Tuesday, June 28, 2011

Sah, Dian Seri Aishah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Dian (?) Aishah


Akhirnya slot kedua nama 'Dian' terisi. Semalam, diceritakan dalam siaran blog teman, bahawa nama lengkap 'Dian' tidak dapat ditentukan kerana slot kedua nama anak itu belum dimuktamadkan.

Tadi . . . Halim (bapa 'Dian') telah memberikan jawapan yang kami sekeluarga nanti-nantikan.

Setelah sepuluh hari sejak 'Dian' dilahirkan . . . tadi baru Halim mendaftarkan nama anak sulungnya di Pejabat Pendaftaran Negara cawangan Taman Melawati sebagai Dian Seri Aishah.









Maka . . . sah, Dian Seri Aishah adalah nama cucu perempuan teman yang pertama ini. Dan, teman dengan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT gembira memasyhurkannya melalui siaran blog hari ini.






Teman pernah menyarankan agar panggilan 'Seri' digunakan dalam slot kedua sebagai pelengkap nama Dian (?) Aishah.


Saranan ini teman buat ketika melawat Dian di PCMC. Sebahagian besar ahli keluarga teman juga hadir menyambut kelahiran Dian di sana ketika itu.


Alhamdulillah. Halim dan Shafini nampaknya bersetuju memberi pertimbangan kepada saranan teman itu. Teman tidak sekali-kali mendesak.


Apapun . . . idea menggunakan nama 'Seri' itu tercetus di minda teman secara tiba-tiba pada hari itu di PCMC.


Sedang teman dan ahli-ahli keluarga yang lain bersembang-sembang di Bilik 6H -08 (melayani rasa gembira kami masing-masing dengan kelahiran Dian) masuk seorang wanita yang cantik lagi bergaya {a pleasant looking woman . . . says my forever 'busybee' omputih neighbour} menuju ke katil Shafini.








Beliau yang kelihatan selamba saja . . . terus menyapa Shafini . . . dan isteri teman Alimah, yang juga berada di situ . . . lantas bertanyakan khabar dan progress Shafini dan anak yang baru dilahirkan.


Teman memerhatikan sahaja gerak dan geri wanita itu. Teman tidak kenal akan beliau kerana tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.





Tetapi . . . dalam hati teman kuat mengatakan beliau mungkin doktor yang merawat menantu dan cucu teman ini. Apatah lagi dengan adanya seorang jururawat yang mengiringi wanita ini. Mesti doktor punya!

"Doktor?" Tanya teman.

 

Wanita itu mengangkat keningnya, tersenyum seraya menjawab," Family physician . . . "





"Ini mesti Dr Seri yang sering teman dengar disebut namanya oleh Mazlyn, anak teman . . . ketika dia menjadi pesakit dan dirawat agak lama juga di PCMC . . . sebelum dan selepas bersalin," fikir teman.


Belum sempat teman habis melayan fikiran teman . . . Mazlyn yang juga ada bersama di situ terus memperkenalkan:


"Abah ini Dr Seri Suniza. Obstetrician . . . hebat! "








Ha ah, faham le teman sekarang. Inilah Dr Seri yang baik budi pekerti. Dr Seri yang juga pernah menjaga dan merawat cucu teman Ahmad Iman Iskandar (Aii) dengan sesempurna mungkin ketika Aii dilahirkan dan berada di pusat perubatan ini dahulu.


Terlintas di hati teman dengan spontan . . . alangkah bersesuaian jika panggilan 'Seri' dapat mengisi slot kedua sebagai pelengkap nama cucu teman yang ini . . . Dian Seri Aishah . . . mengambil sempena nama Doktor Seri Suniza. (Hope it's OK with you Doc . . .)


{Thanks for being a source of inspiration . . . but shh . . . we just cannot afford to pay you the royalty Doc, he he . . . } Menyampuk lagi si omputih jiran teman ni!


Sesungguhnya teman mendoakan mudah-mudahan Dian akan dapat segala yang terbaik daripada nama yang diberikan kepadanya ini. Insya-Allah.





Dian . . . Atuk harap Dian pandai menjaga nama sendiri dan juga nama keluarga sepanjang hayat kelak . . . kerana:



"Gajah mati meninggalkan tulang,
Harimau mati meninggalkan belang;
Pangkat dan harta tiadalah guna,
Manusia mati meninggalkan nama."
















dsuarang.blogspot.com