Saturday, August 14, 2010

Umar Ilham Majid (?)




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Dirgahayu Umar!


Alhamdulillah. Itulah sahaja yang dapat kami ucapkan. Ya Allah amat besar kudrat-Mu. Amat hebat anugerah dan kurniaan-Mu. Kami hamba-Mu yang kerdil ini hanya dapat bersyukur, bersyukur dan bersyukur.

Beberapa minit sebelum jam 10:00 malam tadi (Jumaat 13 Ogos 2010) kami tiba di Pusat Perubatan Naluri (PPN), Wangsa Maju setelah mendapat tahu bahawa Umar Ilham Majid (?) telah dihadirkan Allah SWT ke dunia ini. Umar (?) dilahirkan ibunya Nurliza bt Zainuddin tepat pada jam 8:40 malam (seminit sesudah masuk waktu Isya') dalam keadaan yang sihat dan selamat. Beratnya ketika lahir 3.1 kg. Panjangnya 50 cm. Umar Ilham Majid (Uim) (?) nama yang belum didaftarkan secara rasmi untuk cucuku yang ketiga ini (walaupun kami telah memanggilnya sedemikian ketika dia masih dalam kandungan Liza) dilahirkan normal dan dalam keadaan yang sempurna.


Umar Ilham Majid (?)

Aku dapat memerhatikan keceriaan yang terpancar pada wajah anakku Halmy Zahari bin Abdul Majid ketika dia menyambut ketibaan aku, Alimah, Rashidi & Mazlyn serta Aii di luar lif Tingkat 4. Sebelum itu kami naik ke aras itu bersama-sama birasku Roslan yang kami temui di perkarangan PPN itu mula-mula tadi. Halmy ketara amat gembira. Maklumlah ini anaknya yang pertama. Ini pertama kali Halmy bergelar 'abah' seperti juga Liza bergelar 'emak'.

Kami yang baru tiba tidak sabar-sabar lagi hendak menatap wajah ahli keluarga terbaru kami ini. Kami lantas menuju ke Tingkat 4. Ke bilik di mana Liza ditempatkan.

Bilik No. 6 Tkt 4
Liza 'berehat' di sini

Halmy segera menghalang dengan mengatakan Liza belum lagi dikeluarkan daripada bilik bersalin (labour room) di Tingkat 2. Halmy juga menyatakan bahawa Umar (?) masih mendapat perhatian/penjagaan rapi awalan di bilik (
nursery) kanak-kanak di Tingkat 3.


Pintu Nursery

Kami terus dibawa Halmy ke tempat itu. Kami hanya melihat dari luar. Tidak boleh masuk. Jadilah fikirku. Nanti esok bila sudah dibawa ke bilik pun insya-Allah dapat kami melihat Umar (?) dari dekat.


Foto Uim (?) terhalang kaca nursery


Meninjau dari luar saja ke? Takpe le . . . nanti boleh tengok dekat-dekat kemudian. Foto menunjukkan dari kiri {mengikut panggilan Umar (?)}: Atuk Majid, Mak Ngah Mazlyn, Along Ahmad (berdukung), Pak Ngah Rashidi, Atuk Zainuddin (besan penulis) & Opah Alimah


Sekejap Saja Tau!
'Missy' yang baik hati mendekatkan sedikit Umar kepada para pengunjungnya.


Foto Uim (?) tidak terhalang kaca nursery


Aku serombongan kemudiannya dibawa Halmy pula ke bilik No 6. Liza sepatutnya sudah berada di situ. Setiba di bilik itu aku lihat ada ramai pelawat (kaum keluarga) yang datang lebih awal daripada kami serombongan. Penuh dan sesak aku rasakan keadaan dalam bilik tersebut. Namun Liza tidak kelihatan. Rupa-rupanya Liza masih belum keluar daripada bilik bersalin. Dia masih di Tingkat 2. Tak mengapalah. Tunggu saja di bilik ini sehingga Liza dihantar jururawat ke sini kelak.

Kira-kira 20 minit kemudian Liza diusung masuk ke biliknya oleh dua orang jururawat. Kami rasa sungguh gembira apabila melihat Liza dalam keadaan sihat walaupun dia nampak lemah dan pucat sedikit. Tidaklah menghairankan Liza berkeadaan demikian. Melahirkan anak bukan suatu perkara mudah. Bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Azabnya, Tuhan saja yang mengetahui.

Maka bayi yang lahir kecil dan comel pada hari ini seharusnya menghargai kemurnian jasa ibu yang melahirkan. Ibu yang bergadai nyawa untuk membolehkan anaknya memandang sekeliling alam maya yang fana!

Anak yang kecil dan comel dalam episode kali ini bernama Umar Ilham Majid (?). Atuk, opah dan semua ahli keluarga mendoakan agar Umar (?) menjadi seorang anak yang soleh. Anak yang tidak akan melupakan jasa ibu dan bapanya sampai bila-bila.

Begitulah kisah awal kelahiran terbaru dalam keluarga AMB. Harapan kami sekeluarga . . . agar Allah memberi petunjuk kepada kami untuk memimpin Umar (?) dengan sebaik-baik pimpinan!


DIRGAHAYU UMAR ILHAM MAJID (?)











dsuarang.blogspot.com