Saturday, June 11, 2011

Rumanissa Seribu Rahmat






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Sepetang di Kebun Pak Harun










HS: Mari ikut aku tengok kebun . . .

AMB: Jauh ke ? Kat mana?

HS: Dekat aje . . . Sanan tu . . .


AMB: Kalau tak jauh bolehlah jalan kaki . . .

HS: Ha, memang nak jalan kaki pun. Ke kebun aku tu tak ada teksi!

AMB: Jalan pun jalanlah . . . exercise sikit.

HS: Ngapa stop?

AMB: Ambil angin sat.

HS: Dah habis angin ke?


AMB: Ha, ah sekarang tak macam dulu. Cepat betul pamcit . . .

HS: Alah, kita bukan macam 40/50 tahun dulu . . .

AMB: Kat MBH KL dulu kita semua tak tau penat pun.

HS: Dulu lain sekarang lain.








AMB: Tapi . . . apa pun . . . syukurlah kita masih boleh berdiri dan bergerak.

HS: Masih dapat gak lihat keindahan alam keliling . . . ye tak.

AMB: Setuju!



 HS: Dah sampai pun. Inilah kebun aku.

AMB: Wah . . . subur tumbuh-tumbuhan kat sini. Tu apa lak?



AMB: Macam pernah tengok aje . . .

HS: Familiar ke?


RUMANISSA oh RUMANISSA - kebanggaan keluarga Tuan Hj Harun Saeran


Demikian sebuah kisah bergambar yang suka aku rakamkan di sini.  Peristiwa kunjungan aku (dan beberapa orang ahli keluargaku) ke Rumanissa pada hari Sabtu, 30 April, 2011 bersamaan 26 Jamadil Awal 1432 H. Kunjungan bersahaja yang aku lakukan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga dua orang sahabat lama. Sahabat sejak zaman persekolahan pada lewat tahun-tahun 1950-an dan awal 60-an.

Alhamdulillah semua berjalan lancar. Jom relaks sebentar . . . makan-makan sambil sembang-sembang.


Minum petang 'sekeluarga' kira-kira pada jam 5:00 ptg. Kelihatan dalam foto kiri dari kiri: Lyana, Alimah, Penulis & Harun. Foto kanan dari kiri: Lyana, Madznah, Alimah, Penulis & Harun.


Minum petang sambil bersembang. Foto kiri dan kanan dari kiri: Afzan, Lyana, Madznah & Alimah



Tak habis sembang lagi. Foto kanan dari kiri: Afzan, Lyana, Madznah & Alimah. Foto kiri dari kiri: Lyana, Alimah, Penulis & Harun


Pn Hjh Madznah masih sibuk melayan kerenah kami pada hari kunjungan mengeratkan silaturahim itu. Mee Hailam yang Hjh masakkan tu special le . . . Terima kasih



Tuan Hj Harun & Pn Hjh Madznah Semoga anda berdua serta keluarga diberkati Allah


Bye Run & Madznah. Insya-Allah kita jumpa lagi.









dsuarang.blogspot.com

Sunday, June 5, 2011

Cerita Zaman




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Dulu dan Sekarang


Sekali air bah sekali pasir berubah. Begitu tepatnya gambaran maksud peribahasa Melayu apabila memperkatakan tentang perubahan yang berlaku sepanjang zaman atau dari zaman ke zaman. Ada sahaja pembaharuan atau perubahan terjadi di sana sini mengiringi detik waktu yang berlalu. 

Apa yang selama ini dianggap sebagai tradisi atau kebiasaan mungkin sudah tidak sedemikian lagi keadaan atau sifatnya! Jadi kita kenalah bijak melaraskan tradisi atau kebiasaan yang kita anuti selama ini supaya bersesuaian dengan peredaran zaman.

{"Adapting tradition to changing times," kata si jiran omputih teman.}

Teman tulis begini kali ini untuk menggambarkan setakat termampu betapa jauh berbezanya zaman teman dulu dengan zaman anak-anak dan cucu-cucu teman sekarang. 

Dulu air di perigi . . . kini air dalam besi . . . Dulu malam pakai pelita . . . sekarang api dalam kaca . . . "Potik topi tongah menyalo!" . . . kata orang di sanun tu . . . tompek den bersemando he, he . . .

Lain hulu lain parang. Lain dahulu lain sekarang. Mari kita saja sembang-sembang. Tentang dulu dan sekarang. Dulu warong kopi di sebelah bus stand atau tempat teksi. Sekarang ada Starbuck, Coffee Bean dan banyak lagi di KLCC.

Saja gebang-gebang. Fasal dulu dan sekarang. Dulu naik kereta api usang. Bakar arang. Sekarang kereta api automatik. Suis elektrik. Malah ada LRT atau monorail ke tempat-tempat strategik.

Saja ingat-ingat. Kisah dulu dan sekarang.  Dulu di kedai mamak. Makan roti atau rojak. Sambil duduk borak-borak. Sekarang di lounge hotel. Makan sandwic atau sup tulang. Sambil duduk bincang-bincang.

Saja kenang-kenang. Peristiwa dulu dan sekarang. Dulu kabaret dan joget lambak. Pilihan top si kaki 'lepak'.  Sekarang discotheque dan karaoke. Menarik si elite dan golongan 'tauke'.

Saja banding-banding. Cara dulu dan sekarang. Dulu di kedai apek. Orang beli barang runcit berdikit-dikit. Sekarang di mall ternama. Orang macam kaya sakan berbelanja.

Saja fikir-fikir. Beza dulu dan sekarang. Dulu anak-anak menelaah sendiri. Sekarang mesti tuisyen saban hari. Sudah menjadi semacam ritual. Tuition centre mesti yang special. Mereka menggalas beban tambahan. Semata-mata untuk score dalam peperiksaan.

Saja timbang-timbang. Amalan dulu dan sekarang. DULU anak-anak galak mengaji al-Quran. Belajar tajwid, tauhid dan fikah. Malah semua ilmu KEAGAMAAN. SEKARANG kurangnya sedemikian. Mereka lebih disogokkan dengan kelas muzik dan tarian. Kelas nyanyian dan lakonan. Malah segala ilmu KEDUNIAAN.

Saja sinis sindir-sindir. Kata si kolot dah moden hidupnya. Si gagal pula dah mula berjaya. Si fakir dulu dah mewah segala. Si daif dulu dah jadi mulia.

Saja acah-acah. Patut semuanya semakin indah. Mengapa sebaliknya semakin parah? Ramai sangat menyanggah perintah! Ramai sangat dah faham songsang. Suka berbuat perkara terlarang!






dsuarang.blogspot.com

Saturday, June 4, 2011

Cerita Pencen




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Alhamdulillah . . . Syukur Nikmat


Teman bersara wajib pada bulan September, 2001. Dah puas rasanya bekerja . . . mencari nafkah hidup untuk diri sendiri dan keluarga.

Maka apabila tiba ketikanya untuk bersara . . . teman rela dan amat bersukacita . . . dan paling utama teman bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan teman berpencen dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Paling tidak selepas berpencen . . . teman tiada lagi 'tertekan' oleh bebanan kerja atau tekanan rasmi-rasmian.  Dan, kerana itu . . . insya-Allah dapatlah teman 'menampal' atau 'menokok tambah' apa sahaja amalan untuk kemudian hari yang telah lama 'rongak' atau 'terabai dan terkurang'!

Tanpa berselindung atau memberi seribu macam alasan . . . teman akui . . . ketika bekerja dahulu . . . ada waktu-waktunya amal ibadat untuk akhirat yang patut diutamakan daripada perkara keduniaan tidak selalu mendapat tempatnya yang wajar!

Pendekkan cerita . . . ramai orang takut atau ragu-ragu juga apabila hendak pencen atau bersara daripada pekerjaan masing-masing. Bimbang kalau-kalau tidak berkemampuan menyara hidup di hari tua. Khususnya, bagi mereka yang tidak berpencen!

Teman termasuklah dalam golongan mereka yang telah bersara daripada jawatan tetapi tidak menikmati kemudahan berpencen bulanan. Alahai, dalam istilah orang sekarang . . . 'Tak ada masyuk-uk-uk . . . Kesannya kurang fulus le beb!'

Namun, teman tetap bersyukur. Selagi ada hayat . . . tentu ada pula rezeki diperuntukkan Allah kepada sekalian hambanya . . . Itu kepercayaan teman!

Berikut ringkasan cerita pencen teman. Tak le sehebat mana . . . sekadar untuk 'baca-baca' . . . bak kata dema!



Mantera Seorang Pesara


I


Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas.

Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.

II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 

Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.



AMB


dsuarang.blogspot.com

Friday, June 3, 2011

Cerita Syukur




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


1 Rejab 1432H


Relevan sangat rasanya teman hadirkan sedikit catatan dalam bentuk apa sekalipun . . . untuk merakamkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi kepada teman sekeluarga selama ini. 
 .
Ya Allah . . . berkatilah keluarga kami terus menerus. Sesungguhnya tanpa pertolongan-MU Ya Allah . . . entah di manalah tempat kami.

Sebenarnya teman bersyukur masih diizinkan-NYA menulis dan berfikir seperti dahulu ketika teman berkhidmat sebagai seorang Editor. Sudah hampir 10 tahun teman bersara wajib sekarang . . . dan selama itu juga Allah SWT telah memberikan kepada kami sekeluarga segala kenikmatan yang diidamkan oleh hambanya.

Namun . . . kadangkala adalah juga ujian dan dugaan terhadap kesabaran dan ketabahan hati ini dalam menjalani hidup sehari-hari. Teman bersyukur juga dapat menjalani atau mengalami keadaan yang sedemikian kerana teman percaya setiap ujian Allah itu membawa bersamanya sesuatu kebaikan yang tidak terduga oleh akal manusia. Ada hikmahnya.

Maka sebagai hamba yang kerdil . . . teman bersyukur, bersyukur dan bersyukur. Dan, sempena tibanya awal bulan Rejab (bulan mulia di sisi Allah) sebentar saja lagi untuk tahun ini . . . teman perturunkan suara hati teman . . . dengan penuh keinsafan. Ampunilah hamba-MU ini Ya Allah.





Fikir fikirkan


jika matahari cukup sasa
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pencetus segala kuasa
jauh lebih perkasa!
 jika bulan cukup indah
bagaimana pula penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pemberi segala anugerah
jauh lebih menyerlah!

Maha Suci Allah!

bagaimana langit tiada bertiang
mengapa wujud malam dan siang
apakah tidak berasa hairan
angin bertiup berarak awan
ada ribut ada hujan
ada laut ada daratan!
planet bergantungan di angkasa lepas
terapung bebas
semuanya menawan
betapa pula penciptanya
fikir fikirkan . . .

Maha Suci Tuhan!

guruh dan kilat
siapa yang empunya kudrat
lembah bukit gunung dan tasik
gerun dan cantik
tumbuh-tumbuhan
haiwan nan pelik
fikir fikirkan . . . 
siapa yang mentakhlik
ada ringan ada berat
mentari mesti terbenam di barat
fikir fikirkan . . .
mengapa jadi lumrah sejagat
ada mula ada akhir
sungai mesti mengalir ke hilir
fikir fikirkan . . .
siapa yang empunya takdir!


AMB

dsuarang.blogspot.com

Wednesday, June 1, 2011

Cerita Bangga


 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Aku Harapkan Begitu


Aku bangga mempunyai kalian sebagai ahli keluargaku. Aku tak tahulah kalau kalian pun bangga mempunyai aku sebagai ahli keluarga kalian. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian berusaha mendaki tangga kejayaan. Aku tak kisah sekalipun langkah kalian perlahan. Aku rasa kalian tak keberatan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Aku tak tahulah kalau kalian ada berbuat demikian. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian sejahtera sebagai suatu entiti keluarga. Aku tentulah suka menjadi ketuanya. Aku tak tahulah kalau kalian boleh menerima. Aku harapkan begitu! Aku berdoa agar kalian mampu bertoleransi tinggi. Aku tak mahu ahli keluargaku menyimpan dendam dan iri. Aku tak mahu sesiapa pun berhasad dengki sesama sendiri. Aku malu jika ini berlaku. Aku tak rasakan budi pekerti kalian serendah itu. Aku harapkan begitu! Aku bangga kalian bermuafakat membina hidup berkat lagi menyerlah. Aku tak tahulah apa cara yang nak kalian gunakan, semuanya terserah. Aku cuma nak sarankan sesuatu yang mudah. Aku harap kalian banyak beramal ibadat dan sentiasa ingat akan Allah. Aku tahu, baik anak baik menantu, cukup dewasa sudah. Aku harap kalian  dapat memahami apa yang tersirat di dalam kalbu. Aku yakin sekarang ini kalian dah tahu. Aku mengharapkan begitu!


moga minda sanggup mencerna






dsuarang.blogspot.com