada para penghuni rumah yang mereka kunjungi   kelak. Memang sudah resmi kanak-kanak seperti mereka berhati telus.   Mereka tidak sekali-kali berfikiran 'negatif' terhadap orang lain, walau   pun orang itu tidak mereka kenali.
Bayangkan   apa yang boleh terjadi kepada kanak-kanak itu sekiranya ada di antara   penghuni rumah-rumah yang mereka kunjungi itu tidak stabil dari segi   mental. Atau, jika ada pula penghuni itu yang bersifat penjenayah   seksual dsb. Dengan mengumpan sedikit wang atau benda permainan yang   menarik minat kanak-kanak segala kemungkinan boleh terjadi.
Kanak-kanak   bukan macam orang dewasa yang mudah berprasangka terhadap orang lain.   Mereka tidak pandai menyimpan perasaan syak wasangka terhadap orang . .  .  lebih-lebih lagi orang dewasa. Kepada mereka semua orang itu mesti   baik.
Ya   . . . memang kanak-kanak sekarang berhati 'berani' dan kelihatan  'maju'  dari segi percampuran berbanding dengan kanak-kanak zaman  dahulu.  Tetapi, barang diingat masyarakat dahulu kuat 'mengajar'  anak-anaknya  supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam segala tindak  tanduk mereka.  Berwaspada dalam segala urusan atau hubungan dengan  orang lain.
Malangnya   segala cara pengajaran dan pendidikan zaman dahulu sering dianggap   'kolot' sehinggalah setelah sesuatu perkara buruk berlaku. Sudah terhantuk baru tengadah. Apa gunanya.
Renung renungkan . . .
Renung renungkan . . .
Wallahuaklam dan Wassalam. 
dsuarang.blogspot.com
Subscribe to: Post Comments (Atom) 

 
0 comments: