Tuesday, December 21, 2010

Hj Omar Dalam Kenangan




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Berkat Doa Ayah . . .



Aku pernah terbaca sebuah puisi karya General Douglas MacArthur (Ketua Turus Angkatan Tentera AS era 1930-an yang memainkan peranan penting di zon Pasifik dalam Perang Dunia II) bertajuk A Father's Prayer. Antara bait-bait puisi itu yang menarik perhatian aku berbunyi begini:

Build me a son, O Lord,
who will be strong enough to know when he is weak
and brave enough to face himself when he is afraid.

One who will be proud and unbending in honest defeat,
And humble, and gentle in victory.

Dalam bahasa ibunda sendiri aku fahami maksudnya lebih kurang begini:

Ciptakan seorang putera untukku, Oh Tuhan,
seorang yang sanggup mengakuri diri yang kelemahan
dan cukup berani menghadapi keadaan bila ketakutan.

Seorang yang tetap megah dan bermaruah setelah benar-benar kalah,
Dan merendah diri, serta penuh sopan dalam kemenangan.

Aku bermukadimah begini kerana terkenangkan seseorang yang aku amat hormati sejak mula bertemu dengannya pada tahun 1980-an. Beliau berkeperibadian amat sederhana. Tidak berlebihan dalam percakapan dan tindak tanduknya. Mudah mesra. Berbudi bahasa. Merendah diri tetapi berpendirian sasa. Beliau meghormati orang tidak kira status atau kedudukan mereka. Tabah mengharung kehidupan dalam bentuk beraneka rupa.

Dan, paling aku senangi beliau sentiasa kelihatan ceria . . . entah bila beliau bermurung durja agaknya. Memang tepat seperti kata salah seorang ahli keluarganya . . . sesiapa yang bertemu atau bertamu ke rumahnya (dan mengenalinya) pasti akan turut tenang dan ceria sepertinya.

Aku terfikir mungkin berkat doa dan ajaran serta didikan daripada ayahandanya Hj Ismail (dan pasti bondanya jua) menyebabkan beliau berperwatakan sedemikian rupa.


Ayah dan Ibu yang sama-sama membentuk peribadi Ayahanda Omar bin Ismail . . .
Allahyarham Hj Ismail bin Arshad (terkenal dgn panggilan Tok Awang Pak Teh) & Hjh Aishah bt Kamarudin

[Baby yang meniarap kat depan tu sapa hah? Lihat foto dalam STOP PRESS di akhir artikel ini . . . Foto kat anak tangga tu . . . duduk hadapan sekali nombor satu dari kiri . . . Tengoklah siapa . . .]


Banyak juga aku belajar tentang hidup dan kehidupan sepanjang aku mengenali ayahanda Hj Omar bin Hj Ismail . . . orang yang aku maksudkan di atas.



Aku seterusnya teringat pula akan bait-bait lain dalam puisi nukilan si Jeneralisimo omputih tersebut di atas. Begini bunyinya:

Build me a son whose heart will be clear, whose goal will be high,
a son who will master himself before he seeks to master other men,
one who will reach into the future, yet never forget the past

Lantas aku fikirkan maksudnya dalam bahasa ibundaku lagi:

Ciptakan seorang putera untukku yang berhati jujur, yang bercita-cita tinggi,
seorang putera yang dapat menguasai dirinya sebelum dia cuba menguasai orang lain,
seorang yang berfikiran jauh ke hadapan, namun tidak pernah lupa akan masa lampau

Dan, sekali lagi aku terfikir . . . doa seseorang yang tidak putus-putus keikhlasannya pasti dimakbulkan Allah swt dengan sesempurna mungkin.

Ayahanda Omar dianugerahkan bukan satu tetapi tiga orang cahaya mata. Dua putera dan seorang puteri. Anak-anak beliau ini aku perhatikan tidak mensia-siakan hidup mereka. Mereka bersama-sama menaikkan martabat keluarga Omar bin Ismail. Mereka menyumbang kepada kebahagiaan sebuah keluarga yang mengamalkan prinsip 'kesederhanaan' dalam setiap liku perjalanan hidup mereka.

Anak-anak itu diberi nama Basri bin Omar, Mohd Pauzi bin Omar dan Sobehah bt Omar. Mereka masing-masingnya dilahirkan pada tahun 1952, 1955 dan 1959. Bagaikan diadun dan diterap . . . salah seorang daripada mereka . . . Basri bin Omar (anak sulung) menepati kata-kata seperti tercatat dalam bait-bait puisi si Jeneral tadi.

Basri pernah menjadi komandan dan pegawai pemerintah dalam Angkatan Tentera Malaysia sebelum bersara sebagai Lt Kolonel yang dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) atas jasanya terhadap negara. [Insya-Allah kisah beliau akan dituliskan kemudian]. Pauzi pula kini bersara daripada perkhidmatannya sebagai pegawai akaun di sebuah organisasi petroleum terbesar Malaysia. Sobehah cukup dengan menjadi seorang suri rumah tangga yang solehah.



Kelompok foto keluarga sebagai kenang-kenangan sempena persaraan
Mohd Pauzi Omar daripada perkhidmatannya. Rekaletak oleh Basri Omar


Ketiga-tiga orang anak itu dikurniakan Allah swt kepada ayahanda Omar yang berasal daripada mukim Merbok, Kedah melalui isterinya Kholijah bt Othman. Seorang isteri yang juga cukup 'sederhana' seperti ayahanda Omar sendiri.

Omar bin Ismail dilahirkan pada tahun 1927 di Kg Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah. Jadinya beliau anak jati Merbok.


Tempat jatuh lagi dikenang . . . Inikan pula tempat bermain

Pemandangan sekeliling yang membawa seribu satu macam nostalgia

Masjid Kg Merbok di kampung halaman asal Ayahanda Omar bin Ismail


Beliau berkahwin dengan Kholijah bt Othman pada bulan Ogos 1951. . . Lebih tepat lagi mereka bernikah pada 5 haribulan Zulkaedah 1370 di Merbok, Kota Kuala Muda, Kedah.




Surat nikah Ayahanda Omar bin Ismail dengan Bonda Kholijah bt Othman

[Perhatikan dengan teliti nama pengantin lelaki . . . Mengapa Omar bin Awang . . . bukan Omar bin Ismail ? Oh . . . penulis baru diberi tahu Basri, cucu Allahyarham Hj Ismail Arshad, bahawa nama lebih popular Tok Wan itu di kampung . . . alahai ada aka le . . . ialah Tok Awang Pak Teh. Patut le ditulis jurunikah nama Ayahanda Omar itu . . . sebagai Omar bin Awang . . . dah jelas sekarang.]


Saat-saat bahagia sepasang pengantin yang saling menyayangi antara satu sama lain. Persandingan Ayahanda Omar bin Ismail dengan Bonda Kholijah bt Othman di Merbok, Kedah.


Aku sememangnya menganggap ayahanda Hj Omar bin Hj Ismail sebagai seorang yang berhati mulia dan tinggi budi pekerti sejak aku mengenalinya pada awal tahun 1980-an. Aku masih ingat waktu aku sekeluarga berkunjung ke rumahnya di Pendang dan tidur di sana buat kali pertamanya pada tahun 1989. Kami sekeluarga dilayan tidak ubah sebagai ahli keluarganya sendiri.




Salinan KP lama ayahanda Omar bin Ismail

Beliau amat mesra dan menunjukkan banyak contoh yang baik sebagai tuan rumah yang menghargai kunjungan tetamunya. Maka tidaklah menghairankan apabila ingatan mesra sebegini diterakan oleh kaum keluarga terdekat beliau seperti terdapat dalam sms (dicatat semula oleh adinda Basri daripada telefon bimbitnya) yang diterima sempena ulang tahun ke-5 pemergian Allahyarham.


Petikan catatan drpd sms
telefon bimbit Basri Omar


Allahyarham ayahanda Tuan Hj Omar bin Hj Ismail meninggalkan kita semua buat selama-lamanya pada jam 01:41 petang Jumaat 21 Januari 2005 bersamaan 10 Zulhijjah 1425 H (HRH) setelah terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya (motor / lori kecil) di pekan Pendang, Kedah pada kira-kira jam 9:00 pagi Ahad 16 Januari 2005.



Tanah perkuburan Islam di Masjid Lama, Kg Merbok, Kedah


Al-Fatehah . . . Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh semua ahli kubur

Pusara Allahyarham Ayahanda Hj Omar bin Hj Ismail


Sekarang . . . setiap kali aku meminum kopi atau memakan kuih apam balik . . . aku akan teringat kepada ayahanda Omar. Ini kerana beliau tidak lupa membawa bersamanya serbuk kopi dari Pendang setiap kali datang berkunjung ke rumahku di KL. Beliau seolah-olah mengerti aku amat menggemari minuman itu. Begitulah budi bahasanya. Demikian keprihatinannya.

Kuih apam balik pula dapat aku rasa seberapa banyak kali aku ke Pendang. Ayahanda Omar memang pandai membuat kuih apam balik. Beliau siap memberi tahu aku tentang cara membuat kuih tersebut termasuklah bagaimana hendak menjadikan kuih apam balik itu lembut dan gebu!

Mudah saja katanya,"Bancuh sedikit dengan air kelapa."

Aku terfikir . . . tidak kedekut ilmu beliau ini. Salah satu sifat mulianya . . . sanggup berkongsi pengetahuan dengan sesiapa sahaja.

Ketika aku ke Tokai menghadiri suatu kenduri tahlil arwah tidak berapa lama dahulu . . . aku mendapat tahu daripada salah seorang anak buahnya (yang berniaga aiskrim) bahawa resipi dan cara membuat aiskrim itu bersasal daripada ayahanda Omar juga. Wah, betapa banyaknya amal jariah yang telah dicurahkan beliau! Semoga Allah membalasnya dengan setinggi-tinggi penghargaan.

Pendeknya ayahanda Omar (pastinya dengan sokongan dan bantuan bonda Hjh Kholijah Hj Othman) adalah seorang yang kuat berusaha (bekerja & berniaga) sepanjang hayat mudanya. Beliau melakukan segalanya ini demi pendidikan dan kebajikan anak-anaknya.


Petikan drpd catatan sms
telefon bimbit Basri omar


Ayahanda Hj Omar bin Hj Ismail
& Bonda Hjh Kholijah bt Hj Othman

Dan . . . daripada apa yang dapat aku lihat . . . segala usahanya itu tidak sia-sia. Anak-anak ayahanda Omar yang juga bersikap mengamalkan gaya hidup sederhana . . . merupakan anak-anak yang tahu membalas budi.

Paling teratas . . . apabila mereka berganding bahu, berkongsi wang ringgit dan tenaga . . . berjaya membawa ibu bapa mereka ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan fardu Haji. Alhamdulillah.


Petikan drpd catatan sms
telefon bimbit Basri Omar

Setelah berkesempatan memerhati banyak simplicity dan positive qualities dalam perjalanan hidup keluarga ini . . . berkat kepimpinan ayahanda Omar . . . aku dengan segala keikhlasan hati . . . mendoakan agar roh ayahanda terus-terusan diangkat dan ditempatkan secara paling istimewa di sisi Allah swt.








Catatan peribadi Basri Omar tentang peristiwa kematian/urusan pengkebumian Ayhn Hj Omar



Rekod Rasmi Kematian Ayhn Hj Omar


Al-Fatihah . . . Amin.


. . . dan, bertepatan dengan bait-bait penutup puisi si Jeneral itu . . . yang berbunyi begini . . .

Then I, his father, will dare to whisper "I have not lived in vain."

. . . aku yakin demikian jua kepercayaan ayahanda Hj Omar bin Hj Ismail terhadap anak-anak dan keluarganya yang ditinggalkan . . .




STOP PRESS


Pertama Kali ke Rumah Ayahanda Hj Omar di Pendang

Penulis dan isteri (Alimah) pernah pertama kali sampai ke rumah di Pendang ini pada 25 Oktober 1983. Penulis ketika itu melaksanakan tugas rasmi di zon Utara. Ingat nak surprise-kan Ayahanda Hj Omar & keluarga dengan kunjungan 'mengejut' ini. Rupa-rupanya kami berdua yang kena surprise . . . dapat rumah kosong . . . tak ada sesiapa di rumah! Tak mengapa . . . kami bergambar sahaja di hadapan pintu pagar . . . Sekurang-kurangnya jadi bukti kami dah sampai le . . .


Kunjungan Sekeluarga Kemudiannya . . .


Foto-foto diambil pada hari Isnin 6 November 1989 apabila penulis sekeluarga berkunjung lagi ke rumah Ayahanda Hj Omar di Pendang. Kali ini lebih bernasib baik. Dapat board & lodging sekali . . . he, he. Alhamdulillah , itu le rezeki namanya!

Foto kiri: Hadapan dari kiri: Siti Nur Nazihah Basri, Siti Nur Asilah Basri & Marlyana Haniz Majid. Tengah dari kiri: Halmy Zahari Majid (memangku Mohd Fitri Basri) & Hazry Zaharith Majid. Belakang dari kiri: Mazlyn Hanim Majid, Wahidah Ramli, Mazlyna Hanum Majid & Halim Zaharyn Majid.

Foto kanan: Hadapan: Halim Zaharyn Majid. Tengah: Dari kiri: Halmy Zahari Majid, Mohd Fitri Basri & Siti Nur Asilah Basri. Belakang: Dari kiri: Mazlyna Hanum Majid, Siti Nur Nazihah Basri, Hazry Zaharith Majid, Marlyana Haniz Majid & Wahidah Ramli.


Antara SMS Ikatan Kasih dan Penghargaan
Terhadap Ayahanda Omar bin Ismail


. . . isi mesej yang dimajukan Basri Omar kepada penulis menjelaskan keadaan sebenar . . .

. . . betapa sanak saudara dan sahabat handai menghargai manusia yang bernama Omar bin Ismail ini . . .

. . . banyak kebaikan dan kekuatan sifat dan sikapnya terserlah daripada curahan rasa mereka yang berhubungan dengan beliau . . .

. . . penulis turut terharu membaca apa yang dicatatkan oleh mereka yang masih meneruskan hidup ini . . . sebagai kenangan mesra terhadap seorang ahli keluarga yang dikasihi . . . yang kini telah pergi buat selama-lamanya . . .

. . . begitu kukuhnya ikatan kasih dan teguhnya rasa penghargaan anak buahnya (yang kini bermastautin atas tugasan di Jakarta) terhadap dirinya yang mereka panggil Pak Tam Besaq . . .



[Lihat catatan sms ini secara detail / jelas dalam comment di akhir artikel]













dsuarang.blogspot.com