Wednesday, August 11, 2010

Ramadan dan Tarawih




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Bila Ramadan Datang Lagi


Hari ini hari pertama dalam bulan Ramadan 1431 H bersamaan tahun 2010 M. Aku ucapkan selamat berpuasa Ramadan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Kita harus bersyukur kerana masih diizinkan-Nya untuk melaksanakan ibadah berpuasa.

Sebenarnya setiap kali tiba bulan Ramadan Al-Mubarak aku sering terfikirkan sesuatu. Aku terfikir alangkah baik andainya selepas Ramadan pun keadaannya terus begini. Keadaan jemaah yang begitu ramai di surau-surau atau di masjid-masjid. Keadaan orang beragama Islam berkejar-kejar dan berebut-rebut ke tempat-tempat ibadat yang suci itu. Maka penuh sesaklah surau-surau dan masjid-masjid di seluruh ceruk dan rantau negara yang merdeka dan berdaulat ini! Maka bersemaraklah semangat memakmurkan surau-surau dan masjid-masjid pada bulan Ramadan ini!



Foto hiasan: Para jemaah bersembahyang Tarawih


Pagi ini aku sempat menonton suatu slot dalam rancangan MHI TV 3 tentang sambutan meriah ketibaan bulan Ramadan tahun ini. Meriahnya, sungguh meriah! Surau-surau dan masjid-masjid ditunjukkan penuh sesak dengan para jemaah yang menunaikan solat Tarawih, yang berzikir, yang bertadarus. Alhamdulillah, suasana begini sungguh memberangsangkan.


Tetapi, apa yang sering aku terfikir ialah tentang keadaan nyata yang akan wujud setiap kali setelah berlalunya bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan ramai jemaah di surau-surau dan masjid-masjid yang ditemuramah juruacara TV tadi, apabila tiba pertengahan dan akhir Ramadan akan berkuranganlah bilangan para jemaah yang mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid. Akan susutlah para jemaah di saf-saf. Tinggallah mereka yang agak regular saja.


Malang lagi, pada pengamatanku, apa yang kebiasaannya terjadi selepas habis "musim" Ramadan surau-surau dan masjid-masjid tidak lagi dibanjiri para jemaah. Kadangkala hendak dapatkan dua saf penuh para jemaah pada waktu-waktu sembahyang fardu pun susah. Lazimnya pada waktu subuh lebih teruk keadaannya. Ke mana perginya para jemaah yang begitu ramai mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid pada bulan Ramadan? Adakah mereka itu bukan orang dari kariah itu sendiri? Adakah mereka mengamalkan ibadah "bermusim". Entahlah, Tuhan saja yang mengetahui!


Bersangkutan hal bersolat Tarawih pula. Memang eloklah semua orang berkejar-kejar ke surau-surau atau ke masjid-masjid untuk menunaikan solat sunat itu. Lebih baik lagi kalau mereka itu sudah siap menunaikan dengan penuh dan selengkap-lengkapnya segala solat fardu terlebih dahulu. Paling cantik kalau mereka itu memang merupakan golongan yang sudah tidak meninggalkan solat fardu sepanjang bulan bukan Ramadan pun!


Aku tidak berniat mengutuk atau mencela. Tapi apa yang aku lihat berlaku di sekelilingku pada setiap bulan Ramadan kadangkala menimbulkan tandatanya dalam benakku. Bayangkan ada antara pengamal ibadah bermusim ini yang sanggup mengkategorikan orang yang tidak kelihatan oleh mereka bersolat Tarawih sebagai orang yang tidak cukup "Islam". Seterusnya orang itu dikelaskan sebagai orang yang tidak mengerti hukum agama, tidak warak atau tidak mematuhi ajaran agama seperti mereka kononnya. (Sesungguhnya, pada pengetahuanku, mereka itu sendiri yang tidak pernah dilihat mengunjungi surau-surau atau masjid-masjid dan mereka itu juga yang tidak melaksanakan tanggungjawab mengerjakan solat-solat yang diwajibkan ke atas diri mereka terlebih dahulu.) Dan, sebaik selepas Ramadan, mereka itu akan terus hilang daripada pandangan hinggalah ke tahun hadapan bila Ramadan datang lagi! Entahlah, sekali lagi, Tuhan saja yang tahu!



Bila Ramadan Datang Lagi
petikan daripada siri puisi AMB 2008



Aku teringat Ustaz di kampungku yang dahulu. Ustaz kampung-kampungan. Bukan Ustaz elitis bandaran. Tidak seperti Ustaz-Ustaz hebat . . . yang di sana-sini memberi ceramah perdana dan sebagainya. Mereka yang memimpin majlis tazkirah dan syarahan di tempat-tempat yang istimewa. Ustaz di kampungku itu menjelaskan secara asas. Dia menerangkan bahawa bersolat Tarawih hukumnya sunat. Tidak salah kita menunaikannya asalkan kita tidak tersilap memberi keutamaan kepadanya. Mengerjakannya dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa.


Dalam hal ini lebih afdal jika kita fikirkan secara mudah begini. Andainya kita sanggup berjemaah solat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid pada bulan Ramadan, mengapa kita tidak sanggup berbuat demikian dengan solat-solat fardu lima waktu sehari semalam itu? Sedih sekali apabila suasana menjadi semakin lengang di surau-surau dan di masjid-masjid pada waktu-waktu solat fardu hari-hari biasa!


Pendeknya, janganlah sampai kita lebih utamakan solat Tarawih daripada solat-solat fardu. Bayangkan pada malam hari dalam bulan puasa kita tidak terputus hubungan dengan solat Tarawih manakala sebenarnya pada siang harinya solat fardu lima waktu itu pun tidak kita lakukan dengan sempurna ataupun tidak kita lakukan langsung. Sia-sia sajalah kelak kita berpenat lelah dan berlapar! Tunggang-langganglah nanti jadinya pegangan kita. Maka buatlah yang wajib dahulu sebelum kita menambahkan ibadah kita dengan yang sunat pula.


Aku pernah terbaca sepotong hadis soheh yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, bahawa A'isyah r.a. berkata yang maksudnya lebih kurang begini:


"Nabi Muhammad SAW menunaikan solat di masjid (pada malam pertama) dan beberapa orang pun bersolat bersama-sama baginda. Baginda bersolat lagi pada malam kedua. Ramailah lagi orang bersolat bersama-sama baginda. Pada malam ketiga dan keempat lebih ramai orang berkumpul dan menunggu kehadiran baginda untuk bersolat bersama-sama. Rasulullah SAW tidak muncul (bertemu mereka). Apabila waktu Subuh baginda (bertemu mereka) dan bersabda,' Aku lihat apa yang kamu lakukan malam tadi. Tiada apa-apa yang menghalang aku daripada bertemu kamu melainkan kerana aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas 'kamu'. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan."


Maka sekiranya kita sudah cukup jelas dengan penerangan di atas . . . lakukanlah ibadah kita dengan cara yang setertib-tertibnya. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan. Janganlah pula kita perlekehkan mereka yang nampaknya macam kurang warak daripada kita. Mungkin mereka lebih arif.

Wallahuaklam.
















dsuarang.blogspot.com

0 comments: