Tuesday, October 12, 2010

Indahnya Budaya Raya



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Dengan Hati Terbuka . . .


'Rumah Terbuka' di sana sini. Sudah macam suatu trend sekarang ini. Sudah jadi semacam kelaziman khususnya pada musim perayaan. Perayaan mana-mana kaum di Malaysia. Kaum-kaum dalam 1 Malaysia lebih tepat lagi.

Pada 2 Oktober 2010 (kira-kira seminggu sebelum Syawal berakhir) anak-anak teman pun termasuk dalam golongan yang mengadakan pertemuan dan jamuan di rumah ini. Majlis 'Rumah Terbuka Aidilfitri' mengikut faham mereka. Mereka sebelum itu meminta persetujuan teman untuk mengadakan majlis tersebut. Mereka kata lebih praktik berbuat demikian. "Dapat raikan sebilangan besar kawan-kawan sekali gus," tambah mereka.

Teman OK saja . . . asalkan majlis diadakan secara sederhana dan tidak melanggar batas susila sambutan Aidilfitri. Maklumlah kita ini hidup bermasyarakat. Hidup dikandung adat . . . kata orang!

Seperkara yang terlintas pada fikiran teman . . . dah jauh berbeza cara meraikan tetamu Aidilfitri . . . dulu dengan sekarang. Pada zaman kegemilangan teman dahulu, mana ada 'Rumah Terbuka' atau Open House sebagai wadah majlis meraikan tetamu Aidilfitri. Rumah orang pada zaman itu sentiasa 'terbuka' untuk menyambut dan meraikan para tamu Aidilfitri.

Siapa sempat berkunjung akan diraikan . . . tanpa acara jemputan ke 'Rumah Terbuka' atau tanpa appointment terlebih dahulu! Cuma yang agak diutamakan ialah yang muda mengunjungi yang tua melainkan jika yang muda itu beraral. Begitu cara amalan teman dan mereka yang sewaktu dengan teman dahulu.

Apa pun yang paling penting dalam amalan kunjung mengunjung ini (walau dengan cara mana pun) ialah hasil yang diperoleh pada akhirnya. Asal terlaksana tujuan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain maka berhasillah perbuatan itu.

Golongan kanak-kanak lebih berhasil apabila mendapat duit raya . . . dan sekarang duit raya juga dah berlainan cara pemberiannya. Dah ada sampul atau 'angpow' pula. Katakan 1 Malaysia!

Tetapi apalah nak dihairankan . . . Sekali air bah sekali pasir berubah!

Foto-foto majlis tetap diambil sebagai rakaman kenangan. Semoga kita bertemu lagi dalam keadaan yang seceria ini pada waktu-waktu yang mendatang. Salam.

























STOP PRESS








dsuarang.blogspot.com

Thursday, October 7, 2010

Jiran, Sahabat , Saudara Bersekali




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kita Sama Kita Serupa



Esok merupakan hari terakhir dalam bulan Syawal 1431 H. Lusa Syawal pasti sudah melabuhkan tirainya bagi tahun 2010 untuk memberi laluan kepada bulan Zulkaedah. Alhamdulillah banyak nikmat yang telah sama-sama kita rasai sepanjang bulan Syawal. Mudah-mudahan berterusan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita semua pada bulan-bulan lain yang bakal kita lalui.

Memang dalam pada kita dikurniakan nikmat segala macam, Allah SWT juga menguji kita dengan berbagai bentuk ujian. Sebagai hamba-NYA kita diwajibkan pasrah . . . Begitu nasihat orang 'tua-tua' yang arif tentang hukum hakam yang berkaitan dengan hal-hal keagamaan. Kita harus 'reda' . . . Begitu maksudnya dalam erti kata biasa!

Apa yang tercatat di atas bukanlah sesuatu yang berbentuk 'khutbah' atau 'pengajaran' yang bertujuan disampaikan kepada khalayak. Penulis sekadar ingin mengingatkan diri sendiri bahawa segala yang dirancangkan manusia tidak semestinya menjadi kenyataan. Allah SWT yang maha berkuasa menentukan.

Penulis menyatakan demikian kerana sudah agak lama tidak dapat mengendalikan blog ini. Ada sahaja berbagai 'hal' sahabat handai, sanak saudara dan kaum keluarga yang perlukan perhatian dan bantuan penulis membereskannya. Ada rentetan halangan yang tidak dijangkakan. Maka pengendalian blog ini pun 'terbiar' buat beberapa ketika.

Tak mengapalah. Kini banyak perkara yang telah beres. Dan, masih ada kesempatan waktu yang diberikan-NYA. Maka kita 'berblog' lagi.

Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menerima menantu, selamat menyambut cucu/cicit, selamat pengantin baru (lama?), selamat ulang tahun hari kelahiran, selamat menunaikan fardu haji dan banyak jenis ucapan 'selamat' lagi kepada semua yang ada hubungan atau kaitan rapat dengan penulis mahupun mereka yang sekadar mengenali penulis.


Maka sebelum Syawal 1431 berlalu . . . penulis ingin merakamkan antara detik-detik pertemuan Syawal 1431 di d'SUARANG. Terima kasih kepada semua jiran, sahabat, sanak saudara dan kaum keluarga yang telah membolehkan pertemuan ini menjadi suatu kenangan yang sugguh bermakna bagi kami di sini.

































































dsuarang.blogspot.com