Saturday, January 29, 2011

Silap Dengo




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kisah di Gedung Muzik

Teman ingin menyambung ceghita tentang silap pendengaran atau silap dengo (kata orang kampung teman) yang membawa kepada salah faham akan maksud orang lain.

Kisah ini dah bejaman lamanya. Kisah tahun-tahun 70-an. Tapi teman tetap ingat akannya kerana ada unsur lucu dan pengajaran terselit dalam kisah ini. Alahai ceghita orang Perak di sebuah gedung muzik di Kelumpor . . . kata kome.

Biarlah teman berceghita dalam bahasa yang mudah difahami semua. Begini kisahnya:

Seorang hamba Allah yang berasal daripada sebuah kampung terkenal di Perak telah membawa bapa saudaranya (Pak Ngah) bersiar-siar di Kuala Lumpur. Hamba Allah ni memang tinggal dan bekerja di KL.
Pak Ngah si hamba Allah ni pula tidak pernah ke KL sebelum ini. Jadi, si anak saudaranya beria-ialah hendak menunjukkan kepadanya apa yang terdapat di KL pada waktu itu.


Ketika itu belum ada kemudahan LRT. Belum ada LR SPRINT, AKLEH, DUKE, MRR 2 dsb. KL Tower tiada. KLCC pun belum ada. Shopping Complex yang hebat-hebat pun belum ada. Satu-satunya yang ada dan terkenal pada waktu itu ialah Ampang Park!


Lot 10, Sungai Wang Plaza, Imbi Plaza, Times Square, Star Hill dll. tidak pernah diketahui warga KL pada ketika itu.

Masa tu jalan dan tempat yang famous ialah Foch Avenue (sekarang Lebuh Foch), Petaling Street (sekarang Jalan Petaling), Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman), Campbell Road (sekarang Jalan Dang Wangi), Mountbatten Road (sekarang Jalan Tun Perak) dll. Cukup mungkin background untuk menggambarkan KL pada waktu itu!


Berbalik kepada cerita si hamba Allah yang membawa Pak Ngah bersiar-siar di KL tadi . . . Setelah makan mee goreng Hailam di Ipoh Hotel & Restaurant di Bukit Bintang (amat famous sekitar KL ketika itu) dua orang anak beranak ini pun berlegar-legar di Bukit Bintang Road dan berhenti di hadapan sebuah gedung muzik. Gedung muzik itu sederet dengan tempat mereka makan tadi.


Pak Ngah tertarik kepada peralatan muzik yang dipamerkan dalam showroom gedung itu. Jadi Pak Ngah berhenti nak tengok-tengok sajalah. Ala window shopping.

Tiba-tiba towkay gedung muzik itu keluar berdiri di pintu masuk gedungnya lantas bertanya kepada Pak Ngah.


Towkay: {Menyapa dengan mesra} Apa mau Encik?

Pak Ngah: {Menjawab dengan loghat tebal orang kampung teman} Idak eh . . . teman nak ngita-ngita (mengintai-intai/melihat-lihat) aje.

Towkay: Oh, masuk Encik , ngitar (gitar) atak banyak. Ngitar lid (lead), ngitar bes (bass), ngitar lidem (rhythm) semua atak. Encik moleh pilih mana suka.

PaK Ngah: {Suara perlahan} Bio le. Teman nak nengok-nengok je.

Towkay : Ya lah . . . miola (biola) pun atak . . . Tapi Encik kena masuk lulu.

Pak Ngah: {Bersungut} Geram teman dibuat kawan ni. Heboh nyuruh teman masuk. Geram, geram.

Towkay: {Dgn nada beria-ia sambil menarik tangan Pak Ngah} Masuk Encik . . .delam (drum) baik punya bangsa (jenis) suma atak.

Pak Ngah : { Dah naik angin!} Hey . . . Nak kena tabuh (pukul) juga kome ni!


Towkay : {Syok sendiri} Apa pasat talak tanya itu tambour (drum) punya pasai . . .? Masuk lulu malu tau . . . Encik.

Pak Ngah : {Dah naik tak kuasa!) Sabo (sabar) aje le . . . peramah beno lak si dia ni.

Towkay : {Terus syok sendiri lagi} Ha Encik . . . itu delam menali punya hat (tentang hal rentak deram dalam tarian) apa ah . . . samba? Pakai conga delam (conga drum) pun OK ma . . .

Pak Ngah : {Betul-betul punya marah!} Conga deram tengkorak kamu! Nak penendang (nak kena tendang) gamaknya . . .?

Towkay : { Selamba tak faham-faham} Hai ya . . . gua sutah cakap sama lu Encik . . . gendang punya hat (hal) suma atak dalam . . . Mali masuk tengok . . .

Pak Ngah
: {Terlalu tinggi anginnya sekarang} Tengin beno ropanya mika ni . . . Dah dah . . .tak kosa teman nak layan lagi kerenah mika ni. Dah naik libang libu rasanya. Udah nak tekencin (terkencing) bebeno ni!

Towkay : { Memang tak akan faham} Ha, itu memang atak . . . kelincing (kerincing -- alat bunyi-bunyian diperbuat daripada logam) ha . . . manyak olang mintak punya Encik . . . kelincing atak laku.

Pak Ngah : { Dah sampai tahap fed up} Lantok le kerincing kome tu laku ke tidak! Jangan nak ngimpit teman lagi!

Towkay : { Memang dasar peniaga tegar} Oh Encik mahu telompet (trumpet) ke? Nanti gua angkat sikijam dalipada itu gua punya setor ah . . .

Pak Ngah : {d last straw!!!} Mika diam leh tak weh! Teman nak belah dah. Jangan cakap apa-apa lagi. Nanti kena balon . . .

Towkay : { Semakin selamba atau buat bodoh?} Hai ya . . . Encik manyak pandai ma . . .itu kedai sebelah atak juat melon (belon) ma . . . sini tatak. Jumpa lagi ah . . .


Sepanjang episod tadi . . . si hamba Allah (anak buah Pak Ngah) tidak campur 'mulut' kata orang. Eloklah dia berdiam diri saja sambil memerhatikan keadaan yang agak tegang bercampur lucu selamba itu.

Inilah akibatnya . . . dengo saje 'bunyi' seakan-akan sesuatu . . . udah jadi tak tentu arah fikiran . . . asyik fikir nak buat untung. Tak mahu paham ujung pangke sesuatu keadaan terlebih dahulu!

{Si omputih jiran teman masok campor lagi weh. " Never jump to conclusion . . . that fast man!"}
Ini kisah tahun-tahun 70-an dahulu. Ketika tu kelemahan penguasaan BM oleh banyak pihak masih boleh diterima. Sekarang macam mana situasinya? Agaknya ada sedikit perubahan . . .

Kalau masih kabur dengan pelat yang 'menyesatkan' seperti di takuk lama bagaimana? Tak gunalah mengaku rakyat 1 Malaysia! Jangan mendabik dada mengaku warga negara ini . . . andainya bahasa rasmi negara pun tidak dapat dikuasai dengan baik . . .
Sekarang . . . sibuk nak utamakan bahasa asing lak!
Dan . . . yang berbahasa tu pulak bio le sesuai pada level dan suasananya. Teman ni tak ngapa . . . lain kes le . . . he, he
Last but not least . . . para peserta Raja Lawak tak nak ke minta idea daripada 'orang luar' kalau sendiri dah tak punya idea untuk persembahan mereka masing-masing. Usik-usik sikit tak ngapa kot!









dsuarang.blogspot.com

0 comments:

Nuffnang Ads