Tuesday, July 24, 2012

Kak Azah Budayawan Budiman


TUESDAY, 24 JULY 2012




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Beruntung Mengenalinya Dari Dekat


al-Fatihah aku bacakan berulang kali untuk Kak Azah sebaik sahaja mengetahui bahawa Budayawan Budiman ini sudah pergi mendahului kita menyahut seruan Ilahi pada Isnin 9 Julai 2012 bersamaan 19 Sya'aban 1433 H.  

Aku baru menyedari Almarhumah sudah tiada setelah pulang dari Surabaya dan diberitahukan berita menyedihkan itu oleh anak-anakku.

Kemudian aku dapat membaca dalam siaran blog adinda Zul . . . SigapSiaga . . . bahawa Kak Azah pernah menghasilkan penulisan buku-buku berunsur budi pekerti dan kebudayaan . . . antaranya beberapa buah buku Pantun Kanak-kanak.

[Aku langsung teringat peristiwa menghadiri majlis pelancaran dan soal jawab buku-buku Pantun Kanak-kanak terbitan syarikat penerbitan (tempat aku bertugas) bersama Kak Azah pada tahun 1982.

Kak Azah mahukan juga aku hadir untuk menjelaskan kepada pihak media beberapa perkara / masalah tertentu menyangkut penerbitan buku-buku berkenaan yang ketika itu di bawah tanggungjawabku.]

Bagiku . . .  Kak Azah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kalangan masyarakat berbudaya. Nama beliau cukup sinonim dengan bidang budaya dan kebudayaan Melayu di Malaysia. Kegigihan dan keyakinan  beliau dalam usaha memartabatkan budaya bangsa dan negara tidak boleh disangkal.   

Aku memang tidak mahu menulis panjang tentang hebatnya manusia yang nama sebenarnya . . . Sharifah Azah Mohammad Alsagoff . . . tetapi amat popular dengan panggilan . . . Azah Aziz. 

Cukuplah jika aku katakan aku beruntung pernah berkesempatan berinteraksi dengan beliau dalam bidang penerbitan buku ketika aku menjadi editor dan kemudian pengurus penerbitan di OUP/PFB dari tahun-tahun 80-an hingga bersara pada tahun-tahun 2000.

Aku juga mengenali beliau secara dekat kerana sering meminta pandangan atau pendapat beliau dalam apa saja hal berkaitan budaya Melayu khususnya budaya berpakaian

Suatu kenangan yang tidak mudah aku lupakan . . . pernah meminjam koleksi busana 'kebudayaan' milik beliau .

Sebenarnya aku ingin menyewa pakaian-pakaian itu untuk 'model-model' di syarikat tempat aku bertugas  membuat persembahan dalam satu majlis keraian tahunan  . . .  tetapi Kak Azah dengan amat bermurah hati telah meminjamkan kepada aku busana itu tanpa sebarang bayaran! 

Kak Azah cuma mahukan pihak kami menjaga baik-baik pakaian-pakaian miliknya itu . . . dan mengembalikannya kepada beliau nanti dalam keadaan yang baik dan sempurna. 

Kami kembalikan busana itu kemudiannya kepada beliau setelah 'dicuci kering' dan 'dibungkus rapi'.  Kak Azah berterima kasih sangat kepada kami dan menyatakan penghargaannya terhadap apa yang kami lakukan. 

Begitulah budimannya Kak Azah. Kami yang sepatutnya banyak berterima kasih kepada beliau. Sebaliknya pula yang berlaku! 






 Budayawan Budiman 
dalam kenangan




Beberapa keratan akhbar daripada buku skrap . . .






Mengembalikan nostalgia terhadap waktu-waktu aktif berurusan . . .






Berkatilah segala usaha murni kak Azah
Ya Allah . . . Ya Tuhan . . .



Demikan secebis ingatan . . .  di antara banyak lagi  . . . yang menggembirakan aku selama mengenali dan bekerjasama dengan Kak Azah . . . baik secara profesional dan formal . . . ataupun tidak.



Kak Azah . . .
bersemadilah kau di sana
dengan jaminan terpelihara
daripada segala susah dan  fitnah 
di bawah jagaan-NYA
Yang Maha Kuasa . . .
Allah. 


al-Fatihah. Amin.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com