Friday, November 1, 2013

Menjelang 1435H






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Masa Berlalu Pantas


Jumaat 1 November 2013 bersamaan dengan 27 Zulhijjah 1434H adalah Jumaat terakhir bagi kita semua . . . yakni yang terakhir bagi tahun 1434H.


Tiga hari lagi . . . iaitu pada hari Isnin 4 November 2013 bersamaan dengan 30 Zulhijjah 1434H . . . selepas berakhir waktu solat fardu Asar . . . tahun 1434H akan melabuhkan tirainya dan beredar pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya.

Maka ketika itu kita akan mengucapkan selamat jalan kepada tahun 1434H dengan iringan bacaan doa akhir tahun. 


Kemudian . . . sebaik sahaja lepas waktu solat Maghrib pada hari yang sama . . . kita ucapkan pula selamat datang kepada tahun 1435H. Kita alu-alukan kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam ini dengan bacaan doa awal tahun. 


Masa berlalu pantas. Alhamdulillah esoknya menjelmalah 1 Muharram 1435H . . . hari pertama dalam tahun baru kalendar Islam yang amat kita kenali dengan sebutan Maal Hijrah.


Aku cuma terfikir . . . di tahap manakah kita (aku le lebih-lebih lagi) berada dalam senarai kedudukan berkaitan amal ibadat peribadi sepanjang tahun yang lalu? 

Adakah kita (aku le lebih-lebih lagi) boleh berpuas hati dengan segala usaha yang telah dilakukan selama ini untuk menjaminkan kecukupan bekalan diri ke akhirat nanti dan memastikan supaya tidak berlaku situasi 'kemuflisan' di sana kelak?

Aku terfikir juga . . . selama mana lagi Allah SWT akan melanjutkan 'peruntukan' waktu kepada kita semua. Sebanyak mana lagi 'bajet' yang disediakan-NYA untuk kita nikmati . . . 

Lambat laun akan berakhir segala 'peruntukan' yang diberi dan kehabisan 'bajet' yang tersedia itu!

Ketika itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk menyelamatkan diri masing-masing!


Ketika itu segala kemewahan material, kehebatan kedudukan, ketinggian jawatan dan kemuliaan status yang pernah kita miliki tidak akan berguna lagi kepada kita . . . tidak lagi dapat kita bangga-banggakan . . . dan paling utama tidak lagi dapat membantu menjaminkan perlindungan buat kepentingan diri kita!


Maka marilah kita semua saling beringat dan ingat mengingatkan antara satu sama lain . . . . agar kita tidak dibuai arus kealpaan hingga sering terleka dan terlupa akan sebab dan akibat sepanjang menempuh hidup di dunia yang fana ini.  


Aku hanya mampu berdoa seterusnya kepada Allah SWT . . . dan aku bermohon agar diperkenankan-NYA doaku ini :



Allahumma
Anugerahi hamba semangat . . . 
untuk mengubah
apa yang terdaya hamba ubah;
ketenteraman jiwa . . . 
untuk menerima
segala apa yang tidak terdaya hamba ubah;
kebijaksanaan . . . 
untuk mengetahui
perbezaan antara impian dan realiti
mana yang terdaya mana yang tidak . . . 

Allahumma

Anugerahi hamba semangat . . . 
tidak mudah mengalah
dalam segala apa yang hamba perjuangkan;
tidak mudah berubah
dalam segala apa yang hamba fikirkan benar
walaupun kadangkala hamba sedar
impian tidak semestinya menjadi realiti
kecundang di mana-mana saja menanti!


Amin ya rabbulalamin.




bamuda
dsuarang.blogspot.com