Monday, January 6, 2014

Apabila Silaturahim Tiada Lagi






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Bahana Gila Kuasa


Penulis tertarik kepada suatu berita di kolum 'Global' dalam akhbar Harian Metro keluaran Khamis 2 Januari 2014 berjudul "Rai kematian bapa saudara". 

Setelah membaca berita itu fahamlah penulis bahawa ia memaparkan sengketa di antara seorang pemimpin muda Korea Utara Kim Jong-un dengan bapa saudaranya Jang Song-thaek yang berusia 67 tahun.








Keratan Akhbar
(Harian Metro Khamis 2 Januari 2014)


Kim yang baru dua tahun memegang tampuk kuasa pemerintahan berikhtiar habis-habisan untuk menyingkirkan Jang yang merupakan pemimpin nombor dua berpengaruh di negara komunis itu. 


Jang sesungguhnya pernah bertindak sebagai mentor kepada Kim. Jang jugalah yang memainkan peranan utama dalam mengukuhkan kepemimpinan Kim yang  mengambil alih kuasa memimpin Korea Utara selepas kematian bapanya Kim Jong-il pada Disember 2011.


Ketika itu Kim masih kurang berpengalaman dalam selok-belok politik dan pemerintahan negara.

Kini, setelah mula berkuku . . . Kim tidak berlengah-lengah lagi dan tanpa teragak-agak menghadapkan Jang . . . bapa saudaranya sendiri . . .  ke muka pengadilan untuk dibicarakan atas pelbagai tuduhan anti negara.


Penghakiman sudah tentunya berlaku tanpa ketelusan atau kesaksamaan yang diharap-harapkan daripada sesebuah mahkamah yang kononnya memperjuangkan keadilan bagi setiap individu.


Dalam keluaran akhbar Harian Metro hari Sabtu 4 Januari 2014 . . . penulis terbaca pula berita bahawa Jang Song-thaek . . . bapa saudara Kim Jong-un itu . . . bersama lima permbantu rapatnya sudah dijatuhi hukuman 'mati' oleh pihak mahkamah . . . kerana mengkhianati negara.








Keratan Akhbar 
(Harian Metro Sabtu 4 Januari 2014)



Menurut sumber berita itu . . . mereka berenam dihukum 'mati' dengan cara yang amat kejam lagi 'menggerunkan'.


Mereka dibogelkan sebelum dijadikan habuan 120 ekor anjing pemburu yang sengaja tidak diberi makan selama tiga hari!


Dalam ucapan tahun barunya pula . . . Kim, 30 secara terbuka menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman ke atas bapa saudaranya itu adalah langkah menyingkirkan 'sampah' dalam parti.


Lantas penulis tertanya-tanya apakah boleh diterima akal yang sihat 'alasan' yang diberikan Kim ini?


Atau . . . sebenarnya telah lama wujud niat dan muslihat politik 'zalim' Kim dan konco-konconya . . . yang kini mula menampakkan belang sebenar mereka itu.

Dengan memainkan pengaruh yang efektif lagi mencengkam Kim dapat memenuhi hasratnya untuk berkuasa.

Akhirnya . . . luntur dan terhakis ikatan silaturahim yang dahulunya terikat kuat di antara seorang anak saudara dengan bapa saudaranya sendiri!


Kepada penulis . . . mesej yang jelas melalui perkhabaran ini ialah:

Apabila pupus segan silu dan rasa hormat seseorang insan terhadap insan lain . . . dan apabila berleluasa ketamakan kuasa dan bermaharajalela kerakusan bertindak untuk mencapai sesuatu kuasa itu . . . maka terbitlah suasana yang membawa kepada keruntuhan segala nilai seikhwan. Hilanglah segala kehalusan kemanusiaan! 

Sedihnya . . . apabila silaturahim tiada lagi. 

Allah SWT sahaja yang maha mengetahui. 





bamuda
dsuarang.blogspot.com