Saturday, November 7, 2015

Bila JDT Menjuarai Piala AFC . . .







Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera





Rentetan peristiwa bersejarah pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai pertandingan Piala AFC  pada minggu yang lalu . . . dan kemudian mengikuti kisah bagaimana pasukan ini diberikan sambutan yang luar biasa setelah kembali ke negeri Johor Darul Ta'zim oleh para peminat bolasepak JDT khasnya dan Malaysia amnya . . . diketuai oleh DYMM Sultan Johor sendiri , penulis kekaguman . . .  



{Baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sempat berada bersama pasukan JDT di Republican Central Stadium  di Dushanbe, Tajikistan sepanjang perlawanan akhir Piala AFC 2015 menentang pasukan tuan rumah FC Istiklol pada 31 Oktober 2015. JDT menang 1-0). 



Maka penulis tanpa ragu-ragu lagi membuat kesimpulan bahawa sahih negeri Johor Darul Ta'zim bertuah mempunyai Sultan dan kerabat Diraja berjiwa rakyat.



Dan, berlanjutan daripada peristiwa-peristiwa tersebut . . . penulis lantas sahaja terkenang akan suatu entri ringkas yang pernah penulis catatkan dalam blog dsuarang.blogspot.com (keluaran Thursday, November 25, 2010). 


Sebuah catatan tentang pengalaman istimewa penulis berurusan rasmi secara dekat dan langsung dengan DYMM Tuanku Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah . . . seorang lagi kerabat Diraja Johor Darul Ta'zim yang juga sah berseni dan berjiwa rakyat! 


Berikut catatan penulis yang dirujuk: 








Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Nota kenangan dan penghargaan 
buat Permaisuri berjiwa rakyat



Penulis dengan segala hormat takzimnya merafak sembah menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang kini bergelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Raja Permaisuri Johor).







Tajuk berita muka hadapan Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010



Baginda Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran DYMM 'Tuanku' kepada Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52 pada 22 November 2010 bersamaan 15 Zulhijjah 1431H.








Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010





Penulis terpanggil untuk menulis nota ringkas dalam blog ini kerana teringat akan waktu berurusan rasmi dengan (pada ketika itu) YAM Raja Zarith Sofiah pada tahun 1994/95 dahulu. Ketika itu Raja Zarith Sofiah masih belum bergelar DYMM Tuanku (Permaisuri). Baginda isteri kepada DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ibrahim Iskandar yang kini sudah bergelar DYMM Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.


Waktu itu penulis bersama pengarang buku Sejarah Johor, Datuk Shaharom Hussain, Pengarah Penerbitan OUP/PFB, Drs Ahmad Fadzil Yassin dan Pengarah Rekabentuk, Charles Yeoh dipelawa ke Istana Pasir Pelangi untuk menguruskan tugas penerbitan buku yang ada kaitannya dengan pihak istana itu. Kami dijemput makan tengah hari bersama baginda di Istana Pelangi, Johor Bahru. Suatu penghormatan yang kami sanjung tinggi! (Rujuk: Entri blog Kenangan di Istana Pasir Pelangi, Thursday, June 10, 2010).








Dari kiri: 
Datuk Shaharom Hussain, Raja Zarith Sofiah,
Drs Ahmad Fadzil Yassin & Abdul Majid Baharom



Raja Zarith Sofiah seorang yang mudah didekati dan mesra didampingi. Kami tidak menghadapi sebarang halangan atau kesukaran dalam tugas rasmi kami sepanjang berurusan dengan baginda itu.


Baginda amat bersedia dan jujur dalam memberikan kerjasama dan sokongan terhadap projek yang dijalankan. Raja Zarith Sofia bijak berbicara dan cekap berurusan. Keramahan dan kemesraan baginda dapat kami rasakan ketika baginda berbincang mahupun berbual-bual dengan kami sama ada di ruang tamu ataupun di meja makan. Baginda amat bersahaja bercakap-cakap sambil menjamah makanan yang terhidang. Baginda juga nyata amat berpengetahuan dan bijaksana dalam hal berkaitan nilai-nilai estetika.









Dari kiri: 
Datuk Shaharom Hussain, Drs Ahmad Fadzil Yassin,
Raja Zarith Sofiah & Abdul Majid Baharom




Seperkara yang terpahat dalam ingatan penulis . . . Raja Zarith Sofiah memang tajam keprihatinan baginda berhubung soal artistik mahupun estetika. Ini terbukti secara terbuka ketika pembantu istana menyediakan pinggan mangkuk untuk mengisi hidangan makanan kami pada tengah hari itu.



Baginda penuh berdiplomasi menegur pembantu istana apabila baginda terlihat dari jauh bahawa corak atau bunga pada pinggan yang bakal menjadi tempat menghidang makanan itu tidak sama bentuk atau warnanya. Pada hal perbezaannya sedikit cuma. Tidak akan ketara langsung kepada mata yang 'biasa-biasa'.









Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah
Foto 1994/95




Maka tidak hairanlah jika baginda juga amat artistik dan prihatin terhadap segala detail karya atau hasil penulisannya. Kalau tidak silap penulis, baginda sedang berbicara tentang beberapa halaman lukisan untuk buku cerita kanak-kanak/klasik yang agak mewah penerbitannya pada ketika itu.


Setelah hampir seharian berurusan dengan baginda Raja Zarith Sofiah, penulis dan rakan-rakan membuat kesimpulan yang hampir serupa nadanya. Baginda Raja Zarith Sofiah sememangnya layak digelar Raja mesra rakyat . . . dan tentunya sekarang ini bertambah sesuailah baginda diberi gelaran DYMM Tuanku (Permaisuri) mesra rakyat.








Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia
(Selasa 23 November 2010)




Alhamdulillah, semoga rakyat bertambah sayang kepada DYMM Tuanku. Semoga negeri Johor khasnya dan negara Malaysia amnya mendapat manfaat daripada keprihatinan Tuanku terhadap masaalah rakyat jelata dan kebijaksanaan Tuanku mengendalikan urusan kebajikan mereka.



Dirgahayu Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.


Penulis ingin mengakhiri penulisan entri ini dengan memetik serangkap pantun daripada sebuah buku pantun kanak-kanak karya Kak Azah Aziz, seorang budayawan terkenal di negara kita:



Banyak ubi bernama ubi,
Ubi yang mana ditanam orang?
Banyak budi bernama budi,
Budi yang mana dikenang orang?



Memetik dan menyesuaikan serangkap pantun lagi daripada koleksi Kak Azah Aziz dalam bukunya 'Kenangan Budi' maka jawapan kepada pantun di atas tentu saja begini:




Tanam lagundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi Tuanku patik tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.






dsuarang.blogspot.com
Posted by Bamuda d' SUARANG at 8:00 AM
Labels: Tuanku Raja Zarith Sofiah




Demikian sebuah kenangan peribadi penulis yang tidak mudah dilupakan. 





bamuda
dsuarang.blgspot.com