Friday, June 3, 2011

Cerita Syukur




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


1 Rejab 1432H


Relevan sangat rasanya teman hadirkan sedikit catatan dalam bentuk apa sekalipun . . . untuk merakamkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi kepada teman sekeluarga selama ini. 
 .
Ya Allah . . . berkatilah keluarga kami terus menerus. Sesungguhnya tanpa pertolongan-MU Ya Allah . . . entah di manalah tempat kami.

Sebenarnya teman bersyukur masih diizinkan-NYA menulis dan berfikir seperti dahulu ketika teman berkhidmat sebagai seorang Editor. Sudah hampir 10 tahun teman bersara wajib sekarang . . . dan selama itu juga Allah SWT telah memberikan kepada kami sekeluarga segala kenikmatan yang diidamkan oleh hambanya.

Namun . . . kadangkala adalah juga ujian dan dugaan terhadap kesabaran dan ketabahan hati ini dalam menjalani hidup sehari-hari. Teman bersyukur juga dapat menjalani atau mengalami keadaan yang sedemikian kerana teman percaya setiap ujian Allah itu membawa bersamanya sesuatu kebaikan yang tidak terduga oleh akal manusia. Ada hikmahnya.

Maka sebagai hamba yang kerdil . . . teman bersyukur, bersyukur dan bersyukur. Dan, sempena tibanya awal bulan Rejab (bulan mulia di sisi Allah) sebentar saja lagi untuk tahun ini . . . teman perturunkan suara hati teman . . . dengan penuh keinsafan. Ampunilah hamba-MU ini Ya Allah.





Fikir fikirkan


jika matahari cukup sasa
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pencetus segala kuasa
jauh lebih perkasa!
 jika bulan cukup indah
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pemberi segala anugerah
jauh lebih menyerlah!

Maha Suci Allah!

bagaimana langit tiada bertiang
mengapa wujud malam dan siang
apakah tidak berasa hairan
angin bertiup berarak awan
ada ribut ada hujan
ada laut ada daratan!
planet bergantungan di angkasa lepas
terapung bebas
semuanya menawan
betapa pula penciptanya
fikir fikirkan . . .

Maha Suci Tuhan!

guruh dan kilat
siapa yang empunya kudrat
lembah bukit gunung dan tasik
gerun dan cantik
tumbuh-tumbuhan
haiwan nan pelik
fikir fikirkan . . . 
siapa yang mentakhlik
ada ringan ada berat
mentari mesti terbenam di barat
fikir fikirkan . . .
mengapa jadi lumrah sejagat
ada mula ada akhir
sungai mesti mengalir ke hilir
fikir fikirkan . . .
siapa yang empunya takdir!


AMB

dsuarang.blogspot.com