Monday, November 8, 2010

Bahasa Menunjukkan Bangsa





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Bersahabat dgn Bahasa



Kamus Dewan (Edisi Keempat Cetakan Ketiga 2010) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan takrif atau makna perkataan 'bahasa' dalam entri bahasa I antaranya seperti berikut:

bahasa I 1. sistem lambang bunyi suara yg dipakai sbg alat perhubungan dlm lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dgn individu yg lain dsb); 2. percakapan yg baik, tingkah laku yg baik, sopan santun.

Ada ditambah takrif untuk kurang bahasa = kurang sopan; tidak tahu bahasa = tidak sopan santun.



Aku bukan pakar bahasa. Ahli bahasa pun bukan. Bijak pandai bahasa jauh sekali. Tetapi sebelum aku pencen dahulu aku pernahlah punya pengalaman lebih 20 tahun menguruskan hal dan soal berkaitan bahasa. Alhamdulillah. Tahulah sedikit bahasa.



Kini sesudah pencen hampir 10 tahun, aku masih mempelajari bahasa. Anehnya aku tetap belum sah menjadi seorang insan 'bahasa'. Aku hanya insan biasa. Bukan macam sahabatku yang serba cukup dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan 'bahasa'. Tiada bandingan. Tiada tandingan.



Sahabatku yang dimaksudkan ini memang hebat. Dia berkecimpung dalam bidang bahasa secara menyeluruh. Profesor atau pengajar bahasa yang ada di Malaysia pada masa ini pun belum ada yang sampai ke tahap 'menyeluruh' seperti dia.

Dia menyelidik dan mentadbir bahasa. Dia bertugas di agensi kerajaan yang menjaga kepentingan bahasa. Dia menguruskan hal-hal menyangkut bahasa. Walaupun kini dia pesara, dia tetap giat berperanan sebagai Bahasa. Sesuailah dia dikenali orang dengan gelaran Bahasa . . .

Kalau dah Bahasa . . . tetaplah Bahasa. Tidak akan bertukar menjadi Matematik atau Sejarah pula. Maka demikian mukadimah yang mungkin paling sesuai bagi episod ini. Episod yang memaparkan kisah seorang sahabat lama, Bahasa . . . Tuan Hj Bahasa Othman.



Tuan Hj Bahasa Othman


Pada 27 September 2010 yang lalu Tuan Hj Bahasa Othman yang aku kenal sebagai Bahasa datang berkunjung ke d'SUARANG bersama isterinya Pn Hjh Noriyah Salam. Hari itu hari ke-18 Syawal 1431 H. Kedua-dua tetamu aku ini datang sempena kebiasaan kunjung mengunjung di Aidilfitri yang menjadi amalan masyarakat bangsaku. Sementelah aku mengenali Bahasa sejak awal 1980-an pula.



Kiri: Pn Hjh Noriyah Salam (isteri Hj Bahasa). Kanan: Bahasa menjamu selera.


Kiri: Penulis bersembang dengan Bahasa. Kanan: Alimah (isteri Penulis sambil memangku Azim Muqry Basrie) & Noriyah mendengar dengan penuh perhatian.




Kiri: Noriyah dalam mood relaks. Kanan: Noriyah, Bahasa & Penulis membincangkan sesuatu.


Perkenalan aku dengan Bahasa semakin rapat apabila pada tahun 1987 dia menawarkan untuk penerbitan sepuluh manuskrip hasil penulisannya kepada syarikat penerbitan tempat aku bekerja. Manuskrip-manuskrip itu menyentuh cerita-cerita haiwan untuk bacaan kanak-kanak. Ketika itu aku bertugas sebagai editor (di OUP/PFB, Petaling Jaya) yang menjaga dan mengendalikan penerbitan buku-buku bahasa dan sastera Melayu. Alhamdulillah, setelah siap diterbitkan, buku-buku itu mencapai angka jualan yang amat memuaskan dan pastilah hasil pungutan yang amat lumayan.



Salah sebuah daripada 10 judul buku cerita kanak-kanak hasil karya Bahasa yang diterbitkan oleh PFB pada tahun 1987.



Halaman akhir & halaman dalam kulit belakang buku

Entri perkataan 'bahasa' dengan takrif maknanya seperti di atas sengaja aku ambil dan pakai sebagai permulaan kisah. Ini kerana aku rasa erti perkataan 'bahasa' itu sendiri amat bertepatan dengan watak dan peribadi orang yang bernama Bahasa ini.

Sahabatku ini memang serasi memakai 'bahasa' sebagai namanya. Hj Bahasa Othman masih giat berkarya walaupun selepas bersara daripada jawatannya sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kami berkesempatan bekerjasama lagi menerbitkan enam belas judul buku cerita haiwan untuk kanak-kanak pada tahun 2003. Kali ini di bawah sayap Sinaran Ilmu Enterprise, Petaling Jaya.



Bahasa sentiasa sibuk mencatat sesuatu yang biasanya dijadikan bahan penulisan karyanya




Antara judul-judul buku cerita kanak-kanak
karya Bahasa yang diterbitkan oleh Sinaran Ilmu Enterprise



Kulit Depan


Kulit Belakang




Buku-buku bacaan kanak-kanak yang popular pada tahun-tahun lewat 1990-an dan awal 2000

Aku bersyukur kami masih bersahabat baik hingga sekarang. Kami masih berhubungan antara satu sama lain dari masa ke masa. Bahasa masih berkomunikasi denganku seperti takrif entri 'bahasa' dalam Kamus Dewan itu.



Apa lagi yang dibincangkan itu . . .?


Bahasa yang masih bergelar sahabatku ini memang seorang yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Percakapannya baik. Tingkah lakunya pun baik. Hati budinya setahu aku sah baik.




Ha eloklah tu . . . Dah pencen pun masih giat menulis lagi.

Maka terbukti tidak bertentanganlah erti atau takrif makna perkataan 'bahasa' yang dimuatkan oleh Sidang Editor dalam Kamus Dewan terkini dengan sikap dan watak Tuan Hj Bahasa Othman. Syabas.



Bahasa & bukan Bahasa

Aku lebih-lebih lagi mengangkat 'tabik' kepada sesiapa saja ahli keluarga Bahasa yang memberikan nama ini kepadanya dahulu. Sesuai sangat. Amat serasi . . . kata orang.

Dirgahayu Tuan Hj Bahasa Othman. Salam.



Catatan:

Ada kisah menarik ttg pengalaman ganjil beliau ini dalam episod selanjutnya . . . Insya-Allah.









dsuarang.blogspot.com


0 comments: