Friday, April 27, 2012

Perihal Kawanku Bahasa 3






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Terkenal Kerana Nama


Kata orang . . . setiap yang baik itu menghasilkan sesuatu yang baik juga. Betapa tepatnya kata-kata ini. Sejak beliau dinamakan Bahasa oleh ibu dan bapanya . . . manusia yang bergelar Bahasa ini melalui berbagai pengalaman yang boleh disifatkan di luar dugaan.











Namun pengalaman-pengalaman tersebut menjadikan Bahasa bertambah matang dan berjaya dalam hidupnya. Maka itulah hikmahnya . . . Bahasa dinamakan Bahasa oleh kedua orang tuanya.

Kita ikuti kisah-kisah selanjutnya.


Kisah 6

Bahasa, Bahasa, Bahasa


" 'Apabila telah tamat pengajian di USM saya dilantik memegang jawatan sebagai: Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Peristilahan, Jabatan Pengembangan dan Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika saya mula menyandang jawatan itu tugas saya amat berat sekali, iaitu setiap masalah penggunaan dan pentafsiran bahasa (dari masyarakat luar Dewan) ditujukan kepada saya. Antaranya ada panggilan dari luar Dewan yang berbunyi:















'Selamat pagi encik. Nama encik ni siapa?' Tanya suara dari corong telefon itu.

'Selamat pagi. Nama saya Bahasa. Apa masalah encik?' Jawab saya.

'Aaa . . . Bahasa. Encik jangan main-main.' Jawab orang itu.

'Betul. Nama saya Bahasa bin Othman.' Jawabku lagi.

'Saya tak percayalah. Mana ada orang bernama Bahasa, bertugas di Dewan Bahasa pula.' Kata orang itu.

'Betul, saya tidak bohong. Ya, apa masalah encik ni.' Kataku lagi.

Oklah. Saya nak tanya encik apa bezanya meriam dengan Mariam?' Tanya orang itu.

Sebelum saya menjawab persoalan orang itu, hati saya mula berkata: Orang ini nak menguji aku ke atau betul-betul dia hendak tahu makna perkataan itu?

'Beginilah jawapan dari saya. Meriam itu ialah sejenis senjata api yang lebih besar daripada senapang. Meriam itu ada dua jenis iaitu meriam buluh (meriam yang diperbuat daripada buluh) dan meriam katak (meriam yang kecil lagi pendek larasnya), iaitu satu benda tidak boleh berkata-kata. Meriam biasanya diletakkan di tepi tembok. Manakala Mariam pula ialah nama orang. Mariam ialah sejenis manusia yang boleh berkata-kata antara satu sama lain. Kadang kala sebelum nama Mariam itu ditambah Siti, iaitu jadi Siti Mariam.

'Terima kasih encik. Kalau encik ni betul-betul nama Bahasa, maka nama encik ni memang uniklah. Selamat bertugas.' Kata orang itu.

Selepas saya menjawab soalan yang diminta oleh orang itu tadi, maka saya terus menghubungi operator.

'Kak, jika ada orang bertanyakan tentang masalah bahasa maka akak sambungkanlah kepada talian yang dikhaskan pertanyaan tentang masalah bahasa itu. Di situ ada beberapa orang pegawai yang ditugaskan untuk menjawab masalah penggunaan bahasa. Kalau semua masalah saya seorang yang hendak jawab, maka parahlah saya.' Kata saya kepada operator itu.

'Oklah.' Jawab operator itu.

Walaupun telah beberapa kali saya ingatkan kepada operator itu, namun ada juga panggilan masuk ke talian saya. Lantaran itu maka saya mohon berpindah ke Bahagian Buku Teks. Permohonan saya diluluskan.

Ketika saya bertugas di Bahagian Buku Teks, saya diserahkan tugas untuk mengendalikan proses menerbitkan Buku Bahasa Melayu Tahun 1 (SRJK C/T).

Jadi, ke mana juga saya pergi tugas mengenai Bahasa Melayu tetap mengekori diri saya.

'Hai nasibku yang bernama Bahasa. Lepas ni entah apa lagi yang aku kena pikul.' Rintih hati kecilku. "



Demikian cerita benar daripada Tuan Hj Bahasa Othman sendiri.



Komen blogger:

1. Perhatian aku tertarik kepada hal si pemanggil yang bertanya tentang beza antara 'meriam' dengan 'Mariam'. Aku terfikir . . . apa nak susah-susah . . . lihat sahaja dalam Kamus Dewan. Habis cerita. Aku juga terfikir . . . mujur Tuan Bahasa kita ni lurus orangnya. Jika beliau seorang yang 'loyar' buruk dan memberikan jawapan begini:

meriam = sejenis senjata api yang 'menembak' . . .  Mariam = . . . yang 'kena tembak!' . . . Macam (yang aku ingat) dalam peristilahan bahasa dulu-dulu tentang ayat . . . 'bangun membuat' dan 'bangun kena buat' . . . (sekarang dah disebut ayat 'aktif' dan ayat 'pasif' . . . kalau tak silap aku . . .)

atau


Apabila 'Mariam' itu dieja 'Meriam' dan digunakan sebagai nama (aku sering terjumpa manusia yang menggunakan nama 'Mariam' dieja begini . . . 'Meriam'!) . . . bagaimana pula jadi penjelasannya? Maka . . . Siti 'Meriam' jadi separuh 'manusia' separuh 'peralatan'?

atau

meriam buluh = meriam yang diperbuat daripada buluh . . . 
 
meriam katak = meriam yang diperbuat daripada katak?


Penulis sekadar teringat akan peristiwa ketika menjadi editor di sebuah publishing house pada tahun-tahun 80-an dulu . . . ada seseorang menterjemahkan " catfish "  sebagai " ikan kucing ". . . Renungkanlah!



Ada lagi sambungan cerita kepada kisah-kisah berkaitan nama Tuan Hj Bahasa kita ini. Mari kita dengar seterusnya.




Kisah 7

Minta Pencen Awal


" ' Memandangkan bebanan kerja yang aku kena pikul tidak berkesudahan maka saya berazam hendak pencen awal. Rancangan saya ini akan aku lakukan selepas menunaikan fardu haji, iaitu pada tahun 2000. Apabila saya kembali sahaja menunaikan fardu haji (2000) maka saya terus mengisi borang untuk pencen awal.

'Dah pencen nanti lepaslah beban mengenai bahasa ini.' Kata hati kecilku.

Masa terus berlalu. Lebih kurang enam bulan permohonan saya untuk pencen awal telah diluluskan oleh Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam.










'Ha!! Lega. Lepas ni boleh aku tumpukan untuk meneruskan bidang penulisan buku cerita kanak-kanak dan buku bidang bahasa peringkat sekolah rendah.' Kata hati kecilku.

Belum pun sempat saya meninggalkan Dewan Bahasa untuk bersara awal, pada satu pagi ada satu panggilan telefon dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

'Assalamualaikum tuan haji. Kalau tiada keberatan saya minta tuan haji datang ke Pejabat Dekan Fakulti Bahasa besok, iaitu kira-kira jam 10:00 pagi.' Kata suara itu.

'Ada apa tu?' Aku bertanya kepada suara sedang bercakap dengan saya itu.

'Dr. Alias Mohammad Yatim, nak jumpa tuan haji.' Kata suara itu.

Saya tidak lagi bertanya lebih lanjut, kerana Dr. Alias Muhammad Yatim itu adalah pensyarah yang pernah mengajar saya dalam bidang bahasa di USM dahulu.

'Apa hal Dr. Alias hendak jumpa ni. Tak apalah, aku kena pergi jumpa dia. Dia tu guru saya.' Kata hati kecilku.

Besoknya saya pun pergi ke UPSI. Apabila saya berada di dalam bilik Dr. Alias maka beliau pun mula berkata:

'Bahasa, saya nak lantik kamu menjadi tutor (sambilan) di Fakulti Bahasa ini. Saya tahu kamu itu. Dahlah kerja di Dewan Bahasa, kamu tu bagi saya amat layak untuk mengajar subjek Bahasa Melayu di UPSI ini.' Kata Dr. Alias.

'Kalau saya kata saya tak layak dan tidak berkemampuan menjadi tenaga pengajar (tutor) di UPSI Dr. marah kepada saya ke?' Kata saya kepada Dr. Alias.

'Bagi saya, kamu layak. Terima sahajalah.' Kata Dr. Alias lagi.

'Kalau dah begitu kata Dr. saya terimalah tawaran Dr. itu khususnya dari UPSI.' Kataku lagi.

Selepas saya memberi pengakuan sedemikian maka Dr. Alias amat suka hati.

Dalam perjalanan balik ke rumahku, hatiku berkata:
'Ini sudah ketentuan daripada Allah. Namaku Bahasa, apa sahaja yang berkaitan dengan bahasa saya juga orang nampak, orang lain bukan tak bagus malah lebih baik dari aku. Tak apalah Allah telah tentukan diri aku begini. Aku kena terima dan laksanakan tugas dengan sebaik mungkin.' Aku pun bertugaslah sebagai tutor (sambilan) di UPSI selama dua semester. Lepas itu saya terpaksa berundur diri. "

Hj Bahasa kemudiannya bercerita pula tentang kisah beliau menjadi 'pusat penghuraian bahasa' . . .  (bukan 'pusat Bahasa') . . . di kariah masjid tempat tinggal beliau. Begini kisahnya.

Kisah 8

Pakar Rujuk Bahasa


" 'Kisah kali ini berkaitan dengan seorang ustaz (Ustaz Abd. Razak Mahadi) yang sering memberi kuliah di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih (daerah tempat saya tinggal). Ustaz Abd. Razak sering menyebut nama saya ketika dia berkuliah jika dia bersua dengan sesuatu perkataan yang payah untuk dihuraikan pengertiannya dalam bahasa Melayu.







'Ha . . . Ini tugas Haji Bahasa.' Kata ustaz Abd. Razak kepada saya melalui pembesar suara yang ada di hadapannya.

'Hai !! Nasib badanku yang bernama BAHASA!!!' Kata hati kecilku.' "

Antara perkataan-perkataan yang diminta oleh Ustaz Abd. Razak Mahadi supaya dihuraikan Hj Bahasa:

1.

Pengertian - DUBUR / JUBUR
Penjenisan / spesifikasi dari segi bahasa

Perkataan dubur dan jubur adalah dikelompokkan dalam senarai kata sinonim (seerti).

Dubur / Jubur - Satu bahagian pada punggung tempat najis dan angin dikeluarkan.

Bahasa  halus (bersopan)

Najis disebut juga tahi (hampas makanan dalam perut) yang dikeluarkan melalui dubur / jubur. Angin juga keluar pada dubur / jubur.

Keluar angin = Terkentut


2.

Keluar tahi (banyak dan keras) = Biasanya disebut buang air besar.
Keluar tahi (sedikit dan cair) = Biasanya disebut terkincit

Terkincit-kincit = Cirit birit


Bahasa kasar
Berak. Hampas makanan yang dikeluarkan melalui dubur / jubur.
Bahasa kasar - Biasa disebut terberak.

Kalau kerap berlaku disebut terberak-berak.



5 Mac 2008

Berselampit (bercawat)

Cawat = Kain lampin = kain napkin = kain tuala

Pakai cawat = Pakai lampin = Pakai napkin = Pakai tuala


Bercawat = Berlampin (Berkain lampin) = Bernapkin (Berkain napkin) = Bertuala (berkain tuala) 



23 April 2008


Lungsing (tak ada dalam perbendaharaan Bahasa Melayu)

Yang Ada:

Lungsin : Benang yang memanjang pada tenunan.

SUING : Memukul (menggunakan sebarang alat) atau menumbuk (menggunakan tangan)

  

18 Mei 2008


GESEL

Perkataan yang sinonim (seerti) dengan perkataan GESEL ialah:

Gesek   Geser   Gosok   Sental   Genyeh   Gonyoh   Kesat   Tonyoh   Tenyeh

Perkataan yang sesuai bagi menggantikan perkataan GESEL ialah SENTAL (Menyental).

Maksud sental / menyental ialah menggosok dengan kuat sehingga bersih.



Penulis baru sahaja hendak memberhentikan penulisan dalam episod ini kerana Tuan Hj Bahasa telah habis bercerita . . . tetapi tiba-tiba penulis teringat akan kehebatan orang yang bernama Bahasa ini. Itu baru nama satu kerat . . . Bahasa . . . saja! Kalau nama tiga kerat bagaimana?

Contohnya . . . sudah menjadi trend orang sekarang memakai nama tiga kerat untuk anak-anak mereka. Katalah . . . 'Ahmad Iman Iskandar' atau 'Azim Muqry Basrie' atau 'Umar Ilham Majid' atau 'Dian Seri Aishah'. Bayangkan betapa lebih hebatnya kalau nama satu kerat 'Bahasa' itu menjadi nama tiga kerat seperti mereka yang disebutkan di atas . . .  maka 'Bahasa' berkemungkinan menjadi 'Bahasa Jiwa Bangsa' pula . . .Waduh pak . . . meletup!

Hingga di lain waktu atau episod . . . salam mesra daripada penulis dan . . . hidup Bahasa!



Bamuda
dsuarang.blogspot.com