Wednesday, July 31, 2019

One atau Wan

Assalamualaikum



Duduk-duduk bersendirian menonton TV pagi tadi, aku asyik mendengar beberapa orang pengacara TV daripada berbagai saluran TV tempatan menyebut beberapa perkataan Inggeris.

Aku tiba-tiba terkenang akan 'kekecohan' yang timbul baru-baru ini berkaitan isu hangat rakyat Malaysia mesti fasih berbahasa Inggeris, harus 'bermati-matian' mempelajari bahasa Inggeris! 

Semua ini mesti dilakukan demi menjamin generasi muda rakyat Malaysia sekarang dan yang akan datang tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan ... terutama sekali dalam 'dunia' yang semakin galak berbahasa Inggeris sekarang.

Aku setuju saja dengan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia khasnya bagi orang kita Melayu. Akan tetapi dalam kegigihan mencapai tujuan murni itu janganlah pula sampai wujud keadaan yang 'pelik-pelik'. Sambil berusaha mengetengahkan kebiasaan 'bercakap omputih' janganlah budaya bahasa tok nenek yang sudah sebati dalam jiwa bangsa kita diketepikan. 

Kita juga tidak harus 'malu' atau tidak mahu langsung cuba meningkatkan keupayaan berbahasa ibunda kita sendiri (bahasa  Melayu le tu) dengan mengamalkannya di tempat-tempat yang sepatutnya! 

Jangan biar matlamat menghalalkan cara.

Tentang usaha mengetengahkan 'cakap omputih' ini aku rasa biarlah kena pada tempatnya juga. 'Tak berapa kena pada tempatnya' jika berlaku perkara seperti dalam kisah berikut: 

Aku teringat akan suatu kisah lama. Kisah seorang kawan baik aku (orang Melayu le) yang balik ke kampungnya di N9 bersama isteri dan anak-anaknya pada suatu ketika. 

Kawan baik aku itu dahulunya tinggal lebih daripada sepuluh tahun di Amerika Syarikat bersama isteri (juga orang Melayu) dan dua orang anaknya. Ketika itu anak-anaknya baru berusia 6 dan 8 tahun.


Kepulangan mereka sekeluarga sudah tentulah disambut meriah oleh sanak saudara di kampung termasuk ibu kawan baik aku (nenek budak-budak tu le). Kenduri besar-besaran dan bacaan doa selamat diadakan!

Apa yang menyedihkan ialah . . . anak-anak kawan baik aku itu langsung tidak boleh berbahasa ibunda mereka. Tak fasih bercakap Melayu le. Agaknya asyik berbahasa Inggeris saja di sana (salah siapa?).

Tak kisahlah tu. Apa yang ingin aku ceritakan ialah tentang kelucuan dalam salah faham yang terjadi apabila salah seorang daripada anak kawan baik aku tu meminta pisang daripada neneknya (yang dipanggil Wan di N9). Begini dialognya:


Budak: "Granny, do let me have one banana."

Wan: "Apa kato kau?. . . Wan (one) mana (banana)? Ini Wan ekau ha! Dah tak kona lai . . . Ha tulah poi lai lamo-lamo kek noghori omputih tu . . . dah tak suman jadi eh . . . "



(Sambil terpinga-pinga menunjuk ke arah pisang dalam bakul di atas meja ...)
Budak: "One banana, one banana . . . I want one banana."


(Untuk menyelamatkan keadaan salah faham itu isteri kawan baik aku tadi cepat-cepat menyatakan kepada ibu mertuanya ...)
Menantu: "Dia nak pisang tu mak!"

Wan: "Hantu kau jang . . . wan mana, wan mana (one banana) . . . tengkorak kau! Sobut pisang sumo orang faham lahai."


Budak-budak itu terpegun. Entah apa yang mereka fikirkan. Tuhan saja yang tahu.

Aku pula berpegang kepada keupayaan berfikirku sendiri. Bagiku ini soal jati diri. Soal sama ada seseorang itu menitikberatkan bahasa ibundanya sambil lancar bertutur dalam bahasa asing!

'Alah bisa tegal biasa!' Aku bukan anti BI. Tapi penggunaannya biarlah kena pada tempat dan masanya.

Aku bolehlah bercakap omputih . . . sikit-sikit. Bagus tidaknya terpulanglah kepada penilaian orang yang mendengar aku berkomunikasi dalam bahasa itu.

Dulu pada zaman aku bersekolah Inggeris aku kena ambil peperiksaan dalam subjek English Literature. Tidak ada pilihan melainkan belajar sastera Shakespeare pada zaman itu (1960-an)! 

Alahai bukan nak tunjuk-tunjuk. Aku score juga dalam subjek tersebut. Aku melakukannya tanpa meminggirkan bahasa ibunda ku!

Fikir-fikirkanlah . . . jika para pembaca yang budiman masih mencintai bahasa Melayu . . . bahasa ibunda bangsa kita.  




Bamuda
dsuarang.blogspot.com