Wednesday, July 16, 2014

Bertarawih Sahaja?






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Pandangan Seorang Bukan Ustaz


Setiap kali berpuasa pada bulan Ramadan kita tidak pernah dilepaskan atau terlepas daripada kewajipan bersolat fardu lima waktu sehari semalam. 

Kenanganku menelusuri zaman aku kanak-kanak. Ingatanku kembali kepada ajaran dan nasihat Ustaz kampungku dulu.

Ketika itu aku tidak begitu mengerti tentang apa yang patut dipentingkan atau mana yang harus lebih diutamakan.  

Aku belum dapat memahami sedalam-dalamnya ajaran dan nasihat Ustaz kampungku pada waktu itu . . . setiap kali dia membicarakan betapa pentingnya perkara paling asas dalam mempelajari sesuatu difahami terlebih dahulu . . . lebih-lebih lagi berkaitan hal-hal menyangkut hukum hakam keagamaan. 


Hal berpuasa pada bulan Ramadan dan kemestian bersolat fardu dalam menjalankan ibadat puasa itu (malah bersolat fardu wajib sepanjang hayat!) sering ditekankan Ustaz kampungku kepada kami.  


Hingga kini suara Ustaz yang bernada lembut tetapi tegas itu seolah-olah masih kedengaran menerangkan:



Rukun Islam lima perkara. Pertama mengucap dua kalimah shahadat. Kedua sembahyang lima waktu sehari semalam. Ketiga puasa pada bulan Ramadan. Keempat mengeluarkan zakat dan fitrah. Kelima naik haji ke Baitullah.


Ajaran dan nasihat yang bertubi-tubi diasak ke telingaku menjadikan aku amat hafal dengan susunan Rukun Islam . . . malah aku mampu 'mengajuk' intonasi (selamba dan berlagu) Ustaz kampungku ketika mengajar. 


Aku masih dapat membayangkan perwatakan Ustaz kampungku yang berhemah tinggi itu. Tidak menengking. Tidak marah-marah . . . jauh sekali bersikap bengis. 


Ustaz kampungku tidak gemar menghina atau memerli orang. Tidak suka menghukum hamba Allah yang lain. Tidak memperlekehkan sesiapa pun. Beliau mengajar kerana Allah SWT.


Tidak berjeda masa berlalu. Sudah melampaui banyak batas waktu. 

Tebal kesedaran dalam diri bahawa bersolat lima waktu sehari semalam harus lebih penting kedudukannya berbanding berpuasa pada bulan Ramadan (tanpa menafikan bahawa kedua-dua rukun ini diwajibkan ke atas semua umat Islam.)


Ringkasnya . . . kepada aku yang bukan ustaz ini . . . bersembahyang lima waktu sehari semalam (yang disifatkan sebagai tiang agama itu) jelas berada di tangga teratas berbanding berpuasa pada bulan Ramadan.


Namun senario 'ganjil' yang sering kita temui pada bulan Ramadan hari ini ialah hampir semua orang kuat berpuasa. Kuat bersembahyang Tarawih (sunah muakkadah). Namun tidak ramai yang kuat mendirikan solat fardu lima waktu sehari semalam. 


Hampir semua orang bermati-matian menjaga dan mempertahankan puasa mereka. Tetapi tidak ramai pula mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakan solat fardu lima waktu sehari salam ketika berpuasa Ramadan. 

Keadaan ini semakin ketara menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pada ketika itu ramai yang akan terlalu sibuk dengan persediaan untuk menyambut kedatangan 1 Syawal hinggakan terlalai untuk bersembahyang. 


Pandangan yang ingin penulis ajukan melalui ruang siaran kali ini ialah . . .  elakkanlah sekadar berkejar-kejaran melakukan solat bermusim seperti ini!

. . .  dan . . . 


Janganlah biarkan tanggung jawab menunaikan solat fardu menjadi semacam amalan yang kian hilang karekter 'wajib' dalam tuntuan agama kita. 


Mengapa sampai jadi begini ? Entahlah . . . mungkin terlepas pandang, tak punya kesempatan waktu atau semata-mata kerana tidak pandai bersyukur! 


Sekadar ingatan bersama. Wallahuaklam.




bamuda
dsuarang.blogspot.com