Thursday, March 24, 2011

How's Your Malay




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Sounds Like . . .


Sudah menjadi amalan keluargaku berkumpul ramai di d'SUARANG pada setiap hujung minggu. Kami berkumpul bukan semestinya kerana hendak meraikan sesuatu peristiwa ataupun untuk mengadakan majlis khas dan sebagainya.

Kami sengaja gemar duduk-duduk dan bersembang . . . makan-makan dan berihat. Pendeknya kami bersantai beramai-ramai. Eratkan silaturahim antara diri.

Pada suatu petang di hujung minggu yang sedemikian . . . ibu mertuaku mengunjungi kami sekeluarga. Ibu mertuaku yang popular dengan panggilan 'Mak Nana' di kalangan keluarga kami datang untuk melepaskan rindu terhadap cicit-cicitnya si Ahmad dan si Azim. Maklum tempoh dua minggu tak bertemu dengan cicit-cicit itu dah agak lama baginya.

'Mak Nana' dibawa datang oleh Halmy dan Liza. Alah . . . ayah dan ibu si Umar (Uim) tu le. Alahai si Mamak CT tu. Masih ingat akan si budak kecik itu . . . kan? Ha, Umar pun ada samalah.

Setelah bersalam-salaman kami berbual-bual. Cerita itu cerita ini. Biasalah apabila bercerita beramai-ramai begitu adalah ahli-ahli keluarga yang berjenaka membuat orang lain yang mendengarnya tak kering gusi . . . ketawa, ketawa dan ketawa.

Sedang keadaan riuh rendah berlarutan . . . tiba-tiba terdengar suara kuat hampir nyaring Mak Nana berkata," Ha, dak Amat ni dongki lah."

Dak Amat tu ialah Ahmad (Aii) anak Alyn & Shidi. Dak Ahmad sedang berusaha sedaya upaya untuk 'menguis' keluar dak Azim (Amb) . . . ha ah, anak Anum & Roy daripada berpangku di atas paha Mak Nana.

"Dongki dak Amat ni dongki!" kata Mak Nana lagi apabila Ahmad pula menggantikan tempat Azim di pangkuan Mak Nana!

Kami semua memerhatikan peristiwa itu. Suasana senyap seketika. Kemudian secara tiba-tiba juga terdengar suara garau berkata," Ha . . . nenek. Nanti Halim beri tahu Kak Ngah & Bang Ngah nenek cakap anak diaorang macam tu . . . "

" Apo lak . . . memang ha si Amat ni dongki. Tengok ha . . . dah ditolaknya si Ajim ni."

" Alah nenek . . . dah taku
tlah tu. Tadi sedap kata Ahmad dongki. Katalah lagi! "

Begitulah cara bergurau anakku Halim terhadap Mak Nana. Dia amat gemar 'menyakat' neneknya itu. Sebenarnya Mak Nana tu bukan jadi bahan 'sakat' si Halim saja . . . Semua anakku yang lain juga (Halmy, Lyn, Anum, E dan Lyana) suka bergurau dengan nenek mereka itu . . . dan, mengusiknya pasti.

Apapun yang jelas ialah Mak Nana amat disayangi mereka semua. Nenek mereka itu pula amat lurus cara berfikirnya.

Dalam peristiwa ini . . . dia masih tidak sedar bahawa si Halim, cucunya itu, sedang bergurau mengusiknya.


" Apo lak Nah nak takut an. . . memang dak Amat ni dongki."

Semua yang ada di situ geli-geli hati ketawa. Ada juga yang tak berapa cepat dapat tangkap 'joke sounds like' tu. Mak Nana pulak buat macam takde hal saja.

Mak Nana terus berlagu menepuk-nepuk Ahmad, " Dak dongki ni. Cicit Nah dongki. Hai Mat apo lak kau ni jadi dongki . . . ha."

Kami semua tambah pecah perut menahan ketawa. Takut pulak nanti Mak Nana memikirkan kami mentertawakannya!

Begitu tebal pengaruh sebutan perkataan 'dengki' dalam loghat NS hingga amat menyerupai bunyi sebutan perkataan 'donkey' dalam bahasa ibunda si omputih jiran aku tu.

{Si omputih jiranku itu langsung bertanya kepada aku: How do you say that brand name for paint 'Glidden' in NS dialect? No sweat. Aku oblige saja. Simply 'Goli den' kataku.

Si omputih jiranku itu semakin bersemangat dan bertanya lagi: In that case how will you say in NS dialect that famous camera brand name 'Pentax'. I simply ignored him this time. Dah masuk tahap bahaya pulak si omputih ni . . . very spooky man! }










dsuarang.blogspot.com

2 comments:

intan said...

Salam Pak Uda,
Ha..ha..ha..lucunya cerita dongki ini,mula-mula Intan bingung apa arti dongki ini rupanya dengki....
Salam rindu buat Nenek,Mak Uda dan semuanya yang berada di dsuarang

Bamuda d' SUARANG said...

Salam Intan,

Asalkan 'dongki' yang diceritakan tadi itu tidak bermaksud 'keldai' cukuplah.

Ini baru budaya dialek atau loghat bahasa tempatan. Maksudnya loghat daerah di Malaysia dengan di Malaysia sendiri.

Andainya Intan berkesempatan membaca entri dalam blog Pak Uda ini yang dipos pada Sunday, December 27, 2009 berjudul 'Budaya Bahasa Daerah' (bawah label Famili Tapah) Intan akan mengerti tentang kekeliruan yang boleh ditimbulkan oleh istilah atau loghat daerah . . . dan yang tentu saja membawa berbagai unsur kelucuan bersamanya.

Bayangkan bagaimana jadinya apabila bertembung pula dialek atau loghat internasional . . . pasti gamat!

Misalnya . . . Pelawat dari Malysia meminta seorang tukang beca atau teksi di Indonesia begini:

Pelawat M : Bang saya mahu 'pusing-pusing' ni. Boleh hantarkan saya ke shopping mall?

Tukang Teksi: Aduh . . . kalau udah 'pusing-pusing' . . . ke hospital aja dong!

{Nota: 'Pusing-pusing' di Malaysia bermaksud 'berjalan-jalan' ... to move around.}

Itu baru sikit kan Intan. Banyak lagi pengertian yang pelik-pelik dan melucukan boleh wujud dalam situasi begini . . . ya kan.

Salam daripada Pak Uda sekeluarga kepada Intan dan seluruh ahli keluarga di sana.

Keep safe.

Nuffnang Ads