Wednesday, January 22, 2014

Kenyalang Pulau Pangkor






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Di Teluk Dalam Pun Ada?


Aku dan famili bercuti-cuti Malaysia di Teluk Dalam, Pulau Pangkor baru-baru ini.

Kami sekeluarga berada di sana selama 3 hari 2 malam dari Jumaat 17 hingga Ahad 19 Januari 2014. Kami menginap di chalet percutian Teluk Dalam Resort. 










Pada petang hari Sabtu 18 haribulan . . . sedang kami berehat-rehat di chalet . . . aku tiba-tiba dikejutkan dengan teriakan salah seorang ahli keluargaku:


"Ada hornbill . . . ada hornbill."



"Ada apa atuk?" Tanya Amad, cucu sulung aku yang berusia 4 tahun.







Amad tidak tahu apa itu hornbill barang kali! Apa hendak dihairankan. Ramai orang yang jauh lebih dewasa . . . tidak banyak mengetahui tentang hornbill . . . atau sebutan namanya dalam bahasa Melayu . . . burung enggang.


Aku pun berkejar keluar daripada chalet. Aku ingin melihat sendiri benarkah si hornbill ini ada di Pulau Pangkor. 


























Rupa-rupanya ada juga hornbill di sini? Bukankah hornbill lazimnya terdapat di Sarawak @ Bumi Kenyalang?


Dalam berfikir-fikir itu . . . aku teringat pernah terbaca nama tertentu beberapa jenis enggang yang tergolong dalam famili burung jenis Bucerotidae.


Burung enggang juga ada dikenali dengan nama burung jawa. Enggang ada banyak jenisnya . . . termasuk enggang kenyalang yang tergolong dalam kelompok burung Buceros rhinoceros. Enggang kenyalang dipanggil juga enggang lilin.

Lain-lain jenis enggang yang pernah aku dengar namanya ialah enggang papan dalam kelompok burung Buceros bicornis. Enggang buluh @ enggang belukar dalam kelompok burung Annorhinus galeritus.

Ada pula enggang yang diberi nama enggang belantara dalam kelompok burung Rhyticeros plicatus.

Enggang jambul putih @ enggang bulu tergolong dalam kelompok burung jenis Berenicornis comatus.



















Sukar juga hendak mengecam berbagai jenis enggang yang terdapat di negara kita . . . apatah lagi untuk mengingati nama-namanya . . . khususnya nama saintifik!

Apa yang harus kita sedari ialah burung enggang (kenyalang) terdapat juga di lain-lain kawasan tempatan . . . bukan di Sarawak sahaja.

Apa yang tampak nyata dan boleh dijadikan pegangan dalam usaha mengecam burung enggang ialah burung jenis ini mempunyai 'cula' (tidaklah sebesar 'cula' badak sumbu!) dan 'cula' ini terletak di atas paruhnya yang besar.







Menyaksikan burung enggang ini berterbangan ke sana ke mari di daerah resort tempat kami menginap . . . aku teringat akan satu idiomatic expression Melayu yang popular di kalangan kita:

"Enggang sama enggang, pipit sama pipit". 

Simpulan bahasa kita ini apabila dijadikan pernyataan kiasan lazimnya membawa maksud: 

"Darjat seseorang atau kedudukan sesuatu kelompok manusia memainkan peranan dan menjadi faktor utama yang sering diambil kira dalam menentukan kesesuaian manusia itu bergaul atau beraktiviti sosial sesama mereka." 




















Tetapi . . . dalam hal si enggang yang diceriterakan di sini . . . penulis lebih tertarik membuat rumusan sendiri melalui pantun begini:


Enggang sama enggang,
Pipit sama pipit;
Lapang sama bersenang,
Sempit sama terhimpit.


Ini mungkin lebih mencerminkan semangat kesatuan yang diharapkan antara kita.






Wallahuaklam . . . 


[Penghargaan:Ucapan terima kasih kepada Marlyana Haniz kerana merakamkan foto-foto ini.]




bamuda
dsuarang.blogspot.com