Wednesday, August 4, 2010

Kisah Si Anum




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Menunggu Itu Suatu Penyiksaan


Menjelang malam pada hari Isnin 2 Ogos 2010 Anum sakit macam sudah hendak bersalin 'jam-jam tu' juga (pada masa itu juga). Tanda nyata hendak bersalin belum nampak. Tetapi sejak awal pagi itu Anum mengadu perutnya sakit. Sakit seperti memulas hendak buang air besar dan yang semacam itu.


Mazlyna Hanum
berehat di Hospital Ampang

Peliknya pada sebelah pagi hari yang sama Anum masih berdaya mengikut aku dan Alimah menghantar suaminya Roy ke KL Central. Roy akan ke JB. Ada kes di sana. Kemudian kami ke Bangsar pula . . . nak cari karipap vegetarian dan apom manis. Anum teringin. Selepas itu Anum bercadang ke TTDI untuk beli cream sapu apa entah le. Sambil itu aku terdengar juga Anum mengadu dia sakit-sakit. Selang beberapa minit sakitnya berulang. Beberapa minit kemudian terjadi lagi. Wah ini tak boleh jadi. Baik balik saja ke rumah.


Sebelum peristiwa Anum 'sakit' pada malam hari itu, aku tidak pernah 'berkuat' untuk menyuruhnya pergi ke hospital bila sakit sikit-sikit. Ini kerana sebulan dulu pernah berlaku false alarm bila perutnya sakit begitu. Anum dihantar suami dan adik-adiknya ke hospital pada jam 11:00 malam ketika itu. Namun selepas 'dibega' doktor, yang terjadi ialah kes belum 'layak' bersalin. Anum pun balik ke rumah pada jam 3:30 pagi. "Alahai, penatnya," keluh si Anum.

Tetapi kali ini aku lihat Anum mengadu sakit lain macam sikit. Aku pun berbincang dengan ibu mertuaku dan isteriku tentang apa yang harus dilakukan dalam situasi ini. Maklum le . . . katakan aku tak pernah berpengalaman beranak! Jadi manalah aku tahu bagaimana atau apa tanda-tanda yang perlu diberi keutamaan atau harus dipatuhi. Tetapi istimewanya, bunga Siti Fatimah yang direndam awal sehari sebelum itu telah menampakkan tanda mula berkembang. Lantas kami (aku, Alimah, Shafini & Marlyana) bawalah si Anum ke hospital.


Bilik di Wad 4C Hospital Ampang
Anum di katil no. 20

Pada mulanya kami berempat menunggu (dalam MPV aku) di parking lot Hospital Ampang. (Halmy dan Nurliza datang kemudian sedikit dan menyertai kami sehingga jam 1:45 pagi.) Kami menunggu dari jam 9:30 malam pada hari Isnin 2 Ogos 2010 hingga jam 5:25 pagi Selasa 3 Ogos 2010. Lama tu. Memang suatu penyiksaan!

Sepanjang waktu menunggu itu Marlyana le yang jadi orang perantaraan kami dengan Anum. Ini kerana seorang saja yang dibenarkan menemani pesakit ke klinik di atas. Itu pun sampai di luar klinik saja. Masuk ke dalam tak boleh. Hanya suami pesakit sahaja yang dibenarkan. Susah juga begitu. Sementelahan, Roy sudah berada di JB bertugas rasmi ketika itu! Malangnya pula telefon bimbit tidak dapat berfungsi di kawasan hospital itu. Bad line atau no line!

Aku faham. Mungkin pihak pentadbiran hospital menitikberatkan soal keselamatan bayi yang dilahirkan di situ. Takut akan terjadi kes culik, kes bayi dilarikan dan banyak perbuatan jenayah lagi! Tetapi tak kan le sampai waris terdekat pun tak boleh menggantikan tempat sang suami! Tak kan le tak boleh seorang pun waris terdekat lain menemankan si pesakit ke dalam Dewan Bersalin. Sekurang-kurangnya untuk memberi semangat kepada pesakit yang akan keseorangan jika tiada suaminya bersama!

Tak adakah langkah lain untuk memastikan pesakit dan bayi selamat di situ . . . kadang-kadang tak diperiksa pun orang yang mengaku kononnya suami kepada pesakit yang hendak melahirkan itu. Kadang-kadang pada waktu-waktu tertentu tempat pesakit menunggu seorang diri di dalam tempat yang kononnya "terkawal" itu lengang sahaja. Apa-apa pun boleh terjadi. Kalau tidak bahaya dari luar . . . risiko bahaya dari dalam kawasan yang "terkawal" itu sendiri amatlah tinggi!

Andainya tulisan ini dapat dibaca oleh pihak yang berwajib hospital . . . timbang-timbangkanlah. Janganlah sampai menyukarkan pesakit atau keluarga mereka. Janganlah sampai tiada langsung flexibility mengikut kesesuaian keadaan atau situasi! Don't go by the book secara membuta tuli. That's bad admin.

Bagaimana pun, setelah kira-kira lapan jam kami menunggu tanpa makan atau tidur yang sempurna kami terasa penat dan membuat keputusan untuk balik sebentar. Nak jadi cerita, sebaik sahaja kami bergerak keluar kira-kira satu kilometer dari kawasan hospital telefon bimbit aku berbunyi. Oleh kerana aku sedang memandu, isteriku Alimah le yang jawab...

Wah, berita baik sungguh dari hujung sana. Dan, lebih menarik lagi, Anum sendiri yang menelefon. Anum dengan girangnya memberitahu bahawa dia telah selamat melahirkan. Anum telah melahirkan anak lelaki pada jam 5:37 pagi. Si "Azim" le tu kata aku dalam hati. Semua yang berada di dalam MPV amat lega dan gembira. Aku terus saja membelokkan kenderaan berpatah balik menuju hospital.


Telefon Siapa?
oh, bagi tahu member

Ketika itu jam menunjukkan pukul 5:45 pagi. Setelah meletakkan MPV aku di parking lot kami berempat berjalan menuju ke pintu utama Dewan Bersalin. Sebaik menjejakkan kaki di pintu masuk ke dewan tersebut kedengaran azan subuh (jam 5: 52 pagi) berkumandang di udara melalui arah surau di kawasan itu.


Ibu & Anak
Anum mendakap erat Azim

Aku bergegas ke arah pengawal perempuan (India) yang menjaga jalan masuk ke lif untuk ke dewan di atas. Aku hendak mengazankan cucuku si Azim. Marlyana menyatakan hasrat aku kepada si pengawal itu. Pengawal mengatakan orang lain tak boleh masuk kecuali suami. Hatiku berdebar. Aku terfikir janganlah b.d.h atau b.n.u.g sangat. Aku cuma nak azankan anak kecil itu! Bukan nak lakukan jenayah!


Suka Nampak?
mesti banyak masyuk tu

Mujur tiba-tiba si pengawal itu teringat menelefon ke atas ... kepada pihak berwajib. Dia menerangkan situasi sebenar dan hasrat aku itu. Mereka yang di atas membenarkan. Wah ada semangat 1 Malaysia fikirku!

Tiba di atas aku sekali lagi disoal bicara oleh seorang pengawal lagi (perempuan India juga) ... Konon aku tak boleh masuk ke Dewan Bersalin kerana aku bukan suami pesakit. Bengang juga aku dibuatnya. Tadi di bawah dah kata OK kat atas ni dah KO pula. Agaknya waris pesakit selalu TKO begini!

Tapi sebentar kemudian pengawal itu masuk ke dalam Dewan Bersalin. Seketika dia keluar dan berkata,"Pakcik boleh masuk sekarang. Azan dan keluar segera. Makcik (isteriku) dan adik (anak perempuanku) pun boleh masuk tengok baby sekejap dan lepas itu keluarlah."

Eh ... boleh pulak fikirku. Entahlah, semangat 1 Malaysia lagi agaknya. Aku pun melangkah masuk . . . (Sambil itu aku terdengar suara nyaring dan lantang tangisan bayi dari dalam Dewan Bersalin.) Setelah aku berada di dalam . . . ternyatalah suara itu suara si Azim cucuku!

Begitu kisah si Anum yang kini sudah bergelar ibu . . .


Tak Kisahlah
Asalkan dah selamat
Me & My Baby

Alhamdulillah aku dah dapat apa yang aku hajatkan (sedikit masa untuk mengazankan cucuku) . . . tetapi hanya setelah jenuh menahan sabar le weh! Astaghfirullahalazim. Renungkanlah wahai pihak hospital!











dsuarang.blogspot.com