Monday, January 21, 2013

Jom ke Tanjung Piai





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kunjungan Kenangan Sekeluarga


Ketika santai bersarapan pada pagi Ahad 20.01.13 penulis terlihat akan foto  yang menghiasi muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia . . . memfokus kepada peristiwa Pelancaran Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil , Kuala Lumpur.  







Keratan akhbar Mingguan Malaysia
(Ahad 20 Januari 2013) 



Wah . . . sekali lagi negara kita Malaysia akan menjadi titik tumpuan perhatian para pelancong dari merata pelosok dunia. Insya-Allah kali ini bertambah ramai lagi pelancong akan berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di tanah air kita . . . kadang-kadang tempat-tempat menarik yang kita sendiri tidak sedar atau tidak tahu wujud di negara kita!


Bersempena peristiwa yang (jika kena gayanya) berkemungkinan besar menjulang nama dan imej negara kita ke tahap yang lebih gemilang di persada antara bangsa di samping berkeupayaan menjana pendapatan ke tahap yang cukup lumayan . . . penulis teruja mengulang siar episod kunjungan kami ke Tanjung Piai, Johor pada 13 April 2012.


Semoga paparan ini dapat menarik perhatian dan minat para pembaca untuk mengenali lokasi-lokasi tertentu di Malaysia . . . yang menarik dan mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri . 


Mudah-mudahan rakyat Malaysia juga akan  menjadi lebih peka dan prihatin terhadap kewujudan tempat-tempat seumpama ini yang layak bergelar mercu tanda Malaysia bertaraf antara bangsa. 

Dengan demikian kita akan lebih cenderung menghargai lantas menyayangi destinasi-destinasi pelancongan yang berkenaan. 

Marilah kita utamakan kunjungan ke tempat-tempat  menarik di dalam negara sendiri terlebih dahulu sebelum berkunjung ke berbagai destinasi di luar negara.


Semoga industri pelancongan kita terus segar dan  semakin maju demi kebaikan bersama . . . negara ini dan rakyatnya.










Penghujung Selatan Tanah Besar Asia




Pernahkah anda mendengar nama Tanjung Piai? Jika pernah tahukah anda di mana lokasinya Tanjung Piai itu? Apakah pula istimewanya Tanjung Piai?

Jika jawapan-jawapan anda terhadap pertanyaan-pertanyaan di atas semuanya lebih berbunyi 'tidak pernah' atau 'tidak' atau 'tidak tahu'. . . maka setakat ini anda masih boleh dikira rakyat Malaysia yang cukup 'setia' cuma barang kali kurang 'prihatin'.

Mengapa penulis berkata demikian? Penulis mengaku sebelum berkunjung ke Tanjung Piai penulis langsung tidak pernah mengambil berat tentang kewujudan Tanjung Piai itu sendiri.





 

Penulis pernah terdengar nama tempat itu disebut . . . tetapi tidak ambil kisah sangat di mana letaknya dan apakah signifikannya! Penulis hanya memikirkan bahawa Tanjung Piai itu serupalah macam tanjung-tanjung lain juga iaitu . . . hujung tanah yang menganjur ke laut (danau atau sungai?) . . .

Namun persepsi penulis terhadap tanjung yang satu-satunya ini berubah menjadi sesuatu yang amat mengagumkan setelah penulis meninjau sendiri tempat itu dan memahami dengan jelas mengapa Tanjung Piai gah dengan keistimewaannya yang tersendiri.

Tanjung Piai memang patut menjadi kebanggaan rakyat negara ini. Mengapa? Belum sempat soalan itu terjawab . . . si jiran omputih penulis . . . yang selalu memberikan pendapatnya tanpa dipinta berbuat demikian . . . berkata:


You really want to know why . . . you have a gem of a place in your own backyard . . . Aren't you aware of that ? "








[Alahai si omputih ni macam nak perli lak . . . kalau nak bagi tau bagi tau aje le . . . apa penting sangat Tanjung Piai ni . . . tempatnya biasa aje . . . kampung kecil kat tepi laut. Ada hutan paya bakau di sekelilingnya. Unggas berterbangan di ruang angkasanya. Ada banyak kera bermain-main . . . melompat dari pokok ke pokok dan . . . ada berbagai jenis amfibia dan reptilia menghuni hutan paya bakau itu!]








 












Rupa-rupanya banyak perkara lain dan fakta penting tentang tanjung yang natural sahaja keadaannya ini dapat penulis kumpul dan jadikan bahan pengetahuan dan pengalaman baru.









Tanjung Piai di negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia hebat kerana tempat ini merupakan titik penghujung paling selatan tanah besar Asia. Ini bukan calang-calang kedudukan. Tanjung Piai amat signifikan di peta (mata) dunia sebagai ' The Southernmost Tip of Mainland Asia.'









Penulis berserta 7 orang lagi ahli rombongan impromptuatau lebih tepat lagi rombongan 'tak sengaja' ke Tanjung Piai . . . amat teruja dan gembira . . . dan paling penting . . . bersyukur akhirnya . . . . kerana dapat jua melakukan kunjungan ke tempat ini.




 







Apa tidaknya . . . penulis dah hampir mencecah usia 66 tahun baru diizinkan-NYA ke mari. Lebih hebat lagi ibu mertua penulis yang menyatakan:

"Omak dah masuk lapan puluh limo tahun . . . ni ha baru tau . . . dan sampai kek tompek ni!"





Puan Hjh Maimunah Mahat (depan) dan Puan Hjh Alimah



Sesungguhnya . . . penulis mengatakan kami serombongan macam 'tak sengaja' dapat sampai di titik Penghujung Selatan Tanah Besar Asia ini kerana kami sebenarnya dalam rangka percutian dari KL ke Melaka Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Johor Bahru sahaja.

Di negeri Johor Darul Ta'zim kami menginap di Pulai Springs Resort. Ketika membelek-belek brosur menghebahkan tempat-tempat yang boleh dilawati para pengunjung . . . Afzan (salah seorang anggota rombongan) terbaca kuat tentang suatu tempat yang kedengaran pada telinga penulis macam menarik dikunjungi.

Nama tempat itu Tanjung Piai. Ada dinyatakan dalam brosur tersebut bahawa para pengunjung boleh sampai ke situ dalam masa lebih kurang 50 minit (normal driving) dari tempat kami menginap itu.

Penulis tambah teruja kerana ada juga disentuh tentang kedudukan penting tanjung ini dari segi geografi Asia.


Maka kami pun tidak berlengah lagi . . . terus mengorak langkah ke tempat yang hendak dituju pada pagi Jumaat 13 April 2012.




 

























Setiba di pekarangan hadapan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) . . . mulailah terserlah keindahan asli tempat ini . . . tempat yang selama ini tidak diambil pusing keistimewaannya oleh penulis dan juga sebilangan besar rakyat Malaysia yang lain.



















Foto kiri: -dari kiri: Alyn, Alimah, penulis, Lyana, Maimunah, Afzan (mendukung Amad)
Foto kanan: -dari kiri: Penulis, Alyn, Amad, Afzan, Maimunah, Alimah, Hazry (E)
























Terus terang penulis berani membuat kesimpulan tidak ramai rakyat di negara ini mengetahui bahawa di Malaysia sendiri terdapat satu mercu tanda  natural dan berstatus antara bangsa dalam bentuk Tanjung Piai ini.












































Penulis dan rombongan memanfaatkan sepenuhnya setiap ruang waktu yang tersedia bagi mendapatkan faedah maksimum daripada kunjungan yang ringkas tetapi amat bermakna ini. Cucu penulis si Ahmad Iman Iskandar (Aii) pun tumpang sekaki . . . mendapatkan manfaat untuk dirinya sendiri . . .(berdukung?)






E mendukung anak buahnya Ahmad Iman Iskandar



Tak mengapalah . . . sekurang-kurangnya Aii dilatih menghargai warisan asli negaranya sendiri sejak kecil lagi. Insya-Allah pengalaman begini rupa dapat membantu memperluaskan keupayaan mindanya dan memajukan daya fikirnya pada masa hadapan.

















Foto kanan: - dari kiri: Alimah, penulis, Lyana, Amad, Alyn, Maimunah, Afzan








Dari kiri: E, penulis, Amad, Alyn,
Afzan, Maimunah, Alimah



Seperkara yang mesti penulis catatkan di sini . . . kekaguman terhadap semangat ibu mertuaku yang berusia lanjut itu . . . tentang kesanggupan beliau berjalan merentas laluan hutan paya bakau yang disediakan pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) sejauh kira-kira satu kilometer pergi balik ke titik yang dituju. Tabik dan syabas mak!






Sijil Penghargaan untuk bonda Maimunah. 
Anda juga patut mendapatkannya.



Kami berada di TNJTP hingga hampir tengah hari . Sebelum waktu solat fardu Jumaat kami serombongan meninggalkan  tempat yang kini kami ketahui sebagai amat signifikan. Alhamdulillah kami berkesempatan tahu juga!




























Dua selat bertemu di sini . . . Selat Johor dan Selat Melaka



Terima kasih kami ucapkan kepada semua pegawai/staf di TNJTP yang telah melayan kami dengan begitu baik dengan memberikan kami segala keterangan yang ingin kami ketahui.











Harapan penulis . . . TNJTP yang indah bersesuaian dengan tempat yang begini signifikan . . . Tanjung Piai . . . akan bertambah menarik dan semakin dimajukan bagi dinikmati sebagai warisan warga Malaysia masa hadapan.

Penulis juga berharap ramai lagi rakyat Malaysia mengunjungi tempat ini dan tempat-tempat lain yang sebegini . . . sebelum orang asing (khasnya mereka yang macam si omputih jiran penulis tu le . . . ) 'berleluasa' mengatakan:

" Why put to waste such gems . . . beautiful and meaningful spots and places that have already been existing in your own backyard all the while!"












Betul juga kata-kata itu . Nak cili mulut mereka (yang memang selalunya tak ada insuran itu) pun tak kenalah gayanya. Kita terima komen atau pandangan yang rasional. Teguran yang membina . . . kata orang. Kan begitu semangat kita orang Malaysia!




Bamuda
dsuarang.blogspot.com