Thursday, December 6, 2012

Menjalin Silaturahim





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Menjelang Suatu Pertemuan Keramat


Pagi Jumaat 30 November 2012. Basri singgah ke d'SUARANG. Basri memang biasa berbuat demikian. Beliau rajin berkunjung ke rumah sahabat handai, sanak saudara dan adik beradik untuk bertanya khabar dan berbual-bual. Setiap kali beliau akan membawa buah tangan atau juadah yang nantinya dinikmati bersama-sama pihak yang dilawati.

Basri percaya banyak kelebihan terdapat dalam perbuatan menjalin silaturahim sesama manusia dan tetap berpegang kepada kepercayaan itu . . . walaupun amalan sedemikian semakin terhakis di kalangan anggota komuniti zaman kini! 

Sudah ditentukan Allah swt pastinya pada hari itu . . . Basri secara bersahaja memberi tahu aku bahawa beliau dan isterinya Pn Hjh Siti Zawyah Abdul Aziz akan pergi 'makan kenduri' di Bukit Katil, Melaka pada keesokan harinya (Sabtu 1 Disember 2012).

Aku memasang telinga sambil memerhatikan telatahnya. 

Basri seterusnya berkata," Makan kenduri tu bukan menjadi matlamat utama saya ke Melaka esok . . ." 

Aku diam mendengar sahaja apa yang hendak diperkatakan Basri lagi. 

"Saya ada janji nak berjumpa dengan seorang Pegawai Waran 1 (U). Dia baru bersara. Dia tu saya kenal ketika  dalam urusan bersepadu antara tentera darat dengan tentera udara dulu."

"Nak buat apa jumpa dia?" Baru aku membuka mulut bertanya.

Dengan nada teruja Basri menerangkan,"Ha tu lah . . . sebenarnya dia ni budak Selandar, Melaka. Tujuan saya menemui dia sebab dia tahu di mana keluarga *Allahyarham LKpl Abdullah Majid berada sekarang. Saya dah lama berusaha mencari balu dan keluarga Allahyarham."

*[Allahyarham LKpl Abdullah Majid seorang anggota jurutera (RAJD) yang gugur ketika bertugas bersama Basri dalam Ops GUBIR II pada tahun 1976.] 

"Saya berhajat sangat mahu bertemu dan berkenalan dengan mereka. Malangnya . . . hingga kini . . . saya masih belum sempat melaksanakan hajat saya itu," sambung Basri lagi.

"Sudah lebih 36 tahun Allahyarham meninggal dunia dalam peristiwa berdarah di sempadan Malaysia-Thailand yang juga melibatkan diri saya dulu . . .  Uda ingat tak?"  Tanya Basri. 

Perasaanku terharu. Tentu saja aku ingat akan peristiwa sedih itu. Apa tidaknya . . . arwah bapa mertuaku . . . yang kenal rapat dengan Basri . . . pernah mengadakan tahlil arwah di rumahnya untuk Basri . . . lengkap dengan bacaan surah Yasin serta segala doanya . . . setelah tersilap sebar berita palsu oleh akhbar tempatan tentang 'kematian' Basri dalam tragedi itu! 


Sumber Berita Mengelirukan






(1)   Keratan Akhbar Berita Harian 02 Jun 1976







(2)   Keratan Akhbar Utusan Melayu 03 Jun 1976



Rupa-rupanya . . . Basri sudah sejak lebih setahun lepas menghubungi Pegawai Waran 1 (U) Nor Azmy Md Jadi (Nor Azmy) . . . memohon jasabaik beliau itu untuk mengaturkan satu pertemuan yang sangat-sangat diharapkan dengan balu dan keluarga Allahyarham Abdullah.

Tidak banyak yang dapat dilakukan ke arah merealisasikan hajat Basri pada waktu itu kerana Nor Azmy sibuk memenuhi keperluan urusan serah menyerah tugas rasminya sebelum bersara.

Setelah Nor Azmy bersara daripada perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 2010 . . . semaraklah semula hajat Basri yang terpendam selama ini dan bergeraklah segala aksi ke arah mencapai tujuan murni itu dengan kadar yang lebih pantas.    


Basri bertambah teruja apabila diberitahu Nor Azmy bahawa segala persiapan telah dibuat dengan pihak keluarga Allahyarham Abdullah dan mereka sudi bertemu dengan Basri pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai. 

Basri berulang-ulang kali menyatakan kegembiraannya terhadap perkembangan positif ini.

Aku lantas terfikir," Mulia sungguh hati budi Basri. Tidak ramai lagi orang yang seperti beliau ini . . . sanggup bersusah payah memikirkan nasib atau kebahagiaan orang lain . . . dan mengambil berat akan kebajikan mereka masa kini . . . tanpa mengharapkan apa-apa faedah untuk diri sendiri!"  

Hati aku pun mula terbuka untuk memberikannya sokongan moral bagi menjayakan misi ini. 

Aku lalu bertanya kepada Basri," Pertemuan yang dicadangkan ini atas urusan rasmikah atau persendirian?" 

"Inisiatif sendirilah Uda," jawab Basri selamba.

"Hmm . . . kalau begitu . . . baik aku lapangkan masa untuk pergi bersama Basri ke Selandar besok. Apa-apa pun . . . tujuannya mulia sekali!" Fikirku lagi.

Aku lantas menyuarakan hasratku itu kepada Basri dan beliau dengan senang hati menerima cadanganku. 

Maka . . . begitulah kisahnya bagaimana aku secara tiba-tiba terlibat dalam misi ini. Penyertaan dan kehadiran ala 'bidan terjun' kata orang!

Menjelang tengah hari Sabtu 1 Disember 2012. Aku bersama isteriku Hjh Alimah Yasin dan anak bongsuku Marlyana Haniz bergerak menuju Selandar, Melaka.

Basri dan isteri beliau telah bertolak ke Bukit Katil awal-awal lagi. Mereka akan pergi terus ke Selandar selepas memenuhi undangan di Bukit Katil itu nanti.

Dengan izin Allah . . . kami bertemu tepat pada waktu yang dijanjikan di pekan Selandar . . . kira-kira pada jam 3:00 ptg.

Tuan Hj Abdul Rahman Mohd Dewa mantan Sarjan dalam RAJD . . . dan pernah menjadi juru pandu Basri ketika berkhidmat dalam tentera dahulu turut sama. Beliau dari Alor Gajah . . . juga tiba di Selandar tepat pada waktu yang dijanjikan. 

Nor Azmy menjemput dan terus membawa kami semua menghala ke suatu arah yang pada mulanya aku fikirkan jalan ke rumah balu dan keluarga Allahyarham Abdullah.





Ha . . .


Ha . . . ah 


Ke mana kita?


Salah terkaanku. Belum lagi. Rupa-rupanya Nor Azmy mahu membawa kami ke rumahnya terlebih dahulu supaya kami dapat berehat sebentar dan berkenalan dengan ahli-ahli keluarganya sebelum ke destinasi kami yang sebenar.





Oh . . .  ke Rumah Ladang High Chaparall ke?


Kami tidak membantah. Orang berbudi kita berbahasa. Kami menganggap ini satu penghormatan terhadap kami daripada seseorang yang baru mahu kami kenal rapat.





Bukanlah . . .  
 ini rumah gah dan berseri . . .  milik Nor Azmy
di tanah air sendiri!










Mengenang kembali . . . 
Atas: Basri menerangkan sesuatu kepada Rahman. Bawah: Mantan Sjn Hj Abdul Rahman 





Konsentrasi . . . 
Penulis (kiri) bersama mantan PW 1 (U) Nor Azmy



Bersembang
 Dari kiri: Basri, Rahman dan penulis


Kami disambut dan dilayan mesra oleh Nor Azmy sekeluarga.




Makan le . . .
Dari kiri: Marlyana, Sholehah, Nor Azmy




Makan le lagi . . . 
hmm



Berhemah Tinggi
Pasangan suami isteri Nor Azmy n Sholehah . . .
mesra melayan para tetamu. Terima kasih le.





Dengar-dengar 
 "Sekarang dah jadi bos estet ya . . . bagus le tu."




Sedekah senyum banyak-banyak . . . erat silaturahim




Serius aje nampaknya . . .
 Zawyah, Alimah, Lyana . . . kenapa?



"Sedapnya . . . macam mana masak ni?"
Oh nak tanya tu aje . . . rupanya . . .





"Dulu lain . . . sekarang dah lain pulak . . ."




"Dunia punya dalam . . . tuan . . ."


Sesuatu yang ketara menonjol dalam pertemuan dan daripada perkenalan ringkas kami dengan Nor Azmy sekeluarga ialah sikap mereka yang merendah diri.



 

Dari kiri: 
Abdul Rahman, Basri, Nor Azmy, Penulis 



Dari kiri:
 Abdul Rahman, Basri, Ahmad Amzar,
 Nor Azmy, Penulis



Dari kiri:
Siti Zawyah, Aimi Baqrisyia, Aimi Zarifah, 
Sholehah, Alimah, Marlyana Haniz 



Mereka juga peramah dan berterus terang. Ciri-ciri kecerdasan minda dan kecerdikan berkomunikasi jelas terpancar pada wajah setiap ahli keluarga ini. 

Sempat juga aku memerhatikan bahawa Nor Azmy seorang yang memiliki deria humor yang cukup menghiburkan. 







Hiasan dinding . . . menarik




 Terima Watikah

(Keterangan gambar: Pn Sholehah seorang pensyarah
by profession menerima watikah kapten askar wataniah) 



Setelah selesai melakukan berbagai perkara asas di rumah Nor Azmy kami bermohon diri untuk ke destinasi sebenar. Pada kira-kira jam 3:40 ptg kami bertolak ke rumah balu dan keluarga Allahyarham Abdullah.





Bergambar Kenangan

Dari kiri:
 Rahman, penulis, Alimah, Sholehah, Aimi Zarifah,
 Aimi Baqrisyia, Ahmad Amzar, Nor Azmy, Basri, Zawyah





SILATURAHMI oh SILATURAHMI . . . ?

[Bergambar lagi di hadapan rumah bertuah ini; 
pelaku sama cuma tempat penulis digantikan Lyana]



Nor Azmy, isterinya Pn Sholehah Ismail dan anak-anak mereka Aimi Baqrisyia, Ahmad Amzar dan Aimi Zarifah  kemudiannya dengan rela hati menyertai rombongan kami  pada petang itu semata-mata bertujuan menjayakan misi pertemuan. 





Bersama 'Arkitek' Pertemuan 
dan Keluarganya

Dari kiri: 
-Penulis n Alimah-
 Aimi Baqrisyia, Aimi Zarifah, Sholehah, Ahmad Amzar, Nor Azmy    



Dua lagi anak mereka Aimi Afiqah dan Aiman Afiq berada di KL ketika ini.

Alhamdulillah . . . keluarga yang baik tetap ketara kebaikannya. 

Nor Azmy seterusnya membawa kami ke tempat yang dituju. . . rumah keluarga Allahyarham Abdullah.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kpd Pegawai Waran 1 (U) Nor Azmy kerana memainkan peranan yang berkesan sebagai 'arkitek' yang memungkinkan pertemuan  keramat ini menjadi kenyataan.  

Allah sahaja dapat membalas budi baik tuan. Amin.




Usik-usik

Jika belum ada cadangan nama untuk rumah tuan   apa kata namakan sahaja rumah bertuah tuan itu

SILATURAHMI 





'SILATURAHMI'
sebuah rumah tenang dan aman





gagah menghadap
  Gunung Ledang di kejauhan



SILATURAHMI 
membawa erti persahabatan atau  persaudaraan 

SILATURAHMI
serasi melambangkan pertalian  antara insan  




Wallahuaklam  



Dapatkah nanti Basri menemui mereka yang dicari-carinya selama ini? Berhasilkah penantian Basri selama lebih 36 tahun?  Jom ikuti episod berikutnya . . . Insya-Allah.


[Maaf andainya terdapat kesilapan fakta atau ejaan nama orang atau tempat dsb dalam penulisan ini. Mohon diperbetulkan melalui ruang comment di bahagian bawah siaran episod ini.] 





Bamuda
dsuarang.blogspot.co

Tuesday, December 4, 2012

Suatu Ketentuan Ilahi


SUNDAY, 2 DECEMBER 201




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



"Tuan! Saya kena . . . Tuan!"


Kata-kata di atas merupakan kata-kata terakhir yang didengari seorang pegawai tentera muda . . . Basri Omar . . . terucap daripada mulut seorang lagi anggota tentera yang juga muda . . . Abdullah Majid . . . pada hari tragedi menimpa mereka kira-kira 36 tahun  lalu di perbatasan negara kita Malaysia dengan Thailand.  

Kedua-dua mereka berkhidmat dengan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) pada waktu kejadian.  Walaupun berlainan trup, mereka telah ditentukan Allah untuk bersama-sama menggalas suatu tugas yang amat penting pada   25 April 1976 dalam Ops GUBIR II.

Mereka diarahkan memantau kerja-kerja pembersihan jerangkap samar yang dilakukan pasukan pembersih jerangkap samar di bawah pimpinan Lt Muda Meor Safian (Meor) pada awal pagi dalam terowong kedua perkhemahan musuh (pengganas komunis) yang ditawan 1 Rejimen Gerak Khas (1 RGKM).

Mereka terlatih khas dalam bidang kerja ini. Mereka tahu terowong itu penuh terpasang jerangkap samar pihak musuh. Jerangkap samar yang pasti masih aktif dan berupaya meledak pada bila-bila masa dengan sentuhan atau gangguan paling minimum terhadap sensitivitinya! 

Pendeknya . . . mereka memang amat berhati-hati dalam menjalankan tugas yang dipertanggungkan ke atas bahu mereka masing-masing. 

Lt Muda Basri Omar (Basri) selaku ketua . . . turun bersama LKpl Abdullah Majid (Abdullah), Spr Misnan (Misnan) dan komando pengiring Trp Khairi (Khairi) . . . ke bahagian bawah terowong berkenaan hingga menjejakkan kaki di anak tangga ke-31.

Setelah bergerak beberapa langkah maju ke hadapan . . .  Basri terpandang kepada timbunan reja karung guni beras terletak di sebelah kiri terowong.

Mengesyaki timbunan reja karung guni beras itu mungkin menyorokkan suis yang boleh mengaktifkan jerangkap samar di situ . . . Basri lantas mengarahkan para anggota yang mengikuti di belakang beliau supaya bergerak mengikut langkahnya di sebelah kanan terowong. 

Sudah cukup cermat dan berhati-hati sekali Basri  memimpin gerakan memantau pembersihan jerangkap samar di terowong kedua itu. Sudah diambil kira segala kemungkinan dan risiko operasi!

Semua anggota yang terlibat juga cukup arif dengan peranan mereka masing-masing. Apa yang harus dibuat dan apa yang tidak . . .  demi menjamin keselamatan semua  dalam Ops itu.

Malang tidak berbau! 

Tiba-tiba kedengaran suatu dentuman yang amat kuat disusuli asap yang amat tebal naik ke udara di dalam terowong yang berkenaan!

Senjata di tangan Basri terlepas. Pegawai muda ini jatuh terduduk. Beliau tercedera di tangan kiri serta di bahagian belakang badan dan di punggung. Parah keadaannya.

Ketika itulah juga Basri terdengar jeritan Abdullah kepada beliau: 

"Tuan! Saya kena . . . Tuan!"

Basri sempat menoleh kepada Abdullah dan mengarahkan beliau supaya jangan bergerak. Basri ternampak kecederaan amat mengerikan yang menimpa anggota pasukannya itu.  

Basri terus sahaja berteriak kepada Meor yang ketika itu berada di hadapan mereka untuk melakukan Tindakan Serta Merta bagi membersih kawasan dan membantu Abdullah.

Mereka yang cedera . . . Basri dan Abdullah kemudiannya di angkat naik ke permukaan . . .

Keadaan dipenuhi walang . . . suasana sangat memilukan.

Abdullah tidak dapat diselamatkan lagi. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat tercedera parah di bahagian dada dan perutnya.

Sesungguhnya kita milik Allah swt dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-NYA. 

Allah swt lebih menyayangi LKpl Abdullah Majid dan telah segera mengambil beliau untuk dimuliakan di sisi-NYA . . . sebagai hamba dan pahlawan tanah air dalam usia yang begitu muda. 






Wajah Allahyarham Abdullah Majid  dalam usia muda. Foto dirakam pada tahun 1971


Ketika peristiwa memilukan itu terjadi . . . Allahyarham Abdullah baru sahaja beberapa bulan berumah tangga dengan isterinya Puan Salmah Ali . . .






Majlis persandingan pasangan pengantin Abdullah (Allahyarham) dengan Salmah di Melaka 



. . . dan Pn Salmah kemudiannya hamil kira-kira 3 bulan . . . mengandungkan satu-satunya anak mereka berdua . . . (diberi nama Shaiful Izwan setelah lahir) . . . yang belum pernah / sempat dilihat wajahnya oleh Allahyarham Abdullah . . . 




Allahyarham Abdullah bersama Salmah


Apakan daya . . . manusia cuma mampu merancang. Allah swt jua yang menentukan!









Tinggal kenangan . . . LKpl Abdullah Majid ketika ada hayatnya . . . mencurahkan bakti kepada negara Malaysia tercinta. Foto kiri: Berdri no 3 dari kiri. Foto kanan: Berdiri di kanan




Basri yang juga mengalami kecederaan parah disuntik morfin untuk menahan kesakitannya itu. Kedua-dua mereka yang terlibat dalam tragedi ini diterbangkan keluar melalui Kem Gubir. 

Basri dibawa ke Hospital Alor Setar untuk dirawat manakala Allahyarham Abdullah dibawa ke Kem Sangro, Taiping untuk pengurusan jenazah.

Jenazah Allahyarham Abdullah kemudiannya dibawa pulang ke kampungnya di Melaka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selandar. 

[Doa kami: Bersemadilah engkau dengan aman dan tenteram di sisi-NYA di sana.]

Menurut Basri sesuatu yang agak mententeramkan perasaannya ialah apabila mendapat tahu bahawa salah seorang anggotanya sempat membisikkan kalimah syahadat kepada pendengaran Abdullah sebelum segala episod tragedi itu tersimpul dengan kepiluan . . . dan deria pemandangan Basri sendiri beransur kabur dan menjadi gelap!  
  
Sejak mengalami tragedi pada 25 April 1976 . . .  Lt Muda Basri Omar ( kini Lt Kolonel Hj Basri Omar PGB Bersara ) sering teringat akan kata-kata akhir Allahyarham LKpl Abdullah Majid . . . kata-kata yang meruntun perasaan beliau dan terngiang-ngiang di telinganya . . . "Tuan! Saya kena . . . Tuan!" 

Kata-kata bernada keluhan Allahyarham itu bagaikan mengamanahkan kepadanya supaya melakukan sesuatu . . . setidak-tidaknya menemui dan mengenali keluarga beliau itu . . . yang ditinggalkannya sejak tahun 1976 dahulu. 

Dapatkah Basri melakukannya? Berjayakah Basri menunaikan permintaan Allahyarham Abdullah? Ketahuilah kisah selanjutnya dalam episod berikut . . . Insya-Allah.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, November 27, 2012

Silaturahim Terjalin





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Begitu Kehendak-Nya















Hasrat melawat ke Rumanissa
Bertanya peri sahabat lama
Berkat tepat detik dan masa
Adinda Basri dapat bersama

Anggun dan mudah si tuan rumah
Di petang hari menantikan kedatangan
Harun dan Madznah pasangan peramah
Bersenang hati melayan kehadiran






















Berlatar rimbunan pohon rambutan
Rancak berbicara Harun dan Basri
Segar pertemuan walaupun spontan
Sejenak bersua namun bererti










Terasa puas dapat memperkenalkan
Antara mereka yang bergelar saudaraku
Semoga ikhlas dan erat pertalian 
Sehingga berpanjangan ke akhir waktu










Alhamdulillah terjalin sudah
Silaturahim antara sahabat
Mudah-mudahan makin bertambah
Intim dan mesra serta berkat.



















[Pertemuan dan perkenalan antara hamba-hamba Allah . . . yang tidak benar-benar terancang ini . . . berlaku pada petang Jumaat 23 November 2012 bersamaan 9 Muharram 1434H. Begitu kehendak-Nya.]




Bamuda
d'suarang.blogspot.com

Sunday, November 25, 2012

Terbukti Sejati






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Terbukti Sejati


Isteriku Alimah yang tercinta
sejak mula kita pernah bicara
tentang masa depan yang kita harapkan
empayar yang ingin kita tegakkan
risiko yang harus kita ambil
impian kita yang boleh jadi nyata
kalau mendapat restu keizinan-NYA
untuk nikmat kita bersama!

Alimah yang tercinta
lama sudah kita lalui susah senang kehidupan
ini salah satu cara dapat kusampaikan kesyukuran
mimpi kita nampaknya membungakan kenyataan
anak-anak jagaan kita besar sudah . . . Alhamdulillah
hidup dengan cara yang kita bina . . . agak sempurna

Yang tercinta
aku sering ingin memberitahu mu
naluri keinginanku bersama mu kekal . . .
gagal atau menyesal tidak pernah kukenal!


Tercinta
engkau terlalu banyak berbakti kepadaku dan keluarga kita
rasanya tak terbalas segalanya olehku sebagai seorang suami biasa
cuma harapanku engkau selesa dengan apa yang dapat kuberi setakat ini
insya-Allah nanti balasan daripada-NYA lebih berganda lagi
namun untuk hari ini aku tandakan bahawa peribadimu
terbukti sejati . . .
alhamdulillah kau benar-benar seorang isteri!



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

[Ogos 12 2005 - dikemaskini November 25 2012]