Tuesday, January 1, 2013

Perokok dan Tabiat Merokok



Assalamualaikum  



Sekadar peringatan pada awal Tahun Baru 2013 . . . aku turunkan semula tulisan yang pernah dipaparkan dalam siaran blog ini pada Ahad, Januari 2010 menyentuh perokok dan tabiat merokok . . . dan ikhtiar bagaimana aku keluar daripada tabiat buruk dan tidak menguntungkan ini. 

Cara aku berhenti merokok ini tidak semestinya yang terbaik. Setiap perokok individu tentu ada caranya yang  tersendiri. Amalkanlah cara yang paling selesa dan sesuai dengan diri anda.

Sekarang terpulanglah kepada para pembaca yang budiman (khasnya ahli-ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat-sahabatku yang tersayang) sama ada sudi terus membaca tulisan dalam siaran di bawah ini . . . dan setelah itu . . . mempertimbangkan dan berusaha untuk menjadikan azam berhenti merokok ini suatu kenyataan. 

Jika sebaliknya . . . biarkanlah sahaja segala-galanya berlalu bagai berlalunya sesuatu yang tidak membawa sebarang kesan . . . ibarat mencurahkan air di daun keladi!

Demikian catatan serba ringkasku. Aku harap dapat jua membawa manfaat kepada usaha berhenti merokok di kalangan ramai perokok tegar! 

Maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kata-kataku ini . . . tetapi sayangilah diri anda . . . dan mereka yang menyayangi anda.

Mulakannya sekarang dengan penuh azam!




[Ulang terbit]


Hendak Seribu Daya

SUNDAY, JANUARY 3, 2010


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Akhirnya 'Tak Nak' Jua 



Seperti yang aku janjikan kelmarin ... ini lanjutan cerita bagaimana aku berhenti merokok. Tidak ada sebarang petua yang aku ikut. Tiada apa-apa pantang yang aku turut. Aku cuma berpegang kepada ketabahan hati dan keazaman diri. Aku percaya dengan ungkapan "Hendak Seribu Daya". . .

Dulu pada suatu ketika dalam tahun-tahun 80-an aku pernah berhenti merokok. Aku cuba mengunyah bunga cengkeh dan memakan gula-gula dsb. kononnya sebagai ganti. Tak menjadi. Lepas empat bulan berhenti, aku merokok kembali. Malah makin menjadi-jadi. Tak mujarab. Aku merokok semakin kerap!

Aku terfikir akan suatu resmi biasa manusia. Barang yang mudah dapat mereka tak suka. Barang yang sudah terlalu banyak jadi tidak berharga. Sesuatu yang berlebihan boleh memualkan. Aku terfikir lagi apa salahnya aku cuba 'membosankan' diriku dengan melihat terlalu banyak rokok di merata-rata kelilingku. Baik aku praktikkan teori mudah sendiri-sendiri ini.

Aku pun membeli berkatun-katun rokok. Aku biarkan tersimpan di sana sini. Lantaklah terletak di mana pun. Aku biarkan saja kotak-kotak rokok yang belum dibuka, yang penuh, yang separuh penuh,yang hampir kosong dan yang sudah kosong tersepah di merata-rata. Di rumahku, di pejabatku, di dalam keretaku. Pendeknya di mana-mana tempat kebiasaanku. . . Aku akan terlihat rokok, rokok dan rokok!

Rokok yang telah aku hisap seluruh atau separuh akan aku biarkan bertaburan di tempat-tempat kebiasaanku yang tersebut tadi. Aku tak benarkan sesiapa mengemas tempat-tempat itu. Aku tak mahu puntung-puntung rokok itu dibuang.

Paling drastik . . . apabila aku teringin sangat hendak merokok aku letakkan saja sebatang rokok di bibirku. Aku biarkan rokok itu berada di bibir selama waktu yang aku mahu. Aku tidak menyalakannya! 

Biasanya tembakau rokok itu akan basah dan rokok menjadi lembut atau patah kerana disalut air liur secara berterusan. Bau tembakau yang bersalut air liur . . . tahu-tahu sajalah . . . memang tidak menyenangkan!

Aku ingat aku selalu berbuat demikian ketika memandu kereta dari rumah ke pejabat pada setiap hari bekerja. Jarak perjalanannya tidak jauh. Hanya kira-kira 50 kilometer. Tetapi, laluan merentas jalan yang sentiasa sesak dengan 'jam' dan seribu satu macam kerenah pengguna jalan raya memang mencabar kesabaran. 

Dan, ketika itulah pula aku sentiasa ketagihkan rokok! Aku akan melakukan perkara yang serupa berturut-turut hari, minggu dan bulan. Sepit rokok yang tidak dinyalakan api pada celah jari atau bibir.

Aku juga masih ingat akan ada mempunyai sebatang rokok yang tidak dinyalakan tersepit sama ada di celah jariku ataupun di celah bibir hampir setiap waktu aku berihat atau bekerja. 

Pada waktu-waktu begitu ramai ahli keluarga dan kawan-kawanku agak kehairanan melihat telatah aku. Mereka selalu menegur kenapa aku tidak menyalakan api pada rokok yang macam hendak aku hisap itu!

Mereka mungkin ingat aku terlupa berbuat demikian . . . Pada hal mereka inilah juga yang kuat mendesak aku supaya berhenti merokok. Agaknya mereka sudah bosan menasihati aku. Lantas pegang saja pada ungkapan Inggeris,"You can't beat them join them". Mujur mereka itu tidak ekstrem sampai terikut jadi perokok pula!

Sesungguhnya (pasti dengan izin-NYA jua), lama-lama usaha aku itu berkesan. Aku jemu melihat rokok. Aku hilang rasa ketagih terhadap rokok. Kepada asap rokok pun aku sudah tidak sudi. Aku jadi benci. Aku tidak teragak-agak. Aku dah 'Tak Nak' (curi ilham iklan nasihat KK le sikit).



Sekian ceritanya. Pengalaman aku tentang usaha berhenti merokok. Ini cara aku sendiri. Aku lakukan semampu aku. Kalau nak cuba ... ... ... cubalah. Atau, kalau ada cara lain yang lebih sesuai ... ... ... lakukanlah.

PEROKOK BOLEH Insya Allah!










Blog @: Bamuda d' SUARANG