Sunday, December 27, 2009

Budaya Bahasa Daerah


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Serasi Serasikan

Ini secebis cerita tentang isteriku ketika baru-baru berkahwin denganku. Dia orang Pulau Sebang, Melaka. Namun bahasa yang digunakan di daerah kampungnya tetap bahasa daerah Negeri Sembilan. Ini kerana Pulau Sebang terletak bersempadan dengan pekan Tampin, Negeri Sembilan. Bukan
bahasa sahaja yang dipengaruhi slanga Negeri Sembilan. Adat dan budaya masyarakat Pulau Sebang juga banyak terpengaruh dengan adat dan budaya Negeri Sembilan yang terkenal dengan amalan Adat Perpatih.

Ceritaku ini bukan hendak mempersendakan sesiapa atau mana-mana pihak. Aku cuma terkenangkan beberapa peristiwa 'lucu' yang menimpa diri isteriku Alimah Yasin. Ketika itu tahun awal-awal 70-an. Isteriku mengikut aku balik ke kampungku di Tapah, Perak buat julung-julung kalinya selepas kami berkahwin. Rumah kampungku itu harta Atuk Sharif dan Opah Aishah aku. Ketika itu ibu bapa dan adik-adik aku tinggal di situ. Bapaku menjaga dan memperbaiki rumah itu supaya terpelihara dan tegap berdiri.


Menyentuh tentang budaya bahasa . . . Bahasa daerah di kampungku amat berbeza dengan bahasa daerah di Pulau Sebang. Slanga Perak daerah kampungku walaupun tak setebal daerah-daerah tertentu di Perak ... masih boleh mengelirukan.

Suatu hari kami berdua dan seisi keluargaku di rumah Tapah sedang bersarapan. Ada banyak makanan yang berbagai jenis terhidang. Tiba-tiba bapaku Baharom Shariff menyuruh isteriku begini:
"Tolong Mah ambikkan roti dalam tin tu. Teringin pulak bapak nak cecah dengan kopi ni."
Alimah terpinga-pinga. Dia memandang aku. Dia seolah-olah mahukan kepastian. Dia memerlukan pertolongan aku. Dia tidak memahami dengan jelas apa yang diperkatakan bapaku.

Aku tersenyum lalu berkata,"Mah, bapak mintak tolong ambikkan biskut dalam tin itu."

Isteriku pun bangun lalu mengambil biskut itu. Kemudian baru aku tahu daripada Alimah bahawa pada mulanya dia amat keliru dengan suruhan bapaku itu. Dia rupanya terfikir adakah memang orang Perak menyimpan 'roti' dalam tin. Patutlah dia melihat sekeliling pada waktu itu dan tercari-cari. Agaknya dia mencari tin besar yang menempatkan 'roti' itu!

Selain daripada istilah 'roti' yang biasa digunapakai dikampungku untuk memaksudkan 'biskut' ada beberapa lagi 'istilah' yang boleh mengelirukan pendengar yang kurang biasa. Contohnya perkataan 'cekelat' yang bermaksud 'gula-gula', 'sia' bermaksud 'mangkuk tingkat', 'sangai' bermaksud 'tudung saji', 'pantalun' bermaksud 'seluar panjang', 'mereket' bermaksud 'pasar', 'tengin' bermaksud 'bodoh', 'teroyak' bermaksud 'menangis' dll.

Sambung balik cerita keliru isteriku. Suatu waktu isteriku pergi ke 'mereket' menemani ibuku membeli ikan dan sayur-sayuran. Sedang mereka berdua membelek-belek barang yang hendak dibeli, datang seorang kerabat keluargaku ke arah mereka. Dia menyapa ibuku lalu bertanya, "Yong, ini ke tunang Majid?"

Ibuku menjawab mengiakan soalan itu. Isteriku keliru lagi! Kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah isterku bertanya kepada ibuku, "Mak, kenapa orang tu tadi tanya saya ni tunang Uda (panggilan terhadap diriku dalam keluarga). Kan kami dah berkahwin. Dia tak tahu ke?"

Ibuku selamba menerangkan kepada Alimah isteriku, " Orang kat sini sebut 'suami' tu 'tunang'." Isteriku tunduk diam. Ha . . . Satu lagi istilah daerah kampungku dipelajarinya!


Pendeknya banyak peristiwa begini yang berlaku. Tetapi yang paling melucukan (mengerikan?) isteriku telah berlaku ketika dia sedang mandi di bilik air rumah kampungku. Ketika itu bilik air itu betul-betul di bahagian tepi luar rumah. Bapaku hendak ke kolam yang terletak jauh di belakang dari kawasan rumah. Bapaku menuju ke bilik air rumah terlebih dahulu. Mendapati pintu bilik air terkunci bapaku bersuara,"Siapa dalam bilik air ni?"

Isteriku menjawab," Mah pak."

Bapaku berkata lagi," Ha tolong bagi bapak cebok."

Suasana senyap sepi seketika. Isteriku tidak berkata-kata. Lama juga bapaku menunggu di luar bilik air. Kemudian agaknya baru bapaku teringat. Menantu barunya ini bukan orang Perak. Mesti ada kekeliruan pemahaman 'istilah' ni.

Lalu bapaku pun bersuara lagi, "Ha Mah ... bagi bapak gayung tu."

Kami di Perak mengistilahkan 'gayung' (pencedok air) itu sebagai 'cebok'. Bukannya bapaku tadi hendak 'mencebokkan' menantunya!


tiada kata seindah bahasa,
tiada gambar secantik lukisan ...





Blog: dsuarang.blogspot.com